Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Al-Anfal :73)
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Al-i-‘Imran:103)
Sudah hampir dua minggu bumi Libya dihujani bedilan roket dan peluru berpandu Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya. Bukan harta benda sahaja yang musnah, malahan nyawa manusia yang tidak berdosa menjadi taruhannya. Benarlah kata pepatah, peluru tidak bermata, adakalanya sasaran yang dibedil tersasar dan tidak mencari mangsa yang sepatutnya. Akibatnya, orang awam menjadi mangsa. Inilah harga yang pelu dibayar oleh rakyat apabila negara mereka terlibat dalam kancah peperangan.
Persoalannya apakah benar Amerika syarikat dan sekutu Eropahnya seperti Britain dan Perancis menyerang Libya melalui Operasi Odyssey Dawn adalah atas dasar menguatkuasakan zon Larangan terbang. Atau mereka mempunyai agenda dan muslihat disebaliknya. Menyerang sebuah negara yang merdeka adalah bertentangan dengan piagam PBB. Resolusi PBB 1973 hanya inginkan pembelaan rakyat, bukannya menyerang atau memusnahkan sesebuah negara. Namun malangnya, PBB yang sepatutnya bertindak sebagai pendamai, seolah-olah merestui serangan Amerika dan sekutunya. Mungkin PBB masih berdendam dengan Gadaff yang begitu berani mengoyak dan melemparkan piagam PBB dalam mesyuarat PBB pada tahun 2010.
Amerika juga penuh dendam kesumat kepada Libya terutama apabila Gadaffi mengarahkan semua tentera Amerika keluar dari Libya dan menutup kem tentera Amerika di Libya pada 1970. Gadaffi juga merupakan antara pemimpin yang meminda dasar Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) membuatkan kuasa Amerika dan barat berputih mata. Sebagai negara kedua pengeluar minyak terbesar menyebabkan Amerika dan sekutunya terbeliak biji mata ingin mengaut kekayaan sebagaimana yang telah dilakukan ke atas Iraq dan Aghanisthan.
Beberapa negara besar seperti China dan India menyuarakan bantahan terhadap serangan tersebut. Pertubuhan Negara Afrika juga menyuarakan bantahan, begitu juga Pertubuhan Liga Arab. Namun Liga Arab sepatutnya bertindaklebih drastik dengan menghalang serangan Amerika dan sekutunya ke atas Libya namun kerana sikap penakut dan pak turut pemimpin-pemimpin negara Arab menyebabkan mereka sekadar menyatakan bantahan sahaja. Mereka tidak berani membantu saudara mereka kerana masing-masing manjaga kepentingan dan habuan dunia sendiri. Sebenarnya semangat perpaduan ummah sudah lama mati dalam masyarakat dunia Arab. Kalau tidak, masakan Palestine dibiarkan terkontang-kanting sendirian menentang Israel Laknatullah.
Satu lagi pertubuhan negara-negara Islam yang tidak bersuara ialah Pertubuhan Negara-Negara Islam atau OIC. Ternyata kena pada namanya, OIC sebenarnya lebih berperanan sebagai pertubuhan Oooo I See. Ia bagaikan pertubuhan yang bisu dan buta. Berdiam diri atas semua isu ummah dan negara Islam sedangkan ia dianggotai oleh 57 negara Islam seluruh dunia yang kebanyakannya dari negara-negara Timur Tengah dan Utara Afrika, Caucassus, Asia Tenggara, Asia Tengah, Balkan, dan Asia Selatan. Kalau setakat berdiam diri apa guna mrnubuhkan satu pertubuhan. Lebih baik dibubarkan sahaja.
Sepatutnya OIC menjadi satu pertubuhan negara Islam yang kuat kerana mempunyai keahliaan yang besar jumlahnya. Kalau NATO mempunyai kesepakatan dalam aspek ketenteraan, apakah negara-negara Islam tak bolehkah berbuat demikian. Sepatutnya OIC mempunyai unit ketenteraan negara-negara Islamnya sendiri. Membantu negara-negara Islam yang ditimpa musibah, teraniaya dan terlibat dalam kancah peperangan. Bukannya membiarkan golongan kufar Amerika dan sekutunya terus meratah negara-negara Islam tanpa ada peri kemanusiaan. Sepatutnya isu kebiadaban Israel sudah boleh diatasi jika OIC mempunyai ketumbukkan tenteranya sendiri membantu para pejuang Palestine.
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (Al-Anfal :60)
Ternyata OIC tidak proaktif atau dengan kata lain penakut dan menjaga kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesengsaraan umat Islam yang lain. Dimanakah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh negara-negara Islam yang lain kepada pemimpin OIC. OIC sebenarnya sudah terlupa dengan matlamat asal penubuhannya. Matlamat utama OIC adalah "untuk menggalakkan keeratan antara ahli negara-negara Islam; bagi menyelaras kerjasama antara negara ahli dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, saintifik, dan bidang-bidang lain; bagi berusaha untuk menghapuskan perbezaan rasial dan diskriminasi dan menentang kolonial dalam semua bentuk; dan, untuk menyokong semua Muslim dalam usaha mereka mempertahankan maruah, kebebasan dan hak negara, membina jambatan antara jurang perbezaan budaya dunia dll"
Sabda Rasulullah SAW:ertinya: “Hendaklah kamu berada dalam jamaah kerana sesungguhnya berjamaah itu adalah merupakan rahmah sedangkan perpecahan itu merupakan azab”. (Riwayat Muslim)
Walaupun Gadaffi dianggap kejam terhadap rakyatnya, namun jasanya pada awal pemerintahan dengan pelbagai kebaikan untuk rakyat Libya tidak boleh dilupakan. Sepatutnya negara-negara Islam dan pertubuhan Islam seperti Liga Arab dan OIC memainkan peranan menyelesaikan kemelut Libya daripada membiarkan golongan kufar laknatullah seperti Amerika dan sekutunya campur tangan dan mengganyang Libya. Kita tidak mahu nasib negara Islam Libya dan rakyatnya menjadi seperti nasib rakyat Aghanisthan dan Iraq. Rakyat yang mengharapkan pembelaan, akhirnya mengalami nasib yang lebih teruk dari kehidupan sebelumnya. Sistem menjadi hancur dan ekonomi pula porak peranda. Puluhan tahun akan diambil untuk bangun semula akibat kehancuran dek peperangan. Inikah harga yang kita mahu negara saudara dan seagama dengan kita terpaksa hadapi.
Kita sebagai umat Islam yang cinta dan kasih kepada saudara seagama dengan kita, berharap agar kemelut Libya akan berakhir dengan baik. Kita berdoa agar Allah membuka pintu hati Gadaffi untuk beralah dan melepaskan jawatannya. Kita tidak mahu Libya menerima nasib yang sama seperti Iraq. Golongan kafir sentiasa mencari jalam memusnahkan negara dan umat Islam tidak kira dengan apa jua cara sekalipun. Semoga Allah sentiasa memelihara kesejahteraan umat Islam sejagat.
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)." (al Baqarah : 120)
0 comments:
Post a Comment