Tuesday, March 23, 2010

Hanya kerana kawan

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta


“Dan janganlah engkau menurut orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari mengingati Kami, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya.”
(al-Kahf : 28)


Kebelakangan ini saya sering mendengar sungutan dari para ibu bapa yang bimbang dengan tindak tanduk anak-anak remaja mereka yang semakin terdorong untuk mendengar arahan dan cakap kawan-kawan daripada nasihat dan kata-kata ibu bapa. Ada anak-anak remaja hari ini yang sanggup mengeluarkan kata-kata kasar, cacian dan maki hamun kepada orang tua hanya kerana melarang mereka daripada bercampur gaul dengan golongan rakan remaja mereka yang yang dilihat kurang berakhlak serta buruk pekertinya. Malahan ada di kalangan remaja hari ini yang sanggup keluar atau lari dari rumah semata-mata terpengaruh dengan rakan-rakan mereka.

Masyallah …mengapa harus terjadi begini. Mengapa anak-anak remaja sanggup membelakangi dan membuang ibu bapa sendiri hanya kerana terpengaruh dengan rakan-rakan. Tidakkah anak-anak remaja sedar bahawa ibu bapa anda adalah insan yang mulia dan istimewa. Jasa dan bakti pengorbanan mereka memang tiada terbalas oleh kita.

“Dan sembahlah Allah, jangan kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan dengan kedua ibu bapa (kamu) hendaklah berbuat baik.”
( An-Nisaa’ : 36)


Kita boleh kehilangan ribuan rakan dan apabila berjumpa yang lain dia akan menjadi rakan kita yang baru. Akan tetapi bila kita kehilangan kedua ibu bapa kita, bolehkan kita sewenang-wenangnya mengambil sesiapa saja untuk menjadi ibu bapa kita yang baru? Sudah tentu mati hidup semulapun perkara sebegini tidak mungkin boleh terjadi. Jadi mengapa perlu kita menyingkirkan ibu bapa kita hanya kerana rakan-rakan kita? Fikirlah anak-anak remaja sekelian, kita diberi akal oleh Allah untuk berfikir dengan baik. Janganlah kita nanti disamatarafkan dengan haiwan hanya kerana gagal menggunakan daya fikir kita dengan sebaik-baiknya.

Baru-baru ini saya berkesempatan menyaksikan satu rancangan syarahan kahas untul penceramah muda dalam salah sebuah siaran tv. Tajuknya tentang perlu anak-anak menyayangi ibu bapa. Maka dapatlah dilihat pelbagai gelagat adik-adik remaja menyampaikan syarahan dengan cara tersendiri. Kesemuanya dengan perasaan sayu dan terharu menyanjungi jasa ayah dan ibu . Hingga ada yang menitiskan air mata dan menangis teresak-esak. Memanglah pada usia sebegitu hanya ayah dan ibu sahaja bermain dalam kotak pemikiran mereka. Kerana ketika itu pemikiran mereka masih suci dan kurang tercemar. Namun apabila usia mula meningkat dewasa, bila perasaan jiwa remaja mula bergelodak, ditambah lagi sudah mula banyak kenalan dan sudah mula mengenali erti cinta. Maka apa yang diucapkan dulu sudah mula kian dilupakan . Kekasih dan rakan-rakan menjadi lebih utama berbanding kedua ayah dan ibu. Inlah hakikatnya. Apabila anak-anak lebih mendengar cakap kawan-kawan. Apabila anak-anak lebih patuh kepada kawan-kawan. Hal ini sudah disabda oleh Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda:

Diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib r.a , Rasulullah bersabda:
“Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun kepada mereka, iaitu:
1. Apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
3. Zakat dijadikan hutang
4. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)
5. Anak derhaka terhadap ibu bapanya
6. Apabila anak-anak sangat berbaik terhadap kawan-kawannya.
7. Apabila anak suka menjauhkan diri daripada ayahnya
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Arak sudah diminum secara berleluasa.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan/didendangkan.
15. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)


Rasullullah sudah tahu apa yang bakal dihadapi oleh umatnya pada akhir zaman. Perkara keenam dalam hadith di atas merupakan situasi yang mewarnai jiwa anak-anak remaja sekarang. Kalau dulu hal pergaulan anak-anak dikawal oleh ibu bapa dan anak-anak begitu akur dan menghormati nasihat ibu bapa tetapi hari keadaan berlaku di sebaliknya. Kalau dulu apabila orang ramai atau rakan-rakan tahu seseorang itu mempunyai kekasih atau berpacaran merupakan sesuatu yang dianggap sensitif dan kadangkala memalukan tetapi hari ini anak-anak remaja berpacaran, berkasih-bercinta tanpa rasa segan silu malahan ada yang berani melakukan perbuatan yang menjolok mata dan maksiat di khalayak ramai. Mereka bangga dengan dosa yang telah mereka lakukan.
Memang tidak salah untuk berkawan tetapi biarlah berpada-pada. Janganlah kerana rakan, kita kehilangan segala-galanya. Kita lebih menuruti kata rakan-rakan daripada nasihat dan teguran ayah dan ibu. Ayah dan ibu mana yang sanggup melihat anak-anaknya hidup bergelumang dosa, berbuat maksiat dan kemungkaran. Ayah dan ibu manakah yang sanggup melihat anak-anaknya bersahabat dengan orang-orang yang ternyata kurang akhlak dan pekertinya.

Wahai anak-anak, tidak salah untuk anda mencintai seseorang yang lain tetapi biarlah kita mencintai seseorang kerana Allah, dan yang pastinya hendaklah kita membencinya juga kerana Allah. Jika anda mahu memilih rakan pilihlah yang dapat membawa anda kea rah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup bukan sahaja di dunia malahan di akhirat. Pilihlah rakan yang boleh membimbing dan saling nasihat menasihati. Yang paling penting pilihlah rakan yang taat dan takut kepada ALLAH.

Memang tidak dapat dinafikan, terlalu sukar untuk mencari rakan seperti itu apatah lagi dalam zaman yang penuh fitnah dan kemaksiatan berleluasa hari ini. Yang pasti di luar sana terlalu ramai rakan yang hanya sudi menjadi teman bersuka-suka, rakan bersifat ahmak, hidup berkiblatkan hiburan dan jiwa penuh dengan nafsu syahwat . Berhati-hati lah bila melangkah dan memilih rakan. Teman yang ingin merosakkan kita, yang ketawa bila kita tersungkur , yang bertepuk bila tergelincir iman kita adalah terlalu ramai tetapi untuk mencari rakan yang boleh memapah kita bila kita terjatuh, yang sanggup menangis bila ditimpa musibah dan sanggup membimbing bila kita kesesatan bilangannya terlalu sedikit.

Rasulullah S.A.W telah bersabda:
“ Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.”

Nasihat Luqman Hakim kepada anaknya mengenai rakan yang berperangai tidak baik:
“Puteraku,apabila kamu berteman dengan orang yang berperangai tidak baik, maka dia akan menyusahkanmu. Apabila kamu menghindar darinya, dia tidak membiarkanmu. Tidak ada hikmah yang dapat menolongnya. Tidak ada hukum yang dapat membuatnya terancam. Ia juga tidak akan disenangi oleh keluarganya. Ia tidak menunjukkan iktikad baik apabila dinasihati. Ia tidak mematuhi orang yang menyuruhnya. Orang yang bergaul dengannya tidak pernah berasa senang. Tidak akan selamat orang yang meninggalkannya.”


Wahai, anak-anak tercinta, anda masih punya waktu. Renung dan muhasabah kembali siapakah kalangan rakan-rakan anda selama ini? Adakah kebanyakkan rakan-rakan anda selama ini lebih mendorong anda melakukan kemungkaran dan kemaksiatan berbanding yang menyeru serta membimbing ke arah kebaikan . Kalau kebanyakkan kalangan rakan anda lebih mendorong kepada kejahatan serta kemungkaran, bimbing dan nasihatlah mereka (jika anda punya kekuatan). Jika tidak, jauhilah diri daripada mereka. Kerana lambat laun kelemahan yang ada pada anda akan menyebabkan anda juga terjerumus dalam kemungkaran dan kebinasaan. Menjauhkandiri bukan bermakna memutuskan tali silaturrahim , cuma mengelakkan diri dari terus bergaul dengan mereka. Tapi jika rakan anda mengaku akan kesilapan dan kemungkaran yang pernah dilakukan dan ingin berubah, dampingilah ia semula dan sebaik-baik tutup sejarah silamnya .

Abu Sulaiman ad-Darani rahimullah berkata pula : jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:
1. Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaanmu
2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal ehwal keakhiratanmu


Akhir kalam, sebaik-baik anak yang soleh, dengarlah nasihat dan peringatan dari kedua ibu bapa kita. Biarpun mereka mungkin tidak mengerti dunia anak-anak remaja, tetapi pada hakikatnya mereka inginkan anak-anak remaja menjadi insan yang berguna bukan sahaja pada mereka , yang lebih penting di sisi ALLAH Ta’ala. Janganlah kerana mengejar dunia yang sementara, kita mengikut cakap rakan-rakan dan tergamak pula kita menyingkirkan kedua ibu bapa kita. Kenanglah segala jasa dan pengorbanan mereka. Bagaimana mereka telah memelihara dan membelai kita dari kecil hinggalah kita dewasa seperti hari ini tanpa penat dan jemu.

Semoga kita menjadi anak-anak yang soleh yang sentiasa takutkan ALLAH, menyayangi Rasulullah S.A.W dan menghormati kedua ibu bapa kita. Amin.
Insyallah…kita jumpa lagi.

Rujukan
Abu Ali Al-Banjari An Nadwi. 40 Hadis: Peristiwa Akhir Zaman.Khazanah Banjariah.Pokok Sena. Alor Setar. Mac 2000

Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008

Imam Al Gahazali. Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional Pte.Ltd.Singapura 1999

Syarif Hade Masyah . Menjadi Ibu Bapa Genius: Berdasar Nasihat Luqman Al Hakim. Pts Millenia Sdn Bhd. Selangor.2007

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company