Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujurat : 12)
“Hei budak...hang bukankah anak Pak Man boroi?” tanya seorang pakcik kepada seorang budak .
Budak itu merenung wajah pakcik tersebut. Wajahnya masam mencuka. Dia terus berlalu tanpa sebarang jawapan.
“Tengok bebudak sekarang....tak hormat orang tua. Orang tanya tak jawab langsung.”
“Mungkin dia marah kerana kau panggil bapa dia Man Boroi kot!” balas rakannya.
“ La...dah betui bapa dia perut boroi.....”
“Memanglah tapi kan berdosa kita gelar orang. Bukan setakat dia marah, Allah dan Rasulullah juga marah!”
Apakah dia Ghibah. Ada yang pernah mendengarnya dan ada yang baru mengetahui akan istilah ini. Ghibah dalam bahasa mudah ialah mengumpat atau mengatakan sesuatu tentang seseorang yang ia tidak suka. Dalam erti yang lebih terperinci, Ghibah (mengumpat) adalah memperkatakan tentang orang lain berkaitan kekurangan-kekurangan yang ada pada badan, nasab, tabiat, ucapan, maupun agama hingga pada pakaian, rumah, atau harta miliknya yang lain, yang apabila orang tersebut mendengarnya maka ia tidak suka atau meredhainya.Mengumpat atau menggelarkanseseorang (ghibah) hukumnya haram dan termasuk dosa besar, baik aib yang diumpatkann ada pada diri seseorang ataupun tidak.
Rasulullah SAW, ketika baginda ditanya tentang mengumpat atau ghibah, baginda bersabda: “Engkau membicarakan aib saudaramu padahal ia tidak suka (bila dibicarakan)”.Ada yang bertanya, “Bagaimana bila yang aku katakan itu memang benar ada pada saudaraku?”. Baginda menjawab, “Jika memang benar bahwa yang kau katakan itu ada padanya, engkau telah mengumpatnyanya (ghibah), sementara jika itu tidak ada padanya, bererti engkau telah berdusta (mengada-ada) tentangnya”. (HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud,dan Ahmad).
Menggelar orang dengan pelbagai gelaran sudah menjadi sinonim dengan orang-orang Melayu kita. Apatah lagi kalau sesuatu kampung tu terdapat ramai orang yang punya nama yang sama. Maka pelbagai gelaran akan diletakkan pada hujung nama tersebut. Walaupun tujuan asalnya untuk memudah kita membezakan antara seorang yang lain dengan yang lainnya, tapi kalau gelaran yang diberi itu sesuatu yang mengaibkan atau tidak disukai, pasti akan mendatangkan dosa. Lebih malang lagi, gelaran yang kita beri itu akhirnya melekat pada setiap bibir manusia dan gelaran menjadi panggilan dari masa ke semasa. Maka sanggupkah kita menanggung dosa selagi nama gelaran yang kita beri kepada seseorang terus menerus digunakan? Itulah harga yang perlu kita bayar jika terlibat dengan ghibah!
Ghibah bukan sahaja berlaku di kampung-kampung, malah berlaku di pejabat-pejabat, di tempat-tempat kerja, institusi pengajian tinggi ,sekolah-sekolah dan di mana-mana sahaja. Bukan orang dewasa sahaja yang terlibat dengan ghibah, malahan ia juga berlaku di kalangan anak-anak kecil di peringkat sekolah rendah. Sudah sampai waktunya, semua pihak terutama para pendidik dan ustaz/ustazah memainkan peranan menekankan tentang bahaya ghibah dalam masyarakat terutama di kalangan para pelajar. Jangan biarkan ghibah menjadi pakaian dan mainan di bibir anak-anak kita. Kita semarakkan jiwa dan hati mereka dengan nur Islam agar menjauhi bahaya ghibah. Hari ini perkara ghibah dianggap kecil oleh sesetengah orang tetapi pada hakikatnya ia merupakan antara salah satu dosa-dosa besar.
"Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (An-Nisa' : 148).
Ketahuilah, Ghibah adalah salah satu perbuatan yang tercela dan memiliki unsur negatif yang cukup besar. Ghibah dapat mencerai-beraikan ikatan kasih sayang dan ukhuwah sesama manusia. Seseorang yang berbuat ghibah bererti dia telah menebarkan segala bentuk kebencian, kedengkian dan kejahatan dalam masyarakat. Walaupun telah jelas besarnya bahaya ghibah, tapi masih banyak saja orang yang melakukannya dan menganggap remeh bahaya ghibah ini.
Moga Allah memelihara hati dan lidah kita daripada bahaya ghibah. Semoga kita dapat menjalani kehidupan ini tanpa menyakiti hati orang lain. Amin
0 comments:
Post a Comment