Hari ini 5 Mei 2013, tarikh penentuan adakah Negara kita akan menerima
perubahan landskap politik yang drastic ataupun tidak. Semua terletak dalam ketentuan ALLAH dengan
asbabnya kita sebagai pengundi. Yang pasti
undilah dengan akal fikiran yang waras demi masa depan Islam, bangsa dan Negara
dan bukan ikut nafsu dan jiwa yang
panas. Saya perturunkan kisah pembunuhan
Saiddina Uthman r.a sebagai iktibar kepada umat Iislam di Negara ini khasnya
dan seluruh dunia amnya yang sedang menghadapi konflik sesame ummah. Baca dengan hati terbuka dan berfikir dengan
jiwa yang membina.
Sebermula maka beraneka fitnah dilontarkan demi memburukkan Uthman r.a,
dituduh melakukan bid’ah mengumpulkan dan membukukan al-Quran, membakar mushaf
yang lain, memukul ‘Ammar sehingga pecah ususnya, dipukul Ibn Mas’ud sehingga
patah rusuknya, membatalkan sunnah mengqasarkan solat ketika musafir, tidak
menyertai peperangan Badar, tewas dan lari dari medan Uhud, tidak hadir ketika
perjanjian Bai’ah al-Ridhwan, dan pelbagai lagi, sehinggalah surat palsu
ciptaan munafiq keparat yang disandarkan kepada Ali, Talhah, dan al-Zubair yang
kononnya mengarahkan mereka untuk mencetuskan pemberontakan keatas beliau
bahkan dibunuh jika enggan melepaskan jawatan khalifah kaum muslimin.
Semua fitnah tersebut adalah batil! Tuduhan yang tiada asal-usul, menyeleweng
daripada cerita sebenar,entah bagaimana dan dimana diperolehi cerita beliau
memukul Ibn Mas’ud dan ‘Ammar, jika benar sekalipun, bagaimana ‘Ammar masih
boleh terus hidup ketika ususnya telah pecah?, beliau membersihkan mushaf yang
lain adalah demi menjadikan ketidakcelaruan umat mentelaah al-Quran,maka
disatukan dan kita menggelarnya sebagai mushaf Uthmani, hal pengumpulan
al-Quran telah pun dilakukan di zaman pemerintahan Abu Bakar lagi setelah
melihat ramainya huffaz al-Quran syahid dalam peperangan, bagaimana usaha murni
sebegini dianggap bid’ah dan batil? Tidak disetainya Badar kerana dibawah
jagaannya, anak baginda s.a.w, Ruqayyah yang sedang sakit, nabi s.a.w menyebut
bahawa beliau medapat pahala mereka yang syahid di Badar, kekalahan dan larinya
dari medan Uhud telah Allah ampuni, bagaimana mungkin ditimbulkan semula oleh
mereka? Bai’ahnya diwakilkan dengan tangan rasul s.a.w ketika peristiwa bai’ah
al-Ridhwan,ketidakhadirannya kerana diperintah oleh baginda s.a.w untuk
mengawasi kota mekah.
(riwayat al-Bukhari dalam kitab Fadhail al-Sahabat).
Setelah semua hujah fitnah mereka dipatahkan, hasilnya, satu surat palsu yang
disandarkan kepada Ali bin Abu Thalib, untuk
jatuhkan Uthman! Cetuskan pemberontakan! Perangai yang sungguh keji dan syaitan
ditunjukkan oleh munafiq, padanlah Allah menjanjikan mereka dengan neraka yang
paling bawah!
“Sesungguhnya orang munafiq itu ditempatkan di neraka yang paling bawah( paling
dahsyat azabnya) maka kamu sekali-kali tidak akan mendapati penolong bagi
mereka.”
( al-Nisa’ : 145)
Bagaimana seorang insan yang dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w boleh
difitnah sedemikian teruk, telah disebut ketika hayat baginda s.a.w, bahawa
beliau akan mati sebagai seorang syahid. Sabda Nabi s.a.w ketika baginda berada
diatas bukit Uhud bersama dengan Abu Bakar, Umar, dan Uthman, tiba-tiba Uhud
bergegar, sabdanya,
“Tetaplah wahai Uhud!( berhenti dari bergoncang) sesungguhnya diatas engkau
seorang nabi, seorang yang membenarkan dan dua orang syahid.”
Kata Ibn Hajar al-Asqolani ketika menceritakan tentang Uthman didalam kitabnya,
al-Isobah:
“ Sesungguhnya telah datang riwayat yang mutawatir bahawa nabi s.a.w memberi
khabar gembira kepada Uthman dengan syurga..”
Uthman r.a sangat bersabar dengan tuduhan keatas dirinya demi mengelak
perpecahan kaum Muslimin walaupun
dirinya menjadi taruhan untuk dikorbankan, kelembutan dan kesantunannya
menyebabkan pengkhianat dan musuh
agama mengambil kesempatan mencetus dan menimbulkan kekacauan demi
menjahanamkan Islam. Beliau sangat terkenal dengan sifat pemalunya sehinggakan
para malaikat turut berasa malu dengannya, sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan
oleh Aishah:
“ adakah patut aku tidak berasa malu dengan lelaki yang para malaikat juga malu
dengannya?”( Sahih Muslim)
Para sahabat mempertahankan kebenaran Uthman sehingga saatnya ingin dibunuh,
sehingga disaat itu juga beliau berusaha untuk mengelakkan percecahan dan
pergaduhan sesama muslim, rela dirinya dibunuh, ditegah sekalian sahabat yang
cuba membela dan mempertahankannya, diarahkan para sahabat, antaranya Ibn al-Zubair,
Hasan ibn Ali, Abu Hurairah untuk kembali ke rumah masing-masing, darahnya
sanggup ditumpahkan demi menyelamatkan kesatuan ummah
Zaid bin Tsabit datang menemui Saidina Uthman : “ sesungguhnya mereka golongan
Ansar berada di hadapan pintu rumahmu,” mereka berkata, jika engkau hendak (
kami mempertahankan engkau ),sesungguhnya kami adalah Ansarullah!” namun Uthman
menolaknya, katanya, “ aku tidak berhajatkan semua itu, cukuplah.(tahanlah diri
kalian daripada menghunuskan pedang peperangan).”(riwayat Ibn ‘Asakir)
Ketika harinya dibunuh, beliau seakan telah mengetahuinya, beliau memakai
seluar pada hari tersebut, bimbang terbuka auratnya, benar beliau seorang yang
sangat pemalu, sedang beliau tidak pernah memakainya ketika jahiliyyah mahupun
era Islam. Beliau juga bermimpi berbuka puasa bersama baginda s.a.w, Umar
al-Khatab dan Abu Bakar al-Siddiq di dalam syurga. (riwayat Ahmad dalam
Musnadnya).
Pemberontak yang terdiri daripada perancang pemberontakan dan mereka yang
diperdaya dan termakan hasutan untuk turut serta dalam pemberontakan, mereka
mengepung rumah khalifah selama hampir sebulan, mereka merempuh masuk ketika
para sahabat telah kembali ke rumah masing-masing setelah diperintahkan oleh
‘Uthman, pintu rumahnya di bakar, diugutnya untuk melepaskan jawatan, atau
dibunuh!
“Aku tidak akan menanggalkan pakaian( jawatan khalifah) yang telah Allah
pakaikan kepadaku! Aku akan terus berada dikedudukanku sekarang sehingga Allah
memuliakan ahli sa’adah (orang yang dijanjikan kebahagiaan oleh Allah) dan menghina
ahli syaqa’( orang yang dijanjikan kecelakaan oleh Allah ). ” demikian kata
Uthman sebagaimana yang diriwayatkan didalam tarikh al-Tabari ketika diugut
meletakkan jawatan khalifah kaum muslimin.
Akhirnya beliau dibunuh, ditetak perutnya..mengalir darah syahid.. menitis
darah di mushaf yang berada ditangannya,isterinya Na‘ilah, yang cuba
mempertahankan suami tercinta, putus tangannya ditetak pemberontak laknatullah.
Kedua-dua pihak gembira dan berbahagia dengan peristiwa ini, berbahagialah
Uthman menemui tuhannya sebagai syahid,berbuka puasa bersama Baginda s.a.w
didalam syurga, sedang munafiq bergembira dengan kejayaan perancangan mereka
menjatuhkan khalifah, nantikanlah kalian azab Allah yang membakar di akhirat
kelak..
Bergelap dunia Islam tanpa khalifah,akhirnya Ali bin Abu Thalib diangkat
menjadi khalifah menggantikan Uthman, beliau mengambil alih tampuk kepimpinan
dalam keadaan yang sangat susah, ketika pemberontak bersenang-lenang ditengah
masyarakat muslim. Fitnah tersebar Ummu al-mu’minin, Aishah, yang berada di
Makkah menjadi gundah-gulana dengan hal yang menimpa dunia Islam, beliau
merasakan perlu melakukan sesuatu demi menebus darah khalifah yang ditumpahkan
secara zalim ,dikumpulkan kekuatan tentera, turut bersamanya dua orang sahabat
yang turut dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w, al-Zubair ibn ‘Awwam, dan
Talhah ibn ‘Ubaidillah, mereka mara menuju ke kota Basrah, bukan untuk
menafikan pemerintahan Ali, tetapi dengan maksud yang satu, iaitu mencari
kesepakatan dengan kepimpinan Ali untuk membela darah Uthman.
Kesepakatan akhirnya berjaya dicapai, mereka tidur dan berehat dengan keadaan
yang sangat tenang pada malam setelah kesepakatan tercapai, pemberontak yang
turut berada di dalam tentera Ali sudah merasa tidak senang dengan kesepakatan
tersebut, ini kerana ia membawa maksud, tidak lama lagi, pedang-pedang
kebenaran akan dihalakan ke tengkuk mereka pula,akhirnya kesepakatan itu
dicemari lagi oleh keparat munafiq yang menyerang secara sembunyi tentera
‘Aishah dan juga tentera ‘Ali, sehingga ‘Aishah menyangka ‘Ali belot! Mereka
menyerang kita di waktu malam! ‘Ali juga menyangka sedemikian keatas ‘Aishah! (
al-Bidayah wa al-Nihayah: Ibn Kathir)
Tercetuslah peperangan yang dinamai sebagai peperangan Jamal antara tentera
Aishah dan tentera Ali, kedua-dua pihak berasa sedih dan sesak dada mereka
dengan hal yang berlaku ini, kaum munafiqin bergembira bertepuk tangan, Talhah
gugur syahid dalam peperangan ini, Ali menangisinya,di sapu wajah Talhah yang
dipenuhi tanah.. “Alangkah bagusnya jika aku mati dua puluh tahun dahulu
sebelum berlakunya hal ini” kata Ali.. ( al-Awasim min al-Qawasim, tahqiq
al-Khatib)
di merata tempat.
Kesan fitnah pembunuhan ‘Uthman ini berentetan sehingga tercetusnya pula
peperangan Siffin antara tentera Ali dan Mu’awiyyah, yang merupakan gabenor
Syam yang sangat berwibawa, beliau dilantik ketika pemerintahan Uthman.
‘Ali menuntut bai’ah-janji setia-ke atas pemerintahannya dari Mu’awiyyah, namun
beliau enggan memberikan bai’ah sehingga darah ‘Uthman dibela, bunuh dahulu pembunuh
Uthman! Atau serahkan sahaja tengkok pemberontak itu kepada kami! Bukan Ali
tidak berusaha mencari dan menegakkan hukuman keatas pembunuhan Uthman, tetapi
kerana bukti yang sangat kurang kerana penjahat sebenar sangat pandai
berselindung bertopengkan muslim,kemungkinan yang berlaku apabila bunuh seorang
pencetus kekacauan, tiada lagi jalan untuk menutup fitnah, ditakuti tersalah
menjatuhkan hukuman, maka kekacauan yang lebih besar didalam dunia Islam akan
berlaku dan tidak mampu lagi dibendung, hal ini hampir sahaja berjaya
dilakukan, namun, akibat tercetusnya peperangan Jamal yang dicetuskan oleh
pemberontak yang bersembunyi di dalam tentera Ali, menyebabkan kesukaran untuk
dihadapkan penjahat sebenar ke muka pengadilan.
Hasilnya tercetuslah peperangan antara dua pasukan tentera yang dikepalai oleh
mereka berdua, masing-masing merasakan mereka berada dikedudukan yang benar
demi menuntut bela keatas darah Uthman. Kedua-dua mereka berusaha untuk
mengelakkan tercetusnya peperangan, mereka berdua adalah dari kalangan sahabat
baginda s.a.w. Namun alangkah sedihnya hari ini kedengaran suara sumbang mereka
yang cuba mencemari sejarah Islam, mentohmah para sahabat, mencaci Mu’awiyah
yang enggan berbai’ah kepada Ali, sehinggakan berperang dengan kepimpinan Ali,
sedang nabi s.a.w melarang daripada mencaci para sahabatnya! Sabdanya,
“ Jangan kamu mencaci para sahabatku! Demi jiwaku yang berada di tangan Allah,
walaupun kamu membelanjakan harta di jalan Allah emas sebesar bukit uhud
sekalipun, nescaya tidak sama dengan seorang pun daripada mereka atau separuh
sekalipun”
Hari ini banyak kedengaran suara sumbang golongan yang merendah-rendahkan
sekalian sahabat yang diredhai oleh Allah. Sedang perbalahan mereka para
sahabat adalah atas dasar ijtihad, mereka tetap digelari sebagai mukmin. Firman
Allah :
“jika ada dua kelompok dari kaum mukminin bertelagah, maka damaikanlah keduanya
dengan adil dan saksama, sesungguhnya Allah sangat suka orang yang adil”
al-Hujurat :9
Para ulama’ ada yang menyatakan kedua-dua mereka berada dikedudukan yang betul,
ada yang menyatakan Ali berada dikedudukan yang betul dan Mu’awiyyah tersalah
ijtihad didalam hal ini, sebahagian ulama’ pula menyebut bahawa mereka yang
tidak terbabit langsung didalam peperangan ini adalah yang paling betul.(
Minhaj Sunnah : Ibn Taimiyyah )
Walaubagaimanapun, kekallah kemuliaan para sahabat disisi Allah, mereka
bertelagah, namun dihati mereka sesak dengan hal yang ditelagahkan, jiwa mereka
saling mencintai. Pelbagai tohmahan kedengaran sehingga hari ini, perdamaian
yang dicapai antara Ali dan mu’awiyyah dalam peristiwa tahkim dingkari, timbul
pula satu puak yang tidak berpuas hati dengan perdamaian tersebut, berpecah
mereka yang tidak berpuas hati itu menubuhkan satu puak baru yang digelari
sebagai khawarij, habis sekalian sahabat dikafirkan
Sabda nabi s.a.w : “ orang yang dibunuh dan membunuh, kedua-duanya didalam
neraka,” sahabat bertanya, “orang yang membunuh didalam neraka, bagaimana orang
yang dibunuh juga dimasukkan ke nereka?” sabda nabi, “ sesungguhnya dia juga
berusaha untuk membunuh saudaranya”( sahih bukhari)
Mereka menganggap kedua-dua puak mukmin yang bertelagah dimasukkan kedalam
neraka, sesungguhnya ini adalah kefahaman yang batil! Menta’wil nas secara
batil,Bagaimana Ali dan Aishah boleh dikatakan akan dihumban ke neraka kerana
berperang di peperangan Jamal? Bagaimana Ali dan Mu’awiyyah ingin dikatakan
akan dicampak kedalam neraka kerana bersengketa di peperangan Siffin? Sedang
mereka telah dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w? kerana itu para ulama
menyatakan dosa perbalahan mereka dibebankan keatas bahu pencetus huru-hara.
Kepalanya Abdullah bin Saba’! ketahuilah wahai saudaraku, mereka para sahabat
saling mencintai antara satu sama lain, tidak pernah terdetik sekalipun di hati
mereka untuk bersengketa, lebih lagi berbunuhan! Mereka tidak termasuk didalam
hadith yang dinyatakan diatas tadi!
Demikian kucar-kacir dunia Islam ketika itu, semuanya bermula dari pembunuhan
Uthman, beliau tidak bersalah, beliau dizalimi, porak-peranda kaum muslimin.
Semoga ini menjadi iktibar kepada kita, sentiasalah kita mencintai dan
menyayangi sekalian sahabat, berimanlah kita dengan firman Allah :
“ wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu berita perkhabaran dari
orang fasik, maka selidikilah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah
kepada suatu kaum tanpa kamu mengetahui keadaannya yang sebenar, menyebabkan
kamu menyesal dengan perbuatan itu”( al-Hujurat :6 )
الخطاب -
Read more...