Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung.”
(al- Jumu’ah:10).
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.”
(Maksud Surah al-Zalzalah (99):7-8).
Sempena tanggal 1 Mei ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari pekerja kepada semua. Islam dan pekerjaan saling berkaitrapat kerana kerja atau pekerjaan dalam konteks Islam termasuk dalam ibadah umum yang mesti melengkapi beberapa kriteria agar diterima sebagai satu ibadah. Sudah tentulah setiap ibadah yang kita kerjakan itu akan mendapat ganjaran daripada Allah Ta’ala namun ia bergantung pula kepada niat seseorang itu apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Ikhlas ataupun sebaliknya. Melakukan kerana Allah ataupun semata-mata kerana makhluk.
Lihatlah betapa indahnya Islam kerana setiap apa sahaja perkara yang dilakukan pasti akan mempunyai kaitan antara satu dengan lain yang akhirnya akan menjurus kepada pengabdian sejati kepada Allah Ta’ala. Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia, apabila tamat sahaja alam persekolahan atau dunia pengajian tinggi, maka fokus utama ialah untuk mencari pekerjaan bagi meneruskan perjalanan kehidupan. Sejak terciptanya Adam as dan turunnya baginda di muka bumi Allah hingga ke hari ini, dunia pekerjaan merupakan medan mencari rezeki bagi umat manusia dalam proses menjalani dan menerskan kehidupan. Islam memandang apa jua pekerjaan merupakan suatu punca rezeki yang mulia asalkan pekerjaan yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan syariat dan hukum Allah.
Malangnya hari ini kita melihat konsep kerja sebagai satu ibadah dalam Islam sudah semakin menipis dalam kalangan masyarakat kita. Apa tidaknya, hari ini kita lihat betapa ramai yang bekerja kerana ingin mendapat ganjaran dunia semata-mata tanpa disertakan niat ikhlas kerana Allah Ta’ala. Lihatlah apa jua jenis pekerjaan yang kita lakukan hari ini baik dari peringkat kerja bawahan sampailah kepada kerja mengkebumikan jenazah semuanya mengharapkan ganjaran dan bukannya sebagai tanggungjawab.
Saya pernah mendapat rungutan dari rakan–rakan saya yang bekerja sebagai guru di sekolah yang berasa tidak senang dengan sikap para pekerja di sekolah tempat mereka mengajar.
“Mengapa,” tanya saya ringkas.
“ Setiapkali nak minta tolong buat garisan di padang atau mesin rumput untuk hari sukan atau jalankan aktiviti ko kurikulum buat don’t know saja. Tapi kalau kata nak belanja makan lepas buat, maka dengan pantas akan jalankan kerja seperti diarahkan. Begitu juga dengan kerani bila minta buat claim atau tuntutan mesti lepas tu nak sindir-sindir dengan perkatan seperti : Ta’kan buat saja kot?.....tentulah kau faham apa maksudnya”
Tapi cerita kawan saya ini hanya mengenai sebahagian kecil pekerja sahaja yang bersikap macam itu. Bilangannya mungkin kecil tetapi kerana seorang dua yang bersikap macam itu, maka habis semua terpalit . Lebih membimbangkan lagi jika sikap-sikap sebegini akan menular dalam masyarakat kita menjadi kudis. Buat kerja jika hanya untuk mendapat ganjaran dan bukannya melakukan pekerjaan sebagai satu amanah penuh keikhlasan adalah sia-sia dan mengundang kemurkaan Allah.
Beberapa tahun yang lepas, sepupu saya kembali ke rahmatullah. Itulah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ibu saudara saya. Ibu saudara saya bukanlah seorang yang senang, suaminya hanya bekerja sebagai jaga di sebuah kawasan pembinaan. Oleh kerana sepupu saya meninggal sudah agak lewat petang, maka jenazah beliau akan dikebumikan pada pagi esok.
Pada malam itu, dalam kesibukkan menguruskan jenazah , kami didatangi beberapa orang yang ingin mengadakan majlis bacaan yassin dan tahlil kepada arwah sepupu saya. Oleh kerana saya bukan penduduk setempat, maka saya tidak mengenali seorangpun daripada mereka. Tetapi suami ibu saudara saya mengenali mereka iaitu sebahagian dari jemaah mesjid . Seorang ustaz lingkungan pertengahan tigapuluhan memperkenalkan diri sebagai ketua jemaah.
“Begitu baik sekali hubungan masyarakat di tempat ini, “ bisik hati kecil saya. Dan hamper kesemua saudara mara saya yang ada pada saat itu meluahkan perasaan yang serupa selepas kumpulan tadi beredar.
Namun sangkaan saya dan saudara mara yang lain meleset. Keesokkannya selepas selesai jenazah dikebumikan, ustaz tersebut datang bersama rakannya meminta sejumlah bayaran di atas perkhidmatan mereka semalam. Terkejut bapa dan ibu saudara saya. Air muka mereka berubah . saya kenal ibu saudara saya dan suaminya orang yang pendiam , bukan orang yang suka bersoal jawab dan bising-bising. Mahu tak mahu mereka terpaksa membayar jumlah wang yang diminta. Ini bukannya cerita rekaan, drama atau sinetron, tapi inilah reality yang berlaku. Melakukan ibadah bukan kerana keikhlasan dan gajaran dari Allah tapi melakukannya untuk habuan dunia yang sedikit. Mereka mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Masyaallah tabarakalah.
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".
(al Qashash: 77)
Akhir-akhir ini sudah wujud syarikat pengurusan jenazah yang pekerjaan mereka menguruskan segala-galanya dalam hal pengurusan jenazah hingga ke penyediaan makan minum dan penyewaan khemah. Kita tidak mempersoalkan keikhlasan mereka kerana mungkin niat mereka baik, membantu golongan yang tidak tahu menguruskan jenazah apabila berlaku sesuatu kematian. Apatah lagi dalam zaman sekarang, manusia hidup sendiri-sendiri tanpa memperdulikan hal-hal jiran sekeliling. Jadi bila berlaku kematian, tentulah terkapai-kapai mencari bantuan. Tapi yang dipersoalkan oleh masyarakat dan beberapa orang ustaz yang datang mengajar mengaji, ialah mengenai pakej-pakej yang disediakan oleh syarikat pengurusan jenazah ini seperti meyamai apa yang disediakan oleh syarikat-syarikat pengurusan jenazah bukan Islam.
Masyallah…soal kematian dalam Islam kini dah ada pakej-pekej pulak. Pakej murah hinggalah ke pakej mahal. Kita bimbang nanti masyarakat mula melupakan tanggungjawab ke atas saudara sesama Islam bila perkara-perkara yang sepatutnya menjadi fardhu kifayah dan tanggungjawab kita dilepaskan begitu sahaja. Maka jika ini dibiarkan berlaku, maka kekuatan jemaah untuk menegakkan Islam dalam kehidupan ummah hari ini akan menjadi semakin goyah dan rapuh.
Saya pernah bertemu dengan beberapa orang guru pelatih lepasan ijazah yang nampaknya seakan-akan kurang bersungguh dan berminat dengan profesion perguruan. Saya lontarkan mereka dengan beberapa soalan.
“ Tahukah saudara saudari pekerjaan guru merupakan pekerjaan yang paling mulia kerana tugas guru menyampaikan ilmu.”
“ Pernahkah saudara saudari bertanya khabar pada rakan-rakan saudara saudari yang sehingga kini belum lagi beroleh sebarang pekerjaan? Bagaimana perasaan mereka?”
“ Pernahkah saudara saudari terfikir, daripada puluhan ribu graduan yang memohon kursus perguruan, saudara saudari telah dipilih Allah untuk melangkah ke alam profesion perguruan?”
“Pernahkah saudara saudari bersyukur atas segala rezeki dan rahmat ini?”
“Allah mengangkat darajat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”
(Al Mujadillah :11)
Saya selalu berpesan kepada diri saya sendiri agar sinar keikhlasan selalu muncul dalam setiap pekerjaan yang saya kerjakan (Walaupun ini bukan pekerjaan yang mudah). Bukanlah maksud saya hendak memburukkan sesiapapun dalam tulisan ini. Ia hanya sekadar renungan dan muhasabah bersama agar kita sentiasa diberi kekuatan oleh Allah Ta’ala agar tidak terus dialpa dan dilalaikan dengan perhiasan dunia. Yang paling mustahak lakukanlah apa jua saja pekerjaan asalkan ia sentiasa dalam redha dan rahmat ALLAH.
0 comments:
Post a Comment