Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa wasangka daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka." (Al-A'raaf: 201)
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwa
lah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr:18)
Sungguh aku diuji empat perkara
Selalu menjerat ku dalam binasa
Iblis, dunia, nafsu dan syahwat
Bagaimana selamat, sedangkan mereka musuh semuanya
Kulihat syahwat dan keinginanku
Begitulah bait-bait syair dititipkan oleh ulama’ untuk menggambarkan betapa 4 perkara ini merupakan musuh utama manusia. Jika kita lalai dan leka, maka keempat-empat perkara ini akan mengheret kita ke lembah kebinasaan. Jika kita menjalani kehidupan ini tanpa dibentengi iman dan Islam yang kukuh dan patuh, maka keempat-empat ini bisa merobek diri kita menjadi manusia yang penuh kecelakaan.
Hari ini kita melihat ke dalam diri sebelum melihat di sekeliling. Saya sendiri tak mahu menuding melihat salah orang sedangkan empat jari lagi menuding diri saya sendiri. Apatah lagi diri ini berbekalkan iman yang lemah dan nipis, ditambah dengan hidup dalam dunia penuh fitnah dan mehnah. Ternyata kempat-empat musuh ini telah berjaya menguasai sebahagian daripada kita. Iblis, memang sudah terang dan nyata tak pernah jemu menghasut dan menguasai kita melalui bala tenteranya seperti jin dan syaitan laknatullah. Mendorong kita melakukan apa jua maksiat yang kadangkala dikaburi dan dilitupi seolah kemaksiatan yang dilakukan membawa kebaikan.
Firman allah yang bermaksud “Berlaku kufurlah engkau!” Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!” (Al-Hasyr:16)
Dunia ternyata Berjaya memaut diri kita. Hari ini, kita sayangkan dunia seolah tiada penghujungnya. Sedangkan iman dan Islam mentarbiah kita tentang adanya hari akhirat, wujudnya alam kubur dan yang pastinya tidak ada orang sebelum kita yang terus-terusan hidup tak mati-mati hingga ratusan tahun. Ingat! Suatu hari nanti kita akan dan pasti MATI, sama ada mahu atau tidak, suka atau sebaliknya. Malangnya hari ini kerana dunia kita sanggup bermusuhan dan berantakkan sesama agama, bangsa, keluarga, jiran-jiran dan rakan-rakan. Lebih peliknya kita sanggup berganding bahu dengan musuh Allah hanya untuk melihat kejatuhan saudara kita. Puas……..biar aku hilang segalanya, agama dan saudara tapi dunia kini ana yang punya.
Nafsu….telah lama menguasai diri ini. Kalau dulu berkereta kecil kini perlu ditukar kereta lebih hebat, besar dan elegant walau anak hanya ada seorang. Kalau dulu tv hanya 32 inci, mana puas nak tengok, tak nampak jerawat artis, sekurang-kurangnya 52 inci. Baru rumah ada klassss. Itu baru dua perkara belum dibongkar yang lain-lainnya. Bila nafsu berkuasa, hati tak pernah puas. Jiwa tak pernah cukup, ada saja kekurangan. Pepatah Melayu ada menyebut: Ikut hati mati, ikut nafsu lesu.
Syahwat…..jika tidak dibendung dengan kepatuhan kukuh kepada Allah, ia bisa meruntun kita ke lembah kemaksiatan. Syahwat yang tidak di kawal dengan kebijaksanaan iman, bisa meruntuhkan bukan sahaja diri kita malahan rumah tangga serta institusi keluarga.
Hatim al- Ashom berkata, “ Nafsu tempat peristirehatanku, ilmu adalah pedangku dan dosa adalah kegagalanku, sedangkan syaitan itu musuhku. Aku dikhianati oleh nafsu.”
0 comments:
Post a Comment