Wednesday, March 3, 2010

Bila Manusia Bertuhankan Nafsu

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.


“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang diusahakan besok (Hari Kiamat). Takutlah kepada ALLAH Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Hasyr :118)


Belum reda berita mengenai kes pembuangan bayi yang berlaku dua minggu lepas, kini kita dikejutkan dengan berita kematian adik Syafia Humairah yang disyaki telah didera. Saya tidak mahu menuduh sesiapa dalam kes ini yang ternyata kini menjadi semakin kompleks dengan pelbagai spekulasi yang kit a baca dan dengar. Biarlah pihak polis menyiasatnya. Yang pasti hanya Allah yang maha mengetahui segala-galanya.

Kematian adik Syafia Humairah begitu menyayat hati . Episod sedihnya bagai meruntun jiwa saya apabila setiapkali melihat sisipan gambarnya yang begitu comel menghiasi dada akhbar. Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Baharu setelah mengalami pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen. Kes penderaan dan kematian Syafia bukanlah yang pertama, pada Oktober 2009 kita pernah dikejutkan dengan berita Aaliyah Aiman, 3, yang dipercayai didera, dirogol dan diliwat oleh teman lelaki ibunya seorang warga Sudan sehingga mengakibatkan kematiannya. Kita pernah digempar dengan cerita pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin, kehilangan adik Sharlinie dan pelbagai cerita sadis mengenai anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa rakus haiwan yang bertopengkan manusia. Hati ibu bapa mana yang tidak terguris bila membaca berita-berita sadis sebegini. Hanya mereka yang tidakj berhati perut sahaja yang menganggap semuanya ini asam garam kehidupan.

Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk kepada tiga bahagian. Allah menciptakan Malaikat dan hanya diberi-Nya akal tanpa syahwat. Lalu Allah menjadikan binatang yang hanya dibekali syahwat tanpa diberi akal. Kemudian Allah jadikan manusia dengan diberikan kedua-duanya sekali iaitu akal dan syahwat. Bila seseorang manusia itu melakukan sesuatu mengikut nafsu syahwat semata-mata tanpa menggunakan akal maka layak dia diberi gelaran haiwan. Malahan haiwan menjadi makhluk yang lebih baik daripada dirinya.

Sebenarnya orang-orang yang melakukan segala kemungkaran dan kejahatan ini dikuasai oleh nafsu. Syaitan laknatullah telah berjaya menguasai jiwa dan diri mereka. Manusia haiwan seperti ini sebenarnya tidak pernah mengenal Allah apatah lagi untuk mendekati Allah. Mereka terlena dalam kemaksiatan dan kejahatan yang mereka lakukan. Mereka tidak sedar, semakin berani mereka melakukan kemungkaran dan kejahatan, maka semakin bertambah kuat iblis bertakhta di dalam hati mereka. Bintik-bintik hitam akibat dosa yang dilakukan semakin banyak dan akhirnya menutupi hati-hati mereka. Hati mereka menjadi kotor dank eras dan iblis akhirnya mengibarkan bendera kemenangan. Maka hatipun akan menderita kesakitan yang memang sukar mencari penawarnya kecuali dengan Taubat Nasuha. Jika mereka terus reda dengan penyakit ini, maka akhirnya penyakit mereka ini sendiri akan menghantar mereka ke neraka.

“Apakah orang yang membuat tipu daya yang jahat itu, merasa aman (dari bencana) dibenamkannya bumi oleh Allah bersama mereka, ataupun menurunkan azab ke atas diri mereka, sedangkan mereka tidak sedar. Ataupun Allah akan mengazab mereka ketika mereka dalam perjalanan, sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu). Ataupun Allah akan mengazab mereka dengan beransur-ansur, kerana sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,”
(An-Nahl :45-47)


Sebenarnya mereka ini merupakan golongan yang tidak takut pada Allah. Mereka berasakan yang mereka akan hidup kekal selama-lamanya di atas dunia ini. Mereka terus melakukan dosa dan noda seolah-olah dalam kamus mereka tidak ada istilah kematian.

“Maka barangsiapa yang derhaka. Dan mengutamakan hidup di dunia. Maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Allah dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya. Maka sesungguhnya , Syurgalah tempat diamnya”
( An- Nazi’at : 37 – 41)


Mereka-mereka ini melakukan segala perkara-perkara yang mungkar serta kejahatan yang melebihi sifat haiwan. Peristiwa-peristiwa yang di atas boleh dijadikan iktibar dan renungan oleh para remaja zaman ini yang kini dilihat menjalani kehidupan sosial yang begitu bebas. Hari ini para remaja melakukan kemaksiatan dan kemungkaran seolah-olah tidak mengenal yang mana dosa dan yang mana pahala, malahan ada remaja yang berani melakukan kemungkaran tanpa berselindung. Masyaallah Tabarakallah.

Dirawikan daripada Nabi Muhammad S.A.W, baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah berkata,” Aku tidak mengumpulkan pada hamba-Ku dua ketakutan dan dua keamanan. Barangsiapa takut kepada-Ku di dunia, Aku amankan di Akhirat. Dan barangsiapa (merasa) aman dari-Ku di dunia. Aku takutkan dia di Akhirat.”


Wahai anak-anakku, untuk menghindari diri dari pintu-pintu kemungkaran dan kemaksiatan maka perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah rasa takut kepada Maha Pencipta iaitu ALLAH. Kita perlu banyak ingatkan Allah, berzikir dan bertahmid kepada-Nya. Yang lebih penting, saya mengingati diri saya sendiri dan juga anak-anak remaja ialah kita perlu selalu berperang dengan nafsu. Kehidupan kita di dunia ini sebenarnya penuh dengan peperangan iaitu peperangan menentang hawa nafsu. Orang tua-tua Melayu pernah berkata:
“ Jangan ikut hati nanti mati, jangan ikut rasa nanti kamu binasadan jangan ikut nafsu nanti lesu”

Luqman Al hakim pernah memberi nasihat kepada anaknya mengenai nafsu. Nasihat Luqman:
“ Puteraku, yang pertama kali ingin aku peringatkan kepadamu untuk dijaga adalah nafsumu. Tiap, orang pasti mempunyai nafsu dan syahwat. Jika kamu menuruti keinginan nafsu maka dia akan terus menerus menuntutmu. Nafsu itu tersembunyi di dalam diri, sebagaimana tersembunyinya apai di dalam batu. Jika batu digesek-gesek maka ia akan memercikkan api. Namun jika batu itu dibiarkan, maka api itu tidak akan keluar.”

Wahai anak-anakku, marilah kita sama-sama menjadi orang mukmin yang sentiasa takut kepada Allah. Sesungguhnya azab Allah itu amatlah pedih.
Menurut Abul-Laits :
“Tanda-tanda orang takutkan Allah akan kelihatan dalam tujuh perkara”
1. Pada Lisannya :Dia menghindarkan daripada dusta, ghibah, menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap malah disibukkan dirinyadengan berzikir, membaca Al Quran dan bermuzakarah ilmu.”

2. Pada Hatinya : Membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Lantaran kedengkian boleh membakar kebaikan . Rasulullah S.A.W bersabda:
“ Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu”

3. Pada pandangannya : Tidak suka memandang pada makanan, minuman,pakaian ataupun hal-hal lain yang haram. Tidak terpikat dengan dunia tapi memandangnya dengan mengambil iktibar. Rasulullah bersabda “ barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhinya daripada api pada Hari Kiamat”

4. Pada perutnya. Perut tidak diisi dengan barangan yang haram.

5. Pada kedua tangannya: Dia tidak menggunakan untuk perkara yang haram. Tapi hanya untukl taat kepada ALLAH.

6. Pada langkahnya (Kaki): Dia tidak berjalan untuk maksiat. Tapi hanya melangkah untuk taat kepada ALLAH.

7. Terlihat kepada ketaatnya. Dia menjadikan ketaatan nya semata-mata kepada ALLAH dan mencari keredhaanan. Takut pada riak dan mu.

Moga Allah menjadikan kita golongan yang berhikmah dan penuh kesabaran
Moga jumpa lagi. Insyaallah

Rujukan

Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008

Dr Soleh bin Ghonim As Sadlani. Rahsia taubat dan Istighfar. Al Hidayah Publications, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.2008

Imam Habib Abdullah Haddad, Nasihat Agama Dan Wasiat Iman, Pustaka Nasional, Singapura. 2001

Syarif Hade Masyah . Menjadi Ibu Bapa Genius: Berdasar Nasihat Luqman Al Hakim. Pts Millenia Sdn Bhd. Selangor.2007

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company