Sunday, April 25, 2010

Bila umarak dan ulama bertelagah.....




Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta


"Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan"
(Surah Shaad : 26)


“Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”
( al-Hajj : 40-41)


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”


“ Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah” pepatah atau peribahasa ini memang tepat untuk menggambarkan senario yang mewarnai kehidupan serta suasana politik dalam masyarakat kita hari ini. Apabila orang-orang yang diberi amanah untuk memimpin tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Apabila orang-orang yang berilmu tidak menggunakan kebijaksanaan mereka ke a rah jalan yang benar. Apabila ulama yang yang sepatutnya menggalas tanggungjawab menyatukan ummah tidak menjalankan kewajiban dan amanah Allah dengan seikhlasnya. Apabila institusi kekeluargaan sering berantakan dan runtuh kerana tiada asas yang kukuh. Apabila jiran-jiran tidak mahu mencampuri hal urusan tetangganya yang lain atas alasan privacy . Maka akhirnya Allah menurunkan bala dan bencana kepada kita dengan pelbagai bentuk dan suasana.

Salah satu bala yang Allah datangkan kepada masyarakat kita hari ini ialah keruntuhan akhlak terutama di kalangan para remaja. Masalah keruntuhan akhlak merupakan agenda utama dan penting untuk sama-sama kita tangani. Lebih malang sekali segala masalah keruntuhan akhlak remaja hari ini seperti penagihan dadah, pembuangan bayi, budaya samseng, derhaka ibu-bapa, keruntuhan moral dan banyak lagi, diungguli oleh remaja Melayu yang sudah semestinya beragama Islam. Kita boleh melihat data-data dan statistik tentang masalah ini samada melalui laman-laman internet atau akhbar-akhbar terpampang jelas dan saban tahun mengalami peningkatan dari segi jumlahnya. Sesuatu yang menakutkan tetapi realiti yang perlu dihadapi.
Anak-anak hari ini adalah bakal pemimpin mendatang yang akan memimpin negara. Anak-anak remaja hari ini adalah cerminan masa hadapan peradaban kita. Namun malangnya, anak-anak remaja hari ini menjadi mangsa keadaan. Kita sering menuding jari kepada pihak ibu bapa sahaja bila berlakunya kes-kes remaja bermasalah dan terbabit dalam gejala sosial. Memang tak dapat dinafikan bahawa institusi keluarga merupakan penyumbang kepada faktor gejala keruntuhan sosial remaja. Namun faktor-faktor lain juga sebenarnya turut menyumbang ke arah permasalahan ini. Bila berada di rumah mungkin pihak ibu-bapa masih boleh mengawal gerak-geri anak-anak mereka. Akan tetapi sebaik sahaja remaja melangkah dan berada di luar rumah maka mereka akan menghadapi lebih banyak cabaran dan dugaan kehidupan. Selain pihak ibu bapa, siapakah yang akan memikul tanggungjawab membimbing dan memimpin remaja ke arah jalan yang benar serta berpandukan syariat Islam. Maka tanggungjawab ini sebenarnya perlu dipikul oleh semua anggota masyarakat bermula dari individu( ibu dan bapa), anak –anak khariah, penduduk setempat, pertubuhan, ahli agama, ulama dan para umarak(pemimpin).

" Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat."
( Surah Al-Hujurat: 10)


Malang sekali hari ini bagaimana mungkin kita hendak membimbing anak-anak remaja kita kembali kepada hukum Allah dan sunnah rasul sedangkan kita sendiri bercakaran dan berselisih faham sesama sendiri. Bagaimana kita hendak meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dan menjadi cara hidup sedangkan kita yang dipertanggungjawabkan sendiripun tidak memenuhi tuntutan seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah S.A.W. Bagaimana kita hendak menyelesai dan menangani masalah keruntuhan akhlak remaja sedangkan di waktu yang sama kita menunjukkan contoh dan teladan yang jelek dan menjijikkan.


“Wajiblah ada di antara kamu suatu umat (golongan0 yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat yang baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka itulah orang-orang yang berjaya (bahagia)
(Ali Imran : 104)


Apa tidaknya, lihatlah hari ini para pemimpin yang melaung-laungkan slogan sebagai pembela agama, bangsa dan negara dalam waktu yang sama telah memungkiri dan menodai kata-kata tersebut. Para pemimpin baik dari pihak yang pro atau penentang tidak habis-habis bercakaran antara satu sama lain. Para pemimpin dan penyokong fanatik tidak habis-habis melepaskan dendam kesumat, caci mencaci dan lebih memalukan memaki hamun antara satu sama yang lain. Masing-masing mendabik dada mengatakan yang pimpinannya lebih baik dari orang lain sedangkan pada hakikatnya masing-masing berjuang untuk menjadi pemimpin periuk nasi sendiri. Para pemimpin besar dan kecil ini tidak pernah bersatu atas nama cintakan Islam. Merekasanggup berbaik-baik, berpelukan, bersalaman dengan golongan kafir tapi pada masa yang sama bermusuhan dengan saudara muslim seagama dengan mereka. Pemimpin besar dan kecil ini tidak pernah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak remaja. Dan perlakuan buruk mereka ini (jika tidak dihentikan) akan menjadi contoh teladan dan diteruskan perlakuan sebegini oleh anak-anak muda ini apabila mereka pula menjadi pemimpin tak kiralah samada dia peringkat bawah hingga ke peringkat tertinggi.

Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya:
“Jangan kamu dengki- mendengki, jangan benci -membenci dan jangan musuh-memusuhi.”


Sepatutnya sebagai pemimpin kita perlu melihat apakah agenda sebenar kita sebagai pemimpin, menyelesaikan masalah ummah yang telah memberi kepercayaan kepada kita menjadi pemimpin dan bukannya bercakaran sepanjang masa hinggakan terlupa menunaikan amanah dan tanggungjawab yang sebenar. Kita tidak pernah rasa ingin berdamai dan bersatu atas nama rasa kasih sayang sesama Islam. Kita biarkan sifat mazmumah hidup subur dalam hati kita. Malahan benih-benih negatif ini kita cambahkan pula kepada para pengikut kita agar dalam hati mereka akan berputik benih-benih mazmumah ini dan akhirnya mereka turut mempunyai sifat buruk seperti kita. Selalunya orang-orang awam seperti saya tertanya-tanya, mengapa kita tidak boleh bersatu. Kita punya Islam sebagai sandaran, Al Quran dan Al Sunnah sebagai pegangan tapi kadangkala perlakuan dan sikap kita lebih buruk dan teruk dari golongan kafir yang tiada tetap pendirian agamanya. Malahan dari segi bersatu atas nama kemajuan dan kebajikan bangsa, mereka boleh bersatu dan mengenepikan segala fahaman kepartian. Bagaimana dengan kita? Mengapa kita tidak boleh bersatu dan bermuafakat demi kebaikkan ummah sedangkan dalam pimpinan kita terdiri dari semua golongan baik dari para cendakiawan, para ulama, para ustaz, tokoh koporat, guru-guru dan sebagainya. Sebenarnya kita mengalami penyakit hati yang terlalu kronik. Kita selalu berprasangka buruk dan iri hati pada sesama saudara semuslim kita. Bagaimana kita dapat bersatu jika hati pemimpin hari ini penuh rasa curiga, was-was dan kebatilan? Maka yang menjadi mangsa adalah anak-anak remaja yang sedang meningkat dewasa dalam iklim suasana politik yang menyedihkan.


Dalam 30 Wasiat Imam Syafie berkata :
“Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betukan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.”


Selain dari para pemimpin, akhir-akhir ini terdapat sebahagian kecil ulama bercakaran sesama sendiri. Mereka bukan sahaja berselisih pendapat (merupakan perkara biasa) malahan sudah ada yang ke tahap saman menyaman sesama ulamak. Masyaallah Tabarakallah. Apa sudah jadi dengan umat Islam di negara kita ini. Ulamak sepatutnya menjadi orang paling dihormati kerana bukan sahaja pada ilmunya tetapi peribadi serta adabnya yang bersesuaian dengan gelaran yang disandang. Amat menyedihkan dan malang sekali hari ini terdapat golongan ulama sudah bertengkaran antara satu sama lain, membuka aib ulama lain, kadangkala dilihat bersifat angkuh, sombong, riak dan ujub kerana dirasakan mempunyai tahap keilmuan yang hebat berbanding ulama lain. Teguran dan nasihat tiada langsung dalam kamus hidup golongan seperti ini . Kita bimbang ekoran dari keadaan ini, masyarakat sekeliling akan tidak menghormati lagi Majlis Ulama. Orang-orang bukan Islam akan memandang enteng peranan Majlis Ulama. Hanya kerana dua tiga kerat ulama yang bersifat keduniaan habis terpalit seluruh institusi ulamak.

Daripada Anas r.a berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W:
“Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq.”
Hadis riwayat Ibnu Ady


Wahai para pemimpin yang dihormati dan para ulama yang dikasihi, ayuh kita perlu sama-sama bermuhasabah diri. Janganlah kita menjadi manusia yang sanggup dan tergamak menjual agama untuk mendapatkeuntungan dunia yang sedikit. Janganlah kita mengaku sebagai pemimpin yang ingin memartabatkan Islam tetapi dalam masa yang sama kita melakukan sesuatu yang tidak selari dengan syariat Islam. Janganlah kita menjadi golongan yang mementingkan keuntungan peribadi semata-mata sehingga sanggup membiarkan matlamat dan cita-cita kita menghalalkan cara walaupun ianya sudah jelas dan nyata tidak mengikut lunas-lunas Al Quran dan Sunnah. Janganlah menjadi Umarak dan Ulama yang hipokrit, bila sesuatu yang memberi keuntungan, kita mengiya dan menyokong . Akan tetapi bila sesuatu perkara itu mempersoalkan kelemahan dan keburukkan kita, maka kita mudah melatah dan melenting, enggan menerima hakikat malahan kita menuding jari dan mencari kesalahan orang lain pula. Kita kini sudah tidak punya masa. Kita kini berada di ambang menyaksikan betapa anak-anak remaja kita mengalami masalah keruntuhan akhlak yang cukup tenat. Masakan kita tidak boleh hentikan perbalahan dan pentengkaran seketika, duduk semeja mencari formula untuk memulihkan semula akhlak remaja kita yang kian nazak. Kita semua boleh lakukan Jika kita benar-benar cintakan Islam dan takut akan hukuman Allah di hari pembalasan. Ingatlah! Genarasi muda sebagaimanakah yang ingin kita wariskan untuk terus menjadi khalifah di bumi Allah ini.

Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda yang maksudnya:
“ Dua golongan di kalangan umatku apabila mereka bersikap baik maka baik umat seluruhnya, dan apabila mereka buruk maka buruklah umat seluruhnya, iaitu golongan umarak (pemimpin-pemimpin) dan golongan ulamak (ahli-ahli cerdik pandai)”


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.”
(Ali Imran: 103)


Bukannya niat saya untuk menuding jari pada sesiapapun, namun keikhlasan hati saya ingin melihat umat Islam di negara tercinta ini bersatu kembali di bawah satu panji-panji iaitu ISLAM. Anak-anak remaja perlu ditarbiah agar terus menjadi umat yang hebat yang selalu cintakan ALLAH dan Rasulullah. Insyallah kita sama-sama renungkan.

Rujukan

Al Imam Muslim. Shahih Muslim Jilid I, II, III & IV.Klang Book Centre. Cetakan kelima 1997

Read more...

Tuesday, April 20, 2010

Bila AF8 menyingkap tirainya



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“……Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka , maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis. Kemudian datanglah setelah mereka, pengganti yang mengabaikan solat dan mengikuti keinginannya, maka mereka kelak akan tersesat, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebajikan, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dizalimi (dirugikan) sedikitpun”
(Surah –Maryam : 58-60)


Dari al-Abbas Bin Abdul Muthallib Radhiallaahu anhu, Nabi Shalallaahu alaihi wasalam bersabda, artinya,
"Dua jenis mata yang tidak tersentuh api neraka, (pertama) mata yang menangis (ditengah kesendirian) di malam hari kerana takut pada Allah Subhannahu wa Ta'ala, dan (kedua) mata yang digunakan untuk berjaga-jaga (pada malam hari) di jalan Allah. "
(HR. At-Thabrani)


“Andalah penentu undian bagi mereka-mereka ini. Tiada guna anda bersedih atau kesal jika peserta pilihan anda tersingkir untuk minggu ini kerana semuanya terletak di tangan anda!” dengan nada sayu serta diiringi muzik sentimental, hos AF memainkan perasaan penonton.

“Sebentar lagi talian akan di tutup. Anda masih berpeluang mengundi peserta pilihan anda…..”

Begitulah antara kata-kata klise yang sering dilafazkan oleh hos-hos yang mengendalikan rancangan realiti tv tak kiralah samada AF, Mentor, Raja Lawak, Sehati Berdansa dan sebagainya. Yang pastinya kata-kata itu sesekali menyentuh hati kecil penonton samada yang berada di studio atau di hadapan kaca TV.
Bila diumumkan saja peserta yang terkeluar, maka berlinanganlah air mata sang penonton. Maka kamera akan mula memainkan peranan , beberapa wajah sedih dan babak mengesat-gesat air mata akan dijadikan fokus utama. Begitu mudahnya manusia mengalirkan air mata bila dihidangkan dengan sesuatu yang menyentuh kalbu. Pernah saya melihat dalam satu prebiu rancangan realiti yang bakal ditayangkan bagaimana beberapa peserta menangis terisak-isak kerana tidak terpilih. Malahan satu ketika dulu pernah kita terbaca dalam akhbar bagaimana ibu bapa peserta rancangan realiti tv bertindak mahu menyaman sebuah syarikat tv kerana kononnya bersifat berat sebelah dalam membuat pengadilan pemilihan peserta. Itulah hakikat dunia kehidupan masyarakat kita hari ini, sanggup bersungguh-sungguh demi hiburan . Bukan itu sahaja, hari ini terdapat sebahagian ibu bapa berlumba-lumba mahu menjadikan anak-anak mereka penghibur. (Insyallah akan kita bincangkan nanti)

Malangnya air mata yang sepatutnya dialirkan untuk mengingati Allah, menyintai Rasulullah dan bermuhasabah akan segala kesalahan yang pernah dilakukan ditumpahkan pada tempat yang tidak sepatutnya . Lihatlah, betapa mudahnya air mata mengalir bila perasaan dibuai sayu melihat peserta pujaan dalam siri realiti tv disingkirkan. Air mata mudah berderai bila menonton drama-drama dan filem-filem yang memaparkan babak-babak tragis dan penuh kesedihan. Yang menangis tu bukan sahaja golongan remaja tapi termasuk juga golongan kakak-kakak dan makcik-makcik. Maka tertanya saya di dalam hati kecil ini, apakah sanggup mereka menangis seperti itu hanya kerana cintakan Islam? Sanggupkah mereka menangis apabila melihat Islam dihina? Pernahkah mereka menangis takutkan ALLAH kerana tertinggal solat-solat yang lalu? Atau apakah pernah mereka menitiskan air mata menangis apabila adik beradik atau anak-anak mereka tidak bangun untuk menunaikan solat fardhu subuh? Dan berapa ramaikah yang sanggup menangis bila Rasulullah dihinaoleh orang-orang kafir laknatullah? Tepuklah dada dan tanyalah iman.

Dari Ibnu Mas'ud Radhiallaahu anhu, Nabi Shalallaahu alaihi wasalam bersabda, maksudnya,
"Setiap mukmin yang menitiskan air mata kerana takut kepada Allah walau hanya sekecil kepala seekor lalat, lalu air matanya itu membasahi pipinya nescaya Allah haramkan neraka untuk disentuh"
(HR.Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ashbahni)


Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan manusia menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allah."
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Anak-anak remaja Islam perlu diberi kesedaran agar jangan dibiarkan agenda hiburan yang memenuhi setiap ruang dalam program-program di kaca televisyen kita hari ini terus melalaikan dan menghayutkan mereka jauh dari syariat agama Islam. Hari ini saya melihat ketaksuban anak-anak remaja Islam terhadap program-program realiti tv sudah sampai ke satu tahap yang membimbangkan. Malahan ada yang sudah ke tahap menjadi menjadi penyokong fanatik terhadap program-program sebegini. Lihatlah sahaja setiap kali diadakan konsert-konsert AF dan konsert-konsert program realiti TV yang lain pasti penuh sesak stadium atau auditorium. Siapa yang paling ramai memenuhi setiap ruang konsert ini? Sudah pasti anak-anak remaja Melayu yang beragama Islam. Malahan ada yang sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit demi menubuhkan fan club untuk artis pujaan mereka.

Melonggokkan hiburan yang melampau kepada golongan remaja Islam hari ini merupakan salah satu agenda halus puak-puak nasrani dan yahudi yang sememangnya ingin melemahkan keimanan anak-anak muda. Nampaknya peranan dan jarum yang dimasukkan mereka sudah mula membuahkan hasil. Anak-anak remaja Islam mula berkiblatkan hiburan dalam mencari keseronokkan hidup dan kepuasan diri. Semua pihak mestilah menyedari akan hakikat ini. Jangan hanya mahu menjadi penonton atau pak pacak sahaja tanpa rasa bersalah dan bertekad untuk menyekat fenomena ini.

Oleh itu anak-anak remaja perlu berhati hatilah apabila melayari kehidupan di dunia yang penuh fitnah hari ini. Mereka mungkin merupakan golongan yang sukakan hiburan tapi yang pastinya jangan biarkan hiburan terus melalaikan anda terutama dalam menjalani kewajiban sebagai seorang hamba kepada Allah yang Esa. Dan jangan biarkan diri anda terheret sama- sama menjadi salah seorang peyumbang ke arah mengalakkan kemaksiatan dalam dunia hiburan. Apa tidaknya, jika anda turut juga menjadi penyumbang saham ke neraka apabila terlibat membuat pengundian menerusi sms. Ayuh kita sama-sama renungkan.

Insyallah, kita jumpa lagi.
Read more...

Friday, April 9, 2010

Sesekali pandanglah ke bawah...



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
( An-Nisa : 36)


Kehidupan ini tidak dapat lari dari ujian dan dugaan Allah, cuma bagaimana bentuk ujiannya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Namun adakalanya dalam melayari kehidupan ini kita terkadang terlupa tujuan dan matlamat kehidupan kita di bumi Allah ini. Yang lebih membimbangkan lagi apabila kita terlupa untuk bersyukur atas setiap kurniaan nikmat dan rahmat dari Allah ke atas kita. Dan yang lebih teruk lagi apabila kita lalai dan melupakan terus untuk mensyukuri segala kenikmatan yang Allah beri kepada kita tanpa ada rasa bersalah.

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih".
(QS Ibrahim: 7)


Kisah yang akan paparkan ini benar-benar menyentuh hati hati saya dan semoga menjadi satu iktibar dan peringatan kepada kita semua samada kita sebagai ibu bapa, remaja, guru atau para pemimpin. Sesungguhnya dalam kehidupan di zaman teknologi yang serba canggih ini masih terdapar ramai insan-insan kerdil yang begitu daif dan memerlukan bantuan dan perhatian dari kita. Mereka –mereka ini tinggal hanya berjiran dengan kita namun adakalanya kita seperti tidak merasakan kehadiran dan kewujudan mereka. Mereka-mereka ini yang saya maksudkan ialah golongan fakir miskin yang wujud dalam kawasan atau kariah kita

Petang itu semasa mengunjungi pasaraya berhampiran, saya bertemu dengan sahabat saya seorang guru di sebuah sekolah rendah. Setelah berbual panjang, dia mengajak saya minum teh di warung bertentangan pasaraya tersebut. Kami menyambung perbualan kami yang kebanyakkan berkisar mengenai isu semasa terutama masalah para remaja hari ini.

“ Sekolah macam biasalah. Banyak kerja apatah lagi sekarang ni musim semua sekolah dok buat sukan. Cuma semalam kami baru tahu suatu cerita sedih dan menyentuh hati saya, ” rakan saya semangat bercerita apabila saya bertanya mengenai keadaan sekolah tempat dia mengajar.

“Ada dua adik beradik di sekolah saya yang selalu datang ke sekolah dan tak pernah bawa wang walau sesen pun. Yang adik, perempuan di tahun tiga, manakala si abang pula di tahun enam. Walau tak bawa sesenpun namun mereka selalu datang ke sekolah dan tak pernah ponteng.”

“Nak tahu kenapa?” tanya rakan saya yang sememangnya tidak memerlukan jawapan dari saya.

“ Mereka selalu datang ke sekolah kerana hanya pada hari persekolahanlah mereka akan dapat menikmati makanan percuma. Kedua mereka akan dapat menikmati makanan melalui Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Dan itulah merupakan satu-satunya hidangan yang mereka nikmati sepanjang hari tersebut. Ini bermakna mereka hanya makan sehari sekali! Bayangkan di saat anak-anak lain menikmati makanan yang enak-enak entah berapa kali sehari sedangkan mereka hanya berpeluang untuk makan sekali sehari dan ini dilalui mereka setiap hari. Mereka tidak pernah memberitahu guru-guru apatah lagi untuk meminta-minta. Cuma cerita ini dikongsi bersama-rakan-rakan mereka. Kisah penderitaan dua beradik ini hanya terbongkar apabila beberapa orang pelajar yang bersimpati dengan nasib mereka memberitahu Guru Penolong Kanan.”

“Sebenarnya kedua adik beradik ini menjadi mangsa keruntuhan rumahtangga. Ayah mereka berkahwin lain dan meninggalkan ibu dan mereka tanpa sebarang nafkah dan berita. Tinggallah si ibu dengan kedua-dua anaknya terkontang-kanting meneruskan kehidupan . Bertambah malang lagi, ibu kepada kedua pelajar ini merupakan seorang yang agak lurus bendul dan tidak berapa sihat fikirannya.”

“Dia orang makan sehari sekali sahaja?. Hari cuti macamana?” tanya saya penuh ingin tahu.

“ Memang kedua beradik tu makan sehari sekali saja. Pada waktu rehat mereka tengoklah pada kawan-kawan yang makan tak habis atau pada pelajar yang bersimpati kepada mereka. Si abang beritahu pada rakan-rakannya, pada waktu malam mereka akan tidur lebih awal kerana takut lapar semula. Hujung-hujung minggu kadang-kadang si abang membantu kerja-kerja di gerai. Tapi si abang tak ambil wang sebagai upah, sebaliknya minta dibungkuskan tiga bungkus nasi atau makanan untuk dibawa pulang. Ada kalanya ibu mereka masak juga makanan pada anak-anak tersayang, tapi yang dimasak hanyalah sayur-sayur dan pucuk-pucuk daun dikutip dari kawasan sekitar. Mereka masih menggunakan dapur kayu untuk memasak. Mana ada duit nak beli gas! Makanlah ketiga beranak tu sayur dan pucuk daun tanpa nasi,” cerita rakan saya penuh emosi. Saya melihat matanya mula berkaca.

“ Kita tengok diri kita hari ini, adik beradik kita, anak-anak kita bukan sahaja dilimpahi dengan makanan yang berlebihan malahan membazir tanpa rasa bersalah. Kadang kala makan tak ingat dunia. Sedangkan di luar sana masih ada orang yang nak makan sesuap nasi begitu susah dan payah sekali. Sebab apa Kerana kita jarang bersyukur atas segala nikmat yang Allah Ta’ala beri pada kita. Sebab kehidupan kita dah selesa dan anak-anak sekarang tidak merasa keperitan hidup seperti zaman kita dahulu”

Saya bersetuju dengan kata-kata rakan saya. Hari ini kita dilimpahi dengan kemewahan sehingga kita tidak pernah melihat ia sebagai satu nikmat dan rahmat Allah. Bila kita berjalan ke hadapan, kita jarang ingin menoleh atau melihat ke belakang. Kita terus mara dan mara. Begitu juga dengan kehidupan ini, kita hidup di dunia yang sementara ini, kita tak pernah berasa puas atau redha dengan nikmat yang Allah bagi. Ada saja benda yang tak kena dan tak cukup. . Contoh dalam hal berkenderaan. Cuba lihatlah pada diri kita sendiri ( saya melihat diri saya sendiri ) bila kita sudah punya kenderaan yang masih elok dan baik keadaannya , kita masih rasa tak puas hati. Kita sudah berura-ura hendak tukar dengan yang baru bila melihat rakan-rakan atau jiran-jiran membeli kereta baru. Malahan ada keluarga yang anak cuma seorang dua pun sibuk nak tukar ke kenderaan mewah yang lebih besar padahal itu bukannya lagi satu keperluan. Pada hal kereta yang ada masih berkeadaan baik . Bila ini berlaku nafsu sudah mengatasi keperluan.

Begitu juga dengan gaya hidup anak-anak remaja kita terutama yang hidup di kota (samada kota besar atau kecil). Anak-anak remaja kita hari ini hidup dalam serba kemewahan. Namun malang sekali kemewahan yang dimiliki oleh mereka adakalanya tidak digunakan dengan sebaik mungkin malahan telah mengabur mata dan pandangan mereka untuk melihat kesusahan dan keperitan orang lain. Apa tidaknya, lihatlah anak-anak remaja hari ini, kalau nak makan sahaja, kebanyakkannya mereka gemar menjamu selera di restoran-restoran makanan segera yang setiap hidangannya mencecah belasan dan puluhan ringgit, minum kopi pula di Starbuck atau Secret Recipe yang harga segelas kopi atau keknya mencecah hampir sepuluh atau belasan ringgit. Pernahkah mereka terfikir segelas kopi yang harganya mencecah sepuluh ringgit itu, bagi orang-orang fakir dan miskin, nilai tersebut boleh menampung perbelanjaan dua hari untuk mereka sekeluarga! Renunglah dan muhasabahlah diri kita agar kita sentiasa menjadi hamba Allah yang tahu bersyukur.

Sesekali melihat ke langit, pandanglah juga rumput di bumi. Di luar sana masih ramai yang memerlukan bantuan dan menggantung harapan kepada belas ihsan dari kita yang mampu. Kita sanggup menghabiskan puluhan ringgit membeli filem DVD untuk anak-anak kita tanpa ada perasaan kedekut atau sayangkan duit tapi untuk bersedekah sekurang-kurangnya seringgit untuk tabung mesjid atau pada fakir miskin kita berkira. Kita sanggup membeli telefon bimbit harga ribuan ringgit atau menambah nilai top up puluhan ringgit tapi hendak menghulur seringgit dua kepada anak-anak yatim memohon derma untuk madrasah atau sekolah agama kita begitu lokek dan bakhil. Malahan bila nak beripun banyak benda dan perkara yang dipersoalkan. Yang lebih malang lagi, kita sanggup membeli tiket wayang atau konsert dengan harga puluhan ringgit malahan ada konsert mencecah ratusan ringgit tanpa banyak soal tapi begitu lokek, kikir dan bakhilnya kita untuk menghulur derma membantu golongan fakir miskin , ibu tunggal dan anak-anak yatim yang benar-benar memerlukan. Maka di mana letaknya tanggungjawab kita sesame muslim. Di mana letaknya keikhlasan kita bila nak menghulur derma seringgit duapun bertanya soalan melebihi anggota polis?

“Dan janganlah orang-orang yang kikir (memberikan) dengan apa yang Allah mengurniakan kepadanya dari kelebihanNya mengira bahawa kekikiran itu baik bagi diri mereka. Tidak! Bahkan itu adalah buruk bagi mereka. Nanti harta yang mereka kikirkan itu akan digantungkan di leher mereka di Hari Kiamat.”
(Ali Imran :180)


“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(al-Israk: 26 – 27)


Bersabda Rasulullah S.A.W:
“Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia sekalian, dekat dengan syurga, tetapi jauh dari neraka. Manakala orang yang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia sekalian, jauh dari syurga, tetapi dekat dengan neraka. Orang jahil yang dermawan lebih dicintai oleh Allah daripada orang alim yang kikir. Ingatlah bahawasanya penyakit yang paling parah sekali ialah kikir.”


Semoga Allah membuka mata hati kita. Secebis cerita di atas merupakan antara ribuan cerita kehidupan masyarakat yang masih berlaku di sekeliling kita dan semoga ia menjadi satu cerita penuh keinsafan . Kita memohon agar Allah sentiasa mendorong kita menggunakan segala kenikmatan kurniaanNya pada tempat-tempat yang diredhai Allah serta menjauhkan dari sifat-sifat kikir, kedekut, sombong, takabur dan bermewah-mewah tidak pada jalan Allah.

Semoga jumpa lagi…Insyallah

Rujukan

Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 2001

Syaikh Muhammad Jamaluddin Al Qasimi. Imam Ghazali: Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 1999.

Read more...

Sunday, April 4, 2010

Remaja Kita Kian Rapuh



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

“Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf (yang baik-baik) dan melarang dari yang mungkar; dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(Al-Imran : 104)


Kesibukkan menjalankan tugas di luar menyebabkan saya tidak sempat memuatnaikkan sebarang artikel hampir dua minggu dalam laman blog . Di fikiran saya sentiasa terbayang –bayang untuk mengemaskinikan blog saya namun keterbatasan waktu ditambah dengan bebanan tugas yang perlu dibereskan semasa berada di luar menyebabkan dua minggu berlalu dengan sia-sia . Begitu cepatnya masa berlalu.
Minggu lepas saya diarahkan untuk menjalankan tugas di Pulau Langkawi yang penuh dengan pelbagai kisah lagenda. Sepanjang perjalanan saya menuju Kuala Perlis, saya membayangkan tentu jeti Kuala Perlis akan sunyi sepi kerana keadaan kemerosotan ekonomi yang melanda negara sejak tahun lalu. Namun sangkaan saya meleset, setiba saya di jeti Kuala Perlis, ramai orang sudah memenuhi ruang menunggu di dalam ruang berlepas. Betapa makmurnya negara kita dianugerah oleh ALLAH Ta’ala walaupun masalah kemelesetan ekonomi melanda negera. Namun berapa kerat yang bersyukur akan segala nikmat dan rahmat ALLAH ini?

“Assalamualaikum” lamunan saya tiba-tiba terhenti bila bahu saya dicuit dari belakang.

“‘Wa ‘alaikum Salam,” saya menjawab salam lalu menoleh ke belakang.

Rupanya sahabat saya, seorang pensyarah salah sebuah Institusi pendidikan yang sama-sama belajar dengan saya semasa di universiti dulu. Walaupun jarang berjumpa tapi kami selalu berhubung melalui telefon.

“Nak ke Langkawi juga ke?” tanya saya ringkas.

“Tak aku baru balik dari Langkawi, ni dok tunggu bas datang ambil. Rupanya bumi ALLAH ni tak sebesar mana. Dari jauh kita datang rupanya nak jumpa di sini juga. Kau baru nak pergi Langkawi ke?”

“Baru na pergi. Feri jam 1.30 petang. Ada 45 minit lagi. Kau ke langkawi seorang saja ka?” tanya saya.

“ Tak, aku bawa student untuk kursus motivasi. Tu yang terkinja-kinja tu student aku la,” balas sahabat saya sambil menudingkan jari ke arah sekumpulan remaja sedang bergurau dan bergelak ketawa tanpa mempedulikan orang di sekeliling.

“ Geram aku. Nak marah dah dewasa dan penuntut institusi pula. Tapi perangai macam bukan orang ada ilmu. Terhegeh-hegeh, bergurau lelaki perempuan tak peduli halal haram, mahram tak mahram. Yang perempuan tu tak rasa malu langsung. Dah la pakai tak berapa nak senonoh,” rungut sahabat saya.

“Tapi bukan semua,” saya cuba menenangkan hati sahabat saya.

“Memanglah bukan semua tapi kerana yang sebahagian tulah menyebabkan orang pandang semua student macam tu! Nak kata tak nasihat, dah berbuih mulut aku ingatkan mereka jaga tingkah laku sebelum datang dan sebelum balik kursus ni. Malahan semasa kursus kami dah cakap soal menjaga sikap dan hati sebagai orang yang berilmu semasa sesi LDK. Dalam tazkirahpun Ustaz dah tekankan soal moral yang perlu ada pada remaja Islam. Ustaz tekankan tentang betapa pentingnya remaja hari ini mempamerkan sikap dan peribadi sebagai seorang remaja Islam yang menurut syariat dan tuntutan Islam.”
“Kau tahu tak semasa dalam kursus pun tak ada langsung perubahan. Subuh yang pertama pada hari yang kedua semasa kursus dah boleh kita lihat sikap anak-anak muda kita hari ini. Dah masuk waktu subuh, seorangpun tak ada yang datang untuk jemaah subuh. Masyaallah, jenuh aku, rakan-rakan pensyarah lain serta ustaz pergi ke khemah. Kau tahu apa yang terjadi. Baik khemah lelaki mahupun khemah perempuan semuanya masih tidur. Yang bangun tiga empat orang pelajar perempuan sibuk memasak sarapan seolah-olah tak mempeduli masuknya waktu subuh. Bila ditanya mengapa tak kejut rakan-rakan. Jawapannya mereka dah kejut tapi tak ada siapa yang bangun. Berderau darah aku, pagi tu ustazpun aku tengok merah biji mata menahan sabar.” balas sahabat saya lagi.
“Nak kata bodoh dan bebal tapi belajar sampai peringkat ijazah. Kepala hotak kebanyakkan remaja kita hari ini pada fikiran aku telah banyak diresapi dengan budaya hendonisme. Kau tengok hiburan hari ini dilambakkan kepada remaja kita dengan banyaknya. Akhirnya bab mengenai hiburan atau hal-hal keduniaan akan dikerjakan dengan bersungguh-sungguh . Tapi hal-hal berkaiatan keagamaan nampak sangat mereka lakukan kerana terpaksa ataupun sambil lewa sahaja. Sebenarnya ini merupakan satu masalah dan ancaman besar kepada Negara kerana mereka-mereka nil ah yang akan jadi pemimpin. Tapi berapa kerat orang yang sedar! ”

Belum sempat sahabat saya menyambung kata-katanya, telefon bimbitnya berbunyi.

“Student aku call beritahu yang bas a dah sampai. Aku pergi dulu nanti aku call boleh kita sembang lagi’” sahabat saya bingkas bangun bersalam dan berpelukan lalu meninggalkan saya.

Saya merenung kembali cerita kawan saya sebentar tadi. Memang banyak kebenarannya. Walaupun bukan semua remaja bersikap demikian tapi penyakit remaja seperti yang digambarkan oleh rakan saya semakin hari semakin menjadi kudis yang merebak. Kebimbangan perlu ada pada diri orang-orang awam seperti saya yang cinta dan rindukan sesama syiar Islam, pada diri para ibu bapa, dalam perjuangan ahli-ahli politik ( jangan asyik bertekak sendiri kerana laparkan jawatan di dunia sahaja) dan pertubuhan NGO.

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat dzarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”
(Az-Zalzalah :7-8
)

Anak-anak remaja kita hari ini suka meniru atau mencontohi sesuatu yang dilihat apatah lagi jika sesuatu itu pelik atau luar dari abad budaya semasa. Malangnya apa yang mereka tiru atau contohi kadang kala diikut secara membabi buta tanpa ada ilmu. Jika yang ditiru itu bersifat kemungkaran, maka dia akan menyebarkan kemungkaran tersebut di kalangan rakan-rakan dan ahli-ahli kumpulannya. Kalau dahulu kita nak melihat remaja Islam perempuan memakai baju-baju singkat menampakkan pusat atau berseluar ketat menampakkan seluar dalam mereka atau yang lebih memalukan sebahagian punggung (maaf saya terpaksa menulis perkataan yang kurang enak) mereka terlalu sukar. Kalau adapun cuma beberapa kerat sahaja. Tapi hari ini pergilah ke mana sahaja samada pusat membeli belah atau kawasan-kawasan kunjungan orang ramai pasti akan ternampak bagaimana pakaian remaja Islam kita. Itu baru dilihat dari segi cara berpakaian, belum lagi dilihat dari segi tutur kata, adab pergaulan dan pegangan hidup. Masyallah tabarakallah…..saya selalu bayangkan bagaimana nanti kehidupan anak-anak remaja Islam dalam masa 10 atau 20 tahun mendatang.
Hal ini perlu ditangani bersama. Ia merupakan satu agenda yang penting kepada negara kerana anak-anak remaja merupakan asset negara yang berharga. Jika kita terus membiarkan mereka hanyut dibuai oleh kepincangan, maka kita nanti akan dipersoalkan di hadapan ALLAH kerana lalai dalam menjalankan tanggungjawab kita samada sebagai pemimpin kecil mahupun pemimpin besar.

“Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolog-tolong membuat dosa dan aniaya…”
(Al-Maidah :2)


Sabda Rasulullah S.A.W :
“Sesiapa berusaha menolong keperluan saudaranya hingga terpenuhi atau tidak terpenuhi, maka Allah mengampuni dosanya yang terdahulu dan kemudian serta menulis untuknya dua keselamatan: Selamat dari neraka selamat dari kemunafikan.”


Bila saya menulis ini, saya dengan rendah hati mengingatkan diri saya sendiri akan tanggungjawab ini. Semua pihak terutama para remaja perlu merenung dan bermuhasabah agar hala tuju kita menjadi jelas dan bermakna mengapa kita ditakdirkan ALLAH hidup di muka bumi ini dank e arah mana akhirnya nanti perjalanan kita. Janganlah kita terus membiarkan budaya hendonisme mewarnai corak pemikiran remaja hari ini sehingga mereka melupakan terus tanggungjawab mereka sebagai hamba ALLAH. Jika soal sembahyang dipandang enteng apatah lagi membabitkan persoalan yang lain. ISLAM secara total dalam kehidupan dilihat sebagai cara penyelesaian yang paling mutlak. Memanglah untuk mengubah pemikiran remaja secara drastik adalah sesuatu yangmustahil (kecuali dengan izin dan kekuasaan ALLAH). Perancangan dan anjakan paradigma kotak pemikiran anak-anak remaja perlu dibuat secra beransur-ansur. Bagaimana caranya, maka sama-samalah kita fikirkan.

Insyaallah...kita jumpa lagi.
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company