Saturday, August 13, 2011

JAIS Dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) :Ada Hikmah dan Iktibar


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

"Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan apa jua yang kamu kerjakan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah : 110)

Sabda Rasulullah bermaksud: "Zuhud di dunia tidak dengan mengharamkan yang halal dan tidak membuang harta tetapi zuhud di dunia ialah engkau lebih percaya kepada apa yang ada pada pegangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu dan apabila engkau mendapat bahaya dunia, engkau lebih senang ia kekal padamu supaya engkau dapat ganjarannya." - (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah).

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita JAIS telah menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) ketika mengadakan majlis makan malam”Thanks Giving” . Dalam serbuan itu beberapa orang Islam didapati menghadiri majlis tersebut. Kehadiran mereka menurut laporan, ialah untuk menerima sumbangan daripada pihak gereja. Maka kitapun bersangka baik...itulah yang sebaik-baiknya.

Kehadiran JAIS pula adalah ekoran laporan yang diterimanya mengenai kegiatan gereja yang dikatakan cuba memperkembangkan dakyah kristian dikalangan masyarakat Islam. Maka pelbagai pihakpun ramai yang melatah mengutuk serangan JAIS. Kutukan dan hentaman ke atas JAIS bukan sahaja diterima daripada pihak orang bukan Islam, malahan ada orang-orang Islam sendiri yang kurang senang dengan tindakan JAIS. Namun YB Dato’ Hassan Ali selaku Exco yang bertanggungjawab, mempertahankan tindakan JAIS walaupun bosnya sendiri MB Selangor , Dato’ Khalid membantah dan MB cepat-sepat memohon maaf.

JAIS sebenarnya dalam keadaan serba tidak kena. Kalau tak serbu untuk menyiasat , maklumat telah diterima dan ia merupakan satu amanah lebih-lebih lagi membabitkan soal aqidah. Jika betul berlaku penyelewengan aqidah umat Islam oleh pihak gereja maka ia perlu dibanteras pada peringkat awal lagi. Biar orang marah tapi jangan sampai mengundang kemurkaan ALLAH. Cuma mungkin cara JAIS membuat serbuan kurang disenangi pihak terbabit tapi pihak gereja perlu akur yang JAIS cuma menjalankan tugas berpandukan aduan dan maklumat yang diterima.

Walau apapun, setiap kejadian itu sebenarnya ada hikmahnya di sisi Allah. Rasulullah S.A.W telahpun memberi peringatan kepada umatnya supaya berhati-hati dalam melayari kehidupan ini. Bukan orang kaya sahaja yang akan kufur nikmat kerpda Allah jika tidak sentiasa bersyukur, malahan orang yang dilanda kemiskinan juga bisa menjadi kufur kepada ALLAH lantaran kemiskinannya. Sabda Rasulullah, bermaksud: "Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran." - (Riwayat Abu Namin daripada Anas).

Peristiwa malang ini sebenarnya memberi iktibar kepada dua pihak khasnya dan seluruh umat Islam amnya. Pertama golongan yang hadir di gereja untuk menerima sumbangan, bukanlah atas nama kemiskinan hingga sanggup kita hampir menggadai maruah dan aqidah keislaman kita. Memang peritnya hidup dalam kesusahan. Saya lahir dalam keluarga yang susah dan pernah merasa warna warni kehidupan apabila kemiskinan melanda. Islam itu indah. Islam mengajar umatnya tentang erti dan nilai sedekah, infak, zakat fitrah, wakaf dan sebagainya kearah membantu golongan yang dilanda kesempitan hidup. Janganlah terlalu mudah kita menjual nilai agama kerana untuk mendapat habuan dunia yang sedikit. Kita bimbang jika kita bukan sahaja miskin di dunia malahan miskin juga di akhirat nanti.

Rasulullah pernah berdoa, memohon perlindungan Allah agar menghindarkan dirinya daripada kemiskinan seperti sabdanya bermaksud: "Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu daripada kekufuran dan kemiskinan." - (Riwayat Abu Daud). Sabda baginda lagi, bermaksud: "Ya Allah! Sesungguhnya aku minta perlindungan-Mu daripada kekafiran, kemiskinan, kehinaan dan aku mohon perlindungan-Mu daripada menzalimi." - (Riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah).

Peristiwa ini juga perlu menjadi iktibar kepada pihak yang bertanggungjawab memegang amanah mengendali wang zakat, wakaf dan Baitul mal serta badan kerajaan yang membabitkan kebajikan masyarakat. Sudah terlalu banyak cerita yang kurang enak kita dengar mengenai badan-badan ini. Karenah birokrasi untuk mendapatkan bantuan dan sikap pasif pihak terbabit untuk turun padang memberi ruang kepada pihak lain untuk menguji keimanan umat Islam yang dilanda kesusahan. Saya masih ingat lagi peristiwa banjir besar melanda sebuah Bandar di Kedah dan Persatuan Buddha merupakan pertubuhan awal yang turun memberi bantuan tanpa perlu apa-apa prosedur atau pengisian borang maklumat.

Saya percaya jumlah wang zakat dan Baitul mal mencecah puluhan malah mungkin ribuan juta ringgit Malaysia. Nak buat apa duit banyak tu kalau tak diberi bantuan kepada mereka-mereka yang memerlukan. Jumlah ini makin bertambah setiap tahun, kemana nak dibawa ? Jangan sekadar tunggu orang miskin dan fakir untuk datang memohon bantuan kemudian ditemuduga dengan pelbagai persoalan seolah-olah macam harta itu kita yang ampunya. Kalau yang datang itu layak, beri sahaja tanpa perlu ada birokrasi yang menyusahkan. Ini amanah, soal sama ada penipuan atau tidak itu persolan orang yang terbabit dengan Allah Ta’ala.

“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Az-Zariyat : 19)

Kadangkala apabila yang datang memohon itu apabila didapati mempunyai motosikal atau rumahnya mempunyai peti televisyen dijadikan alasan untuk beliau gagal mendapat bantuan. Apakah ukuran motosikal, peti tv atau kereta buruk dan tafsir kemiskinan pada zaman kini. Kalau tahun enam dan tujuh puluhan memang sah pemohon seorang yang berkemampuan tapi kini kita ditahun 2011. Pernah sepupu saya seorang janda anak empat (Ditinggalkan suami tanpa nafkah) ke pejabat berkenaan untuk memohon bantuan telah disindir oleh petugas kerana berpakaian kemas dan cantik.

“Pakai baju cantik-cantik takkan nak minta bantuan kot,’ begitulah lebih kurang sindiran si petugas.
Kalau macam tu, semua pemohon yang nak minta bantuan kebajikan masyarakat, zakat atau baitul mal kena pakai baju koyak rabak dan bertampung-tampung untuk menampakkan kemiskinannya dan baru boleh dapat bantuan?. Apalah punya banggangnya pemikiran seperti ini!

Pihak Urus Zakat dan Baitul Mal perlu mengubah persepsi pemikiran dan pentadbirannya. Dana yang dikumpul merupakan amanah. Fikirlah apakah cara yang terbaik dan bijaksana dalam membantu serta membangunkan ummah. Jangan sampai pihak lain mengambil kesempatan atas kelemahan dan keegoan kita. Hari ini di dunia kita boleh beri seribu alasan tapi di hadapan mahkamah Allah nanti apakah alasan yang hendak kita berikan.
Semoga kita sama-sama bermuhasabbah diri. Semoga ALLAH juga sentiasa membuka minda kita untuk memikirkan jalan terbaik ke arah memartabatkan Islam sebagai cara kehidupan. Amin

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company