Tuesday, February 15, 2011

Menelusuri Pengorbanan Rasulullah S.A.W


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,” (Al-Ahzab : 21)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.(Al-i-‘Imran :32)

“Wahai orang-orang yang beriman berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada Kitab Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya dan juga kepada Kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur engkar kepada Allah dan Malaikat-Nya dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan sejauh-jauhnya “ (Surah An Nisaa: 136)


Namanya sentiasa bermain di bibir dan terpateri dalam lipatan hati. Kasih sayang kita padanya tidak terbanding kasih sayangnya kepada kita. Setiap detik dan ketika dalam sanubarinya hanyalah ingatan kepada kita- umatnya. Berkorban jiwa dan raga dengan darah dan air mata dalam perjuangan menegakkan agama Allah untuk diberikan cahaya kepada kita. Berlinang air mata bermunajat kepada Allah untuk kesejahteraan kita umatnya.

Itulah Rasullullah S.A.W kekasih Allah, junjungan mulia yang sentiasa kita rindu dan dambakan. Namun kasih dan cinta sahaja belum cukup sebenarnya untuk kita mengaku umatnya tanpa menelusuri jalan Rasulullah sepenuhnya. Tanyalah di dalam hati , berapa kalikah air mata ini yang mengalir dan berlinang bila terkenangkan pengornbanan baginda Rasulullah. Berapa kalikah hati kita sebak dan memberontak bila setiap kali mendengar berita dan cerita tentang baginda dicaci dan dihina oleh musuh-musuh Allah dari dulu hingga kini. Berapa banyak kalikah mulut anugerah Allah ini melafazkan selawat menyebut nama Muhammad Ya Rasulullah. Manusia istimewa dan agong ini adalah segala-galanya dalam jiwa dan hati kita.

Apalah maknanya kalau hanya sekadar berselawat ,bertempik dan berteriak setahun sekali bila menjelang 12 Rabiul Awwal tapi pada hari-hari yang lain kita seolah-olah melupakan insan istimewa ini. Bagaimana mungkin kita mengaku ketaatan kepada Allah sedangkan setiap langkah perjalanan Rasulullah banyak yang kita tinggal dan abaikan. Kita mendabik dada mengatakan kitalah orang banyak mengamalkan sunnah tapi sebaliknya kitalah orang yang sering bercakaran dan bertelingkah sesama saudara seIslam .

Sabda Rasulullah S.A.W : Aku tinggal pada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama- lamanya, selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. (al-Qastalani t.th.: 899)

Salahkah kita untuk mengingati 12 Rabiul Awwal sebagai tarikh istimewa sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W. Baginda adalah contoh tauladan untuk dijadikan ikutan semua umat manusia. Apakah salah setiapkali Maulidur rasul, kita menelusuri setiap perjalanan Rasulullah. Meskipun begitu, kita dapati ada segolongan umat Islam yang condong kepada mazhab Wahabi menolak sambutan Maulidur Rasul ini, yang mereka namakan sebagai Bid’ah. Namun pandangan para ulama besar seperti Ibnu Hajar, al-Suyuti, al-Nawawi, al-Syaukani dan ulama-ulama salafi yang lain di mana di dalam karya-karya mereka menegaskan dokongan terhadap perlunya sambutan Maulidur Rasul.

Ibnu Taimiyah (w. 728 H), seorang ulama Syria, menulis: “Merayakan dan memberi rasa hormat kepada kelahiran Rasulullah saw dan memandangnya sebagai saat-saat yang bersejarah sebagaimana yang dilakukan saudara Muslim kita adalah suatu perbuatan positif. Di dalam perbuatan itu terkandung ganjaran yang besar dari sisi Allah kerana dengan niat tulus dan ikhlas mereka menghormati Baginda Muhammad saw .” (Fatwa, vol. 23, hlm.163).

Murid kesayangannya, Ibnu al-Qayyim memberikan komentarnya: “Mendengarkan senandung indah pada perayaan kelahiran Nabi saw atau merayakan setiap peristiwa suci dalam sejarah Islam akan memberikan ketenteraman dan akan dicucuri rahmat oleh sinar kasih Rasulullah saw”. (Madarij al-Salikin, hlm. 498).

Ya Rasulullah, kami cinta dan rindu pada mu . Bagaimana bisa kami melupakan mu, junjungan yang hinggakan di saat ajal mendatang masih berlinang airmata memikirkan nasib umat...”Umati....umati” Moga dengan rahmat dan izin Allah kami umatmu dapat bertemumu Ya Rasulullah dan sudilah kiranya kau syafaatkan kami, hamba mu yang selalu lalai dan alpa.

Ayuh kita basahi lidah dengan berselawat ke atas baginda, Nabi Muhammad S.A.W. Namun bukan sekadar berselawat sahaja untuk menyatakan perasaan kecintaan kepada Rasulullah tapi perlu patuh dan taat kepada Allah sebagaimana Rasulullah taat kepada Allah. Jauhi segala apa yang Rasulullah larang dan lakukan apa yang Rasulullah amal. Inilah kecintaan kepada Rasulullah yang sebenar. Semoga kita sentiasa diberi kekuatan akal dan zahiroleh Allah. Amin

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company