Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (al-Maaidah: 2)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari)
Semasa membaca sebuah buku “ Menjadi Ibu bapa Genius : Berdasarkan Nasihat Luqman al Hakim” , saya tertarik dengan satu pesanan Luqman tentang menjadi orang terhormat. Hari ini Allah telah mengangkat rasa hormat yang ada pada manusia terutamakita umat Islam kerana kelalaian kita menjadi hamba Allah yang taat dan patuh. Hari ini ramai masyarakat memandang mudah kerja-kerja agama.
Akhirnya kita menjadi umat yang lemah. Orang bukan Islam tidak lagi memandang kita dengan rasa hormat. Islam diperlekeh oleh musuh-musuh Islam kerana kelemahan kita berpegang teguh dengan tali Allah. Bagaimana orang bukan Islam hendak menghormati kita jika orang-orang Islam sendiri bercakaran, bermusuhan dan berpuak-puak sesama Islam. Kita melakukan kerosakan dan kezaliman antara sesama kita dan kecintaan atas nama persaudaraan Islam sudah kian terhakis dan hilang. Kita kata kita patuh dengan berpegang dengan Al Quran dan sunnah tapi dalam ketika yang lain tindak-tanduk kita seolah-olah bertentangan dengan tuntutan Allah dan Rasul.
Bagaimana orang Islam akan tertarik dan terpesona dengan keindahan Islam jika kita sendiri mencemarinya. Contoh yang paling mudah, ketika azan berkemundang di corong-corong mesjid dan surau, berapa ramai umat Islam yang bergegas menuju ke rumah Allah untuk menunaikan kewajiban solat? Kalau ada , alahamdulillah. Tapi yang pastinya masih ramai yang memandang enteng dan sepi laungan azan. Jadi apa bezanya kita dengan orang bukan Islam?
Pesan Luqman kepada puteranya untuk menjadi orang yang terhormat: “ Puteraku, aku nasihatkan kepadamu beberapa perkara yang apabila kamu berpegang teguh, maka kamu akan tetap menjadi orang yang terhormat. Pertama, pamerkan akhlakmu pada orang dekat dan orang jauh. Kedua, jangan bersikap kejam pada orang yang baik mahupun orang yang jahat. Ketiga, sambunglah silaturahim dengan keturunanmu. Keempat, jagalah saudara-saudaramu dan selamatkanlah mereka daripada pengadu domba yang sentiasa berusaha untuk merosakkan hubunganmu dan ingin memperdayakanmu. Hendaklah saudara-saudaramu itu merupakan orang-orang yang apabila kamu berpisah daripada mereka ataupun mereka berpisah daripadamu, kamu tidak mencela mereka dan mereka tidak mencelamu.” (Ihya’Ulum Ad-Din, jil 3. hlm 157-158)
Firman Allah : “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;”
(Am-Nisaa : 36)
Dapatkah kita menjadi umat yang hebat dan terhormat bukan sahaja di sisi manusia tapi yang pentingnya di sisi Allah Ta’ala. Insyallah jika semua umat Islam kembali kepada fitrah Allah, berpegang dengan hukum Allah dan yang paling penting meletakkan Islam di kedudukan yang teratas dalam melayari kehidupan. Soalan ini saya lontarkan kepada diri saya sendiri yang banyak melakukan dosa dan maksiat.
Semoga Allah membuka pintu-pintu hati kita menjadi umat yang soleh dan sentiasa dalam lindungan-NYA.
0 comments:
Post a Comment