Tuesday, July 27, 2010

Kopitiam : Halal Tapi Haram



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabah baginda.

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
(Al-Baqarah : 168)


Dari Salman Al-Farisi, Rasulullah SAW pernah ditanya hukumya samin, keju dan keldai, maka jawab baginda : Apa yang disebut halal ialah: sesuatu yang Allah halalkan dalam Kitab-Nya; dan yang disebut haram ialah : sesuatu yang Allah haramkan dalam kitab-Nya; sedang apa yang Ia didiamkan,maka dia itu salah sayu yang Allah maafkan buat kamu.”
( Hadis Riwayat : Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Halal tapi haram. Istilah ini mengelirukan tapi itulah hakikat yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Laporan beberapa buah akhbar tentang status makanan halal di kopitiam dua tiga hari yang lepas bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Perkara ini sudah lama berlaku Cuma mungkin masyarakat Islam kita tidak begitu prihatin atau menganggap ini cuma perkara yang kecil.

Malahan isu tentang kopitiam menghidangkan makanan yang diragui status halal haramnya telahpun dimuatkan dalam majalah I Luv Islam pada beberapa keluaran awalnya. Diceritakan dalam ruangan tersebut bagaimana seorang pelanggan Islam semasa menjamah mee goreng terkejut apabila mendapati daging dalam mee tersebut adalah kaki katak. Masyallah….terkejut biawak dibuatnya. Nak buat macam mana kerana nak jaga prestij, dalam banyak-banyak kedai makanan orang Islam tapi di kopitiam juga selera menjadi tumpuan. Akhirnya nak saman tuanpunya kopitiam pun tak boleh sebab kopitiam tu memang tak ada sijil halal. Yang kita gatal nak pergi makan di situ buat apa. Tauke tupun tak pernah jemput kita pergi ke kedainya sebab tu dia pun tak ingin nak minta sijil halal. Tapi masyarakat Islam kita hari ini kerana nak jaga prestij dan gaya hidup orang bandar warung-warung tepi jalan tak main lah. Kopitiam ni ada standard, nampak ekslusif, santai dan ada perkhidmatan wi-fi pulak.

Hukum pemilihan makanan mengikut syariat dalam Islam adalah jelas. Malangnya umat Islam hari tidak pernah mahu ambil peduli langsung mengenai hal ini. Hari ini golongan peniaga bukan Islam samada mereka tidak punya pengetahuan atau sengaja pura-pura tiada pengetahuan menyedari yang masyarakat Islam kurang berhati-hati apabila ingin menjamu selera. Maka mereka membuka premis-premis makanan dan mempamerkan tanda logo halal (samada logo tu tulen atau palsu) untuk menarik perhatian pelanggan Islam. Malahan ada yang berani mempemerkan ayat-ayat suci Al Quran di gerai atau premis mereka. Memanglah yang dijual ayam, daging dan makanan yang halal yang dimakan oleh orang Islam. Tapi bagaimana proses persediaannya dan penyembelihannya. Adakah mengikut syariat? Sebab itu Islam mengariskan panduan memilih makanan mengikut prinsip Halalan Thoiyiba, bukan saja halal tapi juga baik serta bersih.

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai,darah,daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah...."
(Al-Baqarah : 173)

Maka jelaslah disini, bahawa perintah Allah supaya kita memilih makanan yang hahal dan baik adalah untuk kebaikkan manusia itu sendiri dan bukannya untuk memudaratkan kesihatan manusia.Selain itu,pemilihan makanan yang halal akan menjamin kesejahteraan hidup seseorang di dunia dan di akhirat.

Makanan yang haram samada ia daripada bahan yang dicampur najis atau benda bersumberkan punca yang tidak halal akan mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakanannya:

Pertama - Makanan itu akan mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta benci kepada kerja-kerja kebajikan dan ketaatan.

Kedua - Doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah.

Ketiga - Dia akan mendapat siksaan dineraka Allah pada hari kiamat kelak.

Sabda rasulullah s.a.w:
"Setiap daging yang tumbuh daripda makanan yang haram,maka api nerakalah yang layak baginya"
.

Umat Islam perlu sedar, pemilihan makanan halal lagi baik adalah perlu. Gaya dan cara hidup memilih tempat atau makanan untuk memenuhi selera perlu diubah demi mendapat keberkatan Allah. Di luar sana masih ramai gerai kepunyaan orang Islam yang boleh kita menjamu selera tanpa ragu-ragu. Kepada para peniaga pula, carilah bahan-bahan yang ingin dimasak itu dari keluaran orang Islam. Jangan kerana nak mengaut untung lebih sanggup menjual makanan dari sumber yang diragui halal haramnya. Apa yang kita nak jawab di hadapan Allah nanti. Pada pihak yang bertanggungjawab samada kerajaan atau bukan kerajaan (NGO), sensitiviti orang Islam perlu dijaga. Jangan sekadar mewar-warkan berita mengenai ada pasaraya, kedai, premis atau pengeluar tertentu mengeluarkan barangan yang haram atau diragui halalnya tapi tidak mendedahkan nama mereka-mereka ini. Akhirnya umat Islam tertanya-tanya, syarikat, pasaraya, premis atau gerai yang mana yang membekalkan makanan haram atau diragui status halalnya.

Semoga Allah sentiasa memberi kita hidayah dan kekuatan untuk memperjuangkan agama Allah

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company