Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.
“Hai orang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)
Peristiwa protes seorang pemuda Tunisia Mohamed Bouazizi yang membakar diri, akhirnyamenjadi protes rakyat Tunisiamendesak diktator Presiden Zine El Abidine Ben Ali berundur. Akhirnya rakyat menggulingkan Presiden Ben Ali pada awal Januari 2011 sebagai hasil dari revolusi rakyat yang dimulai pada 17 Desember 2010 . Rupanya kebangkitan rakyat Tunisia antara negara dalam likungan negara Afrika (walaupun penduduknya bertutur bahasa Arab) merebak ke negara Mesir.
Mesir yang selama ini dilihat agak tenang dengan rakyatnya yang dilihat penuh kesetiaan rupanya ia bagaikan bom jangka yang menunggu masa untuk meledak. Tidak tertahan dengan kadar inflasi, masalah birokrasi dan pemerintahan ala diktator, menyebabkan rakyat Mesir mengikut jejak rakyat Tunisia berdemonstrasi di jalan-jalan raya mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan. Krisis yang sudah memasuki minggu kedua ternyata semakin meruncing. Jumlah penunjuk perasaan beransur besar jumlahnya, dari ribuan ke puluhan ribu memenuhi jalan-jalan di Kaherah. Pengumuman Hosni Mubarak yang masih enggan berundur (walaupun menyuarakan hasrat tak mahu bertanding) mengundang kemarahan rakyat Mesir.
Jumlah warga Malaysia yang mencecah belasan ribu orang di Mesir, di mana jumlah rasmi pelajar sahaja mencecah 11, 319 orang (5184 orang penuntut bidang perubatan manakala 6135 penuntut jurusan pengajian Islam) merupakan jumlah yang besar. Keadaan Mesir yang semakin buruk bukan sahaja menimbulkan ketakutan kepada para pelajar dan warga Malaysia di sana tapi juga menimbulkan suasana kegelisahan dan kebimbangan kepada para ibu bapa dan ahli keluarga. Mana tidak, keselamatan orang tersayang dalam bahaya apatah lagi berada nun jauh ribuan batu.
Kerajaan Malaysia akhirnya melancarkan Operasi Piramid bertujuan menyelamatkan warga Malaysia di sana dengan kerjasama negara Asean lain seperti Indonesia dan Thailand. Memindahkan sejumlah besar warga Malaysia yang mencecah belasan ribu bukan suatu pekerjaan yang mudah. Mereka akan dipindah sementara ke penginapan Tabung haji, Madinatul Hujjaj sebelum pulang ke Malaysia. Oleh itu kita di Malaysia berharap semuanya akan berjalan dengan baik dan selamat. Dalam keadaan sebegini Rasulullah S.A.W mengajar kita agar bedoa dan tawakal kepada Allah setelah semua usaha dibuat. Ingatlah doa merupakan senjata paling ampuh yang ada pada orang Islam. Berserahlah sahaja kepada Allah Ta’ala. Kita merancang, Allah ta’ala juga merancang, yang pasti perancangan Allah yang lebih baik.
Disabdakan Rasulullah (saw) yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:
“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
“Dan Tuhan kamu berfirman; berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghafir :60)
Kita berharap dan berdoa agar situasi di Mesir akan berakhir. Di kala ini semua pihak cuba campurtangan menangani krisis Mesir. Para ulamak dan ahli agama juga turut memainkan peranan dan memberi sokongan kepada rakyat yang menuntut agar kezaliman Hosni Mubarak disingkirkan. Al-Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam temuramah dengan Televisi Aljazeera yang disiarkan secara langsung, Rabu Malam 2 Februari 2011 mengkritik keras rezim Hosni Mubarak yang dinilainya telah buta dan dungu. Qaradawi di awal pernyataannya menegaskan bahwa para syuhada yang gugur dalam rangka menggulingkan rezim Mubarak tidak akan sia-sia. Ini kerana Hosni yang memerintah Mesir sejak Oktober 1981 telah memerintah secara zalim dan diktator. Tindakannya mengadakan rundingan dan hubungan dengan Israel , menutup pintu sempadan kepada rakyat Palestine dan bantuan kemanusiaan, ternyata menguris hati jutaan umat Islam khasnya serta masyarakat antarabangsa amnya.
“Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Sahih Muslim no.1482 Jilid 3 )
Inilah akibatnya apabila pemimpin yang diberi amanah tidak menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan penuh ikhlas. Apatah lagi kalau ia bertentangan dengan hukum Allah dan syariat Islam. Pergolakkan di Tunisia dan Mesir, kini boleh merebak ke negara jiran yang lain. Sudan telah mula terkena tempiasnya, begitu juga Yaman. Raja Jordan iaitu Raja Abdullah II telah bertindak memecat kabinet yang dipimpin Perdana Menteri Samir Rifai atas desakan penunjuk perasaan. Hebatnya kuasa Allah, Allah boleh menarik segala nikmat dan pangkat serta jawatan yangdiberi dengan sekelip mata. Situasi dan peristiwa sebegini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja takkira pemimpin besar ataupun kecil ,dengan izin Allah.
Kita berdoa agar kemelut di negara-negara Afrika ini akan berakhir dalam jangka waktu yang singkat. Yang paling penting, pemimpin baru yang dilantik menggantikan pemimpin sedia ada biarlah lebih baik , memerintah dengan ikhlas dan penuh amanah. Apalah guna berkorban jiwa raga , darah dan airmata jika akhirnya pemimpin yang dilantik “wak hasil balik asal” maksudnya tiada perubahan. Kita juga berdoa dan berharap misi menyelamat warga Malaysia akan berjalan dengan jayanya dengan izin Allah. Usaha ini mestilah dibuat dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Kita di sini hanya mampu berdoa kerana itulah senjata utama orang Islam . Khabarnya banyak masjid dan surau di seluruh pelusok negara mengadakan sembahyang hajat memohon keselamatan rakyat Malaysia. Semoga kita semua dalam lindungan Allah. Amin
Sabda Rasulullah S.A.W : “Apabila Allah S.W.T menghendaki seseorang ketua itu menjadi ketua yang baik, ia akan jadikan pembantunya itu bersikap benar. Jika ia lupa ( lupa kepada Allah dan menyeleweng dari kebenaran ) ia mengingatkannya. Jika ia tidak lupa, ia memberi pertolongan dan bantuan kepada ketuanya itu. Jika Allah menghendaki ketua itu menjadi ketua yang lain daripada itu, dijadikan pembantunya seorang yang jahat, jika ia lupa tidak diingatkanya dan jika ia ingat tidak dibantunya” (diriwayatkan oleh Abu Daud ).
0 comments:
Post a Comment