Wednesday, July 7, 2010

Bertahajud bersama ustaz muka empat segi



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Pada malam hari, hendaklah engkau shalat Tahajud sebagai tambahan bagi engkau. Mudah-mudahan Tuhan mengangkat engkau ketempat yang terpuji.”
(QS Al-Isra’: 79)


Sahabat Abdullah bin Salam mengatakan, bahwa Nabi Muhammad saw bersabda:

“Hai sekalian manusia, sebarluaskanlah salam dan berikanlah makanan serta sholat malamlah diwaktu manusia sedang tidur, supaya kamu masuk Surga dengan selamat.” (HR Tirmidzi)


Minggu ini merupakan kemuncaknya pusingan akhir Piala Dunia 2010. Maka minggu depan akan kembali normal kehidupan manusia-manusia yang gila dan taksub kepada dunia bola sepak. Apa tidaknya, jika selama ini untuk bangun pagi terasa begitu malas sekali , tapi demi bola sepak kemalasan itu boleh diatasi.

Bayangkan ada yang sanggup kunci jam loceng dan telefon bimbit untuk mengejutkan mereka dari tidur agar tidak terlepas perlawanan jam 2.30pagi. Ada yang sanggup tidak mahu melelapkan mata , berjaga terus sepanjang malam, melepak di kedai mamak atau kelab hingga kepagi. Hebat sungguh penangan bola sepak. Itulah hakikatnya, manusia bersungguh-sungguh untuk hal-hal keduniaan .

Tidak salah untuk kita menonton asalkan kita tidak terus lalai dan tenggelam dengan keasyikan hingga melupakan tanggungjawab dan ibadah kita kepada Allah SWT. Sepanjang 31 hari berlangsungnya Piala Dunia ini ramai yang selama ini tak mampu nak bangun pagi, tiba-tiba dapat melakukannya. Hebat. Tapi kita akan menjadi lebih hebat lagi kalau sudah bangun di tengah malam sekitar jam 2.00 pagi atau 2.30 pagi, kita berupaya bermunajat dan bertahajud kepada Allah SWT terlebih dahulu sebelum menonton bola.

Rasulullah S.A.W bersabda:” Sewaktu salah seorang kamu tidur; di pembaringanmu syaitan mengikat tiga ikatan. Pada mala yang panjang, hendaklah kamu bangun. Jika telah bangun dan berzikir kepada Allah, maka lepaslah satu ikatan. Jika berwuduk, lepas satu ikatan lagi. Jika kemudian apabila solat , lepaslah satu ikatan lagi. Sehinggalah apabila bangun di waktu pagi dengan penuh semangat dan berjiwa lapang. Jika tidak, maka jiwamu sempit dan malas.”

Malangnya ini tidak berlaku. Ramai di antara kita, sudah ada kekuatan untuk bangun malam(pagi) tapi akhirnya hanya mampu bertahajud bersama ustaz muka empat segi. Kita tidak ada kekuatan untuk bangun, mengambil wuduk dan bersolat malam kepada Allahterlebih dahulu sebelum menonton. Lebih malang lagi, ada yang sudah bangun menonton perlawanan 2.30 pagi dan bila tamat perlawanan sekitar jam 4.30 pagi tetapi sudah tidak sanggup untuk menunggu masuknya waktu subuh. Akhirnya terlena dan meninggalkan solat subuh tanpa sedikitpun rasa bersalah kepada Allah SWT. Malah ada jemaah yang sanggup tidak datang ke surau atau mesjid untuk berjemaah maghrib atau isya’ semata-mata tidak mahu terlepas perlawanan jam 8.00 malam. Nauzubillah….

Inilah fenomena yang melanda ummah hari ini. Kelemahan dan perpecahan yang berlaku di kalangan orang Islam hari ini kerana tidak ada kekuatan dan istiqamah dalam menegakkan agama Allah sebagai panduan dalam kehidupan. Perkara agama dianggap remeh sedangkan hal-hal keduniaan dikerja dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Kelemahan ini bukan sahaja ada pada orang-orang awam seperti saya, malahan ia juga sudah merebak dan menjangkiti golongan-golongan ilmuwan yang memang mahir dan penuh dengan ilmu agama. Hari ini kita memegang dunia dengan begitu kuat seolah-olah tidak mahu melepaskannya sedangkan kita biarkan akhirat terawang-awang tanpa peduli. Ternyata golongan kuffar seperti Yahudi dan Nasrani telah berjaya mengkucar-kacirkan kehdupan ummah hari ini dengam lambakkan hiburan dan kesenanagan yang melampau. Meraikan dan berpesta sempena Piala Dunia merupakan antara contoh yang ketara buat ketika ini.

Rasulullah bersabda:
Siapa di waktu pagi lebih mementingkan dunia maka dia tidak memiliki sesuatu dari Allah. Malah Allah akan menetapkan empat hal dalam hatinya; kedukaan yang tidak pernah ada putusnya, kesibukan yang tidak pernah ada rehatnya, kefakiran yang tidak pernah sampai kaya dan angan-angan yang tidak pernah ada hentinya.”


Semoga Allah SWT selalu melindungi kita daripada melakukan kemaksiatan dan semoga Allah sentiasa memberi kekuatan hati dan iman untuk kita sama-sama menegakkan agama Allah dalam dunia yang penuh fitnah hari ini. Amin.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company