Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. [Al Mulk : 2].
Petang Khamis itu tanggal 8 Mac 2012, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja aku menerima panggilan telefon. Sempat aku mengerling jam bersebelahan meter kereta, pukul 5.20 petang. Aku menjawab panggilan telefon.
“Waalaikum salam,” aku menjawab salam.
“Kak Min dah tiada......” suara sebak memberitahu aku.
“Betulkah....bila...”, tanya aku ingin kepastian. Namun talian terputus.
“Qaloo Inna lillahi wa inna ilayhi raji'oon....itulah kata-kata awal yang terlafaz darimulut aku bila menerima berita sedih ini. Namun itulah hakikatnya, setiap yang hidup pasti merasai mati. Sahabat dan orang yang saya panggil Kak Min telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya.
Dr Yasmin Osman atau lebih mesra dipanggil Kak Min di kalangan kami merupakan individu yang mudah mesra. Bila menghadiri mesyuarat atau seminar, Kak Min sering membawa suami dan anak-anak tercinta. Ini menjadikan aku dan beberapa orang sahabat aku bukan sekadar mengenali beliau malah rapat dengan ahli keluarganya.
Sepanjang mengenali beliau aku tidak pernah melihat beliau marah atau bersikap kasar dengan sesiapa sahaja. Masyaallah....tabarakallah, inilah sifat yang ada pada diri Kak Min yang aku kagumi. Pernah beberapa kali aku gagal membantu atau membatalkan program yang dikendalikan bersamanya di saat-saat akhir, namun tidak pernah terlihat kelibat marah di wajahnya. Apa yang selalu muncul dari mulutnya hanyalah.....”tak pa.......alright...insyallah lain kali..nanti Kak Min cari orang lain ganti......”
Semasa terlantar di hospital, kesibukkan menyebabkan aku hanya sempat menjengahnya tiga kali sahaja. Kini Kak Min yang aku kenal mudah sahaja ketawa bila ada yang melucukan sudah dijemput oleh Allah selama-lamanya. Kepada ahli keluarga Kak Min terutama suaminya, abang Mizi berbanyaklah bersabar menghadapi ketentuan Allah.
Inilah hakikat hidup, kematian adalah pasti. Samada suka atau tidak, bersedia atau belum, muda atau tua....yang pastinya semua akan menemui mati. Bersamalah kita memohon kepada Allah agar kita mengakhiri kehidupan ini dengan pengakhiran yang baik. Ini kerana Kematian boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja.
Teringat saya mengenai persoalan Imam Ghazali kepada anak muridnya.
Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?".
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.
Imam Al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran: 185 )
Semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmat ke atas roh Kak Min. Al fatihah.
1 comments:
Assalamualaikom.... Abg Mizi rasa amat terharu dgn pujian yg begitu tinggi Albukhary terhadap Arwah (Kak Min). Segala apa yg Albukhary katakan itu amat tepat sekali, itu lah keperibadianya dan sentiasa tersenyun tak kira susah atau senang dan mudah mengalirkan air mata juga.
Al fatihah..
Post a Comment