Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
“Tengok…budak universiti pun terlibat dalam gejala sosial,” rungut seorang sahabat saya sambil tangan membuka lembaran surat khabar.
“Alah nak kisah apa, budak zaman la ni biasalah. Manusia!” jawab pakcik di meja sebelah saya sambil memanjangkan lehernya melihat berita yang dibaca oleh rakan saya. Berita mengenai gejala pelajar U terlibat dalam aktiviti pelacuran ternyata menambat hatinya untuk berkongsi pendapat.
“ Memanglah manusia tapi masalahnya mereka ni ada akal ada ilmu,tak kan tak boleh fikir yang mana salah yang mana betul!” balas sahabat saya.
“Zaman la ni, bab duit orang dah tak peduli halal dan haram. Sedangkan duit tabung hajipun orang berani sapu sampai tinggal tabung saja, inikan pula perkara-perkara maksiat macam ni, perkara kecil lah bagi mereka,” jawab pakcik tersebut sambil tersenyum.
Saya biarkan sahabat saya melayan sembang dengan pakcik tersebut. Saya akui, masalah sosial di kalangan anak-anak muda Islam di negara kita sudah semakin kronik. Kita perlukan satu penawar hebat untuk menyuntik kembali kekuatan iman ke dalam diri anak-anak muda ini khasnya dan masyarakat kita umumnya. Penawar hebat tersebut tentulah diadun dengan ramuan keimanan, ketaqwaan dan kepatuhan kepada Allah dengan berlandaskan Al Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembali-kanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [An-Nisaa’: 59]
Dari Abi Nujaih ‘Irbadl bin Sariyyah radliyallaahu ‘anhu, ia berkata : Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam memberi pelajaran kepada kami sehingga hati kami takut kepadanya dan mata mencucurkan air mata. Kami berkata : “Wahai Rasulullah, sepertinya pelajaran ini adalah pelajaran orang yang akan berpisah ? Oleh karena itu, berilah kami nasihat”. Beliau bersabda : “Aku wasiatkan hendaklah kalian bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat kendati kalian diperintah oleh seorang budak, karena orang-orang yang hidup sepeninggal kalian akan melihat pertentangan yang banyak. Maka, hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah para khulafaur-rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku. Gigit (pegang erat) sunnah tersebut dengan gigi geraham. Tinggalkanlah hal-hal yang baru, karena setiap bid’ah adalah sesat” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud no. 4607; At-Tirmidzi no. 2676;)
Dalam Islam walaupun menuntut ilmu itu adalah fardhu namun jika sekadar mendapatkan ilmu belum cukup untuk menjadikan kita insan yang hebat dan bertaqwa kepada Allah. Ilmu perlu diamalkan. Ilmu perlu dipraktik dan diterjemahkan dalam kehidupan. Setelah itu baru akan datangnya iman.
Namun iman itu sendiri jika tidak dijaga dan dibaja akan bisa runtuh bentengnya dek hasutan iblis laknatullah. Iman bagaikan sebutir biji benih yang kita semai, kita mengharapkan hasil daripadanya maka ia mesti dipagari bagi mengawal daripada serangan musuh. Kemudian kita bajai, jaga dan awasi selalu agar berharap mendapatkan hasil yang baik. Begitu juga dengan iman, jika kita tidak berhati-hati dan tidak membentenginya dengan betul, iman pasti terancam oleh ancaman nafsu dan hasutan syaitan laknatullah.
Imam Al Syafie menggariskan lima kekuatan yang bisa membentengi iman dalam perjalanan mencari redha Allah:
1. Yakin : Keyakinan kepada Allah merupakan pokok utama menjamin sahnya keimanan kita kepada Allah. Yakin kepada Rukun Iman yan g enam. Menolak salah satu daripadanya maka gugurlah keimanan kita. Setiap keraguan walau sedikit pasti menggugat keimanan. Atasi setiap keraguan dengan ilmu bukannya dengan akal.
2. Ikhlas : Tanpa keikhlasan segala amalan akan tertolak. Melafazkan kata-kata,”Aku beri ni ikhlas.” “Bantuan ini ikhlas dari saya.” “saya ikhlas.” , sememangnya senang tetapi menzahirkan di dalam hati bukanlah suatu perkara yang mudah. Iblis dan syaitan laknatullah sentiasa akan memesongkan hati-hati kita. Akhirnya wujud sifat riya’, bangga diri, minta dipuji, takkabur dan sebagainya apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Bagi orang yang ikhlas, setiap apa yang dilakukan tidak mengharapkan apa jua daripada makhluk melainkan keredhaan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
(Al –Baqarah :264)
3. Mengerjakan amalan sunat : Bersembahyang sunat, membaca al Quran dan bersedekah, bisa menguatkan lagi benteng keimanan kita. Amalan sunat juga boleh menyempurnakan amalan wajib dan meninggikan pangkat serta darjat di syurga Allah.
4. Istiqammah Beramal : Sesuatu yang sukar tapi tidak mustahil jika ia menjadi kebiasaan. Sentiasa istiqammah, tetap dan berterusan beramal pasti dapat membentengi keimanan. Sebab itu kata ulama’ sesuatu perubahan janganlah kita lakukan secara drastik atau terkejut kerana bimbang ia akan menjadi bak kata peribahasa,”hangat-hangat tahi ayam.” Bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik amal ialah amalan yang kekal walaupun sedikit."
5. Disiplin : Baik peraturan Allah mahupun peraturan manusia, jika seseorang itu tidak berdisiplin, hidupnya pasti menghadapi kesukaran. Dalam soal beribadah kepada Allah , tatasusila dan ketertiban adalah merupakan dua perkara yang penting dan perlu diberi perhatian. Syaitan laknatullah sentiasa menggula-gulakan kita dengan penyakit malas dan lalai bila setiapkali hendak melakukan ibadah kepada Allah. Jika kita tidak berdisiplin maka kita akan tunduk dengan hasutan-hasutan ini. Sedangkan dalam solat kita selalu berjanji dalam doa iftitah, “ Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”
Berharaplah agar Allah sentiasa tetapkan iman dan hati-hati kita daripada terpesona dan longlai dengan hasutan dan bisikan iblis serta syaitan laknatullah. Semoga kita sentiasa mendapat hidayah dan petunjuk menuju keredhaan Allah. Amin
0 comments:
Post a Comment