Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta
”Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;” (Asy-Syura:37)
Di saat saya mencoretkan artikel baru untuk blog saya, proses peliharaya kecil di Tenang sedang berjalan dengan tenangnya, insyallah. Apa yang pasti, kedua-dua calon yang bertanding adalah dikalangan orang Islam, cuma yang membezakan mereka hanyalah dari segi fahaman kepartian. Yang menang nanti, ingatlah bahawa anda telah diberi amanah yang sesuangguhnya amat berat tanggungannya. Jalankan segala tugas dengan jujur dan ikhlas dan yang paling penting ia mesti dan pasti berlandaskan syariat Allah.
Bagi para penyokong kedua-dua , usah biarkan perbalahan atas nama kepartian berpanjangan. Berdamailah atas nama saudara seIslam. Masyarakat Islam di negara kita hari ini berpecah belah, caci mencaci, hina menghina, bercakaran hanya kerana mengamalkan prinsip perjuangan kepartian yang berbeza. Sedangkan siapapun tidak tahu penghujung nasib nya bila bertemu Allah di akhirat nanti. Hebatnya kita di mata manusia belum tentu hebat di sisi Allah. Bagaimana mungkin kita bakal mendapat syurga Allah di akhirat kelak jika kehidupan di dunia penuh dengan nafsu amarah, dendam kesumat dan caci nista sesama saudara se Islam.
Oleh itu kita perkuatkan ikatan ukhwah islamiah antara sesama kita dengan meletakkan syariat Islam sebagai asas kehidupan kita. Ayuh kita indahkan dunia dengan sifat pemaaf. Begitu mudah kita memafkan orang bukan Islam bila melakukan sesuatu yang melukakan hati umat Islam tetapi begitu sukar kita mengungkapkan kata maaf kepada saudara seIslam kita bila mereka melakukan sesuatu kesilapan. Aneh tapi benar, umat Islam hari ini seolah-olah sudah tertinggal azimat kemaafan kepada saudaranya sendiri.
Kata Imam Syafie “ Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.” Dalam Islam sifat pemaaf amat dituntut dan inilah juga sifat yang utama yang ada pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang juga sepatutnya ada dalam diri kita selaku umatnya. Sifat pemaaf boleh memadamkan seribu kebencian yang muncul dalam jiwa dan hati kita. Sifat pemaaf juga boleh mengelakkan diri kita dari bersifat keji seperti dendam, benci, dengki dan sebagainya. Sifat keji itulah yang selalunya menimbulkan persengketaan dan perpecahan. Ia menjadi bibit pesengketaan dan perpecahan ummah.
Firman Allah Subhanahu Wataala :
"Dalam pada itu ingatlah orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang terhadapnya, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya". (Asy-Syuura: 43)
Maka di sinilah pentingnya adanya sifat pemaaf dalam diri individu kerana sifat pemaaf boleh menerbitkan rasa kasih sayang, belas kasihan, hormat-menghormati dan sebagainya. Berkembangnya agama Islam ke pelusuk dunia adalah di atas konsep kemaafan. Manusia yang suka memaafkan orang lain adalah hasil dorongan keredaan hatinya kepada Allah. Dia dapat mengawal nafsu amarahnya dengan menguasai hati menerusi akal kurniaan Allah.
Untuk menggelak nafsu amarah , pentingnya kita selalu mendekati Allah untuk kita sentiasa beringat agar akal tidak dapat mengawal nafsu. Sudah sifat semula jadi manusia, bisa tewas dan terjerumus dengan bisikan nafsu hingga menenggelamkan rasional dan tidak dapat membuat pertimbangan yang betul. Kita sering membaca di dada akhbar dan media yang lain betapa manusia sanggup berbunuhan akibat perasaan dendam, sanggup melakukan apa saja pada orang yang didendami, mencederakan mangsa ,mencaci, menghina dan pelbagai peri kelakuan yang ternyata menyalahi dan bertentangan dari sudut ajaran Islam.
Sebab itulah orang yang mudah memaafkan orang lain merupakan sifat yang terpuji di dalam Islam. Dalam Islam, mampu memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu ciri orang yang bertaqwa (muttaqin ). Bukanlah suatu kehinaan atau jatuhnya maruah seseorang apabila wujudnya sifat pemaaf dalam diri kita. Malah sifat pemaaf itu merupakan cerminan peribadi muslim yang sejati. Kata Imam Syafie , seorang yang pemaaf itu akan mewujudkan lima keperibadian dalam dirinya.
1. Menunjukkan kebijaksanaan
2. Bersih dari sifat sombong
3. Bersih dari dendam kesumat
4. Tidak ada rasa hina diri
5. Mempunyai iman tertinggi ( Petikan 30 Wasiat Imam Syafie)
Allah SWT berfirman: "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Yaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik diwaktu lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." ( Al-Imran: 133-134).
Sifat-sifat pemaaf merupakan ikatan yang sangat kukuh dalam memantapkan persaudaraan Islam. Masyarakat Islam kita hari ini sudah kian menghampiri ambang perpecahan jika kita terus bercakaran sesama sendiri hanya atas nama perjuangan kepartian ataupun berpuak-puak hanya kerana perselisihan pendapat dalam masalah furu’. Sebagai umat Islam yang bersaksikan Allah, Tuhan yang satu dan tiada Tuhan selain Allah, persoalan perpaduan umat Islam adalah lambang tauhid kita kepada Tuhan yang satu iaitu Allah. Indahkan dunia kita dengan perasaan maaf agar dapat mengembalikan kekuatan ummah.
0 comments:
Post a Comment