Tuesday, June 29, 2010

Rasulullah S.A.W dan Sebiji Limau




Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad)mempunyai akhlak yang amat mulia."
(Al-Qalam:4)


Akhlak berasal daripada perkataan (al-akhlaaku) iaitu kata jama daripada perkataan (al-khuluqu) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, matuah, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiriKali ini saya bawakan suatu kisah tentang kemuliaan akhlak Rasulullah S.A.W untuk kita renungi bersama. Kita ingin jadikan Rasulluhan sebagai Qudwah Hasanah bukan sahaja untuk diri kita tapi untuk masyarakat di sekeliling kita. Hari ini persoalan keruntuhan akhlak ummah semakin hari menjadi bagaikan kudis yang merebak memusnahkan jiwa dan hati manusia.

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kamu turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kamu yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya. "Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain- mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Bagaimana dengan akhlak kita? Saya lontarkan soalan ini pada diri saya sendiri. Dapatkah kita mencontohi semulia akhlak Rasulullah S.A.W apatah lagi di zaman yang penuh kerosakkan dan fitnah ini. Masalah keruntuhan akhlak bukan sahaja menyerang golongan muda, malahan golongan yang sudah berusia turut mengidap penyakit ini. Permasalahan akhlak yang rosak bukan sahaja melanda golongan yang tiada berilmu, namun ia turut merebak ke dalam jiwa dan hati para ilmuwan, politikus dan juga golongan ulamak. Nilai-nilai kemanusiaan, kebaikan telah dan sedang tergugat.


Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
“Sesungguhnya orang yang sangat dicintai dan sangat dekat kedudukannya kepadaku pada hari akhirat ialah orang Islam yang paling baik akhlaknya dan sesungguhnya orang paling dibenci di kalangan kamu di sisiku dan yang paling jauh dariku di akhirat ialah orang yang buruk akhlaknya”
(Riwayat Imam Ahmad)


Imam Ghazali mengatakan: akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.

Kata seorang penyair Mesir Syauki Bik "Suatu bangsa sangat ditentukan oleh kualiti akhlaknya jika akhlak sudah rosak maka hancurlah bangsa tersebut. "

Akhlak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi manusia. Malangnya hari ini ada manusia dari segi Hablun Minallahnya cukup baik dan cantik tapi malangnya Hablun Minannasnya (hubungan dengan sesama manusia) teruk, rosak dan paling membimbangkan penuh dengan sifat kesombongan. Ibadatnya rajin, ke surau atau mesjid rajin tapi bila berjumpa dengan orang atau masyarakat jangan katakan nak tegur, senyumpun belum tentu. Begitu juga jika Hablun Minannasnya bagus tapi malangnya Hablun Minallah (hubungan dengan Allah) berkala-kala, teruk dan paling merisaukan jika tak ada langsung.

Akhlak kepada Allah SWT dgn cara mencintai - Nya mensyukuri nikmat - Nya malu kepada - Nya utk berbuat maksiat selalu bertaubat bertawakkal takut akan segala azab - Nya dan sentiasa berharap akan rahmat - Nya .

Akhlak kepada Rasulullah SAW dgn cara beradab dan menghormatinya mentaati dan mencintai baginda. Berazam menjadiu umatnya yang terbaik dalam segala aspek kehidupan. Memperbanyak menyebut nama baginda S.A.W, menerima semua ajaran baginda, menghidupkan sunnah – sunnah baginda dan mencintai baginda melebihi daripada diri kita sendiri anak –anak dan ibu bapa kita

Akhlak terhadap Al- Qur `an dgn cara membacanya dgn khusyuk tartil dan sesempurna mungkin sambil memahaminya maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan riil .

Akhlak kepada makhluk Allah SWT bermula dengan diri sendiri ,ibu bapa, golongan ulamak dan berilmu, orang tua kerabat handai taulan, tetangga dan sesama mukmin sesuai dgn tuntunan Islam . Meyayangi mereka atas dasar persaudaraan Islam. Bertegur sapa dan saling mengucapkan salam dan sering berdoa atas kesejahteraan mereka.

Akhlak kepada orang kafir dgn cara membenci kekufuran mereka tetapi tetap berbuat adil kepada mereka , memaafkan mereka selagi perbuatan mereka tidak menghina Allah, Rasul dan agama dan berbuat baik kepada mereka secara manusiawi selama hal itu tidak bertentangan dgn syariat Islam dan sentiasa berdoa dan berkeinginan mengajak mereka kepada Islam .

Akhlak terhadap makhluk lain termasuk kepada menyayangi binatang dan alam sebagai sebahagian daripada makhluk Allah

Sayyidatina ‘Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya:
“Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran.”

Firman Allah yang bermaksud :"Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).
(Al-Anfal:22)


Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari segala pekerti dan perbuatan keji . Amin
Read more...

Thursday, June 17, 2010

Sampai Syurga : Kasihkan Ayah Dan Ibu



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Segala Puji Bagi Allah, yang mengampuni dosa, menerima taubat, azab-Nya keras sekali lagi berkekalan, tiada Tuhan melainlan Allah dan kepada-Nya tempat kita kembali. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ke atas ahli keluarga baginda,para sahabat dan para pengikutnya yang mengasihani baginda hingga ke hari kiamat.


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
(Al-Ahqaf :15)


Dari Abdullah bin Mas'ud katanya," Aku bertanya kepada Rasullullah S.A.W tentang amal-amal yg paling utama dan dicintai Allah? Rasullullah S.A.W menjawab, : Pertama solat pada waktu (dalam riwayat lain disebutkan solat di awal waktunya), kedua-dua berbakti kpd kedua orang tua, ketiga jihad di jalan ALLAH "
[Hadith Riwayat al-Bukhari I/134, Muslim No.85, Fathul baari 2 / 9]


Baru-baru ini saya menerima e-mail daripada rakan setugas yang sememangnya selalu mengirim e-mail yan g memaparkan kisah-kisah tauladan dan kemasyarakatan. Salah satu e-mail yang saya rasa begitu menyentuh hati saya ialah mengenai kisah pengorbanan ayah dan ibu kepada anak-anak. Di muatkan dalam e-mail tersebut bagaimana pula anak-anak-anak dapat membalas jasa ayah dan ibu yang telah memelihara mereka selama ini. Dalam beberapa kisah yang panjang itu saya tertarik dengan satu kisah untuk dimuatkan dalam ruangan ini untuk dikongsi dan dijadikan renungan bersama.

Ayah dan ibu kita telah menjaga kita mulai dari dalam kandungan dengan beban yang penuh kepayahan. Demikian juga ketika melahirkan, ibu kita mempertaruhkan jiwa antara hidup dan mati. Ketika kita lahir, ibu lah yg menyusui kita kemudian membersihkan kotoran kita. Semua dilakukan oleh ibu kita, bukan oleh orang lain. Ibu kita selalu menemani ketika kita terjaga dan menangis baik di pagi, siang atau malam hari. Apabila kita sakit tidak ada yang akan menangis kecuali ibu kita. Sementara ayah kita juga berusaha agar kita akan sembuh dengan berdoa dan membawa kita ke klinik atau rumah sakit. Sehingga kalau ditawarkan antara hidup dan mati, ibu kita akan memilih mati agar kita tetap hidup. Itulah jasa seorang ibu terhadap anaknya.
Jika ayah dan ibu sanggup berkorban apa jua kepada kita hinggalah ke saat akhir hayatnya, apakah pula tanggungjawab kita sebagai anak-anak tidak bolehkah membalas segala jasanya pada waktu saat akhir hayat mereka?

Saya muatkan di sini sebahagian e-mail yang dikirim oleh sahabat saya :
Apa yang paling utama dalam memberikan khidmat terakhir kpd ibu ayah ialah MEMANDIKAN JENAZAHNYA, MENGKAPANKAN TUBUH MULIANYA, MENYEMBAHYANGKAN JENAZAH NYA DAN MENGKEBUMIKAN JENAZAHNYA. Lakukandengan tangan2 kita sebagai anak2. Lakukan sahabat, lakukannya jika ditakdirkan ibu ayah kita meninggal dunia.
Saya menangis apabila ada sahabat saya menceritakan bagaimana ibu kepada Tuan Guru Dr Harun Din meninggal dunia. Bacalah sahabat pengalaman Dr Harun Din dan keluarganya.

Jiran kepada ibu Dr Harun Din menziarah ibunya pada waktu petang selepas asar. Beliau memberi salam tetapi tak menyahut salamnya. Beberapa kali salam diberikan tapi tak ada jawapan. Maka jirannya itupun mencari ibu Dr Harun Din, akhirnya terlihat ibunya sedangsujud dalam solat, lalu jiran ini balik ke rumah dahulu. Beberapa minit kemudian, datang semula berjumpa ibu DR HARUN DIN, dilihatnya masih sujud. Firasat jirannya, ini ada yang tak kena. Lalu masuk ke rumah untnk melihat dari dekat ibu Dr Harun Din. Rupa-rupanya, ibu Dr Harun Din telah kembali kerahmatullah dalam masa ibunya sujud menghadap Allah. Ya Allahmulianya kematian ibu Dr Harun Din. Perkara yang paling indah yang dilakukan keluarga Dr Harun Din ialah,menyempurnakan dengan tangan-tangan anak-anak jenazah ibunya. Mandikan ibu, kapan ibu, sembahyangkan ibu dan kebumikan tanpa diusik orang lain ke atas tubuh ibunya. Ada jiran-jiran yang ingin melakukannya tetapi ditolak oleh Dato, Harun Din, Ustaz Dato’Hasan Din dan Ustaz Ishak Din dengan kata-kata, "BERILAH SAYA SEKELUARGA PELUANG MEMBUAT KHIDMAT YG TERAKHIR UTK IBU".

Ketika kata-kata itu diberikan, seluruh masyarakat yang hadir melinangkan air mata kerana tawaaduk dan alimnya anak-anak ibu itu. Paling menyayatkan hati masyarakat adalah apabila ketiga-tiga adik beradik ini iaitu Dato, Harun Din, Ustaz Dato’Hasan Din dan Ustaz Ishak Din turun sendiri ke lubang lahad mengebumikan jenazah ibunya. Ada beberapa orang yang hadir, memohon dan berkata,"Wahai Tuan Guru, biarlah kami buat semuanya ini untuk menurunkan jenazah ibu Tuan Guru."
Permintaan ini ditolak oleh Dr Harun Din dengan kata-kata yang sama seperti awalnya ,"Berilah kami adik beradik peluang mengebumikan jenazah ibuini kali terakhir".
Seluruh yan g hadir di kuburan ketika itu,mencurahkan airmata di atas akhlak anak-anak ibu yang diasuh hingga se"alim" sedemikian. Peristiwa ini disempurnakan hingga selesai.

HEBAT IBU ini membina akhlak dan keilmuan anak-anak mereka, maka tidak hairanlah kita semua bahawa Dr Harun Din , Ustaz Hasan Din dan Ustaz Ishak Din memang disegani oelh kawan dan lawan di Bumi Malaysia ini kerana "AKHLAK"nya yang mulia dan ALIM nya mereka.Terus terang sahabat, ketika saya mendengar cerita ini, air matasaya melinang apabila tergambar ketika saya dan 11 orang adik beradik menguruskan jenazah ibu bersama Feb 2009 yang lalu. YaAllah, rahmatilah ibu kami semua. Rahmatilah mereka dan Ampunkanlah kami.

Demikian berakhir email daripada rakan saya. Paparan ini bukan sekadar bacaan sahaja tetapi ia meminta kita agar sentiasa bermuhasabah dan merenung diri agar kita tergolong di kalangan anak-anak yang soleh. Kepada ibu saya yang tercinta, ketahuilah setelah cinta saya kepada ALLAH, Kasih saya kepada Rasulullah S.A.W, sayang saya kepada ibu tiada penghujungnya walaupun ibu jauh di mata namun sentiasa tetap segar dalam hati dan sanubari.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa ayah dan ibu. Amin
Read more...

Thursday, June 10, 2010

Palestine : Bila Negara Islam Semakin Pengecut



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya


Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.
( al-Maidah : 78-79).


Sabda Rasulullah S.A.W : Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman.

Apa lagi yang hendak saya katakan. Apa lagi yang harus saya luahkan. Apa lagi yang perlu saya coretkan. Sama seperti orang Islam yang lain, hanya perasaan marah, geram dan dendam yang meluap-luap terhadap keganasan dan kebiadaban rejim zionis laknatullah

Peristiwa penahanan aktivis pro-Palestin dalam konvoi kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie sebagai misi bantuan ke Semenanjung Gaza adalah satu penghinaan kepada negara-negara Islam khasnya dan masyarakat dunia amnya . Peristiwa ini merupakan kemuncak kebiadaban Israel dan rejim zionis laknatullah yang tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa jua. Sudah tiba masanya Negara-negara Islam membuka mata dan tidak lagi memandang isu ini masih boleh diselesaikan secara meja rundingan. Seingat kita sudah puluhan malah ratusan rundingan dibuat dan dilakukan tapi nasib rakyat Palestine masih di takuk lama. Ditindas, dinafikan hak, dizalimi dan dibunuh tanpa rasa ada belas kasihan dan peri kemanusiaan. Ini adalah kerana bangsa Yahudi ini memang merupakan bangsa yang dilaknat oleh Allah dan Rasul dan kisah kedegilan dan kebiadaban mereka tercatat di dalam Al Quran dan hadith.

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.
(al maidah :82)


Malang sekali, Israel yang sekecil itu tidak mampu ditangani oleh negara-negara Islam yang ternyata mempunyai kuasa bukan sahaja ekonomi malahan juga ketenteraan. Bukan sahaja negara-negara Islam tidak berani menentang Israel, malahan negara-negara Arab yang berada di sekeliling negara Israel yang sekangkang kera itu sendiri bersifat bacul dan penakut. Masing-masing menjaga kepentingan peribadi Dan yang lebih membimbangkan kita , masih ada yang negara-negara Islam menjalinkan hubungan dengan Israel laknatullah ini seolah-olah seperti merestui segala tindak tanduk mereka. Mesir, Jordan dan Turki merupakan antara Negara Islam yang masih menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Negara Islam mempunyai pertubuhan OIC sebagai wadah dan suara masyarakat umat Islam. Dianggotai oleh 57 negara Islam sebagai anggota sepatutnya OIC berperanan sebagai wadah dan suara umat Islam untuk dilaungkanserta disampaikan pada masyarakat antarabangsa dan juga pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Malangnya OIC sinonim dengan namanya OH I See sekadar melihat dan berdiam diri menyaksikan bagaimana umat Islam dikeronyok dan dizalimi oleh puak rejim Zionis Laknatullah dani juga oleh negara-negara barat yang ternyata begitu anti kepada kebangkitan Islam. Mereka tidak berani bersuara lantang kerana takutnya mereka bukan kepada Israel tetapi kepada dalang yang sentiasa berdiri teguh di belakang Israel laknatullah iaitu Amerika Syarikat. Bilangan umat Islam ternyata ramai dan negara-negara Islam memang diakui menguasai sebahagian besar ekonomi dunia tetapi malangnya pemimpin negara Islam terutama negara-negara Arab lemah kerana minda, jiwa dan perasaan dikuasai puak kufar dan yahudi laknatullah.

Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam bersabda,”Hampir saja para umat (yang kafir dan sesat, pen) mengerumuni kalian dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring”. Kemudian seseorang bertanya,”Katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada saat itu sedikit?” Rasulullah berkata,”Bahkan kalian pada saat itu banyak, akan tetapi kalian adalah sampah yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’. Kemudian seseorang bertanya,”Apa itu ’wahn’?” Rasulullah berkata,”Cinta dunia dan takut mati.”
(Shohih, HR. Ahmad dan Abu Daud)


Siapa yang berani menafikan yang Amerika bukannya sekutu kuat Israel yang sentiasa memberi sokongan kepada pihak yahudi laknatullah tersebut? Lihat apa tindakan Amerika bila pihak Israel menceroboh kedua-dua kapal bantuan antarabangsa ke gaza dan membunuh beberapa orang aktivis. Barrack Obama yang suatu ketika disanjung oleh beberapa negara Islam ternyata hanya mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan tersebut. Setakat nak kutuk semua orang boleh buat, jangan katakan Obama, makcik jual nasi lemak dekat rumah saya pun boleh mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel. Mana Kekuatan tentera dan sikap polis dunia Amerika Syarikat? Mereka tak akan lakukan apajua tindakan ke atas Israel walaupun Israel menyerang Negara-negara Arab di seluruh bumi Arab sekalipun. Ini kerana Israel dan Amerika ibarat isi dengan kuku. Sama jahat dan sama biadap!

Lihat bagaimana Amerika bersungguh-sungguh hendak menghantar kapal perang ke Korea Utara dan Iran? Lihat bagaimana mereka menyerang Iraq dan memusnahkannya menjadi padang jarak padang tekukur kononnya atas alasan kezaliman Saddam Hussein! Bagaimana Amerika memporak perandakan Afghanistan. Pada siapa lagi yang umat Islam hendak harapkan? Nak mengharap Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun sama macam Amerika Syarikat, ibarat dua kali lima dan lima kali dua. Bersungguh-sungguh PBB hendak mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran tapi sanggupkah PBB mengenakan sekatan ekonomi terhadap Israel. Ternyata perkara ini tak akan berlaku!

Sudah tiba masanya Negara-negara Islam terutama Negara-negara Arab bersatu dan berdikari tanpa mengharap belas ikhsan PBB untuk campurtangan. Kelemahan orang Islam dan para pemimpinnya hari ini adalah kerana longgarnya kepercayaan mereka terhadap Allah dan agama Islam. Pemimpin Negara Islam perlu yakin dengan janji Allah tapi malangnya hari ini ianya tidak berlaku. Sikap berhati-hati dan penakut negara-negara Arab menyebabkan Israel mengambil kesempatan untuk menguatkan lagi kedudukannya di bumi Palestine.

”Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.”
(Al Anfaal: 60)


”Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7). Dan Allah tidaklah lemah untuk menolong hamba-Nya, akan tetapi Allah menguji di antara mereka dengan kejelakan agar diketahui siapa yang jujur atau dusta. Allah Maha Mampu untuk menolong wali-Nya dan untuk menghancurkan musuh-Nya tanpa perang, jihad, atau tanpa menyiapkan persenjataan. Allah Ta’ala berfirman yang artinya,”Demikianlah apabila Allah menghendaki, niscaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain”
. (Muhammad: 4)


Rasulullah SAW bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.” Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah dan musuh sangat kuat?” Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak berarti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut…

Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada para pejuang Palestine yang berjuang menentang Yahudi laknatullah dan moga Allah membuka pintu hati para pemimpin dunia Islam untuk bersatu dan menyelamatkan bumi Palestine dari terus lenyap di mata dunia. Amin
Read more...

Sunday, June 6, 2010

Piala Dunia dan Habuan Dunia



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

” “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”
(al-Maidah:90-91)


“Sorakan Satu Dunia” Itulah slogan yang kita sering dengar sejak akhir-akhir ini. Tidak berapa hari lagi bukan sahaja rakyat Malaysia malahan seluruh dunia akan mengalami kegilaan yang tidak menentu iaitu keterujaan menonton perlawanan bola sepakPiala Dunia 2010. Di negara kita pada ketika itu isu panas yang akan dibincangkan di kedai-kedai kopi hingga ke pejabat-pejabat kerajaan dan swasta ialah cerita pasal bola. Labih malang lagi episod cerita bola ini akan merebak menjadi bahan sembang di surau-surau dan masjid-masjid…..Masyallah.

Maka isu-isu kemanusiaan seperti penderitaan rakyat Palestine, keganasan serta kebiadaban Israel, kemiskinan sejagat , kepanasan global, H1N1 dan pergolakan politik akan dilupakan seketika oleh kebanyakkan masyarakat dunia. Begitu hebatnya penangan bola sepak. Ternyata Yahudi dan Nasrani berjaya menjadikan sukan alat atau propaganda yang melalaikan umat manusia , lebih-lebih lagi kepada umat Islam. Jika kita terus lalai dan tidak berhati-hati, umat Islam akan terpedaya dan akhirnya melakukan kemungkaran yang pasti mengundang kemurkaan Allah.

Bersukan itu tidak salah tetapi terlalu taksub dan berlebih-lebihan itu akan membawa kemudaratan. Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan isu pemberian lesen judi untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 . Masyaallah ...Tabarakallah, apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini. Sebagai orang Islam yang cinta pada ALLAH dan Rasul saya merasa terpanggil untuk menulis isu ini untuk tatapan pembaca. Walaupun suara saya hanyalah suara kecil tetapi sekurang-kurangnya saya menyuarakan bantahan saya sabagai umat yang cintakan Islam. Saya bimbang dan takut akan dipersoalkan oleh Allah di Hari Perhitungan nanti jika saya hanya membisu dan tidak melakukan apajua bila berlakunya kemungkaran.

Sabda Rasulullah S.A.W :“Sesiapa yang bermain judi sesungguhnya dia telah menderhakai Allah Taala”
(Riwayat :Ahmad, Malik, Abu Daud dan Ibnu Majah.)


Biar apapun alasan yang diberi, namun ”Matlamat tidak boleh menghalalkan cara”. Dalam Islam hukumnya adalah jelas, halal tetap halal dan yang haram tetap hukumnya haram. Siapakah kita yang ingin mengubah hukum Allah. Mungkin di dunia kita terlepas dari siksaan dan bala Allah tapi bagaimana pula nanti di Hari Pembalasan bila berhadapan Allah Ta’ala. Judi diharamkan oleh Islam dan sebarang bentuk penglibatan dengan unsur perjudian dalam apa jua aktiviti muamalah perlu dihentikan segera. Ini kerana harta yang diperolehi daripada sumber judi adalah haram tidak kira bagaimana bentuk perjudian tersebut. Antara sebab pengharaman judi adalah kerana terdapat unsur penindasan, penipuan, kebergantungan kepada nasib, mencetus permusuhan dan boleh menjejaskan ekonomi individu, masyarakat dan Negara

”mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah Yang mereka akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) Yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:”
(al-Baqarah :219)


Kita berharap pemimpin-pemimpin Islam kita yang mempunyai kuasa masih mempunyai ruang dan masa untuk membatalkan sahaja pemberian lesen judi ini. Kita berdoa agar ulamak-ulamak kita mempunyai kekuatan diberi Allah untuk menasihat dan menyatakan pandangan dengan tegas tentang haramnya unsur perjudian dalam apa jua situasi, suasana, masa dan ketika. Janganlah kita menjadi pemimpin dan ulamak bisu. Bimbangnya kita akan kemurkaan Allah . Janganlah kita terpaksa menjual agama kerana habuan dunia yang sedikit. Dengarlah suara-suara umat Islam yang begitu cinta dan kasihkan Allah. Anda pemimpin yang hebat jika medahulukan hukum Allah melebihi segala-galanya.

Semoga Allah sentiasa melindungi kita semua dari segala kemungkaran dan kemunafikan. Amin
Read more...

Saturday, June 5, 2010

Empat Golongan di Akhirat



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

"Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang yang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: "Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan? Mereka menjawab: "Benar ada", sesungguhnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi amaran, lalu kami mendustakan (nya)"
(QS. Al-Mulk: 8-9)


Kita kini sudah berada di pertengahan Jamadilakhir, maknanya selepas ini akan munculnya bulan Rejab. Begitu cepatnya putaran masa berlalu, namun bila dihitung ternyata kita seolah-olah masih di takah lama. Kalau adapun perubahan terlalu sedikit tidak sepantas putaran masa berjalan. Bimbang di hati takut kalau-kalau kita termasuk antara golongan yang rugi.

"Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian .Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
(Al-'Asr,)


Sebenarnya kehidupan ini tidak boleh dihitung pada bilangan usia tetapi perlu dilihat sejauhmana kita berjaya mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala. Kehidupan ini bukan bergantung kepada berapa lama sudah kita menghuni dunia yang fana ini tetapi sebesar mana pengorbanan yang telah kita curahkan untuk perjuangan Islam supaya dapat kita dinilai di hadapan Allah. Apalah gunanya kalau berumur panjang menongkat dunia sedangkan amalannya di sisi Allah tiada walaupun sebesar huma.

Kita lihat hari ini betapa umat manusia disibukkan dengan kehidupan di dunia sehingga mereka terlupa adanya hari perhitungan di akhirat nanti. Bersungguh-sungguh mereka melaksanakan setiap agenda keduniaan tapi bila untuk ukhrawi ternyata bagai melepaskan batuk di tangga. Adalah amat malang sekali jika untuk akhirat yang kekal abadi, kita tidak melakukan segala ibadah dan suruhan Allah dengan sepenuh keyakinan dan ketakwaan. Minda, jiwa dan hati kita dikelabui oleh perlumbaan mencari kenikmatan dunia walaupun kadangkala kita tahu bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja. Ternyata kita tewas dengan hasutan iblis laknatullah dan konco-konconya. Lalu timbul persoalannya, apakah persediaan yang kita buat untuk menghadapi Hari Perhitungan di hadapan ALLAH nanti?

Imam Al Ghazali dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin mencatatkan bahawa pada hari akhirat nanti manusia akan dibahagikan kepada empat golongan:

1. Mereka yang binasa : Orang yang putus harap mendapatkan rahmat Allah. Golongan ini adalah orang yang menentang dan ingkar pada perintah Allah. Menjadikan dunia sebagai matlamat , mendustakan Allahndan rasul-rasulNya dan mendustakan kitab-kitab Allah. Hati mereka sudah mati.

2. Orang Yang Diseksa : Golongan ini asalnya mempunyai iman dalam diri tetapi cuai dan lali dalam menjalankan tuntutan iman. Mereka dalam kumpulan ini mengambil hawa nafsu sebagai tuhan. Mereka bertauhid dengan lidah tapi tidak sebenar-benarnya.
"Katakan, yang menurunkan itu ialah Allah. Dan biarkan mereka bermain dengan cakap-cakap kosongnya.” (Al-An’am :91)

Mereka ini akan dihumban ke dalam neraka dan berat azabnya dikenakan berdasarkan berat keburukan dan dosa yang dilakukan. Namun mereka ini akan dikeluarkan dari neraka tetapi bergantung pada banyaknya kejahatan yang dilakukan.

“Pada hari ini setiap diri menerima pembalasannya berdasarkan apa yang ia lakukan”
(Al-Mukmin : 17)


3. Orang-orang yang terlepas
: Menurut Imam Al Ghazali, mereka ini mereka ini tidak tergolong dalam orang yang bahagia atau orang yang menang. Mereka ini tidak membuat amal bakti sehingga menjadi sebab ditanggalkan azab tetapi tidak pula membuat kecuaian sehingga menjadi sebab untuk diazabkan. Orang gila, anak kecil orang kafir, orang terencat akal dan orang yang tidak sampai seruan dakwah dari mana-mana negeri. Mereka tidak mempunyai makrifat, tidak juga mengingkari , tidak mentaati dan tidak menderhaka.


4. Tingkat Orang Yang Benar : Golongan ini adalah orang-orang yang arif yang mempunyai makrifat dan dikenali sebagai muqarrabin dan as-sabiqun. Golongan dalam kumpulan ini adalah orang yang selalu hampir kepada Allah. Sentiasa taat dan patuh pada perintah Allah.

Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan amalan kita yang secebis cuma? Saya tertanya-tanya ke dalam diri sendiri. Rasa takut dan taubat perlu ada agar kita sentiasa menjadi hamba Allah yang sentiasa patuh serta bersyukur atas nikmat dan rahmat-NYA

Rujukan

Imam Al Ghazali : Ihya'Ulumiddin

Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company