Thursday, January 20, 2011

Lagenda Budak Setan 1


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Firman Allah : “(Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;
Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.
Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,” (Al - Infithar : 13-15)

Rasulullah S.A.W. bersabda;
'' Dalam hati ada dua bisikan. satu bisikan dari malaikat mengajak kebaikan dan mempercayai akan kebenaran. Siapa merasakannya, ketahuilah dari allah dan hendaklah memuji kepadanya yang lainnya bisikan dari musuh (syaitan) mengajak kepada kejahatan dan mendustakan kebenaran, bahkan melarang kebaikan. Siapa menemukannya, hendaklah segera memohon perlindungan kepada allah dan bisikan syaitan yang terkutuk.... ''


“Pemudi harapan bangsa, pemuda tiang negara”,”Pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan” Itulah sebahagian ungkapan yang sering kita dengar bila membicarakan tentang hala tuju anak-anak muda. Namun setelah melihat sikap dan peribadi sebahagian besar anak-anak muda hari ini, kita bimbang ungkapan-ungkapan ini hanya sekadar retorik semata-mata.

Peristiwa terbaru pembunuhan kejam adik Taufik Abdul Rahim,15 tahun di Kampung Sadong Jaya, Samarahan, Sarawak seolah-olah menggambarkan peribadi dan akhlak anak-anak muda kini dalam situasi yang membimbangkan. Pembunuhan adik Taufik dilakukan oleh seorang suspek yang baru menjangkau 19 tahun. Hanya kerana tidak mahu menurut kemahuan suspek, adik Taufik telah dipukul dengan kayu menyebabkan mangsa meninggal dunia. Kemudian, mayat mangsa di tanam di belakang rumah suspek dalam keadaan yang sungguh menyayat hati.
Betapa remuk hati sang ayah apabila melihat anak kesayangan yang begitu akrab dengannya mati dalam keadaan sedemikian rupa. Memanglah sang ayah dan ibu redha pada suratan takdir, tapi yang pasitnya mereka tidak sanggup melihat anak kesayangan mereka mati dalam keadaan penuh tragis dan sadis sekali.

Kes jenayah melibatkan remaja semakin hari semakin meningkat. Baru sahaja pada minggu lepas kita dihidangkan dengan berita mengenai remaja bersama beberapa rakannya telah membunuh datuk dan mencederakan neneknya di Felda Palong 1, kini satu lagi kes jenayah berat membabitkan remaja. Hari ini anak-anak muda ini sudah hilang pertimbangan akal dan nilai keagamaan semakin terhakis dari dalam diri mereka. Penglibatan remaja dalam pelbagai jenis jenayah merupakan satu kerugian kerana anak-anak remaja ini merupakan aset penting kepada negara.

Saidinna Umar r.a. pernah mengungkapkan: “Barangsiapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya.” Sesiapa yang memiliki pemuda, maka ia akan menguasai masa depan. Yang menjadi tanda tanya, apakah dengan keadaan anak muda kita yang seperti hilang identiti diri dan longgar pegangan agamanya mampu menjadi pemimpin hebat yang takutkan pada Allah. Sebahagian besar anak-anak remaja kita tewas dengan budaya barat. Setiap hati dan jiwa mereka diresapi budaya hedonisme - suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan. Akhirnya remaja-remaja, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), buang bayi, ketagih rokok, judi, arak, bahan porno (lucah ), bunuh, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Pemikiran anak-anak remaja kita disumbat dengan minda picisan, agenda hiburan melampau menjadi berhala kehidupan mereka, akhirnya keseronokan membawa kesesatan. Bukan semua anak-anak remaja yang terlibat dalam gejala sosial dan jenayah ini tidak berpelajaran. Malahan ada dikalangan remaja ini merupakan pelajar pusat pengajian tinggi dan lebih menyedihkan ada juga yang terlibat mempunyai latar belakang pendidikan agama peringkat tinggi.

'' Mereka telah dikuasai syaitan, lalu dia melupakan mereka dari mengingati Allah.'' ( Al-mujahadah: 19 )

Iblis laknatullah tidak pernah jemu menggoda manusia. Iblis menghantar konco-konconya berupa syaitan menyusup bersama nafsu anak-anak muda .Apatah lagi di ketika ini kehidupan anak-anak muda kita hari ini dilambakkan dengan pelbagai jenis hiburan yang melampau dan menjengkelkan. Lambakkan hiburan ini bukan sahaja masuk ke dalam jiwa dan minda anak-anak muda melalui buku-buku, majalah, internet dan media-media elektronik. Yang menyedihkan apabila ada pihak yang sepatutnya membimbing anak-anak muda ini turut sama melonggokkan pelbagai hiburan kepada mereka atas nama kebebasan dunia tanpa sempadan. Akhirnya nafsu anak muda menewaskan akal dan iman.

Di dalam Sahih Muslim hadith 5109 bersumber dari 'Iyad bin Himar al-Mujasyi'i, disebutkan bahwa Rasulullah S.A.W bersabda,Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hambaKu dalam keadaan hanif (cenderung kepada kebenaran), lalu setan-setan mendatangi mereka, dan menyelewengkannya dari agama mereka dan (setan-setan itu) mengharamkan terhadap mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka dan menyuruh mereka mempersekutukan Aku…"

Bila nafsu menguasai diri maka perkara yang.bermanfaat dilihat penuh dengan kepayahan, sesuatu yang putih dilihat penuh kehitaman, kebaikan dilihat sebagai berunsur kejahatan manakala kegagalan dilihat sebagai suatu kejayaan, kemungkaran dilihat sebagai satu kepuasan. Akhirnya anak=anak muda ini menjadi syaitan-syaitan di kalangan manusia yang tewas dengan bisikan nafsu .Mereka sanggup memberontak bila dihalang dan sanggup melakukan apa jua asalkan apa yang diinginkan tercapai. Tidak peduli biar apapun terjadi walaupun terpaksa mengorbankan nyawa ibu dan ayah sekalipun asalkan hasrat dan nafsu muda dipenuhi. Masyaallah...tabarakallah

Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, 93 peratus daripada 3,182 tangkapan yang dibuat dari tahun 2001 hingga Mei, 2008 akibat pelbagai kesalahan jalan raya adalah anak muda di antara umur 16 dan 25 tahun. Daripada Januari 2007 hingga Julai 2007, didapati bahawa sebanyak 242 tangkapan dilakukan, 200 daripadanya di sekitar Kuala Lumpur. Statistik keseluruhannya menunjukkan 2005 hingga Julai tahun ini (2008) sebanyak 1,557 pelumba haram berjaya ditangkap di bawah Sekyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kaum Melayu mendahului jumlah tangkapan, iaitu 1,436 tangkapan, Cina (51 tangkapan), India (63 tangkapan) dan kaum-kaum lain (7 tangkapan).

Mengikut Statistik dan Maklumat Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan , Kementerian Dalam Negeri bagi tahun 2009, golongan belia berumur 19-39 tahun merupakan majoriti tertinggi penagih yang dikesan iaitu seramai 11,949. Manakala Penagih remaja yang berumur antara 13-18 tahun menunjukkan peningkatan pada tahun 2009 berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 217. Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan dari Januari-Febuari 2008, seramai 233 pelajar yang berumur antara 13 dan 18 tahun terlibat dengan jenayah.Kes kecurian motosikal merupakan jenayah paling 'popular', iaitu 91 orang pelajar terlibat dan ini diikuti dengan kes mencuri (65 orang), pecah rumah (40 orang) dan rogol (37 orang). Sepanjang tahun 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan . Angka itu meningkat kepada 2,218 kes tahun 2008 yang menyaksikan seramai 3,725 orang ditahan.

Ini baru empat jenis bidang jenayah yang melibatkan anak-anak muda hari ini. Kita masih belum melihat statistik remaja yang ditangkap bekerja di sarang pelacur, rumah urut dan menjadi GRO. Begitu juga dengan kesalahan jenayah berat yang lain seperti menyamun, merompak dan membunuh. Jumlah statistik yang menunjukkan salah laku dan jenayah remaja amat menakutkan. Keruntuhan jiwa dan kekosongan benteng agama dalam diri anak-anak muda perlu ditangani dan diisi semula. Ini merupakan satu tugasan yang perlu kita semua sebagai masyarakat sama-sama memainkan peranan.

Akhirnya saya lontarkan satu pesanan Luqman Al Hakim untuk renungan kita dan anak-anak remaja. Berkata Luqman : “ Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.”.

Walaupun kita terlewat kerana membiarkan anak-anak muda selama ini terus terlena dalam warna kehidupan mereka yang penuh mungkar dan maksiat tapi kita masih belum terlambat untuk memimpin tangan-tangan mereka berpatah balik menuju keredhaan Allah dalam melayari kehidupan ini. Yang pasti, usaha yang kita buat untuk berdakwah tetapberterusan biarpun dalam apa jua bentuk dan kaedah . Yakinlah kepada Allah dan tegakkan Islam sebagai cara kehidupan sebenar. Insyallah

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company