Sunday, May 6, 2012

Tandas Kita Vs Tandas Rumah Allah

Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

Firman Allah yang bermaksud : Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah: 222)

Dari Abu Malik Al-Asya’ari RA katanya : Rasulullah SAW bersabda “Bersuci membersihkan diri (zahir dan batin) adalah setengah daripada iman..”


Semasa dalam perjalanan ke Melaka, saya tidak mengambil Lebuhraya Utara Selatan, kerana hari masih siang. Lagipun pada waktu bukan musim cuti sekolah, Jalan persekutuan tidaklah sesibuk mana. Seperkara lagi, memandu sambil melihat kampong, deretan kedai dan pecan kecil dan sesekali melintasi hutan menyebabkan saya rasa kurang mengantuk berbanding jalan lurus di lebuh raya .Saya melihat jam tangan saya, sudah hampir jam 2.00 petang. Mata saya mula melihat papan tanda masjid berhampiran untuk menunaikan solat zohor dijamakkan dengan Asar bagi memudahkan perjalanan saya. Inilah kemudahan yang Allah bagi pada orang musafir, menghimpun dan memendekkan waktu sembahyang.

Akhirnya saya berjumpa sebuah masjid berhampiran dengan jalan besar Persekutuan sebelum memasuki sempadan Melaka. Sebenarnya sepanjang perjalanan tadi, tak saya ketemui papan tanda menunjukkan arah masjid tersebut. Atau mungkin saya terlepas pandang. Ia sebuah masjid yang agak lama bila melihat daripada struktur bangunannya. Semasa memasuki perkarangan masjid, saya melihat beberapa Jemaah sudah selesai menunaikan solah zohor. Saya terus mencari bilik air masjid bagi membersihkan diri.Sebaik melangkah memasuki bilik air masjid tersebut, saya terkejut. Bilik airnya begitu bersih sekali, mengalahkan bilik-bilik air di kompleks membeli belah. Kalau memandang pada struktur masjid yang uzur tentu saya tidak menjangka bilik airnya begitu bersih sekali. Malangnya saya lupa mencatat nama masjid dan kawasan tersebut. Ternyata masjid tersebut, tidak seperti kebanyakkan masjid dan surau yang kita semua sudah maklum, tandasnya….Masayallah Tabarakalllah, kotor, tidak diurus dengan baik, berbau, memualkan, malah ada yang sampai tahap menjijikkan. Inikah cara kita menjaga rumah Allah?Sedangkan Islam menganjur umatnya menjaga kebersihan kerana kebersihan itu merupakan sebahagian daripada cabang-cabang iman.

Dalam majlis ilmu juga tok-tok guru dan para ustaz menegaskan perlunya menjaga kebersihan bukan sahaja kebersihan dalaman tapi luaran juga. Apa gunanya kalau masjid dipenuhi Jemaah tapi hal kebersihan tidak diambil kisah. Apa peranan AJK masjid kalau hal-hal kebajikan sebegini tidak diambil berat? Kalau tak mampu menjaga kebersihan masjid, swastakan sahaja hal kebersihan ini. Apa guna duit tabung masjid puluhan ribu ringgit kalau tak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Dahlah kuliah pengajianpun jarang-jarang ada. Duit tabung tu amanah orang ramai, bukan duit atau harta kita!

Sabda Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”

Sebenarnya menjaga kebersihan rumah Allah menjadi tanggungjawab semua, baik jemaah mahupun AJK. Kalau dah guna, pandai-pandailah menjaganya. Tapi kadangkala nak jaga macam mana, kalau lepas guna, bila nak flush, bukan sahaja tali flush, dengan mangkuk flush pun tak ada! Inilah hakikatnya, kita selalu tuduh orang itu tak betul, orang ini tak baik tapi sebenarnya kita perlu betulkan diri kita terlebih dahulu sebelum menuding kepada orang lain. Kalau tandas rumah Allahpun tak boleh jaga, macamana nak jaga agama Allah. Sebab tulah hari ni orang bukan Islam mengambil kesempatan di atas kelalaian dan kekalutan kita yang bertengkar sesama sendiri.

Saya tinggalkan entri saya ini dengan satu persoalan: Kalau tandas rumah kita kebersihannya kita jaga begitu sekali, rumah Allah bagaimana?

Sabda Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company