Wednesday, October 13, 2010

DUN Galas : Antara Kemanusiaan dan Keduniaan



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. ( al-i-‘Imran :185)

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Sesiapa bercita-citakan kehidupan akhirat, maka Tuhan menjadikan kekayaan dalam hatinya, dihimpunkan segala kepentingannya, dan diberikan kepadanya kenikmatan hidup ini seberapa perlunya. Sesiapa bercita-citakan kehidupan dunia, Allah menjadikan kemiskinan antara dua matanya, dipisahkan daripadanya apa yang menjadi keperluannya dan tidak di-berikan kepadanya kenikmatan hidup dunia kecuali apa yang sudah ditentukan.” – (Hadis riwayat aT-Tarmizi).



Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini telah menyebabkan kadar sewa rumah di sekitar bandar Gua Musang kini melambung manakala gerai makanan mulai tumbuh dengan banyaknya. Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200 sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu.

Petikan di ata merupakan sebahagian daripad berita yang dimuatkan di dada akhbar baru-baru ini. DUN Galas hanya wujud selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh SPR pada 1985 dan di letakkan di bawah parlimen baru iaitu Gua Musang. Walaupun DUN Galas kurang diberi publisiti sebelum ini tapi ia menjadi pusat pentadbiran Gua Musang yang semakin berkembang. Kini Galas kembali menjadi sebutan selepas kematian wakil rakyatnya Allahyarham Che Hashim Sulaima. (Sedekahkan al Fatihah kepada beliau).
Namun apa yang ingin saya coretkan di sini ialah bagaimana sebahagian kecil manusia sanggup mengenepikan perasaan kemanusiaan hanya kerana ingin mengaut keuntungan dunia secara segera. Apa tidaknya, ada pemilik rumah yang tergamak menyuruh ( kalau dalam bahasa yang agak kurang sopan “menghalau”) penyewa keluar dalam tempoh 24 jam hanya semata-mata dikaburi oleh habuan dunia. Tidakkah mereka terfikir selama ini sejak bertahun-tahun atau berbulan-bulan lamanya, siapakah orang yang sanggup menyewa rumah mereka daripada terbiar kosong.

Dalam hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa pada suatu masa nanti semakin ramai manusia yang hatinya terpaut kepada dunia. Hadis itu bermaksud: “Akan datang kepada umatku suatu zaman, di mana mereka lebih cinta kepada lima perkara dan lupa kepada lima perkara lain iaitu cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat; cinta kepada harta dan lupa kepada hari hisab (perhitungan); cinta kepada makhluk dan lupa kepada khaliq (penciptanya); cinta kepada dosa dan lupa kepada taubat; cinta kepada mahligai dan lupa kepada makam (kuburan).”

Mungkin akan ada kata-kata sinis yang mengatakan, inilah masanya nak cari keuntungan, bila lagi? Memang tidak salah untuk kita mencari keuntungan di dunia tapi janganlah sampai kita mengorbankan rasa kemanusiaan kita dan juga mengambil kesempatan yang melampau batas. Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari harta sebanyak mungkin asalkan caranya halal dan perkara paling mustahak ialah jangan sampai harta benda atau kekayaan itu dijadikan tujuan hidup. Jangan sampai harta dunia menipu dan mengheret kita ke dalam kemusnahan.

Firman Allah : Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Al- Haddid:20)

Bukanlah maksud saya hendak memperlekeh sesiapapun tetapi sekadar ingat mengingati kepada diri saya sendiri yang serba kekurangan dan juga pada mereka yang dapat menerima dengan hati terbuka. Kita tidak mahu dalam perlumbaan mengejar dunia yang sedikit kita tercicir segala nilai keimanan, ketakwaan dan peri kemanusiaan.
Semoga Allah sentiasa mengampun segala dosa-dosa dan kekhilafan kita dalam melayari kehidupan di dunia ini. Amin.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company