Thursday, August 5, 2010

Perniagaan 3K yang Menguntungkan



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”
( As-Saff : 10.)


“(Iaitu) Kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (As-Saff : 11).

Sudah terang lagi bersuluh. Kedua-dua ayat di atas nyata membuka rahsia tentang satu perniagaan yang paling menguntungkan untuk kita melibatkan diri dan mendaftar menjadi ahlinya. Ianya bukan sistem MLM, bukan Skim Cepat Kaya, bukannya Skim Piramid, bukan direct selling tapi ianya merupakan peluang untuk kita sama-sama melabur dalam SAA iaitu Skim Amanah Akhirat.

Namun hari ini berapa ramai yang yakin kepada skim perniagaan yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Hari ini berapa ramai yang mengakui kecintaan kepada Allah tapi pada masa yang sama membelakangi segala hukum-hukum Allah, meninggalkan suruhan Allah dan lebih malang lagi sanggup menderhakai Allah SWT. Kalau anda tidak percaya, perhatilah contoh yang mudah; ketika azan berkemundang masuknyan waktu solat, berapa ramaikah yang bergegas menuju ke mesjid atau surau untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

Kalau pada Allahpun kita derhaka, apatah lagi untuk mencintai Rasulullah S.A.W. Akhirnya kita melihat betapa lemahnya masyarakat Islam kita hari ini, membisu (kalau berdemostrasi pun sekadar hangat-hangat tahi ayam) bila Islam dan Rasulullah dihina dan diperkotak-katikkan. Lebih malang lagi jika ada di kalangan masyarakat Islam kita yang tidak tersentuh hati mereka walau sedikitpun bila Islam dan Rasulullah diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam. Memang selayaknya manusia dari golongan ini tidak diakui oleh Rasulullah S.A.W sebagai umat baginda di akhirat kelak.

"Tak seorang pun di antara kalian memiliki iman sampai ia mencintaiku melebihi cintanya pada ayahnya, anak-anaknya, dan seluruh manusia." [Sahih Bukhari, diriwayatkan dari Anas ].

Lihatlah,apakah ganjaran yang Allah tawarkan kepada hambanya jika melabur dalam perniagaan ini.

“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.” ( As-Saff : 12.)

Namun sebahagian masyarakat Islam hari dibutakan mata dan hati mereka kerana telah diserang oleh penyakit cintakan dunia. Mereka mengejar dunia seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya. Akhirnya sebahagian daripada masyarakat kita meletakkan urusan dunia mendahului dan melebihi kecintaan kepada Allah, Rasul dan agama.

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayat.
(Al-Baqarah:16)


Golongan manusia seperti ini menolak perniagaan yang ditawarkan oleh Allah kerana mereka mahukan sesuatu keuntungan yang dapat digapai dan diperolehi serta merta dan segera. Masyallah…Tabarakallah. Bagi golongan mungkar seperti ini, hanya ada perniagaan 3K yang pasti memberi kekayaan dan kepuasan bukan sahaja pada si peniaga malahan juga pada si pembeli.

Perniagaan K yang pertama ialah menjual keseronokkan. Hari ini berapa ramai yang menjual keseronokkan kerana percaya pelanggannya tetap ramai. Membuka pusat hiburan, karaoke, urutan dan spa adalah sebahagian daripada perniagaan yang memberi perkhidmatan keseronokkan. Begitu juga dengan mengadakan pesta dan konsert-konsert hiburan yang melalaikan,pasti mendapat sambutan . Menjemput artis-artis terutama dari barat yang memang ternyata sudah rosak dan runtuh akhlaknya sebagai juadah hiburan anak-anak remaja kita. Sanggup membayar harta tiket yang mencecah harga ratusan ringgit hanya kerana inginkan keseronokkan yang ternyata penuh kerugian dan melalaikan. Contoh di atas sekadar menyebut beberapa jenis perniagaan keseronokkan yang ditawarkan kepada manusia.

Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
(Ali Imran:185)


Perniagaan K yang kedua ialah Khayalan. Manusia mengaut keuntungan yang berlipat ganda hanya dengan menjual khayalan. Dari perniagaan besar-besar menjalankan perniagaan dadah hinggalah sekecil-kecil perniagaan menjual air daun ketum, semuanya tak lain hanyalah bertujuan menjual khayalan kepada manusia yang sudah hilang pegangan agamanya. Ia merupakan perniagaan yang menguntungkan, kalau tidak masakan sanggup mereka mempergadaikan nyawa semata-mata untuk menjalankan perniagaan sebegitu. Begitu juga dengan premis-premis arak yang semakin hari semakin bertambah bilangannya. Pelanggannya bukan sahaja bukan Islam tetapi melibatkan orang Islam. Pernah suatu ketika ketika bermesyuarat di sebuah hotel di Bukit Bintang, saya berkesempatan melihat sendiri suasana Bintang Walk di waktu malam. Masyallah…Tabarakalah, malamnya macam siang. Terserempak saya dengan sekumpulan anak muda sedang khayal dengan minuman keras di luar sebuah premis pusat hiburan terkenal.

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Al Maidah : 90)


Perniagaan K yang ketiga ialah kemegahan. Manusia hari ini mengejar status dan kedudukan. Kemegahan sudah menjadi priority jika mahu dipandang sebagai orang yang punya status. Akhirnya munculnya perniagaan yang menjual kemegahan pada orang yang mengejarnya. Contohnya, Kereta Volkswegan yang suatu ketika dulu tak berapa ribu nilainya, kini dikeluarkan semula tapi pada harga yang mencecah ratusan ribu. Yang mengejar kemegahan, harga tidak menjadi masalah. Hari manusia sanggup membeli seekor ikan yang harganya mencecah ribuan ringgit. Berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit. Bermegah dengan jumlah siapa yang paling banyak menunaikan haji dan umrah. Semuanya ini untuk apa? Tentulah untuk bermegah-megah.

"Kamu telah dilalaikan (bermegah-megah) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -
Sehingga kamu masuk kubur.Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).(Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.
Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
(At-Takasur: 1-8)


Dunia yang seharusnya kita jadikan sebagai hamba, sebaliknya menjadi tuan kepada diri kita. Dunia yang sepatutnya kita jadikan tempat bercucuk tanam untuk menuaikan hasilnya di akhirat, kini seolah-olah menjadi persinggahan abadi. Dunia telah menyelimuti kita dengan harta dan kebanggaan sementara. Janganlah kita ditipu dengan perniagaan dunia sehingga tertutup pintu akhirat untuk kita. Jangan sesekali kita biarkan diri menjadi hamba dunia yang senantiasa bersimpuh, ruku’ dan sujud di depan kemegahannya. Jangan biarkan nafsu menjadi Tuhannya dan kita menjadi hamba setianya. Nauuzubillah minzalik!

Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
(Al-Jathiyah : 23).


Semoga Allah sentiasa member hidayah dan kekuatan kepada kita sebagai hamba NYA yang taat dan patuh.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company