Tuesday, March 8, 2011

Gaddafi Vs Libya : From Hero to Zero


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah swt dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). “ (Al Anfaal: 27.)
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Apabila Allah S.W.T menghendaki seseorang ketua itu menjadi ketua yang baik, ia akan jadikan pembantunya itu bersikap benar. Jika ia lupa ( lupa kepada Allah dan menyeleweng dari kebenaran ) ia mengingatkannya. Jika ia tidak lupa, ia memberi pertolongan dan bantuan kepada ketuanya itu. Jika Allah menghendaki ketua itu menjadi ketua yang lain daripada itu, dijadikan pembantunya seorang yang jahat, jika ia lupa tidak diingatkanya dan jika ia ingat tidak dibantunya” (diriwayatkan oleh Abu Daud ).


Muammar Abu Minyar al-Gaddafi bermula sebagai hero legenda Libya apabila bersama sekumpulankecil pegawai tentera berjaya menggulingkan kerajaan Raja Idris 1 (Yang pada masa itu berada di Turki kerana menerima rawatan) pada 1 September 1969 dan pada tarikh tersebut juga beliau diangkat sebagai "Pemimpin besar dan Pengasas Revolusi."Libya yang baru. Maka bermulalah episod panjang pemerintahan Kolonel Muammar al- Gaddafi. Beliau sering melaungkan konsep pemerintahan Libya "diperintah oleh rakyat"dan dalam masa yang sama memperkenalkan sistem pemerintahan "Sosialisme Islam".

Gaddafi memmperkenalkan sistem moral Islam yang melarang minuman alkohol dan berjudi di kalangan rakyatnya. Digeruni oleh musuh-musuhnya terutama negara barat yang mengecap Libya sebagai negara pengganas. Malah pada persidangan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu pada November 2010, Gaddafi mengejutkan dunia dan menjadi hero negara Islam, Gaddafi mengambil pendekatan yang lebih radikal untuk menyatakan kekecewaan dan kemarahan terhadap amalan memberi kuasa veto kepada lima kuasa besar dalam Majlis Keselamatan PBB. Gaddafi mengoyak kulit depan Piagam PBB semasa memberi ucapan di hadapan pemimpin-pemimpin dunia. Kemudian kertas itu dibaling ke podium ke arah pemimpin kuasa besar dunia yang telah sekian lama mencabuli matlamat kewujudan badan dunia itu.
Namun langit tidak selalunya cerah. Kita merancang, Allah Ta’ala juga merancang, namun percayalah perancangan Allah lah yang paling terbaik. Kehebatan, keberaniaan dan ketokohan Gaddafi tidak dapat menjamin tempat yang selamat untuknya dalam pentadbiran Libya. Hasrat Gaddafi untuk terus memagang tampuk pemerintahan setelah hampir 42 tahun memerintah, nampaknya hampir tidak menjadi kenyataan. Biasan Revolusi Melur di Tunisia dan diikuti dengan Revolusi Medan Tahrir di Mesir menjadi azimat dan semangat untuk sebahagian besar penduduk Libya bangun menentang Gaddafi. Kemiskinan, birokrasi dan kadar inflasi menjadi antara sebab rakyat bangun menentang Gaddaffi.

Berulang kali saya nyatakan dalam tulisan saya yang lalu, peristiwa atau mimpi ngeri sebegini boleh berlaku kepada mana-mana sahaja pemimpin di dunia ini. Selama mana ia berkuasa samada baru atau lama bukanlah ukurannya. Yang penting bagaimana seorang pemimpin menjaga hubungan baik dengan rakyat bawahannya. Sentiasa melihat segala keperluan dan masalah yang mereka hadapi. Menangani dengan jujur, ikhlas dan kesaksamaan. Sebab itu dalam Islam, tugas pemimpin bukannya suatu jawatan yang boleh dianggap enteng atau mudah. Ia merupakan satu amanah yang perlu dipertanggungjawaban. Samadapemimpin kecil ataupun besar, ia tetap merupakan suatu amanah.

Sabda Rasulullah S.A.W : “Tiap-Tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertangung jawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Malangnya hari ini manusia berebut-rebut hendak menjadi pemimpin. Contohnya di depan mata kita, berebut-rebut manusia inginkan jawatan dan kedudukan. Dari perebutan sekecil-kecil untuk menjawat jawatan pengerusi persatuan, pengerusi masjid atau surau hinggalah kepada pemimpin tertinggi dalam parti dan sebagainya. Bukan sekadar berebut sahaja, malah ada yang sanggup bertengkar, bergaduh dan bersinsing lengan kerana mahukan jawatan di dunia. Apakah mereka tidak tahu betapa beratnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin?

Abu Zar Al-Ghaffari meriwayatkan, saya berkata kepada Rasulullah S.A.W Tidakkah Tuan hendak melantik saya untuk mengetuai sesuatu urusan? Rasulullah S.A.W menepuk bahu saya dan berkata.” Wahai Abu Zar, engkau adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Di hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan yang ditentukan di dalamnya”.
Abu Zar bukanlah seorang yang tidak taat kepada Allah dan dikuasai nafsu tetapi dia adalah seorang manusia yang lemah dalam mengambil tindakan, dia adalah seorang yang lurus hati dan mempunyai kelemahan yang menghalangnya bersikap tegas kepada kawan dan lawan. Itu pun dianggap oleh Rasulullah S.A.W apatah lagi orang yang kalah di hadapan nafsu, jahil dan tidak beramanah.


Suatu ketika dulu, Muammar Gaddafi adalah wira rakyat namun hari ini ketika usia di penghujung senja nampaknya seperti Gaddafi terpaksa turun atas desakan rakyat juga. Hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bila dan bagaimana! Tindakan Gaddafi yang membunuh nyawa manusia tanpa rasa bersalah atas nama ingin terus berkuasa adalah sesuatu kezaliman. Di sinilah letaknya rasional seorang pemimpin Islam samada dia memerintah mengikut kehendak agama atau mengikut hawa nafsunya.

Dalam Musnad Imam Ahmad ada diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksudnya: “Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam (pemimpin) yang adil dan yang paling dibenci Allah ialah imam yang zalim”.

Kita berdoa agar kemelut dinegara-negara Islam dapat diselesaikan dengan cara berhemah. Kita bimbang dalam keadaan sebegini, musuh-musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk mengeruhkan lagi suasana dengan mengapi-apikan perasaan umat Islam yang akhirnya menyaksikan kita berbalah dan berbunuhan sesama sendiri. Teguhkan iman dan sentiasa tegakkan Islam dalam melayari kehidupan ini. Insyallah...Allah akan sentiasa bersama orang yang benar.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company