Saturday, February 4, 2012

Muhammad Ya Rasulullah : Menelusuri Perjuangan Baginda


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). " (al-Ahzab: 21)

Setiapkali menjelang 12 Rabiulawwal, seluruh umat Islam pasti akan mengingati detik kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Maka banyaklah surau dan mesjid mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul. Selain majlis perarakan dan tahlil, majlis diskusi ilmu membaca kitab-kitab sirah seperti Syamail Muhamadiah juga merupakan antara agenda utama ke arah menelusuri peribadi unggul Rasulullah sebagai Qudwah Hassannah.

Persoalannya, adakah kita mengenang semangat juang Rasulullah sekadar bermusim, adat atau retorik semata-mata. Selepas penat melaung selawat dengan bersemangat, dua tiga hari kemudian semangat mula pudar. Peribadi dan amalan Rasulullah mula kian ditinggalkan. Kita mula buat perangai lama. Menghentam sesama Islam tapi tergamak dan sanggup berpeluk sakan dengan bukan Islam. (tak salah berbaik dengan bukan Islam, tapi mengapa mengharap simpati mereka sedangkan hubungan sesama saudara kita dibiarkan berantakan). Adakalanya, kita semua bagus dan betul. Orang yang tak setuju dengan dasar kita semua tak betul.

Rasulullah mengajar kita mencintai saudara sesama seIslam tapi hari ini kita berbalah sesama sendiri seperti tiada kesudahannya. Kita sanggup menghina , memaki hamun, mengaibkan saudara seIslam kita di pentas-pentas ceramah dan pentas politik, di dada-dada akhbar, majalah dan dalam media baru tanpa ada sedikitpun rasa kecintaan kita pada saudara kita. Di mana pergi dan hilangnya semangat ukhwah yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, khadam kepada Rasulullah SAW, bersabda Nabi SAW : Tiada beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai bagi saudaranya sama seperti ia menyintai bagi dirinya sendiri.

Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini kita sambut dengan semangat kecintaan sebenar kepada Rasulullah. Bersatulah atas nama Islam. Semoga Allah memberi kita kekuatan dalam memperjuangkan agama Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai, manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal.” (Surah Al Hujuraat: 13)"

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company