Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.
“ Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dulu adalah suatu yang padu kemudian kami pisahkan antara keduanya. Daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup.”
Al-Anbiya :30
Semasa perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba jalan yang saya lalui mengalami kesesakkan. Semua pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan mereka. Masing-masing tertanya-tanya. Apa yang berlaku di depan menyebabkan kesesakan yang agak teruk? Dalam kepala saya hanya berlegar dua kemungkinan, samada sekatan jalan raya oleh pihak polis ataupun berlaku kemalangan jalan raya. Sepantas kilat saya menarik tali pinggang keledar.
Setelah terhinggut-hinggut kereta saya dalam “jem” yang panjang, akhirnya saya tahu punca yang sebenar. Paip besar di dalam tanah bocor, air keluar membuak-buak membentuk sungai yang kecil di laluan tepi. Saya melihat pihak pekerja bekalan air baru tiba .
Perasaan saya begitu terharu melihat betapa sayangnya bekalan air bersih keluar dari paip yang bocor bagaikan sungai. Sesetengah orang mungkin tidak terasa pembaziran air sebegitu kerana ALLAH telah mengurniakan nikmat air yang melimpah di negara kita. Sebab itu kita tidak berapa kisah kalau berlaku pembaziran air. Tapi kita lupa, pada 2005 negara kita pernah dilanda kemarau yang agak teruk. Kebanyakkan empangan hampir kering. Empangan Timah Tasuh di Perlis yang seluas 13 KM hampir kering kontang.
Yang lebih menyedihkan, ada sesetengah di kalangan kita semasa mengambil wudhuk, paip air dibuka begitu laju sekali. Kepala paip dipusing semaksima . Macam nak tercabut kepala paip. Ingatlah …Sikap membazir ini menggambarkan tingkah laku orang yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan ia merupakan amalan syaitan. Hargailah nikmat air yang dikurniakan kepada kita. Muhasabah dan bandingkan kehidupan kita dengan saudara kita di Afrika yang hidup dalam kekeringan tanpa air.
Seorang sahabat ada bertanya kepada Rasulullah S.A.W: “Apakah sedekah yang lebih utama?” Baginda menjawab:”Air”
Ada sebuah perigi di Madinah kepunyaan seorang Yahudi. Ia menjadi tumpuan kaum muslimin Madinah untuk mendapatkan air. Si Yahudi akan mengutip bayaran setiap kali mereka mengambil air di perigi tersebut. Melihat keadaan itu, Saidina Uthman telah membeli perigi tersebut dan mewakafkannya untuk kegunaan kaum Muslimin. Mereka bebas menggunakannya tanpa membayar apa-apa. Rasulullah S.A.W telah memuji tindakan Saidina Uthman.
Di dalam Quran telah dinyatakan betapa penting nikmat air. Dalam surah an-Nur ayat 45 Allah berfirman yang bermaksud :”Allah mencipta kesemua jenis haiwan daripada air” Ini diakui oleh pakar-pakar biologi dari barat. Sila rujuk www.bbc.co.uk/science . Malahan seorang doktor dari Jepun Dr Mesaru Emoto telah membuat kajian mengenai keajaiban air ciptaan ALLAH. Beliau telah menulis sebuah buku mengenai kajian beliau iaitu Messages from Water. Sila rujuk http://www.hado.net/index.php.
Jika orang bukan Islam mengkagumi air ciptaan ALLAH, jadi mengapa tidak kita? Tepuk dada tanyalah iman.
Jumpa lagi. Insyallah.
Semoga kita akan diberi cahaya keimanan yang bergemerlapan dan sentiasa mensyukuri akan nikmat ALLAH.
Rujukan
Ahmad Muhammad Abdul Ghaffar:Persediaan Menghadapi Hari Tua. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. 2000
Dr Danial Zainal Abidin: Quran Saintifik, PTS Publication, Selangor.2007
http://www.hado.net/index.php
www.bbc.co.uk/science
0 comments:
Post a Comment