Monday, January 31, 2011

Indahkan Dunia Dengan Maaf


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

”Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;” (Asy-Syura:37)

Di saat saya mencoretkan artikel baru untuk blog saya, proses peliharaya kecil di Tenang sedang berjalan dengan tenangnya, insyallah. Apa yang pasti, kedua-dua calon yang bertanding adalah dikalangan orang Islam, cuma yang membezakan mereka hanyalah dari segi fahaman kepartian. Yang menang nanti, ingatlah bahawa anda telah diberi amanah yang sesuangguhnya amat berat tanggungannya. Jalankan segala tugas dengan jujur dan ikhlas dan yang paling penting ia mesti dan pasti berlandaskan syariat Allah.

Bagi para penyokong kedua-dua , usah biarkan perbalahan atas nama kepartian berpanjangan. Berdamailah atas nama saudara seIslam. Masyarakat Islam di negara kita hari ini berpecah belah, caci mencaci, hina menghina, bercakaran hanya kerana mengamalkan prinsip perjuangan kepartian yang berbeza. Sedangkan siapapun tidak tahu penghujung nasib nya bila bertemu Allah di akhirat nanti. Hebatnya kita di mata manusia belum tentu hebat di sisi Allah. Bagaimana mungkin kita bakal mendapat syurga Allah di akhirat kelak jika kehidupan di dunia penuh dengan nafsu amarah, dendam kesumat dan caci nista sesama saudara se Islam.

Oleh itu kita perkuatkan ikatan ukhwah islamiah antara sesama kita dengan meletakkan syariat Islam sebagai asas kehidupan kita. Ayuh kita indahkan dunia dengan sifat pemaaf. Begitu mudah kita memafkan orang bukan Islam bila melakukan sesuatu yang melukakan hati umat Islam tetapi begitu sukar kita mengungkapkan kata maaf kepada saudara seIslam kita bila mereka melakukan sesuatu kesilapan. Aneh tapi benar, umat Islam hari ini seolah-olah sudah tertinggal azimat kemaafan kepada saudaranya sendiri.

Kata Imam Syafie “ Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.” Dalam Islam sifat pemaaf amat dituntut dan inilah juga sifat yang utama yang ada pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang juga sepatutnya ada dalam diri kita selaku umatnya. Sifat pemaaf boleh memadamkan seribu kebencian yang muncul dalam jiwa dan hati kita. Sifat pemaaf juga boleh mengelakkan diri kita dari bersifat keji seperti dendam, benci, dengki dan sebagainya. Sifat keji itulah yang selalunya menimbulkan persengketaan dan perpecahan. Ia menjadi bibit pesengketaan dan perpecahan ummah.

Firman Allah Subhanahu Wataala :
"Dalam pada itu ingatlah orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang terhadapnya, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya". (Asy-Syuura: 43)


Maka di sinilah pentingnya adanya sifat pemaaf dalam diri individu kerana sifat pemaaf boleh menerbitkan rasa kasih sayang, belas kasihan, hormat-menghormati dan sebagainya. Berkembangnya agama Islam ke pelusuk dunia adalah di atas konsep kemaafan. Manusia yang suka memaafkan orang lain adalah hasil dorongan keredaan hatinya kepada Allah. Dia dapat mengawal nafsu amarahnya dengan menguasai hati menerusi akal kurniaan Allah.

Untuk menggelak nafsu amarah , pentingnya kita selalu mendekati Allah untuk kita sentiasa beringat agar akal tidak dapat mengawal nafsu. Sudah sifat semula jadi manusia, bisa tewas dan terjerumus dengan bisikan nafsu hingga menenggelamkan rasional dan tidak dapat membuat pertimbangan yang betul. Kita sering membaca di dada akhbar dan media yang lain betapa manusia sanggup berbunuhan akibat perasaan dendam, sanggup melakukan apa saja pada orang yang didendami, mencederakan mangsa ,mencaci, menghina dan pelbagai peri kelakuan yang ternyata menyalahi dan bertentangan dari sudut ajaran Islam.

Sebab itulah orang yang mudah memaafkan orang lain merupakan sifat yang terpuji di dalam Islam. Dalam Islam, mampu memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu ciri orang yang bertaqwa (muttaqin ). Bukanlah suatu kehinaan atau jatuhnya maruah seseorang apabila wujudnya sifat pemaaf dalam diri kita. Malah sifat pemaaf itu merupakan cerminan peribadi muslim yang sejati. Kata Imam Syafie , seorang yang pemaaf itu akan mewujudkan lima keperibadian dalam dirinya.
1. Menunjukkan kebijaksanaan
2. Bersih dari sifat sombong
3. Bersih dari dendam kesumat
4. Tidak ada rasa hina diri
5. Mempunyai iman tertinggi ( Petikan 30 Wasiat Imam Syafie)

Allah SWT berfirman: "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Yaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik diwaktu lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." ( Al-Imran: 133-134).

Sifat-sifat pemaaf merupakan ikatan yang sangat kukuh dalam memantapkan persaudaraan Islam. Masyarakat Islam kita hari ini sudah kian menghampiri ambang perpecahan jika kita terus bercakaran sesama sendiri hanya atas nama perjuangan kepartian ataupun berpuak-puak hanya kerana perselisihan pendapat dalam masalah furu’. Sebagai umat Islam yang bersaksikan Allah, Tuhan yang satu dan tiada Tuhan selain Allah, persoalan perpaduan umat Islam adalah lambang tauhid kita kepada Tuhan yang satu iaitu Allah. Indahkan dunia kita dengan perasaan maaf agar dapat mengembalikan kekuatan ummah.
Read more...

Thursday, January 20, 2011

Lagenda Budak Setan 1


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Firman Allah : “(Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;
Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.
Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,” (Al - Infithar : 13-15)

Rasulullah S.A.W. bersabda;
'' Dalam hati ada dua bisikan. satu bisikan dari malaikat mengajak kebaikan dan mempercayai akan kebenaran. Siapa merasakannya, ketahuilah dari allah dan hendaklah memuji kepadanya yang lainnya bisikan dari musuh (syaitan) mengajak kepada kejahatan dan mendustakan kebenaran, bahkan melarang kebaikan. Siapa menemukannya, hendaklah segera memohon perlindungan kepada allah dan bisikan syaitan yang terkutuk.... ''


“Pemudi harapan bangsa, pemuda tiang negara”,”Pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan” Itulah sebahagian ungkapan yang sering kita dengar bila membicarakan tentang hala tuju anak-anak muda. Namun setelah melihat sikap dan peribadi sebahagian besar anak-anak muda hari ini, kita bimbang ungkapan-ungkapan ini hanya sekadar retorik semata-mata.

Peristiwa terbaru pembunuhan kejam adik Taufik Abdul Rahim,15 tahun di Kampung Sadong Jaya, Samarahan, Sarawak seolah-olah menggambarkan peribadi dan akhlak anak-anak muda kini dalam situasi yang membimbangkan. Pembunuhan adik Taufik dilakukan oleh seorang suspek yang baru menjangkau 19 tahun. Hanya kerana tidak mahu menurut kemahuan suspek, adik Taufik telah dipukul dengan kayu menyebabkan mangsa meninggal dunia. Kemudian, mayat mangsa di tanam di belakang rumah suspek dalam keadaan yang sungguh menyayat hati.
Betapa remuk hati sang ayah apabila melihat anak kesayangan yang begitu akrab dengannya mati dalam keadaan sedemikian rupa. Memanglah sang ayah dan ibu redha pada suratan takdir, tapi yang pasitnya mereka tidak sanggup melihat anak kesayangan mereka mati dalam keadaan penuh tragis dan sadis sekali.

Kes jenayah melibatkan remaja semakin hari semakin meningkat. Baru sahaja pada minggu lepas kita dihidangkan dengan berita mengenai remaja bersama beberapa rakannya telah membunuh datuk dan mencederakan neneknya di Felda Palong 1, kini satu lagi kes jenayah berat membabitkan remaja. Hari ini anak-anak muda ini sudah hilang pertimbangan akal dan nilai keagamaan semakin terhakis dari dalam diri mereka. Penglibatan remaja dalam pelbagai jenis jenayah merupakan satu kerugian kerana anak-anak remaja ini merupakan aset penting kepada negara.

Saidinna Umar r.a. pernah mengungkapkan: “Barangsiapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya.” Sesiapa yang memiliki pemuda, maka ia akan menguasai masa depan. Yang menjadi tanda tanya, apakah dengan keadaan anak muda kita yang seperti hilang identiti diri dan longgar pegangan agamanya mampu menjadi pemimpin hebat yang takutkan pada Allah. Sebahagian besar anak-anak remaja kita tewas dengan budaya barat. Setiap hati dan jiwa mereka diresapi budaya hedonisme - suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan. Akhirnya remaja-remaja, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), buang bayi, ketagih rokok, judi, arak, bahan porno (lucah ), bunuh, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Pemikiran anak-anak remaja kita disumbat dengan minda picisan, agenda hiburan melampau menjadi berhala kehidupan mereka, akhirnya keseronokan membawa kesesatan. Bukan semua anak-anak remaja yang terlibat dalam gejala sosial dan jenayah ini tidak berpelajaran. Malahan ada dikalangan remaja ini merupakan pelajar pusat pengajian tinggi dan lebih menyedihkan ada juga yang terlibat mempunyai latar belakang pendidikan agama peringkat tinggi.

'' Mereka telah dikuasai syaitan, lalu dia melupakan mereka dari mengingati Allah.'' ( Al-mujahadah: 19 )

Iblis laknatullah tidak pernah jemu menggoda manusia. Iblis menghantar konco-konconya berupa syaitan menyusup bersama nafsu anak-anak muda .Apatah lagi di ketika ini kehidupan anak-anak muda kita hari ini dilambakkan dengan pelbagai jenis hiburan yang melampau dan menjengkelkan. Lambakkan hiburan ini bukan sahaja masuk ke dalam jiwa dan minda anak-anak muda melalui buku-buku, majalah, internet dan media-media elektronik. Yang menyedihkan apabila ada pihak yang sepatutnya membimbing anak-anak muda ini turut sama melonggokkan pelbagai hiburan kepada mereka atas nama kebebasan dunia tanpa sempadan. Akhirnya nafsu anak muda menewaskan akal dan iman.

Di dalam Sahih Muslim hadith 5109 bersumber dari 'Iyad bin Himar al-Mujasyi'i, disebutkan bahwa Rasulullah S.A.W bersabda,Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hambaKu dalam keadaan hanif (cenderung kepada kebenaran), lalu setan-setan mendatangi mereka, dan menyelewengkannya dari agama mereka dan (setan-setan itu) mengharamkan terhadap mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka dan menyuruh mereka mempersekutukan Aku…"

Bila nafsu menguasai diri maka perkara yang.bermanfaat dilihat penuh dengan kepayahan, sesuatu yang putih dilihat penuh kehitaman, kebaikan dilihat sebagai berunsur kejahatan manakala kegagalan dilihat sebagai suatu kejayaan, kemungkaran dilihat sebagai satu kepuasan. Akhirnya anak=anak muda ini menjadi syaitan-syaitan di kalangan manusia yang tewas dengan bisikan nafsu .Mereka sanggup memberontak bila dihalang dan sanggup melakukan apa jua asalkan apa yang diinginkan tercapai. Tidak peduli biar apapun terjadi walaupun terpaksa mengorbankan nyawa ibu dan ayah sekalipun asalkan hasrat dan nafsu muda dipenuhi. Masyaallah...tabarakallah

Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, 93 peratus daripada 3,182 tangkapan yang dibuat dari tahun 2001 hingga Mei, 2008 akibat pelbagai kesalahan jalan raya adalah anak muda di antara umur 16 dan 25 tahun. Daripada Januari 2007 hingga Julai 2007, didapati bahawa sebanyak 242 tangkapan dilakukan, 200 daripadanya di sekitar Kuala Lumpur. Statistik keseluruhannya menunjukkan 2005 hingga Julai tahun ini (2008) sebanyak 1,557 pelumba haram berjaya ditangkap di bawah Sekyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kaum Melayu mendahului jumlah tangkapan, iaitu 1,436 tangkapan, Cina (51 tangkapan), India (63 tangkapan) dan kaum-kaum lain (7 tangkapan).

Mengikut Statistik dan Maklumat Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan , Kementerian Dalam Negeri bagi tahun 2009, golongan belia berumur 19-39 tahun merupakan majoriti tertinggi penagih yang dikesan iaitu seramai 11,949. Manakala Penagih remaja yang berumur antara 13-18 tahun menunjukkan peningkatan pada tahun 2009 berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 217. Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan dari Januari-Febuari 2008, seramai 233 pelajar yang berumur antara 13 dan 18 tahun terlibat dengan jenayah.Kes kecurian motosikal merupakan jenayah paling 'popular', iaitu 91 orang pelajar terlibat dan ini diikuti dengan kes mencuri (65 orang), pecah rumah (40 orang) dan rogol (37 orang). Sepanjang tahun 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan . Angka itu meningkat kepada 2,218 kes tahun 2008 yang menyaksikan seramai 3,725 orang ditahan.

Ini baru empat jenis bidang jenayah yang melibatkan anak-anak muda hari ini. Kita masih belum melihat statistik remaja yang ditangkap bekerja di sarang pelacur, rumah urut dan menjadi GRO. Begitu juga dengan kesalahan jenayah berat yang lain seperti menyamun, merompak dan membunuh. Jumlah statistik yang menunjukkan salah laku dan jenayah remaja amat menakutkan. Keruntuhan jiwa dan kekosongan benteng agama dalam diri anak-anak muda perlu ditangani dan diisi semula. Ini merupakan satu tugasan yang perlu kita semua sebagai masyarakat sama-sama memainkan peranan.

Akhirnya saya lontarkan satu pesanan Luqman Al Hakim untuk renungan kita dan anak-anak remaja. Berkata Luqman : “ Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.”.

Walaupun kita terlewat kerana membiarkan anak-anak muda selama ini terus terlena dalam warna kehidupan mereka yang penuh mungkar dan maksiat tapi kita masih belum terlambat untuk memimpin tangan-tangan mereka berpatah balik menuju keredhaan Allah dalam melayari kehidupan ini. Yang pasti, usaha yang kita buat untuk berdakwah tetapberterusan biarpun dalam apa jua bentuk dan kaedah . Yakinlah kepada Allah dan tegakkan Islam sebagai cara kehidupan sebenar. Insyallah
Read more...

Tuesday, January 18, 2011

Ronnie Liu, Laungan Azan dan Kita


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
"Sesiapa yang mendengar laungan azan tetapi beliau tidak hadir ke masjid tersebut, maka tidak sempurnalah solat beliau melainkan kerna keuzuran."
(-Hadis Riwayat Ibn Majah)

Sabda Rasulullah S.A.W : “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.” (Riwayat Bukhari)


Apabila orang mempersendakan sesuatu yang ada kaitan dengan Islam, maka ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh kita sebagai penganutnya. Biar perkara yang dipersenda atau diperlekeh samada perkara yang kecil atau besar tetapi jika ia menyentuh tentang kesucian agama Islam, ianya tetap besar. Tidak ada tolak ansur atau kompromi kepada orang yang mempersendakan Islam, apatah lagi kalau memaki dan menghina Allah dan Rasulnya.

Kes seorang peguam menghantar surat dan mempertikai laungan azan dari sebuah mesjid berdekatan rumahnya perlu dipandang serius walaupun bagi sesetengah orang ianya dianggap kecil. Bantahan itu perlu dilihat dari dua sudut yang berbeza. Pertama jika yang dipertikaikan itu bacaan sebelum azan, kita mungkin boleh terima dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Seperti memperlahankan bacaan zikir sebelum azan atau membetulkan sistem audio agar sedap didengar oleh halwa telinga. Tapi kita tertanya-tanya, takkanlah sudah hidup puluhan tahun di Malaysia ini tak tahu hendak bezakan yang mana azan dengan bacaan zikir atau ayat AlQuran. Walaupun peguam tu bukan Islam tetapi secara tidak langsung mustahil ia tak pernah mendengar azan . Apatah lagi seorang yang bergelar peguam dan berpendidikan. Atau adakah dia cuba menduga sejauh mana sensitiviti masyarakat Islam?

Kedua, jika yang dipertikaikan itu sememangnya laungan azan, maka tindakan beliau adalah sesuatu tindakan yang biadap terhadap kesucian Islam. Isu ini selepas itu dipanjangkan lagi dengan surat desakan naib presiden MCA, Gan Ping Sieu supaya kerajaan mengkaji dan mengawal selia penggunaan pembesar suara di masjid mahupun surau. Dalam masa yang hampir sama, umat Islam dihidangkan lagi dengan kisah kebiadaban seorang exco DAP Ronnie Liu yang mengarahkan MPSJ supaya menarik balik larangan mengharamkan umat Islam daripada bekerja di pusat hiburan yang menjual arak.

Azan ialah sebahagian daripada syiar Islam Al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma` menyatakan bahawa azan adalah suatu syariat di dalam Islam. Ini adalah kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar.Manakala arak hukumnya haram dan termaktub di dalam Al Quran. Bukan setakat bekerja, malahan menjual, membuat, menyediakan, membawa, menghidang arak! Hukumnya sama saperti peminum arak juga! Termasuk golongan yang dilaknat ALLAH. Rezeki yang mereka perolehi adalah haram. Ingin kita lontarkan soalan kepada si biadap-biadap ini. Siapakah mereka yang ingin campurtangan dalam hal urusan agama Islam?

Orang Islam terutama masyarakat kita di Malaysia memang terkenal dengan sifat toleransi dan bertolak ansur sejak dahulu lagi. Bukan budaya Melayu sahaja yang membentuk kita seperti itu tetapi benih-benih semaian dari ajaran Islam yang dipupuk oleh ibu bapa dan datuk nenek kita, secara tidak langsung membentengi kita dari bersifat kurang ajar dan melampau batas terhadap orang lain apalagi kalau berlainan agama. Malahan selama ini orang-orang bukan Islam menjalankan pelbagai perayaan mereka tanpa diganggu oleh orang-orang Islam. Mereka berarak di tengah-tengah jalan raya , mengadakan konsert keagamaan , membakar mercun atas nama keagamaan tanpa dipeduli dan dibantah oleh masyarakat Islam. Kita tahu itu hak mereka dan kita menghormati hak kebebasan agama masing-masing.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!
“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
“Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
“Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
“Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”. (Al-Kafirun :1-6)

Yang menyakitkan hati kita, mengapa dalam hal ehwal agama Islam mereka hendak campur tangan? Apakah tujuan dan apakah yang mereka mahu? Ingat kalau dalam banyak perkara kita boleh bertolak ansur tetapi bila melibatkan hal-hal hukum dan berkaitan syiar Islamkita tidak boleh berkompromi, Kalau mereka ingin hidup harmoni dalam masyarakat kita mereka perlu belajar menghormati kesucian agama Islam sebagai agama rasmi. Inilah golongan-golongan manusia yang secara terang-terangan menentang Islam dan perundangannya. Lebih malang sekali jika ada dikalangan orang-orang Islam sendiri yang bersetuju dan bersekongkol dengan golongan seperti ini.

Umat Islam perlu bersatu jika ingin memperkuatkan ummah. Kekuatan ini tak akan tercapai jika kita hanya pandai bercakap tapi tidak bersatu hati. Sudah berapa kali saya ingatkan yang kita hari ini dihina dan dicaci oleh orang bukan Islam adalah kerana kelemahan kita sendiri. Mereka berani membantah laungan azan kerana ada dikalangan orang Islam sendiri yang tidak menghormati laungan azan. Malahan tidak pernah rasa gementar hatinya untuk ke rumah Allah dan bersujud kepada NYA bila setiapkali mendengar laungan azan. Akhirnya bila orang kafir mempertikaikan laungan azan , kita dengan bersemangat jihad bersama-sama berdemonstrasi membantah. Padahal apa bezanya kita dengan si kafir itu, sama-sama tidak rasa takut pada Allah bila mendengar azan.

Oleh itu marilah kita sama-sama merapatkan kembali saf-saf yang rompong. Bersatulah kita atas nama syariat Islam. Letakkan Islam di tempat yang paling atas dalam merentasi kehidupan ini. Hari ini kita diterjah dengan pelbagai masalah sosial dan tentangan dari bukan Islam adalah kerana kealpaan kita untuk kembali kepada Allah. Berjuang menegakkan kalimah Allah dengan jiwa dan air mata.

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An’am :162)
Read more...

Friday, January 14, 2011

Adik Nur Diana Qistina : Satu Lagi Episod Tragis


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar" (Al-Israa’:31)

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”
Lantas Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. “Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya.
Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)


Belum reda kita dikejutkan dengan kematian tragis adik Syafia Humairah Sahari pada tanggal 26 Februari 2010, kini kita dikejutkan pula oleh kematian adik Nur Diana Qistina Nurafizan pada 10 Januari 2011 akibat menjadi mangsa penderaan. Malang sekali episode penderaan ini dilakukan oleh orang-orang yang dikenali dan rapat dengan mangsa. Mereka yang sepatutnya menjadi benteng dan pelindung kepada anak-anak ini sebaliknya telah mempersia-siakan segala amanah yang dipertanggugjawapkan. Kejam dan tidak ada perikamanusiaan. Bayangkan seorang anak kecil berusia baru 3 tahun telah mengalami penderaan dengan 73 kesan kecederaan.

Jika adik Syafia Humairah menjadi mangsa kekejaman kekasih ibunya, adik Nur Diana Qistina pula menjadi mangsa deraan ibu tirinya sendiri. Lebih menyayat hati kita, Nordiana dikatakan turut menjadi mangsa deraan bapanya sendiri. Masyaallah…tabarakallah. Seorang bapa yang sepatutnya memikul amanah Allah untuk menjaga anak-anak yang merupakan anugerah dan zuriat keturunannya tetapi bertindak di luar batasan manusia.

Apakah layak seorang itu dipanggil bapa sedangkan dia telah memusnahkan segala harapan dan tanggungjawab yang digalas kepadanya untuk mendidik anak. Bagaimana hancurnya hati sang ibu apabila mengetahui anaknya mati akibat menjadi mangsa deraan bapa kepada anak-anaknya sendiri. Bagaimana pilu hati anak-anak apabila melihat adik kesayangan mereka menemui ajal akibat perbuatan kebinatangan bapa serta ibu tiri mereka sendiri? Bila manusia sudah tidak menggunakan akal dalam setiap apa tindak tanduknya, maka tarafnya adalah lebih hina dari seekor haiwan. Golongan bapa dan ibu tiri seperti inilah merupakan syaitan dikalangan manusia . Mereka sentiasa tunduk dengan hawa nafsu dan bisikan iblis laknatullah.

"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa kepada Allah". (Surah Al-Mujadalah :58)

Adalah malang, Jika hidup hanya mencari kenikmatan dan kesenangan dunia hingga lupa tujuan sebenar kita dihidupkan oleh Allah di dunia ini. Akibatnya golongan ini akan hanya menjadi mainan tipu daya iblis laknatullah. Bila akal dikuasai nafsu syaitan, maka tidak hairanlah kalau si ibu tiri sanggup bertindak kejam terhadap anak-anak kecil yang tidak berdosa. Orang seperti ini tidak berhati perut, semakin anak-anak merengek dan menangis minta simpati, semakin kuat nafsu kebinatangannya bertindak. Si bapa yang sepatutnya melindungi anak-anak, turut bersekongkol dengan si isteri mendera anak-anaknya sendiri. Ingat, golongan seperti ini bukan sahaja mendapat hukuman di dunia, malah juga akan mendapat balasan daripada Allah di hari perhitungan kelak.

“Pada hari itu Kami akan tutup mulut mereka dan tangan mereka memberitahu Kami (mengenai kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang sudah mereka perbuatkan (ketika hidup di dunia)?” (Surah Yaasin :65).

“Kesenangan di dunia ini hanya sementara dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa dan Kami tidak akan anianya sedikit pun.” (Surah an Nisa’: 77)


Hari ini sistem kekeluargaan Islam akan runtuh jika anak-anak muda yang bakal mendirikan rumahtangga hanya bersandarkan nafsu semata-mata. Memilih bakal suami atau isteri tidak berpaksikan kehendak agama. Apabila kita tidak meletakkan Islam di tempat yang teratas dalam setiap aspek kehidupan, bukan sahaja masyarakat akan berantakkan dan bercakaran sesama sendiri, malah institusi kekeluargaan yang kita bina bisa berkecai di tengah jalan. Kepada anak-anak muda yang bakal menjadi suami dan kemudiannya menjadi ayah atau bapa, jadikan segala peristiwa ngeri dan menyayat hati ini sebagai satu iktibar dalam melayari bahtera kehidupan. Carilah keredhaan Allah, Insyaallah kita akan mendapat kebahagiaan didunia dan juga akhirat.
Al Fatihah.
Read more...

Saturday, January 8, 2011

Bentengi Iman Dengan Lima Kekuatan


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
“Tengok…budak universiti pun terlibat dalam gejala sosial,” rungut seorang sahabat saya sambil tangan membuka lembaran surat khabar.

“Alah nak kisah apa, budak zaman la ni biasalah. Manusia!” jawab pakcik di meja sebelah saya sambil memanjangkan lehernya melihat berita yang dibaca oleh rakan saya. Berita mengenai gejala pelajar U terlibat dalam aktiviti pelacuran ternyata menambat hatinya untuk berkongsi pendapat.

“ Memanglah manusia tapi masalahnya mereka ni ada akal ada ilmu,tak kan tak boleh fikir yang mana salah yang mana betul!” balas sahabat saya.

“Zaman la ni, bab duit orang dah tak peduli halal dan haram. Sedangkan duit tabung hajipun orang berani sapu sampai tinggal tabung saja, inikan pula perkara-perkara maksiat macam ni, perkara kecil lah bagi mereka,” jawab pakcik tersebut sambil tersenyum.

Saya biarkan sahabat saya melayan sembang dengan pakcik tersebut. Saya akui, masalah sosial di kalangan anak-anak muda Islam di negara kita sudah semakin kronik. Kita perlukan satu penawar hebat untuk menyuntik kembali kekuatan iman ke dalam diri anak-anak muda ini khasnya dan masyarakat kita umumnya. Penawar hebat tersebut tentulah diadun dengan ramuan keimanan, ketaqwaan dan kepatuhan kepada Allah dengan berlandaskan Al Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembali-kanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [An-Nisaa’: 59]

Dari Abi Nujaih ‘Irbadl bin Sariyyah radliyallaahu ‘anhu, ia berkata : Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam memberi pelajaran kepada kami sehingga hati kami takut kepadanya dan mata mencucurkan air mata. Kami berkata : “Wahai Rasulullah, sepertinya pelajaran ini adalah pelajaran orang yang akan berpisah ? Oleh karena itu, berilah kami nasihat”. Beliau bersabda : “Aku wasiatkan hendaklah kalian bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat kendati kalian diperintah oleh seorang budak, karena orang-orang yang hidup sepeninggal kalian akan melihat pertentangan yang banyak. Maka, hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah para khulafaur-rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku. Gigit (pegang erat) sunnah tersebut dengan gigi geraham. Tinggalkanlah hal-hal yang baru, karena setiap bid’ah adalah sesat” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud no. 4607; At-Tirmidzi no. 2676;)

Dalam Islam walaupun menuntut ilmu itu adalah fardhu namun jika sekadar mendapatkan ilmu belum cukup untuk menjadikan kita insan yang hebat dan bertaqwa kepada Allah. Ilmu perlu diamalkan. Ilmu perlu dipraktik dan diterjemahkan dalam kehidupan. Setelah itu baru akan datangnya iman.

Namun iman itu sendiri jika tidak dijaga dan dibaja akan bisa runtuh bentengnya dek hasutan iblis laknatullah. Iman bagaikan sebutir biji benih yang kita semai, kita mengharapkan hasil daripadanya maka ia mesti dipagari bagi mengawal daripada serangan musuh. Kemudian kita bajai, jaga dan awasi selalu agar berharap mendapatkan hasil yang baik. Begitu juga dengan iman, jika kita tidak berhati-hati dan tidak membentenginya dengan betul, iman pasti terancam oleh ancaman nafsu dan hasutan syaitan laknatullah.

Imam Al Syafie menggariskan lima kekuatan yang bisa membentengi iman dalam perjalanan mencari redha Allah:
1. Yakin : Keyakinan kepada Allah merupakan pokok utama menjamin sahnya keimanan kita kepada Allah. Yakin kepada Rukun Iman yan g enam. Menolak salah satu daripadanya maka gugurlah keimanan kita. Setiap keraguan walau sedikit pasti menggugat keimanan. Atasi setiap keraguan dengan ilmu bukannya dengan akal.

2. Ikhlas
: Tanpa keikhlasan segala amalan akan tertolak. Melafazkan kata-kata,”Aku beri ni ikhlas.” “Bantuan ini ikhlas dari saya.” “saya ikhlas.” , sememangnya senang tetapi menzahirkan di dalam hati bukanlah suatu perkara yang mudah. Iblis dan syaitan laknatullah sentiasa akan memesongkan hati-hati kita. Akhirnya wujud sifat riya’, bangga diri, minta dipuji, takkabur dan sebagainya apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Bagi orang yang ikhlas, setiap apa yang dilakukan tidak mengharapkan apa jua daripada makhluk melainkan keredhaan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
(Al –Baqarah :264)

3. Mengerjakan amalan sunat
: Bersembahyang sunat, membaca al Quran dan bersedekah, bisa menguatkan lagi benteng keimanan kita. Amalan sunat juga boleh menyempurnakan amalan wajib dan meninggikan pangkat serta darjat di syurga Allah.

4. Istiqammah Beramal : Sesuatu yang sukar tapi tidak mustahil jika ia menjadi kebiasaan. Sentiasa istiqammah, tetap dan berterusan beramal pasti dapat membentengi keimanan. Sebab itu kata ulama’ sesuatu perubahan janganlah kita lakukan secara drastik atau terkejut kerana bimbang ia akan menjadi bak kata peribahasa,”hangat-hangat tahi ayam.” Bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik amal ialah amalan yang kekal walaupun sedikit."

5. Disiplin
: Baik peraturan Allah mahupun peraturan manusia, jika seseorang itu tidak berdisiplin, hidupnya pasti menghadapi kesukaran. Dalam soal beribadah kepada Allah , tatasusila dan ketertiban adalah merupakan dua perkara yang penting dan perlu diberi perhatian. Syaitan laknatullah sentiasa menggula-gulakan kita dengan penyakit malas dan lalai bila setiapkali hendak melakukan ibadah kepada Allah. Jika kita tidak berdisiplin maka kita akan tunduk dengan hasutan-hasutan ini. Sedangkan dalam solat kita selalu berjanji dalam doa iftitah, “ Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”

Berharaplah agar Allah sentiasa tetapkan iman dan hati-hati kita daripada terpesona dan longlai dengan hasutan dan bisikan iblis serta syaitan laknatullah. Semoga kita sentiasa mendapat hidayah dan petunjuk menuju keredhaan Allah. Amin
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company