Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (al-Isra’: 106)
“Apabila Allah dan Rasul-Nya menghukum mengenai sesuatu urusan maka tidak boleh lagi bagi orang-orang mu’min lelaki dan perempuan memilih berbuat mengikut kemahuannya. Barang siapa yang durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia benar-benar sesat.” (al-Ahzab: 36)
Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. (al- Baqarah :179)
Minggu lepas saya ke Johor Bharu untuk menghadiri suatu mesyuarat. Oleh kerana beberapa sebab yang tak dapat dielakkan, saya terpaksa memandu untuk ke Johor Bharu kerana semua tiket penerbangan penuh pada musim cuti sekolah. Nasib saya baik kerana saya tidak keseorangan memandu ke Johor Bharu. Saya ditemani oleh dua kenalan saya dari jabatan yang berbeza iaitu seorang berbangsa Cina dan seorang lagi berbangsa India.
Dalam perjalanan, kenalan saya yang berbangsa India sempat berseloroh.
“Ini barulah kereta Satu Malaysia,” katanya
“Pasal apa?” tanya saya kurang faham
“Sebab semua bangsa ada dalam satu kereta,” jawabnya.
“Oooo…betul…betul…betul,” balas saya sambil tersenyum.
Namun bukan itu cerita yang ingin saya paparkan. Apa yang ingin saya coretkan ialah betapa ramai orang bukan Islam di luar sana yang memang tak faham tentangapa itu huduid dan system perundangan Islam. Kalau di kalangan orang Islam sendiripun tak faham (kerana tak mahu ambil faham, atau buat-buat tak faham ataupun tak mau pergi tadah telinga dengar orang baca kitab) apatah lagi orang bukan Islam.
Salahnya kita sendiri. Orang Islam (yang ada ilmu) sendiri tidak memberi penerangan yang sejelas-jelasnya tentang apakah hudud dan bagaimana sistem perundangan Islam dilaksanakan. Ia merupakan suatu hukum Allah yang sempurna dan sebenarnya orang bukan Islam tidak perlu fobia bila mendengar akannya. Apatah lagi jika dilaksanakan di negara ini! Yang menjadi masalah hari ini apabila ada di kalangan orang Islam sendiri yang cuba menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap fenomena HUDUD dan perundangan Islam. Ingat…sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan Rasul, kita perlu yakin tentang kesempurnaan hukum Allah Ta’ala. Menolak atau sangsi walaupun sekelumit cuma, akan menyebabkan kita menjadi manusia kufur. Nauzubillah!
“Sesungguhnya perkataan orang-orang yang beriman itu apabila diajak kepada hukum Allah dan Rasul-Nya supaya berjalan hukuman di kalangan mereka, mereka berkata: “Kami dengar dan kami patuh” dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (an-Nur: 51 )
Dalam perjalanan ke Johor Bharu, banyak perkara yang kami bualkan. Adakalanya topik yang dibualkan menguji kesabaran saya. Terutama bila menyentuh hal dan sikap orang Melayu dan Islam. Namun saya berjaya memberi hujah-hujah dan serangan balas dengan berhemah demi menjaga hubungan sesama kenalan. Antara yang benar-benar menguji kesabaran saya membabitkan pelaksanaan hukum hudud dan perundangan Islam di negara kita yang tercinta ini. Sahabat saya yang berbangsa Cina lebih banyak membuat provokasi . Akhirnya saya membuat kesimpulan yang mereka tidak pernah tahu dan kenal apa yang dikatakan hukum hudud itu. Mereka tidak faham langsung bagaimana pelaksanaan perundangan Islam walaupun sahabat saya yang berbangsa Cina itu belajar hingga keperingkat sarjana , bersekolah di sekolah kebangsaan dan semasa kecil tinggal di perkampungan Melayu!
Kalau sudah memasuki 54 tahun merdeka, tapi orang bukan Islam masih banyak yang tak faham Islam, maka siapa yang perlu disalahkan? Sudah sampai masanya kita berhenti tuding menuding menyalahkan orang lain. Sudah tiba masanya kita masing-masing bermuhasabah diri. Cari salah sendiri sebelum menuding kepada orang lain. Sudah tiba masanya kita umat Islam yang cintakan Allah dan Rasul memberi penjelasan tentang cantiknya hukum Allah ini kepada orang-orang Islam yang tak faham (terutama generasi muda) dan juga orang bukan Islam. Bukannya takut atau fobia bila mendengar perkataan hudud.
Alahamdulillah saya yang diberi Allah sedikit ilmu tentang Islam dan sistem perundangan Islam dapat memberi penjelasan sejelas-jelasnya kepada kedua kenalan saya. Saya ceritakan dalam ayat yang mudah untuk senang mereka faham. Saya jelaskan betapa hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja tapi ini tidak bermakna orang bukan Islam tak dikenakan apa-apa hukuman. Saya jelaskan dalam baba hudud, betapa sukar jika sesuatu kes itu ingin di bawa ke muka pengadilan kerana ia membabitkan saksi, kewibawaan saksi dari segi kepatuhan kepada agama, melihat sendiri kes dengan mata kepala saksi, bilangan saksi jika lelaki atau perempuan dan hinggalah kepada hakim yang ingin mengadili perbicaraan mestilah adil-seadilnya. Jika mencuri tidak semestinya dipotong tangan. Perlu diteliti sebab dab musababnya dengan terperinci.
Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: Pada zaman Rasulullah saw. tangan seorang pencuri tidak dipotong pada (pencurian) yang kurang dari harga sebuah perisai kulit atau besi (seperempat dinar) yang keduanya berharga. (Shahih Muslim No.3193)
Syukur kepada Allah, kerana nampaknya mereka faham. Akhirnya terpacul persoalan dari rakan saya yang berbangsa Cina.
“So, It seem difficult to seseorang tu dikenakan hukuman la?” tanya sahabat saya dalam diaalek manglishnya.
“Ya,” jawab saya sambil tersenyum.
Islam agama yang adil. Sistem perundangannya lebih menjurus kepada pencegahan daripada sebelum berlakunya sesuatu kemungkaran. Saya jelaskan kepadanya betapa undang-undang Islam lebih berpegang kepada prinsip:”Melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada menjatuhi hukuman ke atas orang yang tidak bersalah”
Hadis riwayat Ubadah bin Shamit ra., ia berkata: Kami sedang bersama Rasulullah saw. dalam suatu majlis, lalu beliau bersabda: Apakah kamu sekalian mau membaiatku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak berzina, tidak mencuri serta tidak membunuh jiwa yang telah Allah haramkan kecuali dengan hak. Barang siapa di antara kalian yang memenuhinya maka pahalanya ditanggung Allah. Dan barang siapa yang melakukan salah satunya, maka ia akan dihukum dan hukuman itu menjadi kafarat baginya. Dan barang siapa yang melakukan salah satunya kemudian Allah menutupi, maka perkaranya diserahkan kepada Allah. Jika Allah berkenan memberi ampunan, Allah akan mengampuninya dan jika Allah hendak menyiksa, maka Allah akan menyiksanya. (Shahih Muslim No.3223)
Kereta saya meluncur laju menuju Johor Bharu. Allahamdulillah…saya tersenyum puas. Allah memberi saya kekuatan dan kefasihan lidah untuk berkata-kata!
P/s : ada sebuah video tentang hudud Ok, tapi penerangannya tentang hudud kurang jelas dan permudahkan lagi tapi dalam Bahasa Melayu. Jadi yang bukan Melayu mungkin tak tengok. So kalau boleh buatlah dalam versi Bahasa Inggeris atau mandarin. Baru dakwah kita sampai…insyallah
Jom tengok oleyy Hudud
0 comments:
Post a Comment