Monday, August 30, 2010

Malaysia-Indonesia: Kita Bukan Sahaja Serumpun..


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

…Dan para malaikat masuk kepada tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkan); keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
(Ar-Ra’d:23-24)

Rasulullah SAW yang bersumber dari Anas bin Malik r.a:
“Setiap orang di antara kamu sekalian melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang
melakukan kesalahan adalah yang bertaubat.”
(HR. Ahmad)


“Bahwa Rasulullah saw ketika menyaksikan bulan sabit -memasuki bulan ramadhan- berkata: “Marhaban bil Muthohhir”, (selamat datang bulan pembersih), dan beliau mengulang ungkapat tersebut sebanyak tiga kali. Ketika itu para sahabat bertanya: Siapa yang engkau maksud dengan bulan pembersih itu ya Rasulullah…? Lalu Rasul menjawab: “Bulan pembersih itu adalah bulan Ramadhan, Dia ( Ramadhan ) mampu membersihkan diri dari segala bentuk dosa – dosa dan maksiat”.

Seminggu dua ini kisah mengenai kemarahan rakyat Indonesia kepada Malaysia sering kita baca dan dengar melalui media massa dan elektronik. Saya membaca mengenai berita ini bukan sahaja dari kaca mata media Malaysia tetapi juga menerusi media Indonesia melalui akhbar online mereka. Ternyata beberapa keratan berita yang dipaparkan begitu ngeri untuk dibaca kerana isinya penuh dengan api kemarahan dan kebencian. Tidaka seperti berita dalam akhbar-akhbar di Malaysia yang ternyata memuatkan berita ini secara sederhana.

Amat malang sekali dalam suasana umat Islam sudah memasuki fasa kedua Ramadhan al Mubarak yang menjanjikan keampunan (maghfirah) masih ada sebilangan kecil manusia yang meyuburkan diri dan jiwa mereka dengan kebencian. Episod malang ini mencapai kemuncaknya apabila sebilangan kecil rakyat Indon yang mengelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia(Bendera) membuat demostrasi dan memijak bendera Malaysia serta melempar najis ke arah Kedutaan Malaysia. Dalam suasana manusia berlumba-lumba mencari redha dan keampunan Allah di bulan Ramadhan, ternyata kita mengeruhkan kemuliaan Ramadhan dengan bermusuhan sesama Islam (saya beranggapan sebahagian besar penunjuk perasaan tersebut beragama Islam). Apakah kita layak dianggap sebagai hamba Allah yang mendambakan syurganya pada hal dari segi sikap dan perbuatan kita mengundang kemurkaan Allah.

Sepatutnya bulan Ramadhan ini merupakan madrasah yang boleh membimbing jiwa dan hati kita kepada nilai-nilai kesabaran. Biar di mana kita, sama ada di Indonesia, di Malaysia mahupun jauh di Khutub Utara selagi kita berpegang dan berpaksikan Allah sebagai Rabb dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul Allah kita adalah bersaudara. Perlukah kita membakar api sengketa sesama semuslim sedangkan di luar sana musuh-musuh Islam bertepuk dan tersenyum kerana kejahilan dan kebodohan kita.

“Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa” (QS. Al-Baqarah: 177)

Masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah menaruh dendam kepada saudara seIslam mereka di mana sahaja terutama saudara serumpun mereka, Indonesia. Bila berlaku gempa bumi, tsunami atau apa sahaja mala petaka menimpa saudara mereka di Indonesia, Malaysialah Negara yang awal menghantar bantuan kemanusiaan. Rakyat Malaysia bersusah payah menubuhkan tabung bantuan kemanusiaan untuk membantu saudara mereka di Indonesia. Malahan bila berita-berita seperti tindakan cuba mengharamkan Youtube sempena bulan Ramadhan, Acheh mengenakan pemerintahan secara Islamik dan pelbagai berita yang berkaitan dengan syiar Islam, pasti saudara Islam di Malaysia berasa bangga dan menjadikannya bahan perbualan. Semuanya atas semangat dan dasar persaudaraan se Islam.

Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman - (Surah al-Anfal: 1).

Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertengkar itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al Hujurat:10)


Kita berharap agar peristiwa ini tidak akan berulang. Berfikirlah dengan hati yang waras. Terjemahkan semangat perjuangan yang anda tunjukkan itu bukan pada negara yang majoriti rakyatnya seagama dengan kita tapi terjemahkan semangat juang anda untuk menentang musuh-musuh Allah yang berada di mana-mana. Kita bukan sahaja serumpun tapi lebih hebat lagi kita adalah saudara seIslam. Kita menyembah Allah yang Esa . Perlukah kita bersifat seperti orang tidak bertamadun dan hidup di zaman jahiliyyah. Jawapan itu hanya ada dalam diri kita sendiri. Tepuk dada dan tanyalah iman.Kemaafan dan kesabaran adalah ubat yang paling mujarab bagi seorang Islam.

Semoga Allah sentiasa memberi keampunan kepada kita dan kita berdoa agar dapat ketemu dengan Llailatul Qadar dalam fasa-fasa terakhir Ramadhan al Mubarak ini.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company