Monday, March 28, 2011

Operasi Odyssey Dawn: OIC atau Sekadar Ooo I See


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Al-Anfal :73)

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Al-i-‘Imran:103)


Sudah hampir dua minggu bumi Libya dihujani bedilan roket dan peluru berpandu Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya. Bukan harta benda sahaja yang musnah, malahan nyawa manusia yang tidak berdosa menjadi taruhannya. Benarlah kata pepatah, peluru tidak bermata, adakalanya sasaran yang dibedil tersasar dan tidak mencari mangsa yang sepatutnya. Akibatnya, orang awam menjadi mangsa. Inilah harga yang pelu dibayar oleh rakyat apabila negara mereka terlibat dalam kancah peperangan.

Persoalannya apakah benar Amerika syarikat dan sekutu Eropahnya seperti Britain dan Perancis menyerang Libya melalui Operasi Odyssey Dawn adalah atas dasar menguatkuasakan zon Larangan terbang. Atau mereka mempunyai agenda dan muslihat disebaliknya. Menyerang sebuah negara yang merdeka adalah bertentangan dengan piagam PBB. Resolusi PBB 1973 hanya inginkan pembelaan rakyat, bukannya menyerang atau memusnahkan sesebuah negara. Namun malangnya, PBB yang sepatutnya bertindak sebagai pendamai, seolah-olah merestui serangan Amerika dan sekutunya. Mungkin PBB masih berdendam dengan Gadaff yang begitu berani mengoyak dan melemparkan piagam PBB dalam mesyuarat PBB pada tahun 2010.

Amerika juga penuh dendam kesumat kepada Libya terutama apabila Gadaffi mengarahkan semua tentera Amerika keluar dari Libya dan menutup kem tentera Amerika di Libya pada 1970. Gadaffi juga merupakan antara pemimpin yang meminda dasar Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) membuatkan kuasa Amerika dan barat berputih mata. Sebagai negara kedua pengeluar minyak terbesar menyebabkan Amerika dan sekutunya terbeliak biji mata ingin mengaut kekayaan sebagaimana yang telah dilakukan ke atas Iraq dan Aghanisthan.

Beberapa negara besar seperti China dan India menyuarakan bantahan terhadap serangan tersebut. Pertubuhan Negara Afrika juga menyuarakan bantahan, begitu juga Pertubuhan Liga Arab. Namun Liga Arab sepatutnya bertindaklebih drastik dengan menghalang serangan Amerika dan sekutunya ke atas Libya namun kerana sikap penakut dan pak turut pemimpin-pemimpin negara Arab menyebabkan mereka sekadar menyatakan bantahan sahaja. Mereka tidak berani membantu saudara mereka kerana masing-masing manjaga kepentingan dan habuan dunia sendiri. Sebenarnya semangat perpaduan ummah sudah lama mati dalam masyarakat dunia Arab. Kalau tidak, masakan Palestine dibiarkan terkontang-kanting sendirian menentang Israel Laknatullah.

Satu lagi pertubuhan negara-negara Islam yang tidak bersuara ialah Pertubuhan Negara-Negara Islam atau OIC. Ternyata kena pada namanya, OIC sebenarnya lebih berperanan sebagai pertubuhan Oooo I See. Ia bagaikan pertubuhan yang bisu dan buta. Berdiam diri atas semua isu ummah dan negara Islam sedangkan ia dianggotai oleh 57 negara Islam seluruh dunia yang kebanyakannya dari negara-negara Timur Tengah dan Utara Afrika, Caucassus, Asia Tenggara, Asia Tengah, Balkan, dan Asia Selatan. Kalau setakat berdiam diri apa guna mrnubuhkan satu pertubuhan. Lebih baik dibubarkan sahaja.

Sepatutnya OIC menjadi satu pertubuhan negara Islam yang kuat kerana mempunyai keahliaan yang besar jumlahnya. Kalau NATO mempunyai kesepakatan dalam aspek ketenteraan, apakah negara-negara Islam tak bolehkah berbuat demikian. Sepatutnya OIC mempunyai unit ketenteraan negara-negara Islamnya sendiri. Membantu negara-negara Islam yang ditimpa musibah, teraniaya dan terlibat dalam kancah peperangan. Bukannya membiarkan golongan kufar Amerika dan sekutunya terus meratah negara-negara Islam tanpa ada peri kemanusiaan. Sepatutnya isu kebiadaban Israel sudah boleh diatasi jika OIC mempunyai ketumbukkan tenteranya sendiri membantu para pejuang Palestine.

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (Al-Anfal :60)

Ternyata OIC tidak proaktif atau dengan kata lain penakut dan menjaga kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesengsaraan umat Islam yang lain. Dimanakah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh negara-negara Islam yang lain kepada pemimpin OIC. OIC sebenarnya sudah terlupa dengan matlamat asal penubuhannya. Matlamat utama OIC adalah "untuk menggalakkan keeratan antara ahli negara-negara Islam; bagi menyelaras kerjasama antara negara ahli dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, saintifik, dan bidang-bidang lain; bagi berusaha untuk menghapuskan perbezaan rasial dan diskriminasi dan menentang kolonial dalam semua bentuk; dan, untuk menyokong semua Muslim dalam usaha mereka mempertahankan maruah, kebebasan dan hak negara, membina jambatan antara jurang perbezaan budaya dunia dll"

Sabda Rasulullah SAW:ertinya: “Hendaklah kamu berada dalam jamaah kerana sesungguhnya berjamaah itu adalah merupakan rahmah sedangkan perpecahan itu merupakan azab”. (Riwayat Muslim)

Walaupun Gadaffi dianggap kejam terhadap rakyatnya, namun jasanya pada awal pemerintahan dengan pelbagai kebaikan untuk rakyat Libya tidak boleh dilupakan. Sepatutnya negara-negara Islam dan pertubuhan Islam seperti Liga Arab dan OIC memainkan peranan menyelesaikan kemelut Libya daripada membiarkan golongan kufar laknatullah seperti Amerika dan sekutunya campur tangan dan mengganyang Libya. Kita tidak mahu nasib negara Islam Libya dan rakyatnya menjadi seperti nasib rakyat Aghanisthan dan Iraq. Rakyat yang mengharapkan pembelaan, akhirnya mengalami nasib yang lebih teruk dari kehidupan sebelumnya. Sistem menjadi hancur dan ekonomi pula porak peranda. Puluhan tahun akan diambil untuk bangun semula akibat kehancuran dek peperangan. Inikah harga yang kita mahu negara saudara dan seagama dengan kita terpaksa hadapi.

Kita sebagai umat Islam yang cinta dan kasih kepada saudara seagama dengan kita, berharap agar kemelut Libya akan berakhir dengan baik. Kita berdoa agar Allah membuka pintu hati Gadaffi untuk beralah dan melepaskan jawatannya. Kita tidak mahu Libya menerima nasib yang sama seperti Iraq. Golongan kafir sentiasa mencari jalam memusnahkan negara dan umat Islam tidak kira dengan apa jua cara sekalipun. Semoga Allah sentiasa memelihara kesejahteraan umat Islam sejagat.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)." (al Baqarah : 120)
Read more...

Wednesday, March 16, 2011

Mempersendakan Azan: Si Kafir Biadap Yang Perlu Pengajaran


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda
"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (al- Mumtahana :8-9)

“Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu.”( An-Nisaa’: 101)


Cerita golongan kafir laknatullah menghina kesucian Islam bukannya suatu cerita baru. Selagi mereka tidak reda dengan keindahan dan kebenaran Islam, maka selagi itulah puak-puak kafir laknatullah ini mencari jalan menghina dan mempersendakan Islam dalam apa jua genre media. Kalau dulu kita hanya mendengar atau membaca berita penghinaan Islam oleh golongan kafir laknatullah yang kebanyakkannya berlaku di negara-negara barat. Kini penghinaan terhadap agama Islam berlaku begitu berleluasa di dalam negara kita sendiri , negara tercinta yang kita canangkan konon merupakan negara Islam.

Bukalah laman-laman yang memaparkan video seperti you tube, laman sembang atau blog, kita pastiakan terjumpa video, ruangan sembang atau laman blog yangmemperlekeh dan mempersenda Islam oleh mereka-mereka yang biadap dan kurang ajar. Malangnya mereka-mereka ini tidak pernah diambil tindakan oleh pihak-pihak tertentu. Yang lali dan magli telinga kita mendengarnya ialah bila ada pihak-pihak tertentu mengeluarkan kenyataan “kita akan siasat dan kita akan panggil dan beri amaran!”. Sampai bila kita nak siasat dan beri amaran pada puak-puak dajal dan kafir laknatullah ini? Sampai mereka-mereka ini berani pijak dan kencing atas kepala kita sambil ketawa berdekah-dekah menghina kesucian Islam.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hinggakamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allahitulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikutikemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (QS Al-Baqarah: 120)

Penghinaan terhadap kesucian Islam yang terbaru apabila sebuah video yang dimuatkan dalam laman Youtube mempersendakan laungan azan. Sungguh biadap, kurang ajar dan patut diambil tindakan. Walaupun video ini dalam bahasa cina tapi apabila diterjemahkan, ternyata kafir laknatullah ini mempermain-mainkan laungan azan bersama rakan-rakannya. Antaranya si kafir laknatullah mempersenda azan sebagai : " Laungan azan setiap subuh adalah seperti orang yang menjerit tak tentu fasal, macam orng nak order mee wantan. Bila sudah diberi mee wantan dan memakannya, nak kuih pau besar pula! "

Apakah peranan kita sebagai umat yang cintakan kesucian agama Islam bila orang mempersenda sebegini? Mana pergi pemimpin-pemimpin Islam, pertubuhan Islam, pejuang-pejuang Islam, para alim ulama’dan pak-pak menteri yang beragama Islam? Tak tersentuhkah hati anda semua bila orang boleh memperlekeh dan mempersendakan azan. Mujurlah Persatuan Pengguna Islam sedar akan hal ini dan memuatkan berita kebiadapan kafir laknatullah ini dalam laman web rasminya. Anda boleh layari http://persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com/ untuk melihat sendiri kebiadapan mereka-mereka ini. Dan berita ini telah disiarkan oleh Harian Kosmo bertarikh Selasa 15 Mac 2011 itupun beritanya disembunyi-sembunyi pada muka surat 18. Mungkin takut mengundang kemarahan umat Islam di Malaysia.

“Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itusemata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari kekafiran), makasesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.” ( Al-Anfaal: 39)

Alah nak takut apa...umat Islam di Malaysia bukannya sensitif sangatpun. Mengaku cinta pada Allah dan kasihkan Rasulullah hanya pada waktu perayaan Maulidur Rasul dan bulan puasa sahaja. Lepas tu semangat sejuk gedi macam nasi basi. Kalau marahpun pasal isu menghina Islam hanya sekadar menjadi juara menjerit sana menjerit sini , lepas penat teriak dan menjerit senyap terus tanpa ada kesudahan. Lihat apa jadi pada si biadap Namawee, Ronnie Liu, si paderi laknatullah Benjamin Stephen, bebudak cina yang telah membaling botol arak berisi cat merah ke arah sebuah surau di Sikamat, semua terlepas tanpa diambil tindakan untuk memberi mereka-mereka ini pengajaran atas kebiadapan mereka. Kalaulah orang Islam yang memperkata atau melakukan sesuatu perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama mereka, sudah tentu awal-awal lagi ditangkap dan dibicarakan. Lihat apa terjadi kepada dua orang pemuda yang ditangkap kerana membakar gereja!

Terlalu baik sangatkah kita kerana nak menjaga hati orang bukan Islam, maka maruah dan kesucian agama Islam kita korbankan. Di dunia mungkin kita terlepas kerana tidak terdetik biarpun didalam hati (selemah-lemah iman)membantah atau menentang penghinaan orang kafir terhadap Islam. Akan tetapi apa yang akan kita jawab di hadapan mahkamah Allah Ta’ala nanti. Layakkah kita mendapat syurga Allah sedangkan di dunia kita hanya membisu dan menjadi tunggul kayu membiarkan orang ketawa bedekah-dekah mempersenda Islam dan Rasulullah? Takutlah kepada Allah...lihatlah bagaimana Allah telah memperlihatkan tanda-tanda kebesarNYA melalui kejadian-kejadian yang telah menimpa beberapa buah negara di dunia ini!

Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanya tentang seorang Yahudi ahli dzimmah yang kebetulan melewati seorang muadzin, lantas ia berkata, "bohong kamu." Beliau menjawab, "dia harus dibunuh, oleh karena dia telah mencerca." (Dinukil dari Fatwa Mati Buat Penghujat, Abdul Mun'im Halimah "Abu Bashir" hal. 52-59)
Islam bukannya agama yang zalim dan anti kemajuan. Islam merupakan agama yang syumul. Islam agama yang suci yang menyelamat manusia dari jalan kesesatan dan kegelapan kepada jalan penuh kebenaran menuju keredhaan ALLAH. Islam tidak pernah mengajar umatnya mempersendakan kepercayaan orang lain biarpun mereka dalam kesesatan kerana Islam sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Tetapi jika susu yang diberi telah dibalas dengan tuba, maka umat Islam bukannya umat yang dayus. Penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah adalah perbuatan melampau, biadap, kurang ajar dan perlu diberi pengajaran. Maka inilah tugas yang perlu digalas oleh semua umat Islam terutama para pemimpin dan alim ulama’ yang telah diberi amanah!

“ Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar “ (Al-‘Asr:1-3)


Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada kita untuk sentiasa beristiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai landasan kehidupan . Amin
Read more...

Thursday, March 10, 2011

Cabul Pelajar : Alahai Nasib Guru


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat :12)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."


KUALA LUMPUR 4 Mac – Ketua guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Pandan Indah, Ampang di sini mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan mencabul 11 pelajar berusia antara 15 dan 16 tahun, bulan lalu.
Mengikut kesemua pertuduhan itu, Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada kesemua pelajar berbangsa Cina itu di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi, 25 Feb lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan.


Berita ini bagaikan meruntun saya untuk menulis sesuatu. Apabila saya melayari berita ini dalam internet, kebanyakkan blog hanya memuatkan berita ini tanpa sebarang komen, kalau adapun kebanyakkannya seperti sudah menjatuhkan hukuman ke atas guru tersebut. Tidak ada langsung pembelaan untuk Cikgu Ismazi. Mahkamah belum menjatuhkan hukum tetapi masyarakat begitu cepat menuding jari kepada beliau dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan.

Teruk sangatkah Cikgu Ismazi ini? Hanya rakan-rakan dan pelajar-pelajar lain yang tak terlibat dalam kes ini yang mampu menceritakannya. Kita yang tidak tahu hujung pangkalnya janganlah membuat sesuatu tuduhan atau andaian secara membuta tuli. Dalam Islam menuduh seseorang yang belum kita pasti salah atau benarnya, berdosa besar hukumnya. Fikirlah juga bagaimana perasaan dan hati Cikgu Ismazi serta ahli keluarga beliau bila dilemparkan dengan tuduhan sebegini sedangkan mahkamah belum memutuskan samada dia bersalah atau sebaliknya.

Secara logiknya, mana mungkin seorang itu sanggup mencabul 11 orang pelajarnya sekaligus dalam satu bilik dan pada waktu yang sama? Apatah lagi pelajar tersebut sudah berumur antara 15 dan 16 tahun. Pelajar hari ini bukan seperti pelajar dulu. Pelajar hari ini terlalu dimanjakan oleh sesetengah ibu bapa sehinggakan bukan sahaja mereka tak boleh dirotan, malahan denda, memarahi mereka atau menyebut perkataan “Awak jangan jadi bodoh” pun tak boleh. Jika tidak, siaplah guru tersebut akan menerima teguran, surat layang atau amaran dari pihak ibu bapa atau pihak-pihak tertentu. Jadi hari ini, para pelajar berasakan yang mereka sentiasa akan berada di pihak yang benar dan pasti ada pihak yang akan membela mereka biarpun mereka di pihak yang salah.

Lebih malang lagi hari ini, bukan sahaja ibu bapa menyebelahi anak-anak mereka, malahan ada pihak-pihak tertentu seperti pertubuhan politik dan NGO cuba menjadi juara di sekolah-sekolah. Bila timbul kes-kes seperti ini, maka inilah peluang untuk mereka menunjukkan “sifat keperihatinan mereka” kononnya atas nama membela yang teraniaya. Bukan semua cerita atau cakap anak-anak pelajar kita yang boleh kita telan bulat-bulat. Ada yang berdendam dengan guru kerana dihukum akibat masalah disiplin , mereka-reka pelbagai cerita keburukan guru agar guru tersebut menerima balasan. Dalam kes ini, saya melihat seperti ada sesuatu yang perlu disiasat dengan teliti. Janganlah kerana dendam, akhirnya orang yang selama ini mencurahkan ilmu tanpa penat dan jemu menjadi mangsa keadaan.

Firman Allah: (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Sudah banyak cerita yang kita dengar tentang guru yang tidak benar tapi telah disensasikan oleh akhbar-akhbar. Contohnya, pada tahun lepas seorang guru di Teluk Kumbar Pulau Pinang dikatakan telah mencederakan seorang bapa pelajar. Setelah disiasat, ternyata bapa pelajar itu mengada-adakan cerita untuk tujuan mengaibkan guru tersebut. Akan tetapi malangnya pihak akhbar tidak pula menyiarkan berita tersebut untuk membersihkan semula nama guru-guru tersebut!

Malang sungguh nasib para guru hari ini. Bukan sahaja dibebani dengan tugas mengajar dan aktiviti ko kurikulum tapi dilambakkan dengan kerja-kerja pekeranian yang pelbagai disamping itu terpaksa mengawal sikap dan disiplin pelajar yang semakin hari semakin tidak terkawal. Tapi kebajikan dan keselamatan mereka terabai dan tidak bergitu serius diberi perhatian. Guru-guru disiplin selalu menjadi mangsa, sedangkan pada hakikatnya mereka menjalankan tugas untuk memastikan pelajar sentiasa mengikut dan mematuhi peraturan serta undang-undang sekolah. Mereka tidak dibayar elaun lebih walau sesenpun untuk menjalankan tugas menjadi guru disiplin yang merupakan guru yang dibenci oleh kebanyakkan pelajar. Malahan mereka terpaksa membahayakan bukan sahaja diri mereka tapi anak, isteri dan keluarga mereka semata-mata menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Kepada semua guru-guru, jalankan tugas dengan sebaik mungkin dan penuh amanah. Bersabarlah dengan setiap apa jua dan dugaan yang kita hadapi. Jika kita dipihak yang benar, insyallah lambat laun kebenaran akan pasti terselah jua. Sentiasa bermunajat dan berdoa kepada Allah dan Allah tidak pernah mempersia-siakan permintaan hamba Nya.

“Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.” (Surah Luqman: 16)

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaranlembaran telah kering (dakwatnya). (Hadith riwayat al-lmam al-Tirmizi.) Beliau berkata: la adalah Hadith Hasan Sohih.

Read more...

Tuesday, March 8, 2011

Gaddafi Vs Libya : From Hero to Zero


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah swt dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). “ (Al Anfaal: 27.)
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Apabila Allah S.W.T menghendaki seseorang ketua itu menjadi ketua yang baik, ia akan jadikan pembantunya itu bersikap benar. Jika ia lupa ( lupa kepada Allah dan menyeleweng dari kebenaran ) ia mengingatkannya. Jika ia tidak lupa, ia memberi pertolongan dan bantuan kepada ketuanya itu. Jika Allah menghendaki ketua itu menjadi ketua yang lain daripada itu, dijadikan pembantunya seorang yang jahat, jika ia lupa tidak diingatkanya dan jika ia ingat tidak dibantunya” (diriwayatkan oleh Abu Daud ).


Muammar Abu Minyar al-Gaddafi bermula sebagai hero legenda Libya apabila bersama sekumpulankecil pegawai tentera berjaya menggulingkan kerajaan Raja Idris 1 (Yang pada masa itu berada di Turki kerana menerima rawatan) pada 1 September 1969 dan pada tarikh tersebut juga beliau diangkat sebagai "Pemimpin besar dan Pengasas Revolusi."Libya yang baru. Maka bermulalah episod panjang pemerintahan Kolonel Muammar al- Gaddafi. Beliau sering melaungkan konsep pemerintahan Libya "diperintah oleh rakyat"dan dalam masa yang sama memperkenalkan sistem pemerintahan "Sosialisme Islam".

Gaddafi memmperkenalkan sistem moral Islam yang melarang minuman alkohol dan berjudi di kalangan rakyatnya. Digeruni oleh musuh-musuhnya terutama negara barat yang mengecap Libya sebagai negara pengganas. Malah pada persidangan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu pada November 2010, Gaddafi mengejutkan dunia dan menjadi hero negara Islam, Gaddafi mengambil pendekatan yang lebih radikal untuk menyatakan kekecewaan dan kemarahan terhadap amalan memberi kuasa veto kepada lima kuasa besar dalam Majlis Keselamatan PBB. Gaddafi mengoyak kulit depan Piagam PBB semasa memberi ucapan di hadapan pemimpin-pemimpin dunia. Kemudian kertas itu dibaling ke podium ke arah pemimpin kuasa besar dunia yang telah sekian lama mencabuli matlamat kewujudan badan dunia itu.
Namun langit tidak selalunya cerah. Kita merancang, Allah Ta’ala juga merancang, namun percayalah perancangan Allah lah yang paling terbaik. Kehebatan, keberaniaan dan ketokohan Gaddafi tidak dapat menjamin tempat yang selamat untuknya dalam pentadbiran Libya. Hasrat Gaddafi untuk terus memagang tampuk pemerintahan setelah hampir 42 tahun memerintah, nampaknya hampir tidak menjadi kenyataan. Biasan Revolusi Melur di Tunisia dan diikuti dengan Revolusi Medan Tahrir di Mesir menjadi azimat dan semangat untuk sebahagian besar penduduk Libya bangun menentang Gaddafi. Kemiskinan, birokrasi dan kadar inflasi menjadi antara sebab rakyat bangun menentang Gaddaffi.

Berulang kali saya nyatakan dalam tulisan saya yang lalu, peristiwa atau mimpi ngeri sebegini boleh berlaku kepada mana-mana sahaja pemimpin di dunia ini. Selama mana ia berkuasa samada baru atau lama bukanlah ukurannya. Yang penting bagaimana seorang pemimpin menjaga hubungan baik dengan rakyat bawahannya. Sentiasa melihat segala keperluan dan masalah yang mereka hadapi. Menangani dengan jujur, ikhlas dan kesaksamaan. Sebab itu dalam Islam, tugas pemimpin bukannya suatu jawatan yang boleh dianggap enteng atau mudah. Ia merupakan satu amanah yang perlu dipertanggungjawaban. Samadapemimpin kecil ataupun besar, ia tetap merupakan suatu amanah.

Sabda Rasulullah S.A.W : “Tiap-Tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertangung jawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Malangnya hari ini manusia berebut-rebut hendak menjadi pemimpin. Contohnya di depan mata kita, berebut-rebut manusia inginkan jawatan dan kedudukan. Dari perebutan sekecil-kecil untuk menjawat jawatan pengerusi persatuan, pengerusi masjid atau surau hinggalah kepada pemimpin tertinggi dalam parti dan sebagainya. Bukan sekadar berebut sahaja, malah ada yang sanggup bertengkar, bergaduh dan bersinsing lengan kerana mahukan jawatan di dunia. Apakah mereka tidak tahu betapa beratnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin?

Abu Zar Al-Ghaffari meriwayatkan, saya berkata kepada Rasulullah S.A.W Tidakkah Tuan hendak melantik saya untuk mengetuai sesuatu urusan? Rasulullah S.A.W menepuk bahu saya dan berkata.” Wahai Abu Zar, engkau adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Di hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan yang ditentukan di dalamnya”.
Abu Zar bukanlah seorang yang tidak taat kepada Allah dan dikuasai nafsu tetapi dia adalah seorang manusia yang lemah dalam mengambil tindakan, dia adalah seorang yang lurus hati dan mempunyai kelemahan yang menghalangnya bersikap tegas kepada kawan dan lawan. Itu pun dianggap oleh Rasulullah S.A.W apatah lagi orang yang kalah di hadapan nafsu, jahil dan tidak beramanah.


Suatu ketika dulu, Muammar Gaddafi adalah wira rakyat namun hari ini ketika usia di penghujung senja nampaknya seperti Gaddafi terpaksa turun atas desakan rakyat juga. Hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bila dan bagaimana! Tindakan Gaddafi yang membunuh nyawa manusia tanpa rasa bersalah atas nama ingin terus berkuasa adalah sesuatu kezaliman. Di sinilah letaknya rasional seorang pemimpin Islam samada dia memerintah mengikut kehendak agama atau mengikut hawa nafsunya.

Dalam Musnad Imam Ahmad ada diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksudnya: “Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam (pemimpin) yang adil dan yang paling dibenci Allah ialah imam yang zalim”.

Kita berdoa agar kemelut dinegara-negara Islam dapat diselesaikan dengan cara berhemah. Kita bimbang dalam keadaan sebegini, musuh-musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk mengeruhkan lagi suasana dengan mengapi-apikan perasaan umat Islam yang akhirnya menyaksikan kita berbalah dan berbunuhan sesama sendiri. Teguhkan iman dan sentiasa tegakkan Islam dalam melayari kehidupan ini. Insyallah...Allah akan sentiasa bersama orang yang benar.
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company