Friday, April 29, 2011

Rapuhnya Ibadah Kita


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah 2:208]

Sedang saya memandu menuju ke pejabat, sebuah stesen radio memutarkan lagu “Rapuh” nyanyian Opick. Lagu nasyid kotemporari ini ternyata syahdu dan sedap didengar oleh halwa telinga. Namun bukan lagu itu yang membuat saya terpegun tapi bait-bait liriknya ternyata menyentap jiwa dan naluri saya. Ia seolah –olah menempelak dan kena pada diri saya- hamba Allah yang sering lalai dalam kehidupan dunia.

meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta
“Itulah aku,” bisik hati kecil saya.

“Aku kata aku cinta pada Allah tapi pada waktu yang sama ibadah dan kecintaan aku padaMu Ya Allah terasa seolah-olah seperti tiada kesungguhannya.”

Memang benar apa yang terkadung dalam lirik lagu nyanyian Opick ini. Selama ini betapa rapuhnya ibadah saya kepada Allah Ta’ala. Rapuhnya ibadah saya seiring dengan rapuhnya kesetiaan dan kecintaan saya kepada Allah.
Teringat saya kepada kitab MINHAJUL ABIDIN karya terakhir Imam Al Ghazali. Dalam kitab tersebut, Imam Al Ghazali menyenaraikan EMPAT perkara yang menghalang kesempurnaan seseorang itu untuk melakukan ibadah.

1. Dunia.- Cara menghadapinya adalah bulatkan tekad sehingga kesenangan dunia tidak mampu merosakkan kita. Jangan biarkan dunia bermukim di hati kita. Kecintaan dunia akan menyebabkan kita lupa bahawa biar banyak manapun kita mengejar dan mengumpul harta dunia, akhirnya bakal kita tinggalkan bila bertemu dengan satu saat yang dipanggil KEMATIAN.

2. Manusia. –Dalam kita mendaki tangga-tangga ibadah kepada Allah, kecintaan kita kepada makhluk atau manusia kadang-kadang menyebabkan kita meletakkan perkara ibadah selepas kehendak manusia. Kita sanggup buat kerja sampai ke lewat malam atas arahan bos hinggakan terlupa menunaikan solat. Waktu maghrib orang ke mesjid atau surau, kita sibuk bawa anak, bini atau saudara mara kita ke pasar malamatau mencari kedai makan .
"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pihak kamu itu adalah ujian kepada kamu."
(Al-Anfal: 28)

3. Nafsu.- Hawa nafsu bias menyesatkan manusia kea rah kemungkaran. Hari ini berapa ramai umat Islam yang terpedaya kerana menurut hawa nafsu.
Firman Allah ::"Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan nafsunya, maka sesungguhnya surgalah tempat tinggalnya.´( An Nazi'at : 40-41)

4. Syaitan.-Seorang ahli ibadah juga bisa tertipu oleh syaitan dan iblis laknatullah apatah lagi manusia yang penuh dengan kemungkaran dan kemaksiatan.
Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) penolong-penolongnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (Allah) jika betul kamu orang-orang yang beriman.[‘Ali Imran 3:175]

Semoga kita sentiasa dalam peliharaan Allah Ta’ala
Read more...

Saturday, April 9, 2011

10 Penanda Aras Sebelum Meninggalkan Dunia Ini



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). (Al-Buruj:10)

Hari ini kita hidup di atas dunia yang penuh dengan perasaan dengki khianat, penuh dengan fitnah, penuh haloba, penuh dendam mendendami, penuh benci membenci dan segala macam mehnah dan maksiat. Mereka yang mengharap keredaan Allah, terpaksa hidup penuh dengan ketakutan kerana bimbang terheret sama dengan penyakit dunia hari ini.

Dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah (shallallahu ‘alaihi wa sallam) bersabda, “Bersegeralah untuk mengerjakan amalan-amalan shaleh sebelum datang berbagai fitnah seperti potongan-potongan kegelapan malam, di mana seseorang beriman di waktu pagi hari, kemudian menjadi kafir di sore hari, ataupun beriman di sore hari, kemudian menjadi kafir di pagi hari. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia.” (HR. Muslim).

Kehidupan di dunia yang sementara ini tidak dilihat begitu oleh manusia yang rakus. Ini kerana mereka meletakkan dunia di tangan dan melepaskan akhirat jatuh berciciran. Keinginan untuk mengejar pangkat dan kedudukan menyebabkan manusia mengenepi nilai-nilai agama. Al Quran dan as-sunnah hanya menjadi rujukan bila ianya menguntungkan mereka.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Al-Anfal : 27)

Sebenarnya manusia sebegini lupa atau berpura-pura lupa bahawa kehidupan ini hanya sementara. Dunia tidak lebih dari sebuah persinggahan sahaja. Semua makhluk samada mahu atau tidak akan pasti meninggalkan dunia ini menemui Allah Ta’ala. Persoalannya, apakah kita bersedia atau tidak dengan bekalan untuk ke akhirat. Hanya diri sendiri yang mampu menjawab segala persoalan ini.

Imam Syafie dalam wasiatnya telah menyenarai sepuluh “check list” untuk manusia jadikan penanda aras sebelum mahu meninggalkan dunia yang fana ini dengan selamat. Pesan Imam Syafie :”Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat,hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara berikut :

1. Hak diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan makan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak malaikat maut iaitu mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan rasa cinta kepada Allah.

3. Hak kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang air kecil merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak Munkar Nakir iaitu tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

5. Hak mizan iaitu menahan marah, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

6. Hak sirat iaitu membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7. Hak Malik iaitu banyak menangis kerana takutkan azab Allah, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, bersedekah semasa terang serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

8. Hak Ridhwan iaitu reda dengan qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur dengan nikmat Allah dan bertaubat daripada maksiat.

9. Hak Rasulullah iaitu berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung dengan sunnah, menyayangi para sahabat dan bersaing mencari kelebihan daripada Allah.

10. Hak kepada Allah iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci maksiat.

Apakah kita sudah benar-benar bersedia untuk meninggalkan dunia ini ? Apakah dari sepuluh hak-hak ini sebahagian besar sudah kita tunaikan? Kalau satupun kita tak mampu lagi hendak tunaikan, apakah mampu lagi kita bergelak ketawa dan bergurau senda tanpa rasa takut untuk bertemu Allah Ta’ala di hari pembalasan nanti? Apakah mampu lagi kita melakukan maksiat dan dosa , fitnah dan nista sedangkan semakin hari usia kita semakin hampir menuju alam barzakh. Tangisan kesedihan biar air mata darah sekalipun sudah tidak memberi erti setelah maut datang menjemput.

Firman Allah Ta’ala : “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - supaya aku mengerjakan amalan soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat)”. (Al-Mukminun : 99-100)

Saya berpesan kepada diri saya sendiri untuk merenungi perjalanan hidup ini agar tidak tergolong sebagai insan yang menyesal di kemudian hari. Kita masih punya waktu kerana Allah masih sayang dan memberi kita nafas untuk terus hidup di dunia ini.
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company