Monday, December 19, 2011

RAMLY Burger : Satu Lagi Usaha Menjahamkan Perusahaan Orang Islam


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

Firman Allah yang bermaksud : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al- Baqarah :168)

Sedar atau tidak, kita orang Melayu (sudah semestinya Islam) merupakan kuasa pembeli yang besar. Kalau tak percaya , apa kata orang-orang Islam berpakat dalam seminggu sehari atau dalam sebulan sehari melancarkan kempen “Sehari Untuk Usahawan Muslim” atau “ Sehari Tanpa Pasaraya Besar”. Jadi pada hari itu semua orang Islam hanya membeli di kedai kepunyaan orang Islam sahaja. Tak payah banyak hari, hanya sehari dalam sebulan. Saya rasa mahu terkankang peniagaan orang bukan Islam pada hari itu. Persoalannya…boleh atau tidak!

Sebab itulah apabila sesuatu produk kepunyaan orang Islam bila mendapat sambutan dipasaran terutama dikalangan orang Islam sendiri, maka akan timbul kebimbangan di kalangan sesetengah peniaga bukan Islam. Maka pelbagai cara dan kaedah akan dilakukan oleh mereka-mereka ini dengan harapan syarikat orang Islam itu akan gulung tikar atau sekurang-kurangnya pengguna Islam sudah hilang kepercayaan . Mereka mahu orang Islam terutama orang Melayu mewarisi sikap datuk nenek kita iatu hanya menjadi pembeli yang setia.

Kes yang terbaru berlaku ialah apabila pengeluar syarikat RAMLY yang mengeluar pelbagai barangan seperti burger, hotdog, franfurter, nugget dan sebagainya telah cuba disabotaj oleh pihak-pihak tertentu. Umum tahu bahawa syarikat RAMLY merupakan salah satu syarikat bumiputera Islam yang tersohor. Boleh dikatakan kebanyakkan gerai burger anak-anak muda menggunakan jenama RAMLY. Usaha jahat mensabotaj produk frankfurter keluaran RAMLY yang dikatakan mengandungi DNA babi perlu ditangani segera. Pihak berwajib dan pihak syarikat RAMLY sendiri perlu berusaha menangani dengan serius. Tindakan tegas perlu diambil kepada individu atau syarikat yang berniat jahat dan ingin mensabotajkan perniagaan orang Islam. Mengelirukan umat Islam dengan isu seperti ini merupakan agenda yang amat jahat.

Alahamdulillah, nasib baik JAKIM dengan segera mengeluarkan kenyataan berhubung isu frafurter ini. Mengikut Bahagian Hub Halal Jakim, sampel yang diambil dan diuji pada 14 November 2011 ternyata tidak mengandungi DNA babi seperti yang diwarwarkan. Ternyata produk RAMLY tidak perlu diragui akan status halalnya, apatah lagi ia merupakan keluaran 100 peratus bumiputera Islam.

Ini bukan kali pertama syarikat kepunyaan orang Islam dillakukan sebegitu. Syarikat HPA pernah mengalami nasib yang sama tapi dalam keadaan berbeza. Terdapat syarikat yang mengambil kesempatan ke atas sambutan luar biasa kopi Radix telah mengeluarkan kopi Radix palsu. Bukan setakat kopi dan bungkusan sahaja palsu, dengar khabarnya, lori yang membawa barangan palsu itupun juga dipalsukan.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya" (Al-Maidah :87-88).

Syarikat kepunyaan orang Islam perlu menjelaskan kepada pengguna sejelas-jelasnya yang mana satu produknya yang asli berbanding tiruan jika didapati berlakunya sabotaj. Jangan biarkan pengguna Islam tertanya-tanya. Saya percaya ramai orang Islam yang memang bersedia memberi sokongan kepada produk-produk kepunyaan orang Islam tanpa berbelah bagi. Tapi yang kurang enak didengar, apabila ada suara-suara yang kurang puas hati dengan harga barangan keluaran orang Islam. Mereka memang ingin menyokong tetapi kadangkala harga yang agak tinggi menyebabkan golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah ini tidak mempunyai pilihan lain. Kepada para pengusaha Islam, kita sedara pelbagai kos seperti bahan mentah dan sebagainya semakin melambung naik , tapi janganlah meletakkan harga yang terlalu mahal semata-mata mahu mengaut keuntungan yang cepat. Ingat! Selain daripada mencari rezeki dan memenuhi tuntutan fardhu kifayah, pernigaan yang kita mlaksanakan ini merupakan salah satu jihad.

Dalam hal demikian, Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya supaya sentiasa berhati-hati dalam perkara berkaitan makanan dan minuman yang diambil. Hadith daripada Nukman bin Basyir r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya perkara yang halal itu adalah sesuatu yang nyata dan demikian juga yang haram adalah nyata, (telah dijelaskan oIeh Allah dan Rasul-Nya) namun terdapat di antara kedua-duanya (halal dan haram) itu perkara yang kesamaran (syubhat) yang mana tidak diketahui oIeh ramai di kalangan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada mengambil perkara-perkara yang syubhat, maka terpeliharalah agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang melibatkan diri pada perkara-perkara syubhat bererti ia melibatkan dirinya pada perkara yang haram". (Riwayat Bukhari)

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company