Tuesday, April 20, 2010

Bila AF8 menyingkap tirainya



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“……Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka , maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis. Kemudian datanglah setelah mereka, pengganti yang mengabaikan solat dan mengikuti keinginannya, maka mereka kelak akan tersesat, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebajikan, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dizalimi (dirugikan) sedikitpun”
(Surah –Maryam : 58-60)


Dari al-Abbas Bin Abdul Muthallib Radhiallaahu anhu, Nabi Shalallaahu alaihi wasalam bersabda, artinya,
"Dua jenis mata yang tidak tersentuh api neraka, (pertama) mata yang menangis (ditengah kesendirian) di malam hari kerana takut pada Allah Subhannahu wa Ta'ala, dan (kedua) mata yang digunakan untuk berjaga-jaga (pada malam hari) di jalan Allah. "
(HR. At-Thabrani)


“Andalah penentu undian bagi mereka-mereka ini. Tiada guna anda bersedih atau kesal jika peserta pilihan anda tersingkir untuk minggu ini kerana semuanya terletak di tangan anda!” dengan nada sayu serta diiringi muzik sentimental, hos AF memainkan perasaan penonton.

“Sebentar lagi talian akan di tutup. Anda masih berpeluang mengundi peserta pilihan anda…..”

Begitulah antara kata-kata klise yang sering dilafazkan oleh hos-hos yang mengendalikan rancangan realiti tv tak kiralah samada AF, Mentor, Raja Lawak, Sehati Berdansa dan sebagainya. Yang pastinya kata-kata itu sesekali menyentuh hati kecil penonton samada yang berada di studio atau di hadapan kaca TV.
Bila diumumkan saja peserta yang terkeluar, maka berlinanganlah air mata sang penonton. Maka kamera akan mula memainkan peranan , beberapa wajah sedih dan babak mengesat-gesat air mata akan dijadikan fokus utama. Begitu mudahnya manusia mengalirkan air mata bila dihidangkan dengan sesuatu yang menyentuh kalbu. Pernah saya melihat dalam satu prebiu rancangan realiti yang bakal ditayangkan bagaimana beberapa peserta menangis terisak-isak kerana tidak terpilih. Malahan satu ketika dulu pernah kita terbaca dalam akhbar bagaimana ibu bapa peserta rancangan realiti tv bertindak mahu menyaman sebuah syarikat tv kerana kononnya bersifat berat sebelah dalam membuat pengadilan pemilihan peserta. Itulah hakikat dunia kehidupan masyarakat kita hari ini, sanggup bersungguh-sungguh demi hiburan . Bukan itu sahaja, hari ini terdapat sebahagian ibu bapa berlumba-lumba mahu menjadikan anak-anak mereka penghibur. (Insyallah akan kita bincangkan nanti)

Malangnya air mata yang sepatutnya dialirkan untuk mengingati Allah, menyintai Rasulullah dan bermuhasabah akan segala kesalahan yang pernah dilakukan ditumpahkan pada tempat yang tidak sepatutnya . Lihatlah, betapa mudahnya air mata mengalir bila perasaan dibuai sayu melihat peserta pujaan dalam siri realiti tv disingkirkan. Air mata mudah berderai bila menonton drama-drama dan filem-filem yang memaparkan babak-babak tragis dan penuh kesedihan. Yang menangis tu bukan sahaja golongan remaja tapi termasuk juga golongan kakak-kakak dan makcik-makcik. Maka tertanya saya di dalam hati kecil ini, apakah sanggup mereka menangis seperti itu hanya kerana cintakan Islam? Sanggupkah mereka menangis apabila melihat Islam dihina? Pernahkah mereka menangis takutkan ALLAH kerana tertinggal solat-solat yang lalu? Atau apakah pernah mereka menitiskan air mata menangis apabila adik beradik atau anak-anak mereka tidak bangun untuk menunaikan solat fardhu subuh? Dan berapa ramaikah yang sanggup menangis bila Rasulullah dihinaoleh orang-orang kafir laknatullah? Tepuklah dada dan tanyalah iman.

Dari Ibnu Mas'ud Radhiallaahu anhu, Nabi Shalallaahu alaihi wasalam bersabda, maksudnya,
"Setiap mukmin yang menitiskan air mata kerana takut kepada Allah walau hanya sekecil kepala seekor lalat, lalu air matanya itu membasahi pipinya nescaya Allah haramkan neraka untuk disentuh"
(HR.Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ashbahni)


Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan manusia menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allah."
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Anak-anak remaja Islam perlu diberi kesedaran agar jangan dibiarkan agenda hiburan yang memenuhi setiap ruang dalam program-program di kaca televisyen kita hari ini terus melalaikan dan menghayutkan mereka jauh dari syariat agama Islam. Hari ini saya melihat ketaksuban anak-anak remaja Islam terhadap program-program realiti tv sudah sampai ke satu tahap yang membimbangkan. Malahan ada yang sudah ke tahap menjadi menjadi penyokong fanatik terhadap program-program sebegini. Lihatlah sahaja setiap kali diadakan konsert-konsert AF dan konsert-konsert program realiti TV yang lain pasti penuh sesak stadium atau auditorium. Siapa yang paling ramai memenuhi setiap ruang konsert ini? Sudah pasti anak-anak remaja Melayu yang beragama Islam. Malahan ada yang sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit demi menubuhkan fan club untuk artis pujaan mereka.

Melonggokkan hiburan yang melampau kepada golongan remaja Islam hari ini merupakan salah satu agenda halus puak-puak nasrani dan yahudi yang sememangnya ingin melemahkan keimanan anak-anak muda. Nampaknya peranan dan jarum yang dimasukkan mereka sudah mula membuahkan hasil. Anak-anak remaja Islam mula berkiblatkan hiburan dalam mencari keseronokkan hidup dan kepuasan diri. Semua pihak mestilah menyedari akan hakikat ini. Jangan hanya mahu menjadi penonton atau pak pacak sahaja tanpa rasa bersalah dan bertekad untuk menyekat fenomena ini.

Oleh itu anak-anak remaja perlu berhati hatilah apabila melayari kehidupan di dunia yang penuh fitnah hari ini. Mereka mungkin merupakan golongan yang sukakan hiburan tapi yang pastinya jangan biarkan hiburan terus melalaikan anda terutama dalam menjalani kewajiban sebagai seorang hamba kepada Allah yang Esa. Dan jangan biarkan diri anda terheret sama- sama menjadi salah seorang peyumbang ke arah mengalakkan kemaksiatan dalam dunia hiburan. Apa tidaknya, jika anda turut juga menjadi penyumbang saham ke neraka apabila terlibat membuat pengundian menerusi sms. Ayuh kita sama-sama renungkan.

Insyallah, kita jumpa lagi.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company