Tuesday, August 31, 2010

Merdekakah Kita ?



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Adakah engkau lihat hawa orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhannya dan Allah menyesatkan dia kerana mengetahui (kejahatan hatinya) dan menutup pendengaran dan mat ahatinya serta mengadakan penutupan terhadap pendengarannya. Maka siapakah yang akan menunjukinya sesudah Allah, tidakkah kamu menerima peringatan?” (Al-Jaatsiah :23)

“Wahai orang-orang yang beriman ! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan (merosakkan ) amal-amal kamu ”. (Surah Muhammad: 33)

Daripada Abu Muhammad Abdullah ibn 'Amru ibn al-'Aas r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Rasulullah
SAW telah bersabda:
Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehinggalah hawa nafsunya tunduk menuruti ajaran yang aku bawa.


Pada tahun ini sudah masuk kali kedua negara kita menyambut kemerdekaan dalam bulan mulia Ramadhan al Mubarak. Majlis sambutan pun dibuat secara sederhana. Alahamdulillah, maka secara tidak langsung akan berkurangan majlis keraian bersifat maksiat dan laqo’ seperti konsert, parti dan sebagainya sempena menyambut kedatangan 31 Ogos. Inilah satu hikmah dan rahmat dari Allah Ta’ala.

Istilah Merdeka kalau diterjemah balam bahasa yang mudah membawa makna bebas. Sebuah negara itu dianggap merdeka jika ia bebas dari cengkaman penjajah. Seorang hamba menjadi merdeka bila ia dibebaskan oleh tuannya. Seorang anak remaja ia menganggap dirinya merdeka bila bebas dari konkongan ibu bapa. Seorang pelajar merasai jiwa merdeka bila ia bebas dari alam persekolahan.

Namun apakah semua kebebasan ini boleh kita anggap sebagai merdeka secara menyeluruh? Jawapannya tentulah tidak. Apalah erti kemerdekaan sesebuah negara jika minda, jiwa dan hati kebanyakkan rakyatnya masih dijajah oleh hasad dengki dan persengketaan. Apalah erti kemerdekaan jika budaya, gaya hidup dan pemikiran sekular, hedonism, liberal mewarnai kehidupan kita. Tidak akan bermakna sebuah kemerdekaan jika sikap, gerak laku, fahaman dan gaya hidup anak-anak remaja kita bekiblat ke barat yang penuh kerosakkan dan keruntuhan akhlak. Sebagai bangsa Malaysia yang merdeka, jiwa kita, diri kita, keluarga dan masyarakat kita perlu bebas daripada mengagungkan pemikiran penjajah, bebas daripada amalan penjajah dan bebas daripada idealisme dan undang-undang penjajah.

Istilah merdeka yang sebenar ialah apabila manusia berlumba-lumba mencari redha Allah. Kemerdekaan yang sebenar apabila kita bebas dari cengkaman hawa nafsu dan bisikan syaitan laknatullah. Merdeka yang sebenar, jika kita berjaya menjadi hamba Allah yang sebenar di dunia untuk mendapat ganjaran di akhirat. Sebahagian ulama mengatakan, ” Barangsiapa telah dikuasai oleh nafsunya, maka dia akan menjadi hamba syahwatnya. Ia merengkuk dalam penjara kegilaannya. Dan hatinya semakin lali. Barangsiapa menyirami bumi tubuh ini dengan syahwat, beerti dia telah menanam pohon penyesalan dalam hatinya.

Merdeka yang sebenar ialah apabila kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan berupaya bebas daripada kemaksiatan, keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Kedatangan Islam itu sendiri sejak Nabi Adam hinggalah kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W membawa mesej kemerdekaan kepada ummah daripada terus menjadi perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan. Sesuatu bangsa itu dianggap merdeka dan berjaya jika mereka dapat membebaskan diri dari belenggu keruntuhan akhlak.

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"

Rub’I bin A’mir pernah menjelaskan ketika bertemu panglima tentera Rum yang bernama Rustum tentang hakikat Kemerdekaan dengan katanya yang bermaksud:
”Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Saya selalu berharap agar Allah Ta’ala akan membuka dan memerdekakan hati dan jiwa ini dari segala nafsu dan kemaksiatan. Ayuh mari kita sama-sama berazam memerdekakan diri kita dengan kemerdekaan yang sebenar agar sentiasa mendapat redha dan rahmat Allah.

Selamat Hari Merdeka dan mudah-mudahan Allah membuka pintu hati setiap umat Islam menjauhi persengketaan dan permusuhan sesama saudara Islam terutama di bumi Malaysia Negara tercinta ini.
Read more...

Monday, August 30, 2010

Malaysia-Indonesia: Kita Bukan Sahaja Serumpun..


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

…Dan para malaikat masuk kepada tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkan); keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
(Ar-Ra’d:23-24)

Rasulullah SAW yang bersumber dari Anas bin Malik r.a:
“Setiap orang di antara kamu sekalian melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang
melakukan kesalahan adalah yang bertaubat.”
(HR. Ahmad)


“Bahwa Rasulullah saw ketika menyaksikan bulan sabit -memasuki bulan ramadhan- berkata: “Marhaban bil Muthohhir”, (selamat datang bulan pembersih), dan beliau mengulang ungkapat tersebut sebanyak tiga kali. Ketika itu para sahabat bertanya: Siapa yang engkau maksud dengan bulan pembersih itu ya Rasulullah…? Lalu Rasul menjawab: “Bulan pembersih itu adalah bulan Ramadhan, Dia ( Ramadhan ) mampu membersihkan diri dari segala bentuk dosa – dosa dan maksiat”.

Seminggu dua ini kisah mengenai kemarahan rakyat Indonesia kepada Malaysia sering kita baca dan dengar melalui media massa dan elektronik. Saya membaca mengenai berita ini bukan sahaja dari kaca mata media Malaysia tetapi juga menerusi media Indonesia melalui akhbar online mereka. Ternyata beberapa keratan berita yang dipaparkan begitu ngeri untuk dibaca kerana isinya penuh dengan api kemarahan dan kebencian. Tidaka seperti berita dalam akhbar-akhbar di Malaysia yang ternyata memuatkan berita ini secara sederhana.

Amat malang sekali dalam suasana umat Islam sudah memasuki fasa kedua Ramadhan al Mubarak yang menjanjikan keampunan (maghfirah) masih ada sebilangan kecil manusia yang meyuburkan diri dan jiwa mereka dengan kebencian. Episod malang ini mencapai kemuncaknya apabila sebilangan kecil rakyat Indon yang mengelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia(Bendera) membuat demostrasi dan memijak bendera Malaysia serta melempar najis ke arah Kedutaan Malaysia. Dalam suasana manusia berlumba-lumba mencari redha dan keampunan Allah di bulan Ramadhan, ternyata kita mengeruhkan kemuliaan Ramadhan dengan bermusuhan sesama Islam (saya beranggapan sebahagian besar penunjuk perasaan tersebut beragama Islam). Apakah kita layak dianggap sebagai hamba Allah yang mendambakan syurganya pada hal dari segi sikap dan perbuatan kita mengundang kemurkaan Allah.

Sepatutnya bulan Ramadhan ini merupakan madrasah yang boleh membimbing jiwa dan hati kita kepada nilai-nilai kesabaran. Biar di mana kita, sama ada di Indonesia, di Malaysia mahupun jauh di Khutub Utara selagi kita berpegang dan berpaksikan Allah sebagai Rabb dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul Allah kita adalah bersaudara. Perlukah kita membakar api sengketa sesama semuslim sedangkan di luar sana musuh-musuh Islam bertepuk dan tersenyum kerana kejahilan dan kebodohan kita.

“Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa” (QS. Al-Baqarah: 177)

Masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah menaruh dendam kepada saudara seIslam mereka di mana sahaja terutama saudara serumpun mereka, Indonesia. Bila berlaku gempa bumi, tsunami atau apa sahaja mala petaka menimpa saudara mereka di Indonesia, Malaysialah Negara yang awal menghantar bantuan kemanusiaan. Rakyat Malaysia bersusah payah menubuhkan tabung bantuan kemanusiaan untuk membantu saudara mereka di Indonesia. Malahan bila berita-berita seperti tindakan cuba mengharamkan Youtube sempena bulan Ramadhan, Acheh mengenakan pemerintahan secara Islamik dan pelbagai berita yang berkaitan dengan syiar Islam, pasti saudara Islam di Malaysia berasa bangga dan menjadikannya bahan perbualan. Semuanya atas semangat dan dasar persaudaraan se Islam.

Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman - (Surah al-Anfal: 1).

Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertengkar itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al Hujurat:10)


Kita berharap agar peristiwa ini tidak akan berulang. Berfikirlah dengan hati yang waras. Terjemahkan semangat perjuangan yang anda tunjukkan itu bukan pada negara yang majoriti rakyatnya seagama dengan kita tapi terjemahkan semangat juang anda untuk menentang musuh-musuh Allah yang berada di mana-mana. Kita bukan sahaja serumpun tapi lebih hebat lagi kita adalah saudara seIslam. Kita menyembah Allah yang Esa . Perlukah kita bersifat seperti orang tidak bertamadun dan hidup di zaman jahiliyyah. Jawapan itu hanya ada dalam diri kita sendiri. Tepuk dada dan tanyalah iman.Kemaafan dan kesabaran adalah ubat yang paling mujarab bagi seorang Islam.

Semoga Allah sentiasa memberi keampunan kepada kita dan kita berdoa agar dapat ketemu dengan Llailatul Qadar dalam fasa-fasa terakhir Ramadhan al Mubarak ini.
Read more...

Sunday, August 22, 2010

Madrasah tarbiah fi Ramadhan : Mendidik jiwa dan nafsu



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (Ali Imran :133)

" Barang sesiapa yang yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” (Sahih Bukhari dan Muslim)


Malam tadi. kelopak mata terlalu berat untuk diangkat. Bertarawih dalam keadaan yang mengantuk benar-benar menguji diri ini. Apa tidaknya, kadang kala diri hilang bersama bacaan imam. Melayang entah ke mana.

Lepas tarawih, saya cuba ingatkan kembali apa yang menyebabkan kelopak mata ini terlalu berat semasa bertarawih. Mana tidak mengantuk, petang tadi berbuka agar over dari seperti biasa. Makannya tetap macam biasa tapi minumnya yang lebih. Cuaca yang agak panas menyebabkan bergelas-gelas air ditogok untuk menghilangkan dahaga. Minum pula air ais (air batu) memang nikmat betul waktu berbuka. Kenyang kerana penuh dengan air bukannya makanan.

Masyaallah..tabarakalah, rupanya saya tewas dalam perjuangan melawan nafsu semasa berbuka. Saya berdoa agar Allah Ta’ala sentiasa memberi kekuatan diri untuk terus beribadah sesempurna yang mampu. Dan berharap agar Allah mengampunkan dosa-dosa dan kesilapan saya kerana kegagalan mengawal kekangan nafsu. Sebenarnya Ramadhan merupakan bulan pendidikan yang mampu mentarbiah manusia untuk melakukan perubahan dalam diri dan seterusnya menjadi amalan yang berterusan.

Dari Miqdam bin Ma'di Karib berkata, Aku mendengar Rasulullah bersabda,
: Janganlah manusia memenuhi sebuah tempat yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi manusia beberapa suapan (tiga sampai sembilan), untuk menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak berupaya, maka sepertiga untuk makan, sepertiga untuk minum dan sepertiga untuk bernafas. (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Al-Hakim, shahih)

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
(Al-A’raf:31)


Kehebatan Ramadhan hingga para ulama mengelarkannya Madrasah tarbiah fi Ramadhan atau dalam bahasa mudahnya ia bagaikan satu sesi persekolah mendidik jiwa , hati, nafsu dan perasaan agar menjadi manusia yang sebenar-benar taqwa. Bulan Ramadhan kedatangannya amat ditunggu-tunggu oleh sekelian umat Islam . Ditunggu oleh semua orang Islam mukmin yang ingin mengejar segala ganjaran dan keistimewaannya di dalamnya. Dan kita perlu menangisi pemergiannya kerana takut tidak dapat menempuhinya pada tahun akan datang.

Perintah berpuasa menanamkan banyak nilai ke dalam diri setiap muslim. Menahan diri dari makan, minum dan segala hal yang membatalkan puasa bertujuan untuk membiasakan seseorang mengawal nafsu. Sahur dan berbuka adalah cerminan disiplin asas bagi manusia berpuasa . Rasa lapar dan dahaga adalah sebagai empati (bukan sekadar simpati) kita kepada golongan manusia fakir dan miskin yang selama ini hidup dalam kesusahan dan penderitaan sepanjang hidup mereka. Ini hebatnya Islam, memberi tarbiah dan pendidikan bukannya sekadar dalam bentuk teori tetapi dalam bentuk praktikal. Maka gelaran sebagai Madrasah tarbiah fi Ramadhan adalah begitu tepat sekali.

Namun bagaimana kita boleh memanfaatkan kelebihan bulan Ramadhan dalam membentuk diri kita, hanya Allah dan kita sahaja yang tahu dan dapat mengukurnya. Kita tidak mahu Ramadhan datang dan pergi namun iman dan ketakwaan kita masih seperti dulu. Tidak ada perubahan diri.

Semua orang tahu, Ramadhan itu dipermulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan dipenghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka merupakan kurniaan Allah SWT kepada hambaNya untuk direbut. Ramadhan juga sebenarnya masa yang amat sesuai untuk mendidik jiwa seorang hamba dan seterusnya melahirkan sifat ketakwaan yang tinggi sehingga memperolehi syurga yang amat dirindui. Jika kita tidak merebut peluang keemasan ini adalah sesuatu yang merugikan.

Namun bagaimana kita boleh memanfaatkan kelebihan bulan Ramadhan dalam membentuk diri kita, hanya Allah dan kita sahaja yang tahu dan dapat mengukurnya. Kita tidak mahu Ramadhan datang dan pergi namun iman dan ketakwaan kita masih seperti dulu. Tidak ada perubahan diri. Kalau dalam bab mengawal nafsu makan dan minumpun saya tewas (atau dalam bahasa utaranya ceroi) bagaimana mungkin saya mengawal dan mengekang hal-hal lebih besar lagi . Hanya kekuatan spiritual dan istiqamah berterusan dalam beribadah mampu membentengi diri saya yang lemah ini. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan saya dan semua umat Islam kekuatan ini .

Rujukan

Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 2001

Syaikh Muhammad Jamaluddin Al Qasimi. Imam Ghazali: Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 1999

Ustaz Ismail Syafiee Al Bakabi. Ihya' Ramadhan. 2008 Penerbitan Al Bakabi, Sg Bakap.)P.Pinang
Read more...

Sunday, August 15, 2010

Solat Tarawih: Antara Lapan dan Dua Puluh....



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[Al Baqarah :183]


Dari Sahal bin Sa’ad r.a, katanya Rasulullah S.A.w bersabda:
“Sesungguhnya disurga itu ada pintu yg bernama Arrayyan. Melalui pintu inilah orang-orang yg berpuasa masu k pada hari kiamat. Selain mereka tak ada yg masuk melalui pintu itu. Saat itu ada yg menyeru “Mana orang-orang yg rajin berpuasa?” maka mereka berdiri dan hanya mereka yg memasuki melalui pintu itu. Setelah mereka masuk ditutuplah pintu tersebut dan tak ada lagi yg masuk melaluinya selain mereka.”
(Shahih Muslim; Jilid III)


Allahamdulillah, kita panjatkan sebanyak-banyak syukur kehadrat Allah Ta’ala kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus menghirup udara di atas bumi ini. Sedar tak sedar sudah masuk hari kelima kita berpuasa. Ruh dan semangat puasa masih begitu kental dan moga-moga akan berterusan dan sekaligus dapat membentuk peribadi kita menjadi insan hebat di sisi Allah Ta’ala.

Sebaik kaki melangkah memasuki ruang masjid, hati rasa terharu dan meremang bulu roma bila melihat begitu ramai jemaah memenuhi setiap ruang mesjid biarpun sudah masuk puasa hari keempat . Pastinya suasana yang sama di mesjid dan surau di tempat lain, bisik hati saya. Bila bermulanya solat isya’, safnya melimpahi hingga ke belakang sampai ke balai lintang. Suasana yang sama berlaku bila solat sunat tarawaih bermula.

Selesai solat sunat tarawih, saya memandu pulang bersama dengan anak saudara saya yang hampr sebaya dengan saya. Hujan yang lebat pada waktu solat tarawih tadi sudah mula reda.

“Perasan tak apa yang berlaku masa solat tarawih tadi?” tanya anak saudara saya memecah kebuntuan sebaik saya memandu.
“Hmm…jemaah ramai sampai penuh mesjid,”jawab saya.
‘Memanglah penuh…tapi habis rakaat kelapan, cerah…..tinggal tiga saf saja!” rungut rakan saya. Saya cuma diam.

“Tunggulah sampai dua puluh rakaat. Tak kan setahun sekali pun tak boleh tunggu.”

“ Ok apa…sekurang-kurang dia orang ada kekuatan untuk melangkah datang ke mesjid. Soal lapan atau dua puluh tidak menjadi masalah, itu terpulang pada hati, kekuatan jiwa dan iman masing-masing. Kalau mereka rasa inilah waktunya untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah, bukan setakat tunggu samapai dua puluh rekaat tapi mereka akan buat lebih dari itu.” , saya memberi pendapat.

“Iyalah…tapi nampak sangat lemahnya kekuatan orang kita!”

“Memanglah nampak kelemahannya tetapi sekurang-kurangnya mereka telah melakukan satu permulaan yang baik. Harap-harap kekuatan yang ada pada mereka untuk berjemaah di mesjid akan berterusan sampailah habis Ramadhan. Kita berdoalah agar Allah bukan sahaja beri pada mereka tapi juga pada kita, kekuatan untuk istiqamah dalam melakukan ibadah. Membuka hati-hati kita agar terus dapat berjemaah di mesjid atau surau walaupun selepas Ramadhan pergi meninggalkan kita.”

“Bagi saya yang perlu kita risau sekarang, bukannya yang buat lapan atau dua puluh.tapi yang perlu ada kerisauan dalam hati kita ialah mereka-mereka yang tak buat langsung ataupun yang tak pernah nak jejak kaki ke mesjid. Mereka ni yang perlu kita risau.”,sambung saya.
“ Masyarakat Kita hari ini selalu berselisih pendapat bab-bab furu’ atau cabang. Bertengkar, bermasam muka dan berrpecah belah hanya kerana bab-bab cabang tapi benda yang menjadi kewajiban kita tinggalkan atau abaikan. Perpaduan, bersatu dan berbaik sesama saudara semuslim kita itu mesti diutamakan. Betulkan semula saf-saf yang bengkok dan lompong. Itu yang perlu kita fikirkan!”

“Dilaporkan (kepada Allah) semua perbuatan orang pada setiap Hari Khamis dan Isnin (dalam seminggu), lalu Allah ‘Azza Wa Jalla mengampuninya pada hari itu (juga) kepada setiap orang yang tidak syirik (menyengekutukan) sesuatu denganNya, kecuali siapa saja yang terjadi antara dia dan saudaranya (se-iman) sengketa permusuhan; iaitu Allah katakan untuknya: Tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua-dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berbaikan, tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua-dua (orang yang bersengketa ini, sehingga mereka berdua berbaikan”.
[Hadis Sahih Riwayat Muslim]


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.
(Ali Imran: 104 -105)


Dalam perjalanan pulang kami terpaksa melalui sebuah astaka menjamu selera dan di sebelahnya gelanggang futsal. Jalan sesak dan menjadi sempit kerana kereta dan motosikal di letak di pinggir jalan. Sempat saya dan anak saudara saya menjengah (melihat selayang pandang). Ramai anak-anak muda sedang menjamu selera sambil menghisap shisha. Gelanggang futsalpun penuh, maklumlah malam minggu. Hampir kesemua pengunjung astaka dan futsal tu adalah anak-anak remaja Islam.

“Agak-agak dia orang tu pi tarawih tak?” Tanya anak saudara saya.
“Entah…….Wallahualam,” jawab saya sambil memandang wajahnya.

Moga Allah mendorong dan membuka pintu hati kita untuk terus menjadi antara hamba-hambaNYA yang tahu bersyukur
Read more...

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

Allah Ta'ala berfirman : "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Jika sekiranya dikelamkan kepada kamu (berlaku cuaca buruk) maka sempurnakanlah bulan Syaaban itu 30 hari."

Ramadhan datang dan pergi. Sedar tak sedar kini Ramadhan akan muncul tidak berapa detik lagi. Kita yang masih diberi nafas dan kesempatan oleh Allah Taala, haruslah berbanyak memanjatkan syukur di atas anugerah Allah ini. Berdoalah kita agar kita dipanjangkan usia oleh Allah agar dapat bertemu dengan Ramadhan yang mendatang. Walaupunj Ramadhan sudah begitu menghampiri kita, namun ketentuan ajal bakal boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja, setiap detik dan ketika.

Lihat, hitung dan renunglah berapa ramai saudara mara, rakan taulan kita yang sudah pergi meninggalkan kita. Sedangkan Ramadhan yang lalu kita masih sempat bergurau senda dan bertegur sapa dengan mereka. Kini Ramadhan datang tanpa mereka yang sudah pergi mengadap Allah yang Esa.. Saya sendiri kehilangan dua ayah saudara dan seorang ibu saudara. Inilah ketentuannya, janganlah kita sombong dan angkuh hidup di dunia. Sampai masanya bila kita dijemput mengadap Allah, maka segala apa di dunia sudah tidak berguna lagi.

Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk kita melakukan anjakan paradigma ke arah perubahan diri. Ramadhanlah waktu terbaik untuk kita bertekad menjadi hamba Allah yang sebenar-benar bertakwa. Ramadhanlah waktu yang terbaik untuk kita muhasabah diri tentang sepanjang perjalanan hidup kita. Walaupun kesemua perkara boleh kita lakukan sepanjang masa, namun roh dan keberkatan Ramadhan bias menjelmakan sesuatu dalam diri kita.

Pada saat bulan Ramadhan inilah kita dapat melihat surau-surau dan masjid-masjid dilimpahi oleh para jemaah pada waktu Isya’ dan seterusnya menunaikan Solat Tarawih. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita mendekatkan diri dengan rumah Allah. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita beribadah di rumah Allah.
Janganlah pula, suasana ini hanya menjelma setiap kali bulan Ramadhan sahaja . Ia bagaikan suatu ibadah bermusim. Biarpun ramai tok guru, ustaz atau orang ramai sering memperkatakan bahawa masyarakat kita ini sememangnya beribadah mengikut musim. Awal Ramadhan penuh, pertengahan Ramadhan semakin berkurangan dan akhirnya selepas Ramadhan- wal hasil balik asal. Yang tinggal hanya jemaah yang dulu juga. Inilah cabarannya. Berdoalah agar kita terus diberi kekuatan dan hidayah untuk beribadah berpanjangan pada Allah. Dan berdoalah agar kita bukanlah dari golongan yang melakukan ibadah bermusim.

Alasan sibuk bukan sesuatu yang boleh diterima. Kalau di bulan Ramadhan boleh pula kita menjengah surau atau mesjid untuk berjemaah Isya’ dan bertarawih, mengapa tidak selepas Ramadhan. Pucuk pangkalnya ialah hati. Jika hati menyematkan azam akan terus berjemaah walaupun selepas Ramadhan, maka Insyallah Allah akan sentiasa memberi hidayah dan membuka pintu hati kita ke arah tujuan tersebut. Jika selepas Ramadhan kita memberi alasan sibuk, ternyata hati kita telah tewas kepada tuntutan nafsu dan bisikan syaitan laknatullah. Maka Ramadhan yang kita lalui tidak dapat menjadi benteng melindungi hati dan jiwa kita.

Sama-sama kita memanjatkan doa agar kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah Ta’ala.
Read more...

Thursday, August 5, 2010

Perniagaan 3K yang Menguntungkan



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”
( As-Saff : 10.)


“(Iaitu) Kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (As-Saff : 11).

Sudah terang lagi bersuluh. Kedua-dua ayat di atas nyata membuka rahsia tentang satu perniagaan yang paling menguntungkan untuk kita melibatkan diri dan mendaftar menjadi ahlinya. Ianya bukan sistem MLM, bukan Skim Cepat Kaya, bukannya Skim Piramid, bukan direct selling tapi ianya merupakan peluang untuk kita sama-sama melabur dalam SAA iaitu Skim Amanah Akhirat.

Namun hari ini berapa ramai yang yakin kepada skim perniagaan yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Hari ini berapa ramai yang mengakui kecintaan kepada Allah tapi pada masa yang sama membelakangi segala hukum-hukum Allah, meninggalkan suruhan Allah dan lebih malang lagi sanggup menderhakai Allah SWT. Kalau anda tidak percaya, perhatilah contoh yang mudah; ketika azan berkemundang masuknyan waktu solat, berapa ramaikah yang bergegas menuju ke mesjid atau surau untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

Kalau pada Allahpun kita derhaka, apatah lagi untuk mencintai Rasulullah S.A.W. Akhirnya kita melihat betapa lemahnya masyarakat Islam kita hari ini, membisu (kalau berdemostrasi pun sekadar hangat-hangat tahi ayam) bila Islam dan Rasulullah dihina dan diperkotak-katikkan. Lebih malang lagi jika ada di kalangan masyarakat Islam kita yang tidak tersentuh hati mereka walau sedikitpun bila Islam dan Rasulullah diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam. Memang selayaknya manusia dari golongan ini tidak diakui oleh Rasulullah S.A.W sebagai umat baginda di akhirat kelak.

"Tak seorang pun di antara kalian memiliki iman sampai ia mencintaiku melebihi cintanya pada ayahnya, anak-anaknya, dan seluruh manusia." [Sahih Bukhari, diriwayatkan dari Anas ].

Lihatlah,apakah ganjaran yang Allah tawarkan kepada hambanya jika melabur dalam perniagaan ini.

“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.” ( As-Saff : 12.)

Namun sebahagian masyarakat Islam hari dibutakan mata dan hati mereka kerana telah diserang oleh penyakit cintakan dunia. Mereka mengejar dunia seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya. Akhirnya sebahagian daripada masyarakat kita meletakkan urusan dunia mendahului dan melebihi kecintaan kepada Allah, Rasul dan agama.

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayat.
(Al-Baqarah:16)


Golongan manusia seperti ini menolak perniagaan yang ditawarkan oleh Allah kerana mereka mahukan sesuatu keuntungan yang dapat digapai dan diperolehi serta merta dan segera. Masyallah…Tabarakallah. Bagi golongan mungkar seperti ini, hanya ada perniagaan 3K yang pasti memberi kekayaan dan kepuasan bukan sahaja pada si peniaga malahan juga pada si pembeli.

Perniagaan K yang pertama ialah menjual keseronokkan. Hari ini berapa ramai yang menjual keseronokkan kerana percaya pelanggannya tetap ramai. Membuka pusat hiburan, karaoke, urutan dan spa adalah sebahagian daripada perniagaan yang memberi perkhidmatan keseronokkan. Begitu juga dengan mengadakan pesta dan konsert-konsert hiburan yang melalaikan,pasti mendapat sambutan . Menjemput artis-artis terutama dari barat yang memang ternyata sudah rosak dan runtuh akhlaknya sebagai juadah hiburan anak-anak remaja kita. Sanggup membayar harta tiket yang mencecah harga ratusan ringgit hanya kerana inginkan keseronokkan yang ternyata penuh kerugian dan melalaikan. Contoh di atas sekadar menyebut beberapa jenis perniagaan keseronokkan yang ditawarkan kepada manusia.

Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
(Ali Imran:185)


Perniagaan K yang kedua ialah Khayalan. Manusia mengaut keuntungan yang berlipat ganda hanya dengan menjual khayalan. Dari perniagaan besar-besar menjalankan perniagaan dadah hinggalah sekecil-kecil perniagaan menjual air daun ketum, semuanya tak lain hanyalah bertujuan menjual khayalan kepada manusia yang sudah hilang pegangan agamanya. Ia merupakan perniagaan yang menguntungkan, kalau tidak masakan sanggup mereka mempergadaikan nyawa semata-mata untuk menjalankan perniagaan sebegitu. Begitu juga dengan premis-premis arak yang semakin hari semakin bertambah bilangannya. Pelanggannya bukan sahaja bukan Islam tetapi melibatkan orang Islam. Pernah suatu ketika ketika bermesyuarat di sebuah hotel di Bukit Bintang, saya berkesempatan melihat sendiri suasana Bintang Walk di waktu malam. Masyallah…Tabarakalah, malamnya macam siang. Terserempak saya dengan sekumpulan anak muda sedang khayal dengan minuman keras di luar sebuah premis pusat hiburan terkenal.

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Al Maidah : 90)


Perniagaan K yang ketiga ialah kemegahan. Manusia hari ini mengejar status dan kedudukan. Kemegahan sudah menjadi priority jika mahu dipandang sebagai orang yang punya status. Akhirnya munculnya perniagaan yang menjual kemegahan pada orang yang mengejarnya. Contohnya, Kereta Volkswegan yang suatu ketika dulu tak berapa ribu nilainya, kini dikeluarkan semula tapi pada harga yang mencecah ratusan ribu. Yang mengejar kemegahan, harga tidak menjadi masalah. Hari manusia sanggup membeli seekor ikan yang harganya mencecah ribuan ringgit. Berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit. Bermegah dengan jumlah siapa yang paling banyak menunaikan haji dan umrah. Semuanya ini untuk apa? Tentulah untuk bermegah-megah.

"Kamu telah dilalaikan (bermegah-megah) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -
Sehingga kamu masuk kubur.Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).(Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.
Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
(At-Takasur: 1-8)


Dunia yang seharusnya kita jadikan sebagai hamba, sebaliknya menjadi tuan kepada diri kita. Dunia yang sepatutnya kita jadikan tempat bercucuk tanam untuk menuaikan hasilnya di akhirat, kini seolah-olah menjadi persinggahan abadi. Dunia telah menyelimuti kita dengan harta dan kebanggaan sementara. Janganlah kita ditipu dengan perniagaan dunia sehingga tertutup pintu akhirat untuk kita. Jangan sesekali kita biarkan diri menjadi hamba dunia yang senantiasa bersimpuh, ruku’ dan sujud di depan kemegahannya. Jangan biarkan nafsu menjadi Tuhannya dan kita menjadi hamba setianya. Nauuzubillah minzalik!

Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
(Al-Jathiyah : 23).


Semoga Allah sentiasa member hidayah dan kekuatan kepada kita sebagai hamba NYA yang taat dan patuh.
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company