Thursday, March 10, 2011

Cabul Pelajar : Alahai Nasib Guru


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat :12)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."


KUALA LUMPUR 4 Mac – Ketua guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Pandan Indah, Ampang di sini mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan mencabul 11 pelajar berusia antara 15 dan 16 tahun, bulan lalu.
Mengikut kesemua pertuduhan itu, Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada kesemua pelajar berbangsa Cina itu di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi, 25 Feb lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan.


Berita ini bagaikan meruntun saya untuk menulis sesuatu. Apabila saya melayari berita ini dalam internet, kebanyakkan blog hanya memuatkan berita ini tanpa sebarang komen, kalau adapun kebanyakkannya seperti sudah menjatuhkan hukuman ke atas guru tersebut. Tidak ada langsung pembelaan untuk Cikgu Ismazi. Mahkamah belum menjatuhkan hukum tetapi masyarakat begitu cepat menuding jari kepada beliau dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan.

Teruk sangatkah Cikgu Ismazi ini? Hanya rakan-rakan dan pelajar-pelajar lain yang tak terlibat dalam kes ini yang mampu menceritakannya. Kita yang tidak tahu hujung pangkalnya janganlah membuat sesuatu tuduhan atau andaian secara membuta tuli. Dalam Islam menuduh seseorang yang belum kita pasti salah atau benarnya, berdosa besar hukumnya. Fikirlah juga bagaimana perasaan dan hati Cikgu Ismazi serta ahli keluarga beliau bila dilemparkan dengan tuduhan sebegini sedangkan mahkamah belum memutuskan samada dia bersalah atau sebaliknya.

Secara logiknya, mana mungkin seorang itu sanggup mencabul 11 orang pelajarnya sekaligus dalam satu bilik dan pada waktu yang sama? Apatah lagi pelajar tersebut sudah berumur antara 15 dan 16 tahun. Pelajar hari ini bukan seperti pelajar dulu. Pelajar hari ini terlalu dimanjakan oleh sesetengah ibu bapa sehinggakan bukan sahaja mereka tak boleh dirotan, malahan denda, memarahi mereka atau menyebut perkataan “Awak jangan jadi bodoh” pun tak boleh. Jika tidak, siaplah guru tersebut akan menerima teguran, surat layang atau amaran dari pihak ibu bapa atau pihak-pihak tertentu. Jadi hari ini, para pelajar berasakan yang mereka sentiasa akan berada di pihak yang benar dan pasti ada pihak yang akan membela mereka biarpun mereka di pihak yang salah.

Lebih malang lagi hari ini, bukan sahaja ibu bapa menyebelahi anak-anak mereka, malahan ada pihak-pihak tertentu seperti pertubuhan politik dan NGO cuba menjadi juara di sekolah-sekolah. Bila timbul kes-kes seperti ini, maka inilah peluang untuk mereka menunjukkan “sifat keperihatinan mereka” kononnya atas nama membela yang teraniaya. Bukan semua cerita atau cakap anak-anak pelajar kita yang boleh kita telan bulat-bulat. Ada yang berdendam dengan guru kerana dihukum akibat masalah disiplin , mereka-reka pelbagai cerita keburukan guru agar guru tersebut menerima balasan. Dalam kes ini, saya melihat seperti ada sesuatu yang perlu disiasat dengan teliti. Janganlah kerana dendam, akhirnya orang yang selama ini mencurahkan ilmu tanpa penat dan jemu menjadi mangsa keadaan.

Firman Allah: (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Sudah banyak cerita yang kita dengar tentang guru yang tidak benar tapi telah disensasikan oleh akhbar-akhbar. Contohnya, pada tahun lepas seorang guru di Teluk Kumbar Pulau Pinang dikatakan telah mencederakan seorang bapa pelajar. Setelah disiasat, ternyata bapa pelajar itu mengada-adakan cerita untuk tujuan mengaibkan guru tersebut. Akan tetapi malangnya pihak akhbar tidak pula menyiarkan berita tersebut untuk membersihkan semula nama guru-guru tersebut!

Malang sungguh nasib para guru hari ini. Bukan sahaja dibebani dengan tugas mengajar dan aktiviti ko kurikulum tapi dilambakkan dengan kerja-kerja pekeranian yang pelbagai disamping itu terpaksa mengawal sikap dan disiplin pelajar yang semakin hari semakin tidak terkawal. Tapi kebajikan dan keselamatan mereka terabai dan tidak bergitu serius diberi perhatian. Guru-guru disiplin selalu menjadi mangsa, sedangkan pada hakikatnya mereka menjalankan tugas untuk memastikan pelajar sentiasa mengikut dan mematuhi peraturan serta undang-undang sekolah. Mereka tidak dibayar elaun lebih walau sesenpun untuk menjalankan tugas menjadi guru disiplin yang merupakan guru yang dibenci oleh kebanyakkan pelajar. Malahan mereka terpaksa membahayakan bukan sahaja diri mereka tapi anak, isteri dan keluarga mereka semata-mata menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Kepada semua guru-guru, jalankan tugas dengan sebaik mungkin dan penuh amanah. Bersabarlah dengan setiap apa jua dan dugaan yang kita hadapi. Jika kita dipihak yang benar, insyallah lambat laun kebenaran akan pasti terselah jua. Sentiasa bermunajat dan berdoa kepada Allah dan Allah tidak pernah mempersia-siakan permintaan hamba Nya.

“Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.” (Surah Luqman: 16)

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaranlembaran telah kering (dakwatnya). (Hadith riwayat al-lmam al-Tirmizi.) Beliau berkata: la adalah Hadith Hasan Sohih.

1 comments:

Anonymous said...

Kes ini jangan diambil mudah dan jangan dipandang ringan oleh semua warga pendidik termasuk Kementerian Pelajaran Malaysia, kerana dikhuatiri akan memberi impak yang menakutkan terhadap disiplin sekolah. Berpengalaman selama 30 tahun sebagai guru disiplin di sekolah menengah, dari seawalnya naluri saya terdetik bahawa kes ini adalah satu perangkap, tohmahan, dan fitnah terhebat terhadap seorang guru disiplin yang melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab. Kemungkinan risiko berlakunya kes seumpama ini sudah berulangkali saya nyatakan kepada rakan-rakan setugas. Ternyata kebimbangan itu kini menjadi kenyataan.

Tidak masuk akal seorang ketua guru disiplin dengan mudah melakukan perbuatan seperti itu. Biasanya ketua guru disiplin bukan calang-calang orang yang diberi kepercayaan oleh pentadbir sekolah. Secara praktiknya guru yang paling berisiko di sekolah ialah guru disiplin, bukannya pengetua, penolong kanan atau guru-guru lain. Guru yang paling dibenci oleh pelajar bermasalah ialah guru disiplin. Ini bermakna mereka senentiasa terdedah dengan pelbagai unsur fitnah dan risiko yang menakutkan

Aduhai… jaminan RM11,000 yang dikenakan pihak berkuasa dan 10 tahun penjara jika sabit kesalahan memperlihatkan betapa ampuhnya nasib guru disiplin untuk menempuh derita secara berseorangan. Ibarat kata ‘makan ramai-ramai bayar sorang-sorang’.

Kita akan melihat bagaimana respon pihak pengurusan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menghadapi isu ini yang nampaknya masih membisu setakat ini. Siasatlah dengan teliti dan bertindaklah secara bijaksana supaya mampu memberi pengharapan kepada semua guru disiplin yang sedang berhempas pulas menegendalikan masalah disiplin sekolah yang semakin membimbangkan dan kritikal dewasa ini.

Saya bimbang jika ‘penganiayaan ini’ tidak mendapat pembelaan secara sewajarnya ia boleh memberi kesan negatif terhadap keseluruhan sistem pendisiplian pelajar pada masa depan. Tidak keterlaluan jika saya katakan kemungkinan akan berlaku fenomena tidak akan ada lagi guru yang sanggup menggalas tugas sebagai guru disiplin. Lebih malang lagi jika ia menjadi penyebab sehingga berlakunya perletakan jawatan secara beramai-ramai guru disiplin di seluruh negara.

Kita perlu ingat bahawa jawatan guru disiplin bukanlah jawatan hakiki yang mendapat elaun khas atau sebagainya. Mereka berkhidmat secara sukarela dalam arus risiko yang amat tinggi. Lebih mudah, selesa dan selamat jika seseorang itu bukan sebagai guru disiplin.

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company