Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Segala Puji Bagi Allah, yang mengampuni dosa, menerima taubat, azab-Nya keras sekali lagi berkekalan, tiada Tuhan melainlan Allah dan kepada-Nya tempat kita kembali. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ke atas ahli keluarga baginda,para sahabat dan para pengikutnya yang mengasihani baginda hingga ke hari kiamat.
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Al-Zumar : 53)
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, -Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.
(an- Nazi’at:40-41)
Kini kita sudah melangkah memasuki 6 haribulan Syawal. Menandakan sudah 6 hari Ramadhan pergi meninggalkan kita. Maka tertanya-tanya di dalam hati dengan debar harapan apakah kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Berserahlah kita kepada ketentuan Allah agar Allah dapat memanjangkan usia kita untuk dapat bertemu dengan Ramadhan lagi.
Bila di penghujung Ramadhan saya sering tertanya-tanya pada diri sendiri. Apakah amalan Ramadhan kali ini lebih baik dan penuh pengisiannya daripada Ramadhan yang sudah. Apakah dapat kita ketemu dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Lailatul Qadar di Ramadhan kali ini? Apakah semangat beribadah dan taqwa sepanjang Ramadhan ini dapat diterjemahkan dan diteruskan dalam amalan –amalan seharian walaupun sesuadah berakhirnya Ramadhan.
“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”.
(Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Ramadhan merupakan madrasah untuk kita mentarbiah diri agar jadi insan yang benar-benar bertaqwa dan patuh kepada Allah. Jika selama ini kita disibukkan denganm urusan dunia, namun Ramadhan berjaya meruntun hati kita mendekatkan diri dengan Allah. Mengerakkan hati kita untuk melangkah ke masjid dan surau untuk berjemaah dan bertarawih. Jadi mengapa selepas sahaja berlalunya Ramadhan kita tidak boleh terus melakukan ibadah ini secara berterusan. Jika ini berlaku, maka Ramadhan yang baru berlalu gagal mentarbiahkan kita. Bukannya Ramadhan itu yang salah, tapi kekuatan hati dan ketaqwaan kita belum mampu menembus dan melawan nafsu yang bertakhta di dalam hati kita. Saya bimbang jika saya tergolong antara golongan orang-orang yang rugi.
Kita berharap ramadhan menjadi pintu untuk kita berubah, bertaubat dan kembali ke jalan Allah yang sebenar. Namun jika selepas Ramadhan, iman dan ketakwaan kita masih di takah lama. Maka ini merupakan petanda kita telah gagal memanfaatkan segala keistimewaan di bulan Ramadhan yang lalu. Apakah dapat kita ketemu dengan Ramadhan yang akan datang? Saya tinggalkan persoalan ini untuk bermain di fikiran saya bersama sepotong hadith dari Rasulullah S.A.W untuk kita renungi.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?” Baginda SAW menjawab: “Jibril AS datang kepadaku, dan berkata: “Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin,” Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut “amin”. Jibril berkata lagi: “Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin.” Lalu akupun berkata: “Amin”. Berkata Jibril lagi: “Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dia mata, dia akan dimasukkan ke dalam neraka, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin.” Lalu akupun menyebut: “Amin.”
Semoga Allah sentisa memberi kekuatan kepada kita untuk terus beristiqamah dalam perjuangan Islam terutama untuk melawan hawa dan nafsu. Amin.
0 comments:
Post a Comment