Friday, January 14, 2011

Adik Nur Diana Qistina : Satu Lagi Episod Tragis


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar" (Al-Israa’:31)

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”
Lantas Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. “Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya.
Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)


Belum reda kita dikejutkan dengan kematian tragis adik Syafia Humairah Sahari pada tanggal 26 Februari 2010, kini kita dikejutkan pula oleh kematian adik Nur Diana Qistina Nurafizan pada 10 Januari 2011 akibat menjadi mangsa penderaan. Malang sekali episode penderaan ini dilakukan oleh orang-orang yang dikenali dan rapat dengan mangsa. Mereka yang sepatutnya menjadi benteng dan pelindung kepada anak-anak ini sebaliknya telah mempersia-siakan segala amanah yang dipertanggugjawapkan. Kejam dan tidak ada perikamanusiaan. Bayangkan seorang anak kecil berusia baru 3 tahun telah mengalami penderaan dengan 73 kesan kecederaan.

Jika adik Syafia Humairah menjadi mangsa kekejaman kekasih ibunya, adik Nur Diana Qistina pula menjadi mangsa deraan ibu tirinya sendiri. Lebih menyayat hati kita, Nordiana dikatakan turut menjadi mangsa deraan bapanya sendiri. Masyaallah…tabarakallah. Seorang bapa yang sepatutnya memikul amanah Allah untuk menjaga anak-anak yang merupakan anugerah dan zuriat keturunannya tetapi bertindak di luar batasan manusia.

Apakah layak seorang itu dipanggil bapa sedangkan dia telah memusnahkan segala harapan dan tanggungjawab yang digalas kepadanya untuk mendidik anak. Bagaimana hancurnya hati sang ibu apabila mengetahui anaknya mati akibat menjadi mangsa deraan bapa kepada anak-anaknya sendiri. Bagaimana pilu hati anak-anak apabila melihat adik kesayangan mereka menemui ajal akibat perbuatan kebinatangan bapa serta ibu tiri mereka sendiri? Bila manusia sudah tidak menggunakan akal dalam setiap apa tindak tanduknya, maka tarafnya adalah lebih hina dari seekor haiwan. Golongan bapa dan ibu tiri seperti inilah merupakan syaitan dikalangan manusia . Mereka sentiasa tunduk dengan hawa nafsu dan bisikan iblis laknatullah.

"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa kepada Allah". (Surah Al-Mujadalah :58)

Adalah malang, Jika hidup hanya mencari kenikmatan dan kesenangan dunia hingga lupa tujuan sebenar kita dihidupkan oleh Allah di dunia ini. Akibatnya golongan ini akan hanya menjadi mainan tipu daya iblis laknatullah. Bila akal dikuasai nafsu syaitan, maka tidak hairanlah kalau si ibu tiri sanggup bertindak kejam terhadap anak-anak kecil yang tidak berdosa. Orang seperti ini tidak berhati perut, semakin anak-anak merengek dan menangis minta simpati, semakin kuat nafsu kebinatangannya bertindak. Si bapa yang sepatutnya melindungi anak-anak, turut bersekongkol dengan si isteri mendera anak-anaknya sendiri. Ingat, golongan seperti ini bukan sahaja mendapat hukuman di dunia, malah juga akan mendapat balasan daripada Allah di hari perhitungan kelak.

“Pada hari itu Kami akan tutup mulut mereka dan tangan mereka memberitahu Kami (mengenai kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang sudah mereka perbuatkan (ketika hidup di dunia)?” (Surah Yaasin :65).

“Kesenangan di dunia ini hanya sementara dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa dan Kami tidak akan anianya sedikit pun.” (Surah an Nisa’: 77)


Hari ini sistem kekeluargaan Islam akan runtuh jika anak-anak muda yang bakal mendirikan rumahtangga hanya bersandarkan nafsu semata-mata. Memilih bakal suami atau isteri tidak berpaksikan kehendak agama. Apabila kita tidak meletakkan Islam di tempat yang teratas dalam setiap aspek kehidupan, bukan sahaja masyarakat akan berantakkan dan bercakaran sesama sendiri, malah institusi kekeluargaan yang kita bina bisa berkecai di tengah jalan. Kepada anak-anak muda yang bakal menjadi suami dan kemudiannya menjadi ayah atau bapa, jadikan segala peristiwa ngeri dan menyayat hati ini sebagai satu iktibar dalam melayari bahtera kehidupan. Carilah keredhaan Allah, Insyaallah kita akan mendapat kebahagiaan didunia dan juga akhirat.
Al Fatihah.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company