Saturday, December 25, 2010

Sambutan Krismas : Prestij Tidak Menjamin Syurga Allah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir. “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.“Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”. (Al-Kafirun :1-6)


Dunia makin bercelaru. Soal pegangan agama dipandang mudah dan enteng oleh kebanyakkan orang terutama anak-anak remaja. Pengaruh dunia luar terutama dari barat ternyata berjaya menghasut pemikiran dan cara hidup anak-anak muda kita.

Negara kita yang tercinta tidak terlepas daripada menghadapi ancaman musuh-musuh ALLah yang sentiasa mencari jalan memporak perandakan ummah. Jarum-jarum halus mereka menusuk halus ke dalam setiap liang roma masyarakat kita. Hiburan yang melampau, pergaulan tanpa batasan, makanan yang berunsur syubahah tanpa diketahui sumber halal haramnya adalah antara unsur yang berjaya menguasai sebahagian jiwa dan aqidah anak-anak remaja kita.

Mutakhir ini ramai anak-anak remaja Islam terutama yang tinggal di ibu kota dan bandar-bandar besar turut sama menyertai rakan-rakan mereka yang kristian menyambut kedatangan krimas. Lebih malang lagi ada di kalangan mereka bukan sahaja turut menyambut perayaan krismas, malah ada yang turut sama mengenakan topi atau pakaian ala santa claus.

Bagi mereka itu bukan suatu kesalahan di sisi agama. Bila ditegur, ada yang memberi jawapan bahawa dunia sudah berubah maka persepsi kita juga perlu diubah. Jangan terlalu sempit dan anti sosial. Masyallah ...tabarakallah.

Kita tidak menyalahkan mereka mungkin kerena kecetekan ilmu ataupun tiada siapa yang tampil membuat teguran atas tingkah kelakuan mereka selama ini. Tugas ini bukan sahaja perlu digalas oleh para ibu bapa, para alim ulama’ tetapi peranan yang paling besar perlu dilaksanakan oleh pihak pemerintah.
Media massa adalah saluran terbaik untuk memberi kesedaran mengenai peri pentingnya memelihara aqidah ummah agar tidak terus terpesong dan terpengaruh dengan dakyah musuh-musuh Allah . Janganlah asyik melaungkan kempen-kempen kurangkan gula, Satu Malaysia, Keselamatan Jalan Raya dan sebagainya, sedangkan aqidah dan pegangan agama anak-anak remaja terus hanyut dan tergadai tanpa dipeduli.

Kepada sesiapa jua, terutama anak-anak muda, berhati-hatilah bila menyambut sesuatu perayaan bersama rakan-rakan yang bukan Islam. Bukan niat kita tidak menghormati kepercayaan mereka tetapi Islam sebagai agama yang suci mempunyai garis panduan mengenai perkara ini. Dalam Islam soal prestij, imej dan sebagainya tidak timbul jika ianya bertentangan dengan aqidah. Menjaga prestij dan imej tidak menjanjikan keredhaan serta syurga Allah jika ianya melanggar soal aqidah.

Perayaan Krismas yang disambut pada setiap 25 Disember walaupun kononnya untuk menyambut kelahiran Nabi Isa bagi penganut Kristian tapi sebenarnya merupakan satu perayaan Rom kuno untuk menyambut hari kelahiran Sol (matahari) . (Sumber : The Encyclopedia Americana). Sambutan Krismas adalah sambutan syirik orang-orang Kristian menyambut kelahiran tuhan mereka ke dunia yang dipanggil dalam bahasa Ibrani sebagai “Immanuel” (“Tuhan menyertai kita”)5. Oleh sebab itu, Islam tidak membenarkan sama sekali umatnya untuk terlibat serta dalam apa juga bentuk sambutan hari Krismas, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung walaupun hanya dengan mengatakan, “Happy Christmas” atau “Merry Christmas” sekalipun.:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Al-Maidah :2)

Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu hadisnya mengingatkan kita tentang meniru atau menyerupai ajaran sesuatu kaum yang lain, sabdanya,
“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka ia akan dibangkitkan bersama kaum itu.” (riwayat Abu Daud)

Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al-Hussain bin Mansur al-Tabari berkata, tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka. (Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut)

Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan orang bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana ia akan melibatkan orang yang melakukannya kepada dosa. (al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak, Fatawa al-Lujnah al-Da`imah lil Buhuth al-Ilmiah wal Ifta`, jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh)


Tepuk dada dan tanyalah iman. Moga Allah sentiasa melindungi diri kita.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company