Friday, May 14, 2010

Jangan hidup terus dimamah dosa



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)”.
(An-Nisa’:31)


“Awasilah kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar)”.
(Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)


Dalam menjalani kehidupan seharian kita di atas muka bumi Allah ini, kita tidak dapat lari daripada melakukan segala dosa dan maksiat. Apatah lagi kita hidup di zaman yang penuh dengan fitnah dan mehnah ini. Belum lagi melangkah keluar dari rumah, malah di dalam ruang rumah pun kita sudah terperangkap dengan segala dosa dan maksiat jika kita tidak berhati-hati. Buka sahaja peti televisyen, kita akan dihidangkan dengan puluhan rancangan dan hiburan dari yang member i manfaat kepada yang membawa kepada kemudaratan. Buka sahaja lembaran akhbar atau majalah, di ruang depan memaparkan berita kebimbangan pemimpin dan masyarakat mengenai masalah sosial yang melanda remaja tapi di bahagian tengah atau sisipan khas dihidangkan dengan gambar-gambar artis dalam dan luar negara berposing dengan gaya-gaya penuh berahi dan mengaibkan. Itu belum lagi kita melangkah keluar menjejak kaki ke dalam dunia yang bercelaru pada hari ini. Apabila halal dan haram bercampuraduk. Kebajikan dan maksiat beriringan. Dosa dan pahala silih berganti.

Saya selalu berpesan pada diri saya sendiri agar beringat dan bermuhasabah diri sendiri sebelum menulis sesuatu melibatkan masyarakat sekeliling. Berhati-hati dengan segala tindak tanduk agar tidak terperangkap dengan dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil. Ini adalah kerana setiapkali kita melakukan dosa (samada kecil atau besar) akan membawa diri kita jauh dari Allah. Oleh itu sudah menjadi kewajipan kita menghindarkan diri agar tidak terus dijauhkan daripada Allah Ta’ala.
Hari ini berapa ramai yang tidak mengetahui bahawa dosa-dosa adalah punca mereka jauh dari Allah. Kadangkala kita melakukan dosa-dosa kecil tanpa rasa bersalah dan terus menerus melakukannya seperti tanpa ada titik nokhtahnya. Ketahuilah sesungguhnya dosa-dosa kecil ini jika kita lakukan berterusan akhirnya akan menjadi dosa besar. Nauzubillah

Imam Al Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Uluniddin telah menggariskan enam sebab bagaimana sesuatu dosa kecil itu jika dilakukan berterusan akan menjadi dosa besar.

Pertama. Berterusan melakukan dosa kecil : Hari ramai manusia tidak pernah rasa bersalah bila melakukan dosa yang serupa. Bertutur perkara-perkara maksiat dan kadangkala mengeluarkan kata-kata yangmenyakitkan hati orang lain tanpa rasa bersalah. Memperlekehkan orang lain dari segi ilmu, pangkat dan kedudukan. Menindas orang-orang bawahan tanpa rasa peri kemanusiaan. Ini adalah perkara-perkara yang seringkali kita lakukan samada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Kedua. Meremehkan Dosa. Para pembuat dosa menganggap remeh dosa yang telah dilakukan. Kita selalu akan terdengar ungkapan seperti, :“ Buat macam tu tak kan berdosa kot?” “Alah baru sekali buat, lepas ni bertaubatlah” “Biasalah orang muda, enjoy sekali sekala tak kan tak boleh?””Encik tak kan tak pernah buat dosa kot?” “ Kita bukan Nabi, biasalah kalau berbuat dosa.”

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Orang mukmin memandang dosanya seperti sebuah bukit di atasnya yang dia bimbang akan menghempapnya, sedangkan orang munafik memandang dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya lalu dihalaunya sehingga terbang.”
(Riwayat al Bukhari daripada al Harith bin Suwaid)


Ketiga . Seronok Melakukan Dosa Kecil. Terdapat orang berbangga dengan dosa yang dilakukan. Terasa seperti diri hebat bila dapat melakukan sesuatu kemungkaran. Sedangkan dia lupa bahawa dosa-dosa yang dilakukannya itulah yang akan membawa dia menjadi sengsara di dunia dan akhirat selagi dia tidak bertaubat .

Keempat. Menganggap Remeh Terhadap Kesantunan Allah yang menutupi Dosanya Daripada Pengetahuan Orang. Manusia yang sering berbuat dosa tidak ada perasaan takut pada Allah, apatah lagi jika selama ia melakukan dosa dia tidak pernah ditimpa musibah atau ujian daripada Allah. Sebenarnya dia tidak mengenal dan mengetahui kehebatan kuasa Allah dan selama mana Allah menangguhkan pembalasan ke atas segala dosa-dosa mereka selama ini.

Firman Allah : “ Mereka mengatakan di dalam hati mereka, mengapa Allah tidak menyeksa kita dengan sebab perkataan kita ini? Cukuplah untuk mereka neraka Jahanam, mereka masuk ke situ dan itulah seburuk-buruk tempat.”
( Al-
Mujadalah: 8)

Kelima. Menyiar Dosa. Kita sering bertemu dengan orang atau rakan yang berbangga dengan dosa yang telah dilakukan. Bercerita kepada orang lain secara terang-terangan maksiat yang dilakukan tanpa ada rasa malu bukan sahaja pada manusia tetapi lebih-lebih lagi kepada Allah Ta’ala. Ia merupakan jenayah yang berat kerana selama ini Allah telah menutupi segala aib dosanya.

"Setiap umatku akan diampuni kecuali orang yang berterang-terangan. Yang mana salah seorang melakukan dosa pada waktu malam, namun di pagi harinya-padahal Allah telah tutupi-, ia sendiri yang bercerita, "Wahai fulan, aku semalam telah melakukan maksiat ini dan itu." Padahal semalam Allah telah tutupi maksiat yang ia lakukan, namun di pagi harinya ia sendiri yang membuka 'aib-'aibnya yang telah Allah tutup. "[ HR. Bukhari no. 6069 dan Muslim no. 2990, daripada hadith Abu Hurairah.)

Bila seseorang itu bercerita kehebatan maksiat dan mungkar yang pernah dilakukan kepada orang lain, dibimbangi ia akan menjadi dorongan pula untuk orang lain melakukannya. Jika ini berlaku, maka dosanya terhadap Allah menjadi semakin keji.

Keenam. Dosa oleh orang Alim Yang Menjadi Ikutan. Apabila seorang alim yang mempunyai ramai pengikutnya melakukan dosa dan dilihat orang maka ia akan menjadi dosa besar kepadanya. Hari ini ramai orang alim dan bijak pandai agama melakukan dosa seperti memakai sutera, mengambil harta syubahat, menyembunyikan hukum, berniaga di dalam mesjid, mengucapkan perkataan yang menjatuhkan maruah orang, memperlekehkan orang lain, berebut jawatan, mencari kemasyhuran serta menjual ilmu untuk habuan dunia dan bukan kerana Allah.

Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mempelopori satu sunnah yang jahat, maka dia menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya tanpa mengurangi sedikitpun daripada dosa-dosa mereka”
(Riwayat Muslim daripada Jarir bin Abdullah)


Firman Allah:
“Dan Kami tuliskan apa yang mereka telah kerjakan serta bekas-bekas peninggalan mereka”
(Surah Yassin:12)


Semoga kita tidak tergolong dalam keenam-enam golongan seperti di atas. Sentiasa muhasabah dan merenung perjalanan hidup agar tidak tersasar dari jalan dan syariat Allah. Berazam dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhi daripada segala dosa dan maksiat. Sesungguhnya kita masih punya waktu untuk bertaubat. Semua dosa adalah pembinasa dan apabila kita terdorong untuk melakukannya bermakna syaitan dan iblis laknatullah telah berjaya memperdayakan kita.

Semoga Allah Ta’ala sentiasa melindungi diri kita serta keluarga kita dan kita sentiasa di dalam rahmat Allah.

Rujukan
Imam Al Ghazali. Kitab Ilhya Ulumuddin

Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 2001

Syaikh Muhammad Jamaluddin Al Qasimi. Imam Ghazali: Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 1999

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company