Tuesday, August 10, 2010

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

Allah Ta'ala berfirman : "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Jika sekiranya dikelamkan kepada kamu (berlaku cuaca buruk) maka sempurnakanlah bulan Syaaban itu 30 hari."

Ramadhan datang dan pergi. Sedar tak sedar kini Ramadhan akan muncul tidak berapa detik lagi. Kita yang masih diberi nafas dan kesempatan oleh Allah Taala, haruslah berbanyak memanjatkan syukur di atas anugerah Allah ini. Berdoalah kita agar kita dipanjangkan usia oleh Allah agar dapat bertemu dengan Ramadhan yang mendatang. Walaupunj Ramadhan sudah begitu menghampiri kita, namun ketentuan ajal bakal boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja, setiap detik dan ketika.

Lihat, hitung dan renunglah berapa ramai saudara mara, rakan taulan kita yang sudah pergi meninggalkan kita. Sedangkan Ramadhan yang lalu kita masih sempat bergurau senda dan bertegur sapa dengan mereka. Kini Ramadhan datang tanpa mereka yang sudah pergi mengadap Allah yang Esa.. Saya sendiri kehilangan dua ayah saudara dan seorang ibu saudara. Inilah ketentuannya, janganlah kita sombong dan angkuh hidup di dunia. Sampai masanya bila kita dijemput mengadap Allah, maka segala apa di dunia sudah tidak berguna lagi.

Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk kita melakukan anjakan paradigma ke arah perubahan diri. Ramadhanlah waktu terbaik untuk kita bertekad menjadi hamba Allah yang sebenar-benar bertakwa. Ramadhanlah waktu yang terbaik untuk kita muhasabah diri tentang sepanjang perjalanan hidup kita. Walaupun kesemua perkara boleh kita lakukan sepanjang masa, namun roh dan keberkatan Ramadhan bias menjelmakan sesuatu dalam diri kita.

Pada saat bulan Ramadhan inilah kita dapat melihat surau-surau dan masjid-masjid dilimpahi oleh para jemaah pada waktu Isya’ dan seterusnya menunaikan Solat Tarawih. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita mendekatkan diri dengan rumah Allah. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita beribadah di rumah Allah.
Janganlah pula, suasana ini hanya menjelma setiap kali bulan Ramadhan sahaja . Ia bagaikan suatu ibadah bermusim. Biarpun ramai tok guru, ustaz atau orang ramai sering memperkatakan bahawa masyarakat kita ini sememangnya beribadah mengikut musim. Awal Ramadhan penuh, pertengahan Ramadhan semakin berkurangan dan akhirnya selepas Ramadhan- wal hasil balik asal. Yang tinggal hanya jemaah yang dulu juga. Inilah cabarannya. Berdoalah agar kita terus diberi kekuatan dan hidayah untuk beribadah berpanjangan pada Allah. Dan berdoalah agar kita bukanlah dari golongan yang melakukan ibadah bermusim.

Alasan sibuk bukan sesuatu yang boleh diterima. Kalau di bulan Ramadhan boleh pula kita menjengah surau atau mesjid untuk berjemaah Isya’ dan bertarawih, mengapa tidak selepas Ramadhan. Pucuk pangkalnya ialah hati. Jika hati menyematkan azam akan terus berjemaah walaupun selepas Ramadhan, maka Insyallah Allah akan sentiasa memberi hidayah dan membuka pintu hati kita ke arah tujuan tersebut. Jika selepas Ramadhan kita memberi alasan sibuk, ternyata hati kita telah tewas kepada tuntutan nafsu dan bisikan syaitan laknatullah. Maka Ramadhan yang kita lalui tidak dapat menjadi benteng melindungi hati dan jiwa kita.

Sama-sama kita memanjatkan doa agar kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah Ta’ala.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company