Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Segala Puji Bagi Allah, yang mengampuni dosa, menerima taubat, azab-Nya keras sekali lagi berkekalan, tiada Tuhan melainlan Allah dan kepada-Nya tempat kita kembali. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ke atas ahli keluarga baginda,para sahabat dan para pengikutnya yang mengasihani baginda hingga ke hari kiamat.
“Katakanlah (ya Muhammad) apakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)?.”
(.Az-Zumar: 9)
“Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham (harta) akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barang siapa mengambilnya maka sungguh ia telah mendapatkan bagian yang sangat banyak.”
(HR. Ibnu Majah, Abu Daud dan At-Tirmidzi)
“Sekali guru melangkah, seribu mata akan memandang. Sekali guru berkata, seribu telinga akan mendengar.” Ungkapan ini sudah cukup menggambarkan betapa guru merupakan insan yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Ini adalah kerana guru adalah profesion yang mulia dalam Islam. Selepas kita menghormati kedua ibu bapa kita, orang yang paling layak untuk dihormati selepas itu ialah guru.
Hari ini bila kita sebut guru kita hanya melihat guru dalam konteks sekolah semata-mata. Sebenarnya takrif guru merangkumi keseluruhan manusia yang tugasnya menyampaikan ilmu kepada orang lain. Dan yang pastinya ilmu itu merupakan sesuatu ilmu yang membawa manfaat dan faedah serta tidak bertentangan dengan syariat. Oleh itu bukan sahaja seorang guru di sekolah itu dihormati sebagai seorang guru, atau ustaz/ustazah yang mengajar di sekolah pondok atau sekolah agama dianggap guru oleh anak muridnya, tapi guru sekolah memandu juga adalah seorang guru kepada anak-anak muridnya, seorang chef juga adalah guru kepada makcik-makcik dan kakak-kakak yang belajar masakan daripadanya malahan seorang nelayan adalah seorang guru apabila mengajar ilmu-ilmu lautan kepada anak-anak muda yang baru mengenal dunia seorang nelayan. Namun masing-masing menyampaikan ilmu dengan cara dan kaedah yang berbeza samada formal atau tidak formal.
Maka sudah sewajarnya guru merupakan antara golongan yang perlu dihormati kerana ilmu yang dicurahkan . Lihatlah bagaimana Imam Abu Hanifah menghormati seorang yahudi (walaupun dia tahu orang yahudi merupakan musuh Islam) hanya kerana mengajar kepadanya ilmu yang sedikit sahaja. Namun bagi Imam Abu Hanifah dia adalah tetap seorang guru yang perlu dihormati. Tapi hari ini di mana kita letaknya rasa hormat kepada guru? Terutama guru-guru yang mencurah ilmu di sekolah tanpa rasa jemu.
Hari ini tugas guru begitu mencabar, guru bukan sahaja bertugas untuk mengajar tapi guru juga melakukan kerja-kerja pekeranian, guru juga menjadi tukang kebun, guru juga menjadi polis sekolah (mengawal disiplin) dan guru juga menjadi ibu bapa pelajar di sekolah. Namun semakin hari, rasa hormat masyarakat kepada guru semakin berkurangan. Kalau dulu seorang guru begitu dihormati dalam sesebuah masyarakat. Gurulah orang yang selalu menjadi rujukan apabila terjadinya sesuatu permasalahan dan guru juga diminta buah fikiran bila anggota masyarakat ingin melakukan sesuatu tugasan atau kerja. Tapi hari ini guru bukan sahaja tidak dihormati, diserang, dipukul oleh ibu bapa dan para pelajar, harta benda guru dirosakkan malahan ada guru disaman di mahkamah akibat lahirnya rasa tidak puas hati. Inilah nasib yang diterimaoleh guru , madu diberi tapi dibalas dengan tuba.
Memang tidak dapat kita nafikan dalam kelompok guru terdapat guru-guru yang melakukan kesalahan dan kesilapan diluar batasan seorang guru. Namun bilangan itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan bilangan guru yang benar-benar ingin mencurahkan ilmu tanpa rasa jemu. Guru juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan salah dan dosa. Janganlah kerana bilangan yang sedikit ini kita membuat andaian dan tohmahan bahawa semua guru adalah sedemikian. Tidak ada seorang guru yang mahu dan gembira untuk melihat anak muridnya gagal dan kecundang dalam pendidikan. Namun malangnya, bila anak-anak murid ini berjaya berapa kerat sahaja yang mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada guru-guru mereka. Selalu yang mendapat nama ialah pusat-pusat tuisyen bukannya guru yang bertungkus lumus memastikan kejayaan anak muridnya.
Kepada guru-guru usahlah anda berharapkan habuan dunia kerana usaha dan keikhlasan anda pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah. Teringat saya kata-kata (saya kurang pasti samada para hukama atau Saidina Ali ibn Abi Talib) : Beramallah kamu di dunia tanpa ganjaran untuk mendapat ganjaran di dunia tanpa amal.
“Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa derajat.”
( Al-Mujadilah: 11)
Saya selalu katakan kepada rakan-rakan guru dan anak-anak buah saya yang ingin menjadi guru bahawa adunan untuk menjadi seorang guru ialah I.S.A. Bukannya akta keselamatan dalam negeri tapi I ialah Ilmu. Guru mestilah berilmu, bukan sahaja ilmu duniawi tapi juga ilmu agama yakni ilmu akhirat. Seorang guru yang baik ialah guru yang sentiasa berilmu. Guru adalah Taalim wa taalum, wasiat Imam Syafie dalam mencari dan memberi ilmu. Guru yang baik ialah guru yang sentiasa belajar dan mencari ilmu dan seterusnya mengajar ilmu kepada orang lain. Hari ini guru-guru bukan berhadapan dengan masalah murid-murid yang kini kenakalannya sudah di peringkat melampau dan keterlaluan, tapi berdepan juga dengan kerenah ibu bapa yang campur tangan dalam urusan sekolah
Samada sedar ataupun tidak, guru-guru merupakan orang yang paling senang untuk menyampaikan dakwah dalam penyampaian ilmu. Apatah lagi usaha berdakwah hari ini perlu ada pada semua orang guru di keadaan zaman yang penuh kerosakkan hari ini terutama dalam jiwa anak-anak muda (yang merupakan anak-anak murid guru-guru). Kerja dakwah di institusi sekolah tidak boleh dibebankan ke bahu ustaz dan ustazah semata-mata. Berapa jam sangat pendidikan Islam di ajar di sekolah-sekolah. Guru-guru perlu berusaha untuk menyampaikan dakwah setiap kali masuk ke kelas. Luangkan masa empat atau lima minit bercakap dan memberi nasihat agama kepada anak-anak murid. Tak payahlah nak cakap bab hukum, cakaplah benda-benda yang mudah seperti sikap, atau bercerita mengenai akhlak Rasulullah dan para sahabat. Insyallah jika kerja dakwah dilakukan oleh semua guru Islam bila masuk ke kelas, akan lahir nanti gemerasi yang cintakan Islam dan takutkan Allah. Namun usaha ini bukannya mudah dan tak mungkin mengecap kejayaan dalam sekelip mata. Oleh itu guru yang baik ialah guru yang mempunyai ilmu, beramal dengan ilmunya dan insyallah keimanan akan menyusul dalam dirinya.
S seterusnya ialah sabar. Guru perlu sabar dalam melayan kerenah anak-anak murid terutama mereka yang masih di tahap satu. Pendekatan mengajar di sekolah rendah adalah sama sekali berbeza dengan sekolah menengah. Pelajar di sekolah menengah lebih agresif dan benar-benar menguji ahap kesabaran guru-guru. Oleh itu guru perlu berhati-hati dalam setiap tindak tanduknya kerana kebanyakkan ibu bapa hari ini tidak menyebelahi pihak guru. Bukan ibu bapa sahaja yang menyalahkan guru-guru, malahan pihak parti-parti politik juga turut menangguk di air keruh setiap isu hangat yang melibatkan pihak guru-guru sekolah. Dan bertambah malang sekali jika terdapat pihak pentadbir juga tidak mahu mempertahankan guru di bawah pentadbirannya. Sedikit sahaja kesalahanyang guru lakukan, maka akan terpampang di muka depan akhbar-akhbar tetapi kebaikan dan pengorbanan guru hanya dimuatkan dalam berita sisipan yang kecil dan adakalanya terlepas pandang. Inilah harga yang perlu dibayar oleh seorang guru.
“Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.”
(Ali-Imran:200)
A ialah amanah. Guru-guru memikul amanah yang berat tergalas di bahu mereka. Sifat amanah inilah akan menguji keikhlasan dan keluhuran diri guru dalam menjalankan kewajipannya memberi ilmu. Malangnya terdapat segelintir guru-guru baru hari ini tidak menunjukkan komitmen dan sikap seperti seorang guru yang diharapkan. Menjadi guru kerana sudah tidak mempunyai pilihan yang lain. Bagi mereka guru merupakan profesion pilihan terakhir. Amatlah malang sekali jika sikap ini ada dalam jiwa guru-guru baru pada hari ini. Yang akan menjadi mangsa ialah anak-anak bangsa kita yang tidak berdosa dan sentiasa berharap agar diberi didikan sebaik mungkin oleh guru-guru.
. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”
(Al Anfal : 27).
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya".
(Riwayat imam ahmad,al-bazar at-tabrani)
Walau apa tanggapan dan pandangan masyarakat hari ini terhadap sikap guru-guru, namun perlulah diingat jasa dan pengorbanan mereka sebenarnya tidak ternilai bandingannya. Dengan izin Allah, atas daya usaha mereka yang tak jemu memberi ilmu dan mendidik menjadikan kita menjadi manusia berguna seperti hari ini. Tahu membaca, mengira dan punya kerjaya. Guru hai ini janganlah lagi mahu menjadi seperti lilin, membakar diri dan menerangi orang lain. Tapi jadilah seperti kata Al Kindi : jadilah seperti bulan yang sentiasa mendapat cahaya baru dari matahari untuk menerangi bumi.
Semoga Allah ta’ala memberi taufik kepada semua guru untuk senantiasa berilmu dan menyampaikan ilmu dengan seikhlas hati kerana Nya . Semoga Allah memberikan guru-guru kemuliaan hidup yang hakiki di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Selamat Hari Guru .
Rujukan
Khairul Ghazali. 30 Wasiat Imam Syafie PTS Millenia Sdn. Bhd 2009
Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agfama dan Wasiat Iman.Pustaka Nasional Pte.Ltd. 2001
Dr Ahmad Hatta.M.A. Tafsir Qur’an Per Kata.Pustaka Maghfirah, Jakarta, Cetakan kedua 2009
Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008
0 comments:
Post a Comment