Monday, January 25, 2010

Perjalanan Kehidupan : Syurga Atau Neraka?

“ Maka ingatlah kamu kepada-Ku. Nescaya Aku ingat kepadamu. Dan berterima kasihlah kepada-Ku dan janganlah kamu menyangkal nikmat-Ku.”
al-Baqarah:152

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.
Kehidupan kita umpama menaiki kapal yang sedang belayar menuju ke suatu destinasi bernama Pulau Abadi.. Dalam perjalanan, kapal tersebut telah berhenti seketika di sebuah pulau yang indah. Kita telah diarahkan untuk mengambil seberapa banyak bekalan di pulau tersebut. Namun, malangnya apabila tiba di pulau tersebut, ramai yang terleka serta asyik terpesona menikmati keindahan pulau. Akhirnya siren berbunyi mengarahkan semua penumpang pulang semula ke kapal kerana perjalanan ke Pulau Abadi akan diteruskan. Yang terleka dan terpesona tidak sempat mengambil apa-apa untuk dijadikan bekalan. Maka mereka akan menghadapi saat-saat sukar nanti.
Begitulah juga ibarat kehidupan kita di atas muka bumi Allah ini. Dunia ini hanya satu persinggahan. Jika kita hidup di atas muka bumi ini lali dan meninggalkan perintah Allah, apakah nanti bekalan yang akan kita bawa bila kita mengadap ALLAH di akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w telah memberi nasihat kepada umatnya mengenai kehidupan ini. Sabda baginda yang bermaksud:
“ Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah taala daripada seorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaiatu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka”
Kita masih punya waktu. Kita masih bernafas menghirup udara ciptaan Allah. Kita masih boleh bergurau senda dan bergelak ketawa. Dan sudah semestinya kita masih boleh menghitung dan bermuhasabah diri, menghitung ke arah manakah perjalanan kita selama ini. Adakah menuju ke syurga ataupun lebih sengetnya menuju ke arah pintu neraka. Ayuh…saudara-saudaraku, anak-anakku dan para sahabat seagama, kita masih diberi kesempatan oleh Allah untuk berubah. Menjadi insane yang patuh dan taat kepada-Nya. Dan seterusnya mendapat tempat dalam syurga Allah.
Moga kita sama-sama akan mendapat rahmat dan redha Allah.
Wassalam


Rujukan
Al Imam Muslim, Terjemahan Shahih Muslim Jld I,II,III dan IV, Klang Book Centre, Selangor. Cetakan kelima 1997
Al Imam Al Ghazali. Terjemahan Ahmad Fahmi Zamzan: Ayyuhal Walad. Khazanah B Cetakan Keempat :Banjariah, Pokok Sena, Alor Setar. Cetakan Keempat 2007
Al Imam Al Ghazali terjemahan Muhammad Qadirun Nur : Penenang Jiwa. Wholesale Mart. Cetakan kedua belas 2008

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company