Sunday, August 22, 2010

Madrasah tarbiah fi Ramadhan : Mendidik jiwa dan nafsu



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (Ali Imran :133)

" Barang sesiapa yang yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” (Sahih Bukhari dan Muslim)


Malam tadi. kelopak mata terlalu berat untuk diangkat. Bertarawih dalam keadaan yang mengantuk benar-benar menguji diri ini. Apa tidaknya, kadang kala diri hilang bersama bacaan imam. Melayang entah ke mana.

Lepas tarawih, saya cuba ingatkan kembali apa yang menyebabkan kelopak mata ini terlalu berat semasa bertarawih. Mana tidak mengantuk, petang tadi berbuka agar over dari seperti biasa. Makannya tetap macam biasa tapi minumnya yang lebih. Cuaca yang agak panas menyebabkan bergelas-gelas air ditogok untuk menghilangkan dahaga. Minum pula air ais (air batu) memang nikmat betul waktu berbuka. Kenyang kerana penuh dengan air bukannya makanan.

Masyaallah..tabarakalah, rupanya saya tewas dalam perjuangan melawan nafsu semasa berbuka. Saya berdoa agar Allah Ta’ala sentiasa memberi kekuatan diri untuk terus beribadah sesempurna yang mampu. Dan berharap agar Allah mengampunkan dosa-dosa dan kesilapan saya kerana kegagalan mengawal kekangan nafsu. Sebenarnya Ramadhan merupakan bulan pendidikan yang mampu mentarbiah manusia untuk melakukan perubahan dalam diri dan seterusnya menjadi amalan yang berterusan.

Dari Miqdam bin Ma'di Karib berkata, Aku mendengar Rasulullah bersabda,
: Janganlah manusia memenuhi sebuah tempat yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi manusia beberapa suapan (tiga sampai sembilan), untuk menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak berupaya, maka sepertiga untuk makan, sepertiga untuk minum dan sepertiga untuk bernafas. (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Al-Hakim, shahih)

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
(Al-A’raf:31)


Kehebatan Ramadhan hingga para ulama mengelarkannya Madrasah tarbiah fi Ramadhan atau dalam bahasa mudahnya ia bagaikan satu sesi persekolah mendidik jiwa , hati, nafsu dan perasaan agar menjadi manusia yang sebenar-benar taqwa. Bulan Ramadhan kedatangannya amat ditunggu-tunggu oleh sekelian umat Islam . Ditunggu oleh semua orang Islam mukmin yang ingin mengejar segala ganjaran dan keistimewaannya di dalamnya. Dan kita perlu menangisi pemergiannya kerana takut tidak dapat menempuhinya pada tahun akan datang.

Perintah berpuasa menanamkan banyak nilai ke dalam diri setiap muslim. Menahan diri dari makan, minum dan segala hal yang membatalkan puasa bertujuan untuk membiasakan seseorang mengawal nafsu. Sahur dan berbuka adalah cerminan disiplin asas bagi manusia berpuasa . Rasa lapar dan dahaga adalah sebagai empati (bukan sekadar simpati) kita kepada golongan manusia fakir dan miskin yang selama ini hidup dalam kesusahan dan penderitaan sepanjang hidup mereka. Ini hebatnya Islam, memberi tarbiah dan pendidikan bukannya sekadar dalam bentuk teori tetapi dalam bentuk praktikal. Maka gelaran sebagai Madrasah tarbiah fi Ramadhan adalah begitu tepat sekali.

Namun bagaimana kita boleh memanfaatkan kelebihan bulan Ramadhan dalam membentuk diri kita, hanya Allah dan kita sahaja yang tahu dan dapat mengukurnya. Kita tidak mahu Ramadhan datang dan pergi namun iman dan ketakwaan kita masih seperti dulu. Tidak ada perubahan diri.

Semua orang tahu, Ramadhan itu dipermulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan dipenghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka merupakan kurniaan Allah SWT kepada hambaNya untuk direbut. Ramadhan juga sebenarnya masa yang amat sesuai untuk mendidik jiwa seorang hamba dan seterusnya melahirkan sifat ketakwaan yang tinggi sehingga memperolehi syurga yang amat dirindui. Jika kita tidak merebut peluang keemasan ini adalah sesuatu yang merugikan.

Namun bagaimana kita boleh memanfaatkan kelebihan bulan Ramadhan dalam membentuk diri kita, hanya Allah dan kita sahaja yang tahu dan dapat mengukurnya. Kita tidak mahu Ramadhan datang dan pergi namun iman dan ketakwaan kita masih seperti dulu. Tidak ada perubahan diri. Kalau dalam bab mengawal nafsu makan dan minumpun saya tewas (atau dalam bahasa utaranya ceroi) bagaimana mungkin saya mengawal dan mengekang hal-hal lebih besar lagi . Hanya kekuatan spiritual dan istiqamah berterusan dalam beribadah mampu membentengi diri saya yang lemah ini. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan saya dan semua umat Islam kekuatan ini .

Rujukan

Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 2001

Syaikh Muhammad Jamaluddin Al Qasimi. Imam Ghazali: Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 1999

Ustaz Ismail Syafiee Al Bakabi. Ihya' Ramadhan. 2008 Penerbitan Al Bakabi, Sg Bakap.)P.Pinang

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company