Tuesday, May 25, 2010

susah Sangatkah Nak Senyum?




Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Sesungguhnya telah ada pada diri RasulluLLAH itu suri tauladan yang baik bagi kalian(iaitu)bagi orang-orang yang mengharap(rahmat)ALLAH dan (kedatangan)hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH”
(al-ahzab:21)


Daripada Jabir bin Samurah RA..dia berkata .. “RasulluLLAH SAW tidak pernah tertawa selain daripada senyuman”
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim).


“Senyum itu sedekah”, bait kata-kata itu sudah sinonim dengan kehidupan kita dan kita sudah dengari sejak dari kita kecil hinggalah ke hari ini dan ia tetap diucapkan sebegitu untuk menggambarkan betapa berharganya nilai sebuah senyuman. Namun berapa ramai yang mempraktikkannya dalam kehidupan seharian? Berapa ramai yang mengukir senyum setiapkali bertemu dengan insan lain tak kiralah samada seagama ataupun tidak?

Susah sangatkah kita nak senyum. Berapakah bayaran yang perlu dibayar untuk nilai sebuah senyuman? Percumakan! Jadi mengapa harus bakhil untuk mengukir sekuntum senyuman kepada orang lain. Tentu ada yang berfikiran negatif mengatakan, takkan nak senyum dua puluh empat jam. Secara logiknya, senyum yang kita ukirkan biarlah kena pada tempat dan masanya.

Islam sebagai agama yang syumul, begitu banyak mengungkaikan tentang kelebihan senyuman dalam kehidupan manusia. Malahan Rasulullah S.A.W adalah merupakan sebaik-baik contoh utama yang boleh kita kaitkan dengan senyuman. Rasulullah merupakan antara manusia yang sentiasa mengukir senyuman biarpun dalam keadaan marah.

Diriawayatkan bahawa pada suatu hari Uyainah bin Hisn memasuki tempat Rasullullah SAW.Sementara dia termasuk dikalangan bangsa Arab yang beperangai kasar ,ketika Uyainah sudah sampai di hadapan baginda,maka baginda tersenyum kepadanya.Masalah ini telah disebutkan Aisyah RA.: “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan baginda Nabi.Ketika baginda melihat orang itu dari jauh ,maka beliau bersabda, “Dia adalah seburuk-buruk saudara dalam kerabat dan anak dalam kerabat”.
Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk,baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu.*.

Ketika orang itu sudah pergi ,Aisyah berkata kepada baginda: “Wahai RasulluLLAH ketika melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu.Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati.”..Kemudia baginda bersabda “Wahai Aisyah,bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?.”
(diriwayatkan Al-Bukhari)

Hari ini nilai senyum sudah semakin jauh meninggalkan jiwa dan hati kebanyakkan manusia. Manusia sudah sukar mengukir senyuman kerana wujudnya penyakit-penyakit hati bersarang dalam jiwa mereka. Manusia begitu payah melontarkan kuntuman senyuman kerana dalam hati dan sanubari mereka dipenuhi dengan perasaan-perasaan sangsi, syak wasangka (buruk sangka), sombong, bongkak, riak, takbur , bermegah-megah dan sebagainya.

Usah kita melihat pada masyarakat lain, lihatlah kepada masyarakat Islam kita hari ini, betapa sukar mereka hendak mengukir senyuman setiap kali bertemu dengan saudara semuslim yang lain. Saya pernah mengalami situasi sebegini dan saya percaya ramai yang mengalami keadaan yang serupa. Saya yang sering bermusafir menjalankan tugas di luar , berhadapan dengan peristiwa sebegini di pelbagai keadaan dan tempat. Dari gerai-gerai tepi jalan hinggalah ke pejabat-pejabat besar malahan juga di surau-surau dan mesjid-mesjid.

Kadangkala kita berasa kecewa dan sedih dengan sikap saudara kita yang tidak menunjukkan sikap kasih sayang sesama muslim. Pernah terjadi apabila melangkah masuk ke surau atau mesjid, bila kita memberi salam dan melemparkan senyuman kepada jemaah yang sedang berbual atau berada di dalam kawasan tersebut , salam dan senyuman kita akan di sambut dengan perasaan longlai sekali. Lebih malang lagi senyuman kita dibalas dengan muka selamba. Kadangkala direnungnya kita seolah-olah kita ni makhluk asing dari dunia yang lain. Begitu juga apabila selesai bersolat, kita akan iringi salam dengan senyuman, malangnya orang yang menyambut salam kita bukan sahaja tidak membalas senyuman malahan adakalanya tak pandangpun muka kita. Masyaallah…sombongnya manusia hari ini.

Nabi Muhammad saw telah bersabda, "Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah." Hadits Riwayat At Tirmidzi dalam sahihnya.

Bagaimana kita nak kata kita kasihkan Islam, cintakan Allah dan sayangkan Rasulullah S.A.W kalau benda yang kecil yang Rasulullah S.A.W ajar pada kitapun tak boleh kita praktik apatah lagi benda yang besar. Kalau datang beribadah dalam mesjid atau surau nak senyum pada orang lain pun susah, bagaimana kita nak mengharapkan kasih sayang yang lebih besar lagi? Perkara ini walaupun kecil tetapi sebenarnya ia member impak yang besar dalam menyemai dan menanam perasaan kasih sayang sesama saudara se Islam. Sahabat-sahabat saya yang berkesempatan ke negara Korea dan Jepun menceritakan bagaimana sikap masyarakat di sana yang saling mengukir senyum dan menghormati apabila bertemu dengan orang asing walaupun tidak tahu berkomunikasi kerana berlainan bahasa. Sedangkan orang yang bukan Islam tahu nilai sebuah senyuman, maka malang sekali kita yang diberi cahaya Islam oleh Allah Ta’ala tidak mempraktikkannya dalam kehidupan kita. Sebenarnya itulah juga antara bibit –bibit keretakkan dalam hubungan persaudaraan sesama Islam yang kita alami hari ini.

Dale Breckenridge Carnegie dalam bukunya yang terkenal dan dijual sebanyak 15 juta naskah, How to Win Friends and Influence People menceritakan:
“Wajah merupakan cermin yang tepat bagi perasaan hati seseorang. Wajah yang ceria, penuh senyuman, senyum yang tulus adalah sebaik-baik factor untuk memperoleh teman dan kerjasama dengan pihak lain. Senyum lebih berharga dibanding sebuah pemberian yang dihadiahkan seorang jejaka. Dan lebih menarik dari lipstik dan bedak yang menempel di wajah seorang wanita. Senyum bukti cinta tulus dan persahabatan yang murni.”

“Ingatlah, bahwa senyum tidak memerlukan belanja sedikitpun, bahkan membawa impak yang luar biasa. Tidak akan menjadi miskin orang yang memberinya, justeru akan menambah kaya bagi orang yang mendapatkannya. Senyum juga tidak memerlukan waktu yang berpanjangan, namun membekas kekal dalam ingatan sampai akhir hayat. Tidak ada seorang fakir yang tidak memilikinya, dan tidak ada seorang kaya pun yang tidak memerlukannya.”

Carnegie menjelaskan 6 Cara Bagaimana Membuat Orang Lain Menyukai Anda
1. Become genuinely interested in other people.
2. Smile.
3. Remember that a man's Name is to him the sweetest and most important sound in any language.
4. Be a good listener. Encourage others to talk about themselves.
5. Talk in the terms of the other man's interest.
6. Make the other person feel important and do it sincerely.

Dari segi kesihatan pula ,orang yang murah senyum biasanya terhindar dari penyakit yang bernama stress. Jantungnya akan berdenyutsecara normal dan sihat . Insyaallah, Ini menjadikan orang yang sering mengukir senyum hidup dalam penuh ceria, sihat dan kurang menghadapi ketegangan hidup. Menurut pendapat para doktor,untuk menghasilkan sebuah senyuman hanya diperlukan 17otot wajah. Maka dari itu,tidak hairan jika kita sering bertemu orang dengan berusia 50 tahun tapi masih punya wajah masih tetap segar,ceria dan sihat. Berbeza dengan orang yang suka marah, muka sentiasa masam, atau suka bersungut,biasanya kelihatan lebih tua kerana ketiga-tiga sikap ini memerlukan 32 otot wajah untuk menghasilkan situasi atau sikap sebegitu.

Lihat bagaimana orang-orang bukan Islam menghargai dan mengakui kehebatan sebuah senyuman dalam kehidupan manusia sedangkan perkara ini sudah diajar oleh Rasullullah S.A.W kepada kita sebagai umatnya. Namun sayang sekali kita tidak menghargai segala usaha yang ditunjukajar oleh Rasullullah kepada kita sedangkan dalam hal yang lain kita mendabik dada mengatakan konon kita cintakan Allah dan Rasul.

Daripada Umar bin Al-Khatab R.A dia berkata.. “RasulluLLAH SAW tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”
(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya)


Semoga selepas ini kita mampu mengukir senyuman kepada saudara kita yang lain. Walaupun pada mulanya mungkin dalam keadaan seperti terpaksa, namun Insyaallah keikhlasa akhirnya akan mengiringi setiap ukiran senyuman dari kita. Dan sentiasa ingatlah bahawa dari segi Islam senyum itu ibadah. Senyuman yang tulus dari seseorang meberikan refleksi kejiwaan positif kepada orang lain dan dari sudut sosial pula , ia sebagai rasa hormat dan maka sekurang-kurangnya kita mampu membahagiakan orang lain.

Salam penuh ceria. Insyaallah jumpa lagi.

Rujukan

Dale Breckenridge Carnegie .How to Win Friends and Influence People Simon & Schuster Publisher 1937

Muhammad Abd Syukur et.al. Diari Hidup Rasulullah S.A.W .Pts Publications and Distributors Sdn.Bhd. Kuala Lumpur 2009

Imam Jalaluddin As Sayuthi . Asbab Nuzul Al-Quran.Darul Fajr, Kuala Lumpur.2008

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company