Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (Al-Baqarah: 183.)
Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada seorang hamba pun yang berpuasa sekalipun satu hari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan dirinya dari siksa api neraka sebanyak tujuh puluh kharif (tujuh puluh kharif maksudnya adalah sejauh perjalanan yang menghabiskan masa tujuh puluh tahun)” (HR. Bukhari Muslim).
Cepatnya hari berlalu. Sedar tak sedar kini Ramadhan yang mulia menjelma lagi. Seperti tahun-tahun yang lalu, umat Islam yang rindu akan kedatangan Ramadhan Al Mubarak tidak sabar-sabar membuat persediaan untuk menyambut kehadiran Ramadhan. Masjid dan surau-surau mula merancang pelbagai program untuk menghidupkan Ramadhan. Majlis tazkirah, tadarus, khatam Al Quran dan imam jemputan solat tarawih merupakan antara perkara yang disenaraikan dalam aktiviti ihya Ramadhan.
Semoga kedatangan Ramadhan 1432H kali ini akan membawa sinar kepada umat Islam di Negara ini yang semakin hari semakin jelas bibit perpecahannya. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai platform untuk umat Islam bersatu di bawah panji-panji Allah. Tinggalkan assabiyah kepartian yang semakin hari dilihat semakin membawa kepada kehancuran. Bertengkar, bertegang leher malahan membawa kepada pertelingkahan demi mempertahankan ideology dan prinsip parti yang entah benar ataupun sebaliknya perlu dihentikan.
Dalam sebuah hadits Rasulullah saw bersabda: “Fitnah bagi seorang laki-laki itu akan ditemukan di keluarga, harta dan tetangganya. Namun, semua itu dapat ditutup dan ditebus dengan jalan shalat, puasa dan shadaqah” (HR. Bukhari Muslim).
Ramadhan bulan yang mulia, bulan keberkatan. Diharap Ramadhan 1432 dapat menyatukan umat Islam di bawah satu bumbung ketakwaan. Jika kita asyik bertelagah, Orang-orang bukanIslam yang bencikan Islam bertepuk dan bersorak riang melihat perpecahan kita. Mereka mengambil kesempatan memasukkan jarum mereka secara halus agar kita terus bercakaran. Akhirnya kita sanggup menurut kehendak dan telunjuk mereka (atas nama tolak ansur) hingga kadangkala mengenepikan kepentingan Islam.
"Dan, berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." (Al’i- Imran:103)
Semoga kita membuka lembaran awal Ramadhaninidengansuatu permulaanyang baik. Rapatkan saf dengan bersatu padu dan perkukuhkan benteng mempertahankan Islam dari musuh-musuh Islam secara total.
Amin .
0 comments:
Post a Comment