Saturday, April 9, 2011

10 Penanda Aras Sebelum Meninggalkan Dunia Ini



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). (Al-Buruj:10)

Hari ini kita hidup di atas dunia yang penuh dengan perasaan dengki khianat, penuh dengan fitnah, penuh haloba, penuh dendam mendendami, penuh benci membenci dan segala macam mehnah dan maksiat. Mereka yang mengharap keredaan Allah, terpaksa hidup penuh dengan ketakutan kerana bimbang terheret sama dengan penyakit dunia hari ini.

Dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah (shallallahu ‘alaihi wa sallam) bersabda, “Bersegeralah untuk mengerjakan amalan-amalan shaleh sebelum datang berbagai fitnah seperti potongan-potongan kegelapan malam, di mana seseorang beriman di waktu pagi hari, kemudian menjadi kafir di sore hari, ataupun beriman di sore hari, kemudian menjadi kafir di pagi hari. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia.” (HR. Muslim).

Kehidupan di dunia yang sementara ini tidak dilihat begitu oleh manusia yang rakus. Ini kerana mereka meletakkan dunia di tangan dan melepaskan akhirat jatuh berciciran. Keinginan untuk mengejar pangkat dan kedudukan menyebabkan manusia mengenepi nilai-nilai agama. Al Quran dan as-sunnah hanya menjadi rujukan bila ianya menguntungkan mereka.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Al-Anfal : 27)

Sebenarnya manusia sebegini lupa atau berpura-pura lupa bahawa kehidupan ini hanya sementara. Dunia tidak lebih dari sebuah persinggahan sahaja. Semua makhluk samada mahu atau tidak akan pasti meninggalkan dunia ini menemui Allah Ta’ala. Persoalannya, apakah kita bersedia atau tidak dengan bekalan untuk ke akhirat. Hanya diri sendiri yang mampu menjawab segala persoalan ini.

Imam Syafie dalam wasiatnya telah menyenarai sepuluh “check list” untuk manusia jadikan penanda aras sebelum mahu meninggalkan dunia yang fana ini dengan selamat. Pesan Imam Syafie :”Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat,hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara berikut :

1. Hak diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan makan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak malaikat maut iaitu mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan rasa cinta kepada Allah.

3. Hak kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang air kecil merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak Munkar Nakir iaitu tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

5. Hak mizan iaitu menahan marah, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

6. Hak sirat iaitu membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7. Hak Malik iaitu banyak menangis kerana takutkan azab Allah, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, bersedekah semasa terang serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

8. Hak Ridhwan iaitu reda dengan qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur dengan nikmat Allah dan bertaubat daripada maksiat.

9. Hak Rasulullah iaitu berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung dengan sunnah, menyayangi para sahabat dan bersaing mencari kelebihan daripada Allah.

10. Hak kepada Allah iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci maksiat.

Apakah kita sudah benar-benar bersedia untuk meninggalkan dunia ini ? Apakah dari sepuluh hak-hak ini sebahagian besar sudah kita tunaikan? Kalau satupun kita tak mampu lagi hendak tunaikan, apakah mampu lagi kita bergelak ketawa dan bergurau senda tanpa rasa takut untuk bertemu Allah Ta’ala di hari pembalasan nanti? Apakah mampu lagi kita melakukan maksiat dan dosa , fitnah dan nista sedangkan semakin hari usia kita semakin hampir menuju alam barzakh. Tangisan kesedihan biar air mata darah sekalipun sudah tidak memberi erti setelah maut datang menjemput.

Firman Allah Ta’ala : “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - supaya aku mengerjakan amalan soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat)”. (Al-Mukminun : 99-100)

Saya berpesan kepada diri saya sendiri untuk merenungi perjalanan hidup ini agar tidak tergolong sebagai insan yang menyesal di kemudian hari. Kita masih punya waktu kerana Allah masih sayang dan memberi kita nafas untuk terus hidup di dunia ini.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company