Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orangtuanya. Ibunya mengandungkannya dalam keadaan susah payah dan melahirkannya juga dalam keadaan susah payah…….”
(Al-Ahqaf:15)
Maka pada setiap minggu kedua bulan Mei diisytiharkan sebagai Hari Ibu di seluruh pelusok dunia (kecuali Indonesia). Indonesia merayakan Hari Ibu pada tanggal 22 Disember. Walaupun perayaan Hari Ibu disambut secara besar-besaran setahun sekali pada bulan Mei namun ini tidak bermakna insan-insan yang bergelar anak hanya akan mengenangkan jasa ibu mereka pada tanggal tersebut semata-mata. Jika kasih ibu sepanjang masa kepada kita, maka begitu juga kasih kita kepada ibu mestilah sentiasa segar sepanjang hayat di kandung badan.
Ibu adalah insan yang cukup istimewa. Kehadiran ibu dalam hidup kita umpama teduhan yang sentiasa memayungi kita dalam meniti badai kehidupan. Siapa dapat menafikan pengorbanan ibu kepada kita? Tak kira siapa ibu kita, apa kedudukan dan statusnya, di mana dia berada atau biar apapun agama dan pegangannya, maka dia tetap ibu kita. Dialah insan yang cekal dan tabah, sabar mengandungkan kita . Di bawa ke mana sahaja kita di dalam kandungannya selama sembilan bulan sepuluh hari. Apakah sebegitu hebat pengorbanan ibu hendak kita lupakan sebegitu saja? Melawan kata-katanya dan menderhaka padanya?
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik – baiknya.Jika salah seorang dari keduanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali – kali janganlah kamu mengatakan pada keduanya perkataan "Uf"(Ah) .Dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah pada mereka perkataan yang baik, mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah “ Wahai Tuhanku kasihanilah mereka berdua sebagai mana mereka mengasihani akau diwaktu kecil dulu.”
(al Isra’ : 23-24)
Akhir-akhir ini trend menyambut Hari Ibu diadakan di hotel-hotel oleh anak-anak penghuni kota raya besar. Media-massa juga turut memainkan peranan dengan menyiarkan slot-slot rencana, drama dan bual bicara sempena Hari Ibu. Allahamdulillah….nampak seperti jasa ibu tak pernah dilupakan oleh anak-anak walaupun kadangkala anak-anak dibebani dengan kesibukkan tugas-tugas harian. Tapi apalah guna penghargaan yang hebat-hebat jika kasih pada ibu hanya ditunjukkan sehari sahaja iaitu pada setiap minggu kedua bulan Mei. Sedangkan 364 hari yang lain, ibu diabaikan ataupun seperti ditidakkan kehadirannya dalam diri dan hati anak-anak.
Kasih dan cintailah ibu selagi kita masih punya ibu. Tiada gunanya tangisan dan kesalan andai kata ibu sudah tiada di sisi. Tiada gunanya menangis airmata darah sekalipun andai ibu yang banyak berkorban kepada kita pergi mengadap Ilahi untuk selama-lamanya. Apa guna bersedih dan menyesali diri jika semasa hidupnya kita menganggap ibu bagaikan satu bebanan dalam kehidupan diri.
Bagi yang sudah tiada ibu tentulah perasaan terkenangkan ibu seringkali mengusik hati dan naluri. Saat manis dan gelak ketawa bersamanya menjadi kenangan abadi. Hanya doa dan fatihah mengiringi agar Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka.
Kepada anak-anak muda yang baru merasai dunia seorang ibu, kini barulah anda mengetahui betapa susah dan payahnya menjadi seorang ibu. Jika sebelum ini anda tidak pernah terfikir akan besarnya pengorbanan ibu kini barulah anda mengerti jerit perih dan liku-liku kehidupan menjadi seorang ibu. Kepada anak-anak lelaki, tanggungjawab anda kepada ibu begitu tinggi dan berat sekali. Jangan diabai dan disia-siakan tanggungjawab ini kerana ia bukan datangnya dari manusia tapi dari Allah Ta'ala. Sudah banyak kisah di dalam al quran, hadis-hadis Rasulullah S.A.W, kisah-kisah iktibar para ambia dan aulia, cerita-cerita teladan dan cerita rakyat memaparkan kisah derhaka seorang anak kepada ibu. Untuk apakah semua itu?. Tidak lain tidak bukan untuk kita jadikan iktibar dalam melayari kehidupan ini. Jika itupun tak dapat kita jadikan panduan kehidupan, maka betapa malangnya nasib kita dilahirkan sebagai seorang anak.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: “Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam.”
(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)
Kepada anak-anak yang masih punya ibu, anda masih punya waktu. Dampingilah ibu anda dan jika anda belum lagi bertanya khabar kepada mereka di kampong, hubungilah segera. Agar terlerai segala rindu dan kasih di kalbu. Bila berhadapan dengan mereka renunglkah wajah tua mereka yang suatu ketika membelai dirimu, menyisir rambutmu dan menyuapkan makanan ke mulutmu dengan penuh kesabaran Semoga Allah memberi kita hidayah dan petunjuk agar menjadi anak-anak yang tidak mudah lupa daratan dan sentiasa berbakti kepada mereka.
Semoga Allah memberi ganjaran ke atas segala pengorbanan ibu yang tiada tandingannya. Amin
0 comments:
Post a Comment