Sunday, April 4, 2010

Remaja Kita Kian Rapuh



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

“Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf (yang baik-baik) dan melarang dari yang mungkar; dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(Al-Imran : 104)


Kesibukkan menjalankan tugas di luar menyebabkan saya tidak sempat memuatnaikkan sebarang artikel hampir dua minggu dalam laman blog . Di fikiran saya sentiasa terbayang –bayang untuk mengemaskinikan blog saya namun keterbatasan waktu ditambah dengan bebanan tugas yang perlu dibereskan semasa berada di luar menyebabkan dua minggu berlalu dengan sia-sia . Begitu cepatnya masa berlalu.
Minggu lepas saya diarahkan untuk menjalankan tugas di Pulau Langkawi yang penuh dengan pelbagai kisah lagenda. Sepanjang perjalanan saya menuju Kuala Perlis, saya membayangkan tentu jeti Kuala Perlis akan sunyi sepi kerana keadaan kemerosotan ekonomi yang melanda negara sejak tahun lalu. Namun sangkaan saya meleset, setiba saya di jeti Kuala Perlis, ramai orang sudah memenuhi ruang menunggu di dalam ruang berlepas. Betapa makmurnya negara kita dianugerah oleh ALLAH Ta’ala walaupun masalah kemelesetan ekonomi melanda negera. Namun berapa kerat yang bersyukur akan segala nikmat dan rahmat ALLAH ini?

“Assalamualaikum” lamunan saya tiba-tiba terhenti bila bahu saya dicuit dari belakang.

“‘Wa ‘alaikum Salam,” saya menjawab salam lalu menoleh ke belakang.

Rupanya sahabat saya, seorang pensyarah salah sebuah Institusi pendidikan yang sama-sama belajar dengan saya semasa di universiti dulu. Walaupun jarang berjumpa tapi kami selalu berhubung melalui telefon.

“Nak ke Langkawi juga ke?” tanya saya ringkas.

“Tak aku baru balik dari Langkawi, ni dok tunggu bas datang ambil. Rupanya bumi ALLAH ni tak sebesar mana. Dari jauh kita datang rupanya nak jumpa di sini juga. Kau baru nak pergi Langkawi ke?”

“Baru na pergi. Feri jam 1.30 petang. Ada 45 minit lagi. Kau ke langkawi seorang saja ka?” tanya saya.

“ Tak, aku bawa student untuk kursus motivasi. Tu yang terkinja-kinja tu student aku la,” balas sahabat saya sambil menudingkan jari ke arah sekumpulan remaja sedang bergurau dan bergelak ketawa tanpa mempedulikan orang di sekeliling.

“ Geram aku. Nak marah dah dewasa dan penuntut institusi pula. Tapi perangai macam bukan orang ada ilmu. Terhegeh-hegeh, bergurau lelaki perempuan tak peduli halal haram, mahram tak mahram. Yang perempuan tu tak rasa malu langsung. Dah la pakai tak berapa nak senonoh,” rungut sahabat saya.

“Tapi bukan semua,” saya cuba menenangkan hati sahabat saya.

“Memanglah bukan semua tapi kerana yang sebahagian tulah menyebabkan orang pandang semua student macam tu! Nak kata tak nasihat, dah berbuih mulut aku ingatkan mereka jaga tingkah laku sebelum datang dan sebelum balik kursus ni. Malahan semasa kursus kami dah cakap soal menjaga sikap dan hati sebagai orang yang berilmu semasa sesi LDK. Dalam tazkirahpun Ustaz dah tekankan soal moral yang perlu ada pada remaja Islam. Ustaz tekankan tentang betapa pentingnya remaja hari ini mempamerkan sikap dan peribadi sebagai seorang remaja Islam yang menurut syariat dan tuntutan Islam.”
“Kau tahu tak semasa dalam kursus pun tak ada langsung perubahan. Subuh yang pertama pada hari yang kedua semasa kursus dah boleh kita lihat sikap anak-anak muda kita hari ini. Dah masuk waktu subuh, seorangpun tak ada yang datang untuk jemaah subuh. Masyaallah, jenuh aku, rakan-rakan pensyarah lain serta ustaz pergi ke khemah. Kau tahu apa yang terjadi. Baik khemah lelaki mahupun khemah perempuan semuanya masih tidur. Yang bangun tiga empat orang pelajar perempuan sibuk memasak sarapan seolah-olah tak mempeduli masuknya waktu subuh. Bila ditanya mengapa tak kejut rakan-rakan. Jawapannya mereka dah kejut tapi tak ada siapa yang bangun. Berderau darah aku, pagi tu ustazpun aku tengok merah biji mata menahan sabar.” balas sahabat saya lagi.
“Nak kata bodoh dan bebal tapi belajar sampai peringkat ijazah. Kepala hotak kebanyakkan remaja kita hari ini pada fikiran aku telah banyak diresapi dengan budaya hendonisme. Kau tengok hiburan hari ini dilambakkan kepada remaja kita dengan banyaknya. Akhirnya bab mengenai hiburan atau hal-hal keduniaan akan dikerjakan dengan bersungguh-sungguh . Tapi hal-hal berkaiatan keagamaan nampak sangat mereka lakukan kerana terpaksa ataupun sambil lewa sahaja. Sebenarnya ini merupakan satu masalah dan ancaman besar kepada Negara kerana mereka-mereka nil ah yang akan jadi pemimpin. Tapi berapa kerat orang yang sedar! ”

Belum sempat sahabat saya menyambung kata-katanya, telefon bimbitnya berbunyi.

“Student aku call beritahu yang bas a dah sampai. Aku pergi dulu nanti aku call boleh kita sembang lagi’” sahabat saya bingkas bangun bersalam dan berpelukan lalu meninggalkan saya.

Saya merenung kembali cerita kawan saya sebentar tadi. Memang banyak kebenarannya. Walaupun bukan semua remaja bersikap demikian tapi penyakit remaja seperti yang digambarkan oleh rakan saya semakin hari semakin menjadi kudis yang merebak. Kebimbangan perlu ada pada diri orang-orang awam seperti saya yang cinta dan rindukan sesama syiar Islam, pada diri para ibu bapa, dalam perjuangan ahli-ahli politik ( jangan asyik bertekak sendiri kerana laparkan jawatan di dunia sahaja) dan pertubuhan NGO.

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat dzarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”
(Az-Zalzalah :7-8
)

Anak-anak remaja kita hari ini suka meniru atau mencontohi sesuatu yang dilihat apatah lagi jika sesuatu itu pelik atau luar dari abad budaya semasa. Malangnya apa yang mereka tiru atau contohi kadang kala diikut secara membabi buta tanpa ada ilmu. Jika yang ditiru itu bersifat kemungkaran, maka dia akan menyebarkan kemungkaran tersebut di kalangan rakan-rakan dan ahli-ahli kumpulannya. Kalau dahulu kita nak melihat remaja Islam perempuan memakai baju-baju singkat menampakkan pusat atau berseluar ketat menampakkan seluar dalam mereka atau yang lebih memalukan sebahagian punggung (maaf saya terpaksa menulis perkataan yang kurang enak) mereka terlalu sukar. Kalau adapun cuma beberapa kerat sahaja. Tapi hari ini pergilah ke mana sahaja samada pusat membeli belah atau kawasan-kawasan kunjungan orang ramai pasti akan ternampak bagaimana pakaian remaja Islam kita. Itu baru dilihat dari segi cara berpakaian, belum lagi dilihat dari segi tutur kata, adab pergaulan dan pegangan hidup. Masyallah tabarakallah…..saya selalu bayangkan bagaimana nanti kehidupan anak-anak remaja Islam dalam masa 10 atau 20 tahun mendatang.
Hal ini perlu ditangani bersama. Ia merupakan satu agenda yang penting kepada negara kerana anak-anak remaja merupakan asset negara yang berharga. Jika kita terus membiarkan mereka hanyut dibuai oleh kepincangan, maka kita nanti akan dipersoalkan di hadapan ALLAH kerana lalai dalam menjalankan tanggungjawab kita samada sebagai pemimpin kecil mahupun pemimpin besar.

“Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolog-tolong membuat dosa dan aniaya…”
(Al-Maidah :2)


Sabda Rasulullah S.A.W :
“Sesiapa berusaha menolong keperluan saudaranya hingga terpenuhi atau tidak terpenuhi, maka Allah mengampuni dosanya yang terdahulu dan kemudian serta menulis untuknya dua keselamatan: Selamat dari neraka selamat dari kemunafikan.”


Bila saya menulis ini, saya dengan rendah hati mengingatkan diri saya sendiri akan tanggungjawab ini. Semua pihak terutama para remaja perlu merenung dan bermuhasabah agar hala tuju kita menjadi jelas dan bermakna mengapa kita ditakdirkan ALLAH hidup di muka bumi ini dank e arah mana akhirnya nanti perjalanan kita. Janganlah kita terus membiarkan budaya hendonisme mewarnai corak pemikiran remaja hari ini sehingga mereka melupakan terus tanggungjawab mereka sebagai hamba ALLAH. Jika soal sembahyang dipandang enteng apatah lagi membabitkan persoalan yang lain. ISLAM secara total dalam kehidupan dilihat sebagai cara penyelesaian yang paling mutlak. Memanglah untuk mengubah pemikiran remaja secara drastik adalah sesuatu yangmustahil (kecuali dengan izin dan kekuasaan ALLAH). Perancangan dan anjakan paradigma kotak pemikiran anak-anak remaja perlu dibuat secra beransur-ansur. Bagaimana caranya, maka sama-samalah kita fikirkan.

Insyaallah...kita jumpa lagi.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company