Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta
Tinggal tidak berapa jam lagi tahun 2010 akan meninggalkan kita dan 2011 pula akan menjengah kita. Detik datang dan pergi tanpa sesaat pun menunggu. Maka tinggallah segala apa yang kita lakukan sepanjang 2010 sebagai lipatan kenangan sahaja.
Teringat saya kepada salah satu soalan yang dilemparkan oleh Imam Al Ghazali kepada anak-anak muridnya dalam suatu majlis ilmu. Soalannya, “Apakah perkara yang paling jauh daripada kita?”. Walaupun pelbagai jawapan yang diberi oleh anak-anak muridnya, namun yang tepat perkara yang jauh dari kita ialah “masa lalu”. Biarpun sesaat berlalu, namun ia tak mungkin muncul kembali. Kitalah sebagai hamba Allah perlu berhati-hati dan beringat agar setiap detik dalam melayari kehidupan ini dilakukan dengan sebijak yang mungkin dan sentiasa mendapat keredhaan Allah. Kita tidak mahu membuang detik-detik yang ada dengan sia-sia dan akhirnya kita menjadi manusia yang rugibukan sekadar di dunia, malahan di akhirat jua.
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-‘Asr :1-3)
Oleh itu setiap apa jua kenangan atau peristiwa yang kita lakukan sepanjang 2010, ia bukan sahaja menjadi lipatan sejarah tetapi yang lebih penting ia sentiasa menjadi iktibar untuk kita jadikan kayu ukur untuk mengharungi 2011. Menjelang kedatangan 2011, kita bermuhasabah diri menghitung untung dan rugi yang telah kita lakukan sepanjang berlalunya 2010.
Malang sekali hari ini kita sering dilalai dan dilekakan dengan dunia sehingga terlupa kita bahawa setiap kali kita merayakan kedatangan tahun baru, bermakna kita sudah selangkah menghampiri jalan menuju harihari kematian. Tak perlu kita menjengah ke negara luar, lihatlah dalam ruang tempurung kita sendiri, bagaimana sesetengah masyarakat kita menyambut kedatangan tahun baru.
Mereka menghiasi ambang tahun baru dengan pelbagai aktiviti kemaksiatan dan kemungkaran. Anak-anak muda berpeleseran samada dengan pasangan masing-masing atau bersama teman melepak di tempat-tempat tertentu, menghadiri parti-parti liar, ke kelab dan pub atas alasan menyambut kedatangan tahun baru. Saya masih ingat bagaimana sekumpulan anak-anak muda di Pulau Pinang suatu ketika dulu bertindak gila memijak dan merosakkan kenderaan-kenderaan, bertindak liar dan bergaduh menjelangnya ambang tahun baru. Sesuatu yang menyedihkan.
Malahan sudah menjadi lumrah di negara kita, beberapa buah negeri terutama ibu kota Kuala Lumpur akan mengadakan konsert-konsert menjelang ambang tahun baru. Jalan-jalan utama di bandara raya akan ditutup untuk memberilaluan kepada sambutan 2011. Sepanjang malam beberapa tempat di ibu kota dan beberapa negeri lain akan dihiasi dengan persembahan konsert oleh artis tempatan dan luar. Konsert yang berlarutan hingga ke awal pagi ini, sudah pasti mengundang pelbagai kegiatan maksiat dan mungkar di kalangan sebahagian pengunjung. Stesen-stesen TV juga akan melambakkan pelbagai jenis hiburan kepada para penonton di rumah.
Seingat saya, hanya pada tahun 2004 sahaja segalabentuk konsert menjelang ambang tahun baru dibatalkan. Itupun kerana tarikh berlakunya peristiwa Tsunami begitu hampir menjelang tahun baru. Kalau tidak, sudah pasti konsert dan majlis kemaksiatan dan kemungkaran diteruskan. Apakah setelah Allah memberi peringatan, baru kita mahu kembali kepada Allah? Padahal setiap detik dalam melayari hidup ini kita serahkan di bawah lindungan Allah. Hidup dan mati kita hanya untuk Allah.
"Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukkan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Al-Anbiya:35)
Saya tertanya-tanya, dimanakah program berbentuk kerohanian? Kalau adapun dibuat oleh mesjid dan surau, ia bagaikan satu program terpencil. Apakah tahun 2011 tidak akan muncul kalau kita tidak adakan segala majlis dan konsert kemungkaran ini? Apakah ini acuan generasi muda yang ingin kita lahirkan iaitu genarasi yang condong dan gemar pada hiburan. Generasi muda yang selesa dengan kemungkaran dan kemaksiatan sehingga terlupa batasan halal dan haramnya. Masyallah...tabarakallah.
Para pemimpin dan kerajaan sepatutnya dan semestinya memainkan peranan dengan menganjurkan program-program kerohanian yang lebih relevan ke arah melahirkan generasi yang cintakan kepada agama. Bukannya melalaikan mereka dengan pelbagai genre hiburan yang melampau menjelang ambang tahun baru. Persepsi dan minda anak-anak muda perlu diubah agar tidak “dimindsetkan” setiap kali tahun baru pasti akan ada konsert dan sambutan. Ingatlah! Kita punya Islam sebagai benteng dan kayu ukur. Biarpun kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, yang pastinya sesuatu benda membawa ke arah kebaikan sudah tentu tidak akan ada orang yang menentangnya kecuali mereka yang tidak berilmu.
Kepada anak-anak muda, usah dibiarkan nafsu menguasai diri. Allah melihat setiap apa yang kita kerjakan. Pokok dari semua maksiat dan kelalaian serta syahwat itu, kerana ingin memuaskan nafsu. Sedangkan pokok dari segalaketaatan, kesedaran dan kesopanan akhlak budi, ialah dengan adanya pengekangan (penahanan) terhadap hawa nafsu.(petikan Al-Hikam). Setiap kali ingin melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, ingatlah pada Allah atau sekurang-kurangnya pejamkan mata dan bayangkan wajah ayah dan ibu. Setiap pengharapan dan doa mereka jangan kita persiakan dan membalanyas dengan kemaksiatan serta kemungkaran.
“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf :53)
Selamat menyambut kedatangan tahun 2011. Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Kembali kepada Islam sepenuhnya kerana inilah satu-satunya jalan penyelamat di dunia dan akhirat. Amin
0 comments:
Post a Comment