Thursday, August 25, 2011

Mana Mak : Bhg1


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda
Sebuah e-mail yang diterima berupa cerpen yang bisa menyentuh hati kita yang sering melupakan jasa ibu dam ayah yang tercinta. Biarlah kita kongsi bersama agar ia menjadi renungan dan iktibar kehidupan.

Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”


Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.


Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"


Ateh menjawab, “Entah.”


Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.


Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.


Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.


Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Read more...

Mana Mak: Bhg 2


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"


Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.


Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.


Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.


Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.


Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."


Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.


Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.


Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.


Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.


Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Read more...

Wednesday, August 24, 2011

Mana Mak : Bhg 3 (Akhir)


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.


Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "


Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."


"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Read more...

Monday, August 22, 2011

Larangan Berpuasa di China : Satu Peringatan Kepada Kita


"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. (Al-i-Imran:28)

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)”(Al-Maidah :55)


Bulan Ramadan sudah memasuki fasa ketiga. Umat Islam di Malaysia di samping mencari malam Lailatul Qadar, mereka juga sibuk membuat persiapan menjelang kedatangan aidil fitri. Namun kemeriahan Ramadhan ini tidak dapat dinikmati oleh sebahagian saudara kita di negara-negara yang mengalami pergolakan politik dan kemiskinan seperti Aghanistan, Iraq, Libya, Syria , Somalia , Myammar dan sebagainya. Namun yang paling menyentuh hati dan perasaan ini apabila mengenangkan nasib umat Islam di Urumqi, Xinjiang, China.

Nasib mereka adalah merupakan cebisan-cebisan kisah menyayat hati yang dilupakan oleh masyarakat Islam. Malahan ramai masyarakat Islam di negara kita khasnya dan seluruh pelusok dunia amnya yang tidak tahu menahu mengenai penderitaan yang dialami oleh masyarakat Islam keturunan Uighur ini. Ini merupakan satu tragedi yang boleh kita jadikan sebagai peringatan kepada seluruh umat Islam di negara kita yang hingga saat ini masih bertelagah sesama sendiri akibat perselisihan pandangan politik dan ketaksuban assabiyah kepartian. Akibat yang sama akan melanda kita jika kita menyerahkan hak kepimpinan negara kepada golongan kafir. Lihat bagaimana biadapnya pemimpin kafir laknatullah China memberi tekanan kepada umat Islam di Xianjiang ketika umat Islam menyambut kedatangan Ramadan al Mubarak. Mereka tidak peduli dan takut pada sebarang tekanan atau bantahan antarabangsa .

Bacalah berita mengenai kebiadapan Kerajaan China laknatullah yang saya rumuskan dari beberapa sumber :

Bulan Ramadan kali ini tidak bermakna bagi masyarakat Islam Uighur di Urumqi, Xinjiang, barat laut China selepas kerajaan mengharamkan mereka menunaikan ibadah puasa, bersolat tarawih atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan.

Penganut Islam di Xinjiang dilarang daripada menunaikan ibadah tersebut selepas kerajaan memaksa mereka menandatangani satu 'dokumen' yang melarang mereka daripada berbuat demikian. Larangan terbaru itu menekankan lagi layanan buruk kerajaan China terhadap penduduk minoriti Uighur yang sering berdepan tindakan keras pihak berkuasa sebelum ini dan dinafikan hak mereka. Jurucakap Kongres Sedunia Uighur yang beribu pejabat di Munich, Dilxat Raxit berkata, syarikat-syarikat swasta di sini turut menyediakan makanan tengah hari buat pekerja beragama Islam dan mereka boleh kehilangan kerja atau bonus tahunan sekiranya enggan makan. "Tokoh agama juga boleh kehilangan lesen menyampaikan ceramah sekiranya mereka mengadakan aktiviti keagamaan atau menyeru penganut Islam berhimpun bagi menjalankan kegiatan agama," katanya kepada agensi penerbitan dalam talian, Eurasia Review. Jelasnya, pegawai turut menyasarkan golongan pelajar beragama Islam dengan menyediakan bekalan makanan semasa waktu rehat sepanjang bulan Ramadan.

Seorang penduduk Uighur yang enggan dikenali berkata, restoran-restoran di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam juga diarah menjalankan perniagaan walaupun ketika hari siang. "Orang ramai juga sukar memasuki masjid untuk bersembahyang. Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan diri dan mendaftar jika ingin masuk ke masjid," katanya. Sehari sebelum Ramadan, seramai 18 maut dan 31 yang lain cedera dalam dua pertempuran etnik terbaru di Xinjiang, dua tahun selepas insiden berdarah di wilayah ini mengakibatkan 200 maut sementara 1,700 yang lain cedera. Xinjiang dicemari pergolakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan kumpulan majoriti China Han di ibu negara, Urumqi pada Julai 2009. – Agensi (Sumber : Utusan Online, 08/08/2011

" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?” (An- Nissa :144)

Di kala segelintir umat Islam Malaysia ditangkap kerana berjudi dan tidak berpuasa di bulan Ramadhan, lain pula yang berlaku di China. Umat Islam dipaksa untuk tidak berpuasa dan sekiranya mereka didapati berpuasa, perbuatan mereka itu dikategorikan sebagai suatu “jenayah” oleh negara. Di Xinjiang, jumlah penduduk Islam di sana adalah sekitar 48% daripada penduduk di daerah tersebut. Hubungan diplomatik antara umat Islam dengan kerajaan China telah bermula sejak zaman Khulafa Ar Rasyidin iaitu di zaman Khalifah Uthman bin Affan. Pada waktu itu, beliau telah mengutuskan Saad bin Abi Waqqash untuk membangun hubungan dengan China dengan misi dakwah menyebarkan Islam di China. Sambutan yang diberikan oleh Kerajaan Dinasti Tang masa itu sangat baik, malah kerajaan telah mengarahkan agar sebuah masjid dibina di Bandar Guanzgzhou sebagai tanda persahabatan antara Kerajaan Dinasti Tang dengan Daulah Islam. Malah masjid ini masih berdiri utuh sehingga ke hari ni dan dikenali sebagai masjid Huaisheng. Pelayanan buruk terhadap umat Islam di China bermula sejak Dinasti Qing. Umat Islam ditekan serta hak mereka untuk mengamalkan kewajiban yang dituntut oleh Islam dihalang. Selain itu, aktiviti di masjid sentiasa dipantau dan aktiviti- aktiviti keagamaan diharamkan. Malah umat Islam telah dihalang untuk menunaikan haji di Mekah. Sekitar tahun 1855-1877, pemerintah Dinasti Qing telah membunuh sekitar 7 juta umat Islam di China.

Walaupun Negara China sudah mula berlembut kepada ideologi Kapitalis semenjak menganggotai WTO pada tahun 2001, namun mereka masih bersikap keras terhadap umat Islam. Mereka sedar bahawa Islam merupakan suatu ancaman kepada ideologi yang mereka anuti. Sehingga saat ini, tidak kedengaran suara-suara bantahan daripada mana-mana pertubuhan hak asasi manusia atau seumpamanya. Mereka lebih banyak mendiamkan diri. Padahal, menurut kebiasaan mereka pasti akan menyuarakan bantahan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menindas hak kebebasan individu. Ini bukanlah bermakna kaum muslimin harus bergantung kepada pertubuhan sedemikian. Apa yang jelas, tidak kira di mana kaum muslimin ditindas, tiada pihak yang benar-benar akan tampil membela.

Sekiranya umat Islam ada Seorang Pembela sebagaimana yang dilakukan oleh para Khalifah sebelum ini, pastinya tindakan biadap yang dilakukan oleh pemerintah China pada masa ini akan dibalas dengan seruan jihad oleh Khalifah. (Sumber : My Khalifah)

Sempena malam yang mulia dan di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, ayuh mari kita menadah tangan memohon kepada Allah agar diberi kekuatan kepada saudara semuslim kita di China terutamanya di Urumqi, Xinjiang, teguhkan iman dan aqidah mereka dari terus digoncang oleh pemimpin Negara China laknatullah. Amin.

Sila baca beberapa link mengenai nasib masyarakat Uighur ini.

http://muxlim.com/blogs

http://wup-forum.com/viewtopic

http://www.worldbulletin.net

Read more...

Saturday, August 13, 2011

JAIS Dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) :Ada Hikmah dan Iktibar


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

"Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan apa jua yang kamu kerjakan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah : 110)

Sabda Rasulullah bermaksud: "Zuhud di dunia tidak dengan mengharamkan yang halal dan tidak membuang harta tetapi zuhud di dunia ialah engkau lebih percaya kepada apa yang ada pada pegangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu dan apabila engkau mendapat bahaya dunia, engkau lebih senang ia kekal padamu supaya engkau dapat ganjarannya." - (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah).

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita JAIS telah menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) ketika mengadakan majlis makan malam”Thanks Giving” . Dalam serbuan itu beberapa orang Islam didapati menghadiri majlis tersebut. Kehadiran mereka menurut laporan, ialah untuk menerima sumbangan daripada pihak gereja. Maka kitapun bersangka baik...itulah yang sebaik-baiknya.

Kehadiran JAIS pula adalah ekoran laporan yang diterimanya mengenai kegiatan gereja yang dikatakan cuba memperkembangkan dakyah kristian dikalangan masyarakat Islam. Maka pelbagai pihakpun ramai yang melatah mengutuk serangan JAIS. Kutukan dan hentaman ke atas JAIS bukan sahaja diterima daripada pihak orang bukan Islam, malahan ada orang-orang Islam sendiri yang kurang senang dengan tindakan JAIS. Namun YB Dato’ Hassan Ali selaku Exco yang bertanggungjawab, mempertahankan tindakan JAIS walaupun bosnya sendiri MB Selangor , Dato’ Khalid membantah dan MB cepat-sepat memohon maaf.

JAIS sebenarnya dalam keadaan serba tidak kena. Kalau tak serbu untuk menyiasat , maklumat telah diterima dan ia merupakan satu amanah lebih-lebih lagi membabitkan soal aqidah. Jika betul berlaku penyelewengan aqidah umat Islam oleh pihak gereja maka ia perlu dibanteras pada peringkat awal lagi. Biar orang marah tapi jangan sampai mengundang kemurkaan ALLAH. Cuma mungkin cara JAIS membuat serbuan kurang disenangi pihak terbabit tapi pihak gereja perlu akur yang JAIS cuma menjalankan tugas berpandukan aduan dan maklumat yang diterima.

Walau apapun, setiap kejadian itu sebenarnya ada hikmahnya di sisi Allah. Rasulullah S.A.W telahpun memberi peringatan kepada umatnya supaya berhati-hati dalam melayari kehidupan ini. Bukan orang kaya sahaja yang akan kufur nikmat kerpda Allah jika tidak sentiasa bersyukur, malahan orang yang dilanda kemiskinan juga bisa menjadi kufur kepada ALLAH lantaran kemiskinannya. Sabda Rasulullah, bermaksud: "Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran." - (Riwayat Abu Namin daripada Anas).

Peristiwa malang ini sebenarnya memberi iktibar kepada dua pihak khasnya dan seluruh umat Islam amnya. Pertama golongan yang hadir di gereja untuk menerima sumbangan, bukanlah atas nama kemiskinan hingga sanggup kita hampir menggadai maruah dan aqidah keislaman kita. Memang peritnya hidup dalam kesusahan. Saya lahir dalam keluarga yang susah dan pernah merasa warna warni kehidupan apabila kemiskinan melanda. Islam itu indah. Islam mengajar umatnya tentang erti dan nilai sedekah, infak, zakat fitrah, wakaf dan sebagainya kearah membantu golongan yang dilanda kesempitan hidup. Janganlah terlalu mudah kita menjual nilai agama kerana untuk mendapat habuan dunia yang sedikit. Kita bimbang jika kita bukan sahaja miskin di dunia malahan miskin juga di akhirat nanti.

Rasulullah pernah berdoa, memohon perlindungan Allah agar menghindarkan dirinya daripada kemiskinan seperti sabdanya bermaksud: "Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu daripada kekufuran dan kemiskinan." - (Riwayat Abu Daud). Sabda baginda lagi, bermaksud: "Ya Allah! Sesungguhnya aku minta perlindungan-Mu daripada kekafiran, kemiskinan, kehinaan dan aku mohon perlindungan-Mu daripada menzalimi." - (Riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah).

Peristiwa ini juga perlu menjadi iktibar kepada pihak yang bertanggungjawab memegang amanah mengendali wang zakat, wakaf dan Baitul mal serta badan kerajaan yang membabitkan kebajikan masyarakat. Sudah terlalu banyak cerita yang kurang enak kita dengar mengenai badan-badan ini. Karenah birokrasi untuk mendapatkan bantuan dan sikap pasif pihak terbabit untuk turun padang memberi ruang kepada pihak lain untuk menguji keimanan umat Islam yang dilanda kesusahan. Saya masih ingat lagi peristiwa banjir besar melanda sebuah Bandar di Kedah dan Persatuan Buddha merupakan pertubuhan awal yang turun memberi bantuan tanpa perlu apa-apa prosedur atau pengisian borang maklumat.

Saya percaya jumlah wang zakat dan Baitul mal mencecah puluhan malah mungkin ribuan juta ringgit Malaysia. Nak buat apa duit banyak tu kalau tak diberi bantuan kepada mereka-mereka yang memerlukan. Jumlah ini makin bertambah setiap tahun, kemana nak dibawa ? Jangan sekadar tunggu orang miskin dan fakir untuk datang memohon bantuan kemudian ditemuduga dengan pelbagai persoalan seolah-olah macam harta itu kita yang ampunya. Kalau yang datang itu layak, beri sahaja tanpa perlu ada birokrasi yang menyusahkan. Ini amanah, soal sama ada penipuan atau tidak itu persolan orang yang terbabit dengan Allah Ta’ala.

“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Az-Zariyat : 19)

Kadangkala apabila yang datang memohon itu apabila didapati mempunyai motosikal atau rumahnya mempunyai peti televisyen dijadikan alasan untuk beliau gagal mendapat bantuan. Apakah ukuran motosikal, peti tv atau kereta buruk dan tafsir kemiskinan pada zaman kini. Kalau tahun enam dan tujuh puluhan memang sah pemohon seorang yang berkemampuan tapi kini kita ditahun 2011. Pernah sepupu saya seorang janda anak empat (Ditinggalkan suami tanpa nafkah) ke pejabat berkenaan untuk memohon bantuan telah disindir oleh petugas kerana berpakaian kemas dan cantik.

“Pakai baju cantik-cantik takkan nak minta bantuan kot,’ begitulah lebih kurang sindiran si petugas.
Kalau macam tu, semua pemohon yang nak minta bantuan kebajikan masyarakat, zakat atau baitul mal kena pakai baju koyak rabak dan bertampung-tampung untuk menampakkan kemiskinannya dan baru boleh dapat bantuan?. Apalah punya banggangnya pemikiran seperti ini!

Pihak Urus Zakat dan Baitul Mal perlu mengubah persepsi pemikiran dan pentadbirannya. Dana yang dikumpul merupakan amanah. Fikirlah apakah cara yang terbaik dan bijaksana dalam membantu serta membangunkan ummah. Jangan sampai pihak lain mengambil kesempatan atas kelemahan dan keegoan kita. Hari ini di dunia kita boleh beri seribu alasan tapi di hadapan mahkamah Allah nanti apakah alasan yang hendak kita berikan.
Semoga kita sama-sama bermuhasabbah diri. Semoga ALLAH juga sentiasa membuka minda kita untuk memikirkan jalan terbaik ke arah memartabatkan Islam sebagai cara kehidupan. Amin


Read more...

Tuesday, August 9, 2011

Berhati-Hati Dengan Kurma Israel


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (Al –Baqarah:168)
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah barang-barang yang bersih daripada apa yang telah kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Mutakhir ini terlalu banyak yang kita kedengaran tentang barangan makanan yang diragui status halalnya membanjiri pasaran di Malaysia. Terdapat juga barangan makanan yang terbukti tidak halal kerana mengandungi bahan-bahan haram seperti DNA Babi dan sebagainya masih dijual dengan sewenang-wenangnya di pasaran. Sungguh malang bagi umat Islam di negara ini, dalam usaha menjadikan Negara kita sebagai hub Halal antarabangsa sebaliknya turut menjadi hub barangan yang diragui status halalnya.

Lebih malang lagi tidak ada satu badan khas yang dapat member informasi lengkap mengenai senarai barangan yang memang telah disahkan haram. Kalau disiarkan dalam akhbar sekalipun, pembaca masih tertanya-tanya apakah nama syarikat dan jenama produk yang diharamkan itu. Perkara ini perlu pihak-pihak tertentu seperti JAKIM, Persatuan Pengguna Islam, pihak Kementerian terbabit memainkan peranan. Ini adalah amanah dan tanggungjawab.

Baru-baru ini saya menerima satu email daripada rakan yang ingin mewar-warkan tentang barangan dari Negara Isarael Laknatullah yang telah memasuki pasaran Malaysia. Perkara ini telah didedahkan oleh akhbar Berita Harian Singapura. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini tidak lah sensitif mana, namun bagi yang perihatin tentang nasib bangsa Palestine dan cintakan Islam, ianya sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Saad bin Abi Waqas bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, pintalah kepada Allah agar Dia menjadikan doaku mustajab. Jawab Rasulullah SAW: Wahai Saad, jagalah soal makanmu nescaya kau menjadi orang yang makbul doanya. Demi Allah yang nyawa Muhammad dalam tanganNya, jikalau seseorang lelaki memasukkan sesuap makanan haram dalam perutnya, doanya tidak akan diterima selama empat puluh hari. Sesiapa hamba yang dagingnya tumbuh dari makanan haram dan riba maka neraka lebih layak baginya"(Hadith Riwayat Ibnu Abbas).

Saya pamerkan sebahagian dari e-mail yang diterima
Berhati-hati, terdapat kurma yang bercetak jenama "Jordan River" itu sebenarnya bukan dari Jordan tetapi dihasilkan dari negara Israel ..dan diimport serta dikotakkan di Singapura tapi di edarkan di Malaysia . Ia ditanam di satu kawasan luas di bahagian timur Isreal yang bersempadan dengan Palestin. Ia dipunyai oleh seorang Yahudi yang kaya...dan ramai pekerja-pekerjanya berbangsa Yahudi dan hasil penjualan kurma itu digunakan untuk tabung orang-orang Yahudi.

Pendedahan ini dibuat oleh akhbar Berita Harian Singapura. Para Muslimin sekalian diharap jangan membeli kurma jenis ini..kasihanlah terhadap rakyat Palestin yang hari-hari ditindas dan dibunuh kejam oleh rejim Yahudi ini.

Perangi Yahudi dalam apa cara sekalipun, walaupun dari segi ekonomi.

Read more...

Monday, August 1, 2011

ahlan ya ramadhan al Mubarak


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (Al-Baqarah: 183.)

Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada seorang hamba pun yang berpuasa sekalipun satu hari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan dirinya dari siksa api neraka sebanyak tujuh puluh kharif (tujuh puluh kharif maksudnya adalah sejauh perjalanan yang menghabiskan masa tujuh puluh tahun)” (HR. Bukhari Muslim).

Cepatnya hari berlalu. Sedar tak sedar kini Ramadhan yang mulia menjelma lagi. Seperti tahun-tahun yang lalu, umat Islam yang rindu akan kedatangan Ramadhan Al Mubarak tidak sabar-sabar membuat persediaan untuk menyambut kehadiran Ramadhan. Masjid dan surau-surau mula merancang pelbagai program untuk menghidupkan Ramadhan. Majlis tazkirah, tadarus, khatam Al Quran dan imam jemputan solat tarawih merupakan antara perkara yang disenaraikan dalam aktiviti ihya Ramadhan.

Semoga kedatangan Ramadhan 1432H kali ini akan membawa sinar kepada umat Islam di Negara ini yang semakin hari semakin jelas bibit perpecahannya. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai platform untuk umat Islam bersatu di bawah panji-panji Allah. Tinggalkan assabiyah kepartian yang semakin hari dilihat semakin membawa kepada kehancuran. Bertengkar, bertegang leher malahan membawa kepada pertelingkahan demi mempertahankan ideology dan prinsip parti yang entah benar ataupun sebaliknya perlu dihentikan.

Dalam sebuah hadits Rasulullah saw bersabda: “Fitnah bagi seorang laki-laki itu akan ditemukan di keluarga, harta dan tetangganya. Namun, semua itu dapat ditutup dan ditebus dengan jalan shalat, puasa dan shadaqah” (HR. Bukhari Muslim).


Ramadhan bulan yang mulia, bulan keberkatan. Diharap Ramadhan 1432 dapat menyatukan umat Islam di bawah satu bumbung ketakwaan. Jika kita asyik bertelagah, Orang-orang bukanIslam yang bencikan Islam bertepuk dan bersorak riang melihat perpecahan kita. Mereka mengambil kesempatan memasukkan jarum mereka secara halus agar kita terus bercakaran. Akhirnya kita sanggup menurut kehendak dan telunjuk mereka (atas nama tolak ansur) hingga kadangkala mengenepikan kepentingan Islam.

"Dan, berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." (Al’i- Imran:103)

Semoga kita membuka lembaran awal Ramadhaninidengansuatu permulaanyang baik. Rapatkan saf dengan bersatu padu dan perkukuhkan benteng mempertahankan Islam dari musuh-musuh Islam secara total.

Amin .
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company