Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabah baginda.
“Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.”
(Al-Kahfi, ayat 110)
Situasi 1 : Di pejabat
“Aku rasa tak boleh nak sambung buat kerja ni. Cuaca panas sangat. Kepala aku terasa sakit . Berdenyut-denyut macam nak pecah!”
“ Kau nak penadol….aku ada bawa spare”
“ Boleh juga…tapi kalau ada yang active fast lagi cepat sembuh.”
Situasi 2 : Perkarangan masjid.
Seorang peniaga mempromosikan perniagaannya.
“Tuan-tuan dan puan-puan. Kayu ini bukan sebarang kayu. Inilah kayu kokka. Kayu yang paling tinggi mutunya antara semua kayu di atas muka bumi. Ianya telah digunakan sejak zaman nabi-nabi lagi. Bahtera nabi Nuh dibuat dari kayu Kokka, tongkat nabi Musa dan nabi Syuaib juga di ambil daripada kayu Kokka!!” jerit peniaga cuba mendapatkan perhatia.
Orang ramai mula mengerumuni gerai beliau. Beberapa barangan seperti tasbih, buah kokka, minyak wangi dan segala macam minyak dikeluarkan. Berebut-rebut orang ramai membelek produk yang dipamerkan dengan perasaan kagum.
“ Kayu ni tuan-tuan dan puan-puan memang banyak khasiat dan kelebihannya. Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. Kalau kerasukkan jin atau syaitan, Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan menggosok atau disapu pada dahi. Dan…….”
Situasi 3 : Di pusat membeli belah
“Cantik gelang kau Abu! ”
“Ni gelang bukan sebarang gelang. Ni gelang bermagnet”
“Oh macam dalam iklan tu ka..”
“Ha…tau tak pa. Gelang ni Gelang ni baik untuk kesihatan. Gelang ni boleh melancarkan peredaran darah, melegakan Kesakitan ,menyahkanToksin dan macam-macam lagi la…”
Lidah memang tidak bertulang. Terlalu mudah kita berkata-kata tanpa memikirkan implikasi di sebalik setiap ucapan kita. Kita seronok dan kadangkala bijak bercakap mengikut perasaan tanpa memikirkan kesan bukan sahaja pada diri kita secara lahiriah tapi pada akidah dan pegangan kita sebagai hamba Allah yang percaya akan kekuasaan Allah yang Maha Esa.
Ketiga-tiga situasi di atas merupakan antara sekelumit paparan kehidupan manusia hari ini yang mengaku akan keesaan Allah tapi pada waktu yang sama bergantung kepada perkara atau hal benda yang lain . Berapa ramai hari ini apabila di timpa sesuatu penyakit sahaja akan lebih segera menyakini ubat-ubatan tertentu sebagai penawarnya. Berapa ramai antara kita yang selalu berkata ,”Kalau awak sakit ini makanlah ubat ini” atau “Saya dulu sakit macam awak, tapi bila saya amal makan ubat ni, penyakit saya beransur sembuh”. Begitu juga kalau kita melihat iklan di media massa, kadang kala ucapan dialog yang dilafazkan tentang keyakinan terhadap sesuatu produk membimbangkan kita. Silap-silap boleh menyebabkan tergelincirnya keimanan kita kepada AllahTa’ala. Berhati-hati bila memperkatakan sesuatu kerana kesilapan kata-kata yang dilafazkan secara sedar ataupun tidak akhirnya akan menjerumuskan kita kepada perbuatan syirik! Nauzubillah min zalik!
Akhir-akhir ini banyak peniaga mengaut keuntungan hasil daripada menjual kayu kokka. Kita boleh jumpa banyak peniaga kayu kokka ini di pasar-pasar malam ataupun berhampiran kawasan ceramah (samada mesjid atau tempat terbuka). Menjual kayu Kokka itu tidak salah dan tidak berdosa tetapi yang membimbangkan kita apabila mengaitkan kayu Kokka dengan para Nabi dan Rasul. Dan yang lebih menakutkan kita apabila ada peniaga yang cuba menjual kepercayaan kepada orang ramai dengan mendakwa kayu Lokka mempunyai banyak keistimewaan menyembuhkan penyakit dan menghalau hantu dan jin! Saya mengingatkan diri saya sendiri dan para pembaca, jika kita menanam keyakinan kita bahawa Kayu Kokka mempunyai banyak keajaibannya maka kita sudah menjual keimanan dan aqidah kita. Kita sudah melakukan syirik kepada Allah Ta’ala. Untuk bacaan lanjut sila layari http://www.zaharuddin.net/content/view/514/91/
Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan sentiasa berbohong.
(Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Al-Bukhari & Muslim ; Al-Baihaqi)
Sejak kebelakangan ini terdapat trend orang lelaki memakai gelang. Salah satu gelang yang popular ialah gelang bermagnet. Ia dipakai bukan sahaja oleh orang-orang muda, malahan sampai yang sudah berusia juga memakainya. Gelang ini didakwa kononnya baik untuk kesihatan seperti membantu perjalanan darah dan sebagainya. Bila membaca blog dan ruangan soal-jawab , terdapat pelbagai pendapat mengenai pemakaian gelang ini. Bagi golongan “matlamat menghalalkan cara” tentulah akan marah-marah dan menuduh golongan yang mengharamkan pemakaiannya menghukum tanpa ilmu dan usul periksa. Masyallah tabarakallah. Ini merupakan persoalan yang besar kerana ia membabitkan hukum. Ia berkaitan dengan aqidah kita sebagai umat Islam. Inilah kelemahan kita, pihak yang berwajib (Majlis fatwa) perlu mengeluarkan fatwa yang jelas dan terang supaya ia tidak menjadi teka-teki umat Islam.
“Orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (Surah al-Najm: 32)
Yang pastinya kebanyakkan ustaz menjatuhkan hukum haram pemakaiannya terutama apabila seseorang itu memakainya dan berkeyakinan gelang tersebut boleh memberi manfaat kepada kesihatannya. Ini akan menyebabkan dia terjerumus dalam amalan syirik. Saya telah membaca sebuah buku kecil bertajuk “Hukum Lelaki Memakai Gelang” tulisan Dr Azahar Bin Yaakob. Kandungannya jelas menyatakan haram bagi lelaki memakai gelang tanpa tujuan atau sebab kecuali atas lima syarat kelayakan dharurat memakai gelang. Malangnya, kelima-lima syarat dharurat itu menurut beliau belum mampu dimiliki oleh masyarakat Islam kita hari ini di Malaysia.
Namun demikian pemakaian gelang diharuskan hanya pada lima keadaan:
i. Lelaki memakai gelang di tanah suci sempena melaksana ibadah haji untuk tujuan keselamatan. Ia hanya bersifat sementara sahaja
ii. Rantai/gelang yang dipakai kepada pesalah/banduan. Bersifat terdesak.
iii. Gelang khas untuk pesakit mental
iv. Gelang medic alert : dipakai oleh seseorang yang mempunyai darah yang agak unik “rare blood group” atau tujuankecemasan seperti sakit sawan dan sebagainya
v. Jam berantai yang diharuskan dengan mengekalkan sifatnya sebagai jam.
Wahai anak-anakku yang masih muda dan baru mengenal erti kehidupan, hari ini kita terdedah dengan pelbagai perbuatan dan perkataan yang boleh memesongkan akidah kita dan membawa kita kepada amalan syirik yakni mempersekutukan Allah jika kita tidak berhati-hati. Walaupun perbuatan sebegini hanya tergolong dalam Syirik Ashghar (syirik kecil) namun Ia lama kelamaan akan menjadi dosa besar yang akhirnya menghantar keimanan kita kepada syirik akbar (Syirik Besar). Nauzubillah min zalik!
Bersabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya :”Barangsiapa yang bersumpah dengan selain nama Allah, maka ia telah berbuat syirik.” (HSR Ahmad)
Banyak lagi perkara atau perbuatan yang sering kita lakukan tanpa kita sedari sudah jauh terpesong dari keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Yang Esa. Ia melibatkan semua golongan dari yang muda remaja hingga kepada yang sudah berusia, dari orang awam hinggalah kepada orang-orang yang berilmu. Berhati-hatilah ketika kita mengeluarkan kata-kata untuk berbicara. Tidak salah untuk bercakap dan berbicara mahupun berhujah tapi biarlah berlapik dengan lafaz-lafaz yang dapat menyelamatkan kita dari kekufuran dan dosa syirik kepada Allah. Lafazlah ucapan kita dengan lafaz Allahamdulillah, Masyallah, Insyaallah, Subhanallah dan sebagainya apabila kita berbual bicara. Kadangkala dalam keghairahan kita menjual barangan perniagaan kita, tanpa kita sedari kita mudah tergelincir akidah serta keimanan kita kepada Allah dek tutur kata kita. Menyatakan kehebatan produk kita sehingga seolah-olah kita terlupa akan segala sesuatu itu hanya terjadi dengan keizinan Allah Ta’ala.
“Dialah Allah – tiada tuhan selain Dia. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia lah Allah – tiada tuhan selain Dia. . . . MilikNya segala nama-nama yang baik. Segala yang di langit dan di bumi bertasbih kepadaNya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surat Al-Hasr: 22-24)
Semoga kita dapat menerima hakikat dengan hati yang terbuka dan Allah mengampunkan segala dosa-dosa di atas ketelanjuran kita. Amin
Jumpa lagi…Insyaallah
Rujukan
Dr Ahmad Hatta.M.A. Tafsir Qur’an Per Kata.Pustaka Maghfirah, Jakarta, Cetakan kedua 2009
Dr Azahar Yaakub. Hukum Lelaki Memakai Gelang. HS Massyi Printing Sdn. Bhd.2008
Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008
Imam Habib Abdullah Haddad, Nasihat Agama Dan Wasiat Iman, Pustaka Nasional, Singapura. 2001
Imam Jalaluddin As Sayuthi . Asbab Nuzul Al-Quran.Darul Fajr, Kuala Lumpur.2008
0 comments:
Post a Comment